Home Novel Thriller/Aksi Sindiket II
Sindiket II
Meja Editor
11/11/2024 09:52:48
1,014
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 1

Kampung Mengabang Telipot, Terengganu
April 2024

HUJAN renyai membasahi bumi, petang yang dingin terasa kosong. Dia termangu di atas tikar mengkuang yang terhampar. 

Syakir menjeling lelaki tua di sebelahnya. Dia tahu saat ini, hati ayahnya lebih rawan berbanding dirinya. Dia kehilangan seorang ibu, tetapi ayahnya hilang seorang isteri. 

Syakir merenung tanah merah membukit di depannya. Ada rasa sepi dan pilu menyiat hatinya. 

"Maha Suci ALLAH yang bersifat dengan Baqa' dan Qidam. TUHAN yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa. Maha Suci TUHAN yang menjadikan matidan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa. Maha Suci TUHAN yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran. Untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai. Dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup." 

Air mata Syakir gugur seperti manik terurai. Bacaan talkin oleh Imam Sahak menimbulkan kegerunan dan keinsafan pada semua yang mendengar. Talkin bukanlah untuk si mati tetapi untuk menginsafkan yang hidup. Penghujung sebuah kehidupan adalah kematian. Kematian adalah perjalanan roh menemui Sang Pencipta. 

"Ingatlah! Apabila datang kepada kamu dua malaikat yang serupa dengan kamu, iaitu Munkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut. Janganlah kamu berdukacita dan risau. Serta janganlah kamu susah hati dan terkejut. Apabila tiba kedua-dua Malaikat itu bertanya kepadamu; 

Man rabbuka - Siapa TUHANmu? 

Man nabiyyuka - Siapa Nabimu? 

Ma dinuka - Apa agamamu? 

Man imamuka - Siapa imammu? 

Ma qiblatuka - Apa kiblatmu? 

Man ikhwanuka - Siapa saudara-saudaramu? 

Apakah keyakinan semasa kamu mati?" 

Semua yang berada di tanah perkuburan diam membisu. Terdetik kegerunan dan kerisauan dalam hati mendengar bacaan talkin. Usai bacaan talkin dan doa, masing-masing mula meninggalkan tanah perkuburan.

Syakir dan ayahnya masih duduk di atas tikar. Kedua-dua beranak itu merenung kubur di hadapan mereka. Hari ini tangan mereka telah menguburkan orang yang mereka sayangi dan itu sangat memeritkan.

Syakir melihat ayahnya menyeka air mata. Dia tahu, saat ini hati ayahnya begitu sedih. Kematian adalah perpisahan yang sangat menyakitkan. Jika berpisah hidup, kita tahu dia masih ada dan mungkin satu ketika akan bertemu semula. 

Tetapi perpisahan kematian adalah penamat segalanya. Sampai dunia berakhir pun kita tidak akan bertemu lagi. Yang kekal hanyalah memori, tiada lagi kelibat, tiada lagi bayangan. Kematian meninggalkan luka yang tidak mungkin akan sembuh. Parut yang tidak mungkin akan hilang. 

"Yah! Abang ampunkan segala dosa Yah. Abang halalkan semuanya, inilah penamat untuk menghentikan semua penderitaan yang Yah tanggung. Damailah kau di sana, suri hatiku. Walaupun perpisahan ini tidak direlakan, tetapi abang terima. Perjalanan hidup Yah sudah terhenti di sini. Janji Yah pada ALLAH sudah sempurna. Abang akan sentiasa merindui Yah setiap detik. Abang janji akan menjaga Syakir dengan penuh kasih sayang. 

Abang berjanji akan cari Liya dan bawa ke kubur Yah untuk memohon kemaafan. Keluarga kita akan bersatu semula ... itulah janji abang. Beradulah dengan tenang, isteriku," gumam lelaki tua itu dengan sendu yang tertahan-tahan. 

Sebak hati Syakir mendengar rintihan ayahnya. Dia memeluk bahu ayahnya, lalu menangis semahu-mahunya. Dia tidak sangka ibunya pergi terlalu cepat, selama ibunya hidup tidak pernah sekalipun dia meluahkan yang dia menyayangi ibunya. 

"Ya ALLAH, kenapa aku terlalu lalai? Kenapa aku ambil mudah? Kenapa semasa ibuku masih hidup aku tidak mencipta memori indah dengannya? Kenapa aku mengabaikannya? Sepatutnya, aku meluahkan rasa kasih dan sayang padanya. Sekarang, aku faham apa itu kehilangan. Ya ALLAH, jika kau beri aku peluang sekali lagi aku akan menjadi anak yang lebih baik," rintih Syakir dalam tangisan. 

"Sabarlah, anakku. Ini memang sudah ditakdirkan," ujar Syukur. 

"Tapi, Akir banyak berdosa pada ibu. Akir tak pernah menjadi anak yang baik." 

"Semua yang berlaku ini sudah tersurat. Pasti ada yang tersirat. ALLAH telah mengambil ibu dengan penuh kasih sayang. Penderitaan dan kesakitan yang ibu tanggung dah berakhir. Ibu tak akan menderita lagi. Biarlah ibu bersemadi dengan aman. Jika Akir sayangkan ibu sedekahkan doa dan bacaan al-Quran," ujar lelaki tua itu perlahan. 

"Seksa bagi yang hidup adalah menanggung rindu dan dendam. Seksa bagi yang sudah tiada ialah menanggung azab pembalasan. Saat hilang sesuatu buat selamanya barulah kita menyedari kita tidak melakukan sebaik-baiknya semasa dia masih ada. 

Andai masa bisa diulang kembali, kita pasti akan mencuba sehabis baik. Tetapi itulah rahsia ALLAH yang tiada siapa pun tahu. Ajal maut dan jodoh pertemuan semuanya di tangan ALLAH. Akir ... ibu pergi dengan hati tenang dan lapang. Doakan ibu akan baik-baik saja di sana nak," ujar Syukur perlahan. 

Tok Ketua Mahat menghampiri sahabatnya. "Kur ... semuanya sudah selesai. Aku dah minta beberapa orang kampung untuk uruskan majlis tahlil malam ni. Kau usah risau tentang itu semua." 

Lelaki tua itu mendongak memandang ketua kampungnya, lalu mengangguk lemah. 

"Terima kasih, tok ketua," ujar Syukur perlahan. 

"Kur, memang Liya tak balik ke? Kau ada bagi tahu pada dia tak?" tanya Tok Ketua Mahat. 

Syakir mendengus marah mendengar guru silatnya menyebut nama itu. 

"Tok guru, jangan sebut nama tu! Benci Akir dengar," ujar Syakir. 

"Akir! Tak baik kata begitu pada tok ketua." 

Syakir tertunduk memandang hujung tikar. Dia tahu ayahnya tidak suka dengan kata-katanya. Dia juga tahu ayahnya tiada jawapan untuk soalan yang ditanya tok ketua. 

Kakaknya sudah berpatah arang berkerat rotan dengan mereka dan tidak lagi mengakui hubungan antara mereka. Sikap kakaknya itu benar-benar menyebabkan ayahnya menjeruk rasa. Kakaknya juga antara penyebab ibunya meninggal dunia. Sering saja ibu makan hati dengan sikap dan perbuatan kakaknya. 

"Ibu membawa jiwa lara dan kesedihannya sampai ke liang lahad. Akir tak akan maafkan perbuatan kakak sampai bila-bila," gumam Syakir perlahan. 

"Aku tak tahu nak cakap apa lagi, tok ketua. Syakir dah cuba telefon Liya berkali-kali sejak malam tadi lagi. Puluhan pesanan ditinggalkan, namun tiada satu pun berjawab. Dia sudah membuang kami daripada hidupnya. Puncanya aku. Jika tidak kerana aku, keluarga ini tidak jadi seperti itu. Aku yang menyebabkan Aliya lari dari rumah," ujar Syukur perlahan. 

"Ayah tak bersalah! Ini semua salah kakak yang menyebabkan keluarga kita berpecah dan ibu mati! Akir tak akan maafkan perbuatannya! Dia berdosa pada ibu dan kita semua! Syakir bencikan dia!" bentak Syakir dengan nada suara bergetar. 

"Tak baik cakap macam tu, Akir. Ayah dan ibu tak pernah ajar Akir bersikap begitu. Seburuk mana pun Liya, dia tetap kakak Akir sampai bila-bila. Ingat! Kemarahan hanya membawa kehancuran. Manusia yang tidak dapat mengawal kemarahan lebih hina daripada binatang. Jangan benarkan kemarahan dan kebencian meraja kerana jiwa yang sakit hanya akan merosakkan diri sendiri. Jangan jadi seperti kakak, doakan agar satu saat nanti dia berubah dan kembali ke pangkal jalan," ujar Syukur perlahan. 

"Ayah! Akir tak fahamlah ... kenapa ayah begitu baik dengan kakak? Selama ini, dia langsung tidak menghormati ayah. Kenapa ayah masih mempertahankan dia!" Syakir membentak dengan rasa tidak puas hati.

Anak lelakinya itu menjadi saksi kebencian Aliya padanya dan kemuncaknya apabila Aliya tidak pulang menziarahi jenazah ibunya sendiri. 

"Akir ... ayah tak pernah menyimpan marah atau kebencian pada Liya. Walau dicencang lumat sekalipun, rasa kasih pada anak ayah itu tidak akan pernah padam." 

"Ayah ...," ujar Syakir dengan anda suara bergetar. 

Syukur tersenyum tawar sambil mengusap kepala anak lelakinya yang berumur 18 tahun itu.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.