Home Novel Seram/Misteri Lembah Setan
Lembah Setan
Meja Editor
11/11/2024 08:51:25
1,701
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 1

Tahun 2009

"YASIIIN ...."
Jam melewati 10.00 malam. Yahya berdiri di muka pintu sambil meramas kepala tangga. Hatinya sebak. Sudah lama benar dia tidak pulang menjenguk bapanya di kampung. Sejak ibunya meninggal dunia tiga tahun yang lalu akibat kanser darah. Hari ini, dia kembali setelah menerima panggilan daripada jiran kampung yang mengatakan bapanya nazak.

Bapanya terlantar sakit tua sejak beberapa bulan yang lalu. Segala urusan dibantu jiran tetangga. Berkali-kali mereka mahu menelefon Yahya, tetapi Pak Lang melarang. Sehinggalah hari ini, dia membenarkan. 

Lengan bajunya yang terlipat hingga ke siku menampakkan parut lama yang berbirat di tangan.Yahya termangu mengenang kisah silam. Apa saja hukuman yang tidak pernah dia terima. Bapanya dirasakan manusia paling tegas di atas muka bumi ini.

Adakala dia berasa Pak Lang membencinya. Silap sikit belasah. Silap sikit dimarahi. Paling bapanya pantang, keluar tanpa beritahu. Balik saja ke rumah badannya berbirat dirotan. Hanya ibunya, Zainab tempat mengadu.

Sejak dari kecil hingga menginjak dewasa, sudah berpuluh-puluh kali mereka berpindah. Kadangkala atas alasan yang tidak munasabah. Ibunya yang bertanya akan dijerkah. Rumah pula sentiasa berselimut dengan langsir tebal dan hitam.

Mereka dibenarkan bercampur dengan jiran tetangga yang dibenarkan oleh Pak Lang sahaja. Yahya percaya bapanya menyimpan rahsia. Dia juga seperti takutkan sesuatu. Apa dan siapa, hanya Pak Lang yang tahu.

Sehinggalah Yahya menerima tawaran melanjutkan pelajaran di luar negeri. Ibu dan bapanya berperang besar. Pak Lang dengan tegasnya tidak mahu Yahya ke mana-mana. Bekerja seadanya asalkan Yahya di depan mata. Zainab pula mahu anaknya menjadi orang berjaya. Pada akhirnya, Pak Lang akur.

Boleh dikatakan setiap minggu, ibu bapanya akan datang ziarah. Setiap kali itu juga Yahya perasan mata bapanya akan melilau merata. Bertanya itu ini kepada rakan-rakannya dan pengawal. Pernah juga dia bertanya, tetapi Yahya dimarahi semula. Sudahnya, dia diam.

Lagi teruk apabila dia mula bercinta dan ingin bernikah. Latar belakang bakal isterinya disiasatsemahu-mahunya. Yahya dimarahi dan dimaki kerana tidak merujuknya dahulu untuk  mengenali mana-mana perempuan.

Sekali lagi ibunya yang menjadi penyelamat. Itu belum lagi sewaktu dia menjadi pensyarah. Bapanya melarang keras. Bahkan, Pak Lang menyumpah jika diteruskan juga dengan hajatnya itu, Yahya bukan lagi anaknya.

"Yahya ...."

Yahya tersentak. Suara bapanya memanggil dari dalam. Lirih dan benar-benar rungkuh suaranya.

"Jomlah masuk, abang," ajak Jameela. Ameera, anak tunggal mereka berdiri di sampingnya.

Kasut ditanggalkan. Mereka masuk ke dalam rumah. Pak Lang kurus kedengkik. Tubuhnya terbaring melengkung. Kulitnya melayut. Uban memutih di kepala. Mukanya memucat. Sesekali berkerut menahan sakit. Mata tuanya merenung Yahya. Lemah tangannya menggamit memanggil. Yahya mampir. Duduk bertekuk lutut di sampingnya.

"Jaga diri dan keluarga kau baik-baik," pesan Pak Lang. Nafasnya terengah-engah.

Yahya mengetap bibir. Menahan air matanya yang bergenang daripada mengalir.

"Kenapa bapa buat begini selama ni?" Soalan yang tersimpan sejak 41 tahun lalu, akhirnya terluah.

"Satu hari ... kau akan faham."

Lambat-lambat Pak Lang bertutur. Matanya terpejam. Mengalir air dari ekor matanya.

Yahya bangkit dan duduk bersama mereka yang sedang membaca surah Yasin. Isteri dan anaknya turut membaca. Hanya dia di situ. Bersandar di dinding. Merenung bapanya yang bila-bila masa bakal bercerai jasad dan nyawa. Pandangan mengitari sekitar rumah.

Tingkap berpalang. Satu bayung tergantung di ruang tamu. Satu lagi terselit di belakang tingkap laluan ke dapur.

"Bacalah Yasin untuk bapa kau, Yahya. Bapa kau tengah nazak tu. Mudahkan urusannya," tegur salah seorang jiran yang duduk di sebelahnya.

Kitab Yasin dihulurkan kepadanya. Yahya tersenyum dan menolak lembut.

"Nak solat isyak dulu ke?" duga lelaki itu.

"Maaf, saya tak solat."

Wajah lelaki itu berubah riak. Dia terdiam. Kembali menyambung bacaan Yasin.

LEWAT malam, hanya tinggal beberapa orang jiran di rumah Pak Lang. Tekun membacakan Yasin. Manakala Yahya masih bersandar di dinding. Terlelap. Dia terjaga apabila terdengar bapanya terbatuk-batuk.

"Bapa ...." Yahya merapati.

Pak Lang menarik nafas dalam-dalam.

"Ajar bapa kau mengucap, Yahya. Bisik di telinganya," arah lelaki tadi yang sudah duduk disampingnya.

Yahya terpinga-pinga.

"Lailahaillallah (Tiada Tuhan selain ALLAH)," ajar lelaki itu.

Teragak-agak Yahya rapat di telinga Pak Lang. Lalu, membisikkan kalimah itu. Pak Lang terus-menerus batuk. Kemudian, dia menggenggam erat tangan Yahya. Membisikkan sesuatu di telinganya.

Yahya tergemap. Serta-merta genggaman tangan dileraikan. Pak Lang berulang kali menarik nafas. Dada naik turun kemudian terhenti. Tepat memandang Yahya. Nyawanya telah bercerai dari jasad.

"Innalillahiwainnailaihirajiun (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan ALLAH dan kepada-NYA kami kembali)," ucap lelaki itu.

Dia menyapu kedua-dua pelupuk mata Pak Lang untuk menutupnya. Sesaat kemudian, kembali tercelik.

"Bismillahi wa 'ala milati rosulillah (Dengan nama ALLAH dan atas agama rasul-NYA)." Dibaca serentak sambil menyapu pelupuk mata Pak Lang. Kali ini, tidak lagi terbuka.

"Kita uruskan jenazahnya. Lepas subuh, kita boleh terus kebumi," saran lelaki itu.

Yahya akur. Dia merenung jasad bapanya yang tidak lagi bernyawa. Permintaan Pak Lang tadi terngiang-ngiang di telinga.

"Ceraikan kepala aku dari badan."

SELESAI solat subuh secara berjemaah, langsung diteruskan dengan solat jenazah. Yahya hanya duduk di luar masjid. Jauh memandang kubur yang telah siap digali. Isteri dan anaknya tinggal di rumah, menguruskan tetamu yang hadir. Selesai pengebumian nanti, orang-orang kampung mahu mengadakan kenduri kecil-kecilan. Jadi, kaum wanita berpakat memasak seadanya.

"Ceraikan kepala aku dari badan."

Yahya terbangun mendadak. Terkalih-kalih.

Sebentar tadi, dia terdengar suara bapanya seolah-olah sedang berdiri di belakangnya.

"Perasaan aku aje agaknya," gumam Yahya.

Tidak lama kemudian, keranda diusung keluar dari ruangan solat. Yahya menyertai. Membantupara jemaah memikul keranda sehingga ke kuburan. Sebaik jasad dibaringkan ke dalam liang lahad, tanah mula dikambus. Yahya hanya berdiri di satu sudut. Perasaannya bercampur baur.

Yahya dipanggil oleh imam sebagai wakil keluarga untuk duduk di sebelahnya. Dia akur. Talkin dan doa mula dibaca. Setiap bait yang dilontarkan imam masjid hanya didengar sepintas lalu. Sejurus selesai, masing-masing mula meninggalkan tanah perkuburan.

Tujuh tapak berlalu, Yahya termati gerak. Dia berkalih. Suara bapanya kedengaran memanggil.Seiring ketukan di papan keranda. Lambat-lambat dia menghampiri semula kubur bapanya itu. Yahya duduk mencangkung. Tanah diketuk sekali dua.

"Bapa?"

Senyap. Hanya angin lembut menyapa tubuhnya. Yahya terbongkok. Melekapkan telinga di tanah. Memicingkan pendengaran. Berlama-lama sebelum dia bangkit semula. Mengibas tangan dan pakaiannya.

"Yahya, tolong bapa."

Yahya yang sudah melangkah separuh tanah perkuburan, menoleh. Keranda juga kedengarandiketuk bertalu-talu. Dia memicit kepala dan batang leher.

"Balik kena telan Panadol. Letih sangat sampai dengar bukan-bukan," getus Yahya.

Dia mendapatkan kereta yang diparkir tidak jauh dari situ. Tanpa sedar, tanah kubur Pak Lang bergetar-getar.  Seperti sesuatu menolaknya dari dalam. Sebutir dua tanah yang bertimbun menggelongsor ke bawah.

"IMAM! Imam!" panggil Yahya.

Imam Ghazali yang hendak ke masjid berhenti melangkah. Pintu kereta ditutup semula. Yahyamendapatkan imam masjid. 

"Imam sibuk ke?"

"Saya nak masuk dalam masjid semula ni. Nak solat duha. Marilah, ikut sekali," pelawa Imam Ghazali.

"Boleh saya tanya sesuatu?"

"Tanyalah. Insya-ALLAH ... saya cuba jawab."

"Apa benar seksa kubur itu wujud? Sebab setahu saya benda tu tak disebut secara langsung dalam al-Quran. Hanya bersandarkan kepada hadis semata-mata," tanya Yahya.

Imam Ghazali diam sejenak.

"Fahaman saudara bagaimana tentang alam sesudah mati?"

"Manusia mati apabila jantung berhenti pam darah. Sel badan tak terima lagi oksigen. Jadi, bila tiada oksigen, semua sel akan mati. Sel otak akan mati dulu berakhir dengan sel kulit. Bila ditanam, badan akan mengalami proses pereputan dan bersemadi dengan tanah. That's all," jawab Yahya.

"Cikgu Sains?" tebak Imam Ghazali.

"Pensyarah Fizik." Yahya memperbetulkannya.

Imam Ghazali berdehem kecil sebelum bersuara.

"Dalam surah al-Ghafir ayat 45 hingga 46 maksudnya: 'Dan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya. Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat). Masukkanlah Firaun dan  pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!

"Dan ada beberapa ayat al-Quran lain yang berbicara tentang alam kubur. Jadi, dapat kita simpulkan alam kubur atau alam barzakh itu wujud dan benar. Boleh berlaku pada diri kita bila-bila masa. Hanya amal ibadah di dunia yang mampu selamatkan dan jadi peneman diri kita," sambung Imam Ghazali lagi.

"Terima kasih atas jawapannya." Yahya berpuas hati.

"Maaf bertanya. Saudara antihadis?"

"Tidak. Agama itu bagi saya hanyalah dogma. Seperti yang dikatakan Ali Syariati, dunia ini ada dua agama. Agama orang tertindas dan agama seorang penindas. Jadi, pilihlah untuk kita berdiri di mana," balas Yahya.

"Jadi, bagaimana dengan anak dan bini saudara?" soal Imam Ghazali lagi.

"Seorang penganut Islam yang sejati." Imam Ghazali memilih untuk tidak lagi berhujah.Dia menepuk bahu Yahya perlahan-lahan.

"Hadiahkan al-Fatihah untuk bapamu. Moga rohnya tenang di alam sana," nasihat Imam Ghazali.

Dia kembali meneruskan langkah ke masjid. 

Previous: Prolog2
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.