Home Novel Seram/Misteri Kifayah (Sudah Terbit)
Kifayah (Sudah Terbit)
Meja Editor
22/4/2025 17:55:59
456
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 3

AROMA kopi gourmet semerbak harum menujah hidung Pinat sebaik sahaja pintu kaca automatik terbuka. Serta-merta dia terbayang aneka pastri segar yang boleh digabungkan membentuk kombo hidangan.

Apple pie. Banana muffin. Chocolate brownies. Bavarian cream donut. Hatta roti croissant stok semalam.

'Aduhai, alangkah nikmatnya setelah lama perut tidak diisi,' luah suara hatinya.

Kempunan ini membuatkan dirinya terliur. Angan-angan itu percuma. Pinat melepaskan nafas lega. Meskipun bagasinya digeledah tadi, pemeriksaan terhadapnya setakat itu sahaja sebelum dia dilepaskan untuk menaiki penerbangan seterusnya. Tiada sebarang item peribadi dirampas. Dia menolak troli bagasi dengan cermat memasuki balai ketibaan domestik.

Suasana hiruk-pikuk menyambut kedatangannya. Tikaman pandangan daripada lautan manusiayang berkerumun di situ ternyata merimaskan dirinya. Padahal, dia bukannya sasaran perhatian mereka pun. Masing-masing di situ hanya mahu mengesan insan tersayang yang baru mendarat.

Pinat pula harus menjejak sendiri tukang jemput. Aturan ini telah dipersetujui bersama. Dia memanjangkan leher memerhati sekeliling. Mencari wajah Melayu dalam lautan kulit putih. Pandangan Pinat tertancap pada sekeping kertas bersaiz A3 yang direntang melintang. Separas dada lelaki yang memegang.

Nama Pinat tertera jelas pada kertas itu. Bertulisan tangan menggunakan pen marker merah. Malah, dieja penuh dengan abjad besar. Untuk seketika, dia terasa dirinya bagaikan selebriti. Sah. Inilah individu yang Pinat tercari-cari. Dengan pantas dia menghampiri lelaki itu.

"Abang Din?" Pinat melambai-lambai dalam usaha menarik perhatian.

Ini kali pertama mereka bersua muka setelah berkomunikasi melalui e-mel selama beberapa minggu. Tidak sangka, orangnya sudah berusia. Pertengahan 50-an barangkali. Wajah lelaki itu yang bercirikan Siam pula jauh sekali daripada apa yang Pinat bayangkan. Jambang hitam dipelihara rapi tanpa kumis. Kopiah Raihan berwarna putih menutup kepalanya.

"Ya. Adik ni Shafinaz, kan?"

"Betul, bang. Panggil Pinat saja cukup."

"Bagasi cuma satu?" soal Abang Din. Kertas A3 tadi dilipat kemas sebelum dimasukkan ke kocek seluar.

Pinat mengangguk sambil senyum. Mungkin dia patut beralih memanggil lelaki sebaya babahnya ini sebagai Pak Cik Din.

'Abang Din? Euwww,' rungutnya dalam hati.

PINAT disambut oleh bunyi hon serta deraman enjin daripada himpunan kenderaan yang sedang menunggu di luar bangunan terminal. Jeritan kelompok prebet sapu yang cuba menarik perhatian penumpang menambah lagi keriuhan. Para petugas sekuriti pula gigih menghalau puak-puak ini. Tidak kurang juga caci maki yang dilontar semula sebagai balasan tidak berpuas hati daripada pihak yang terputus rezeki.

Bau Britain terasa asing sekali. Barulah Pinat berpeluang menghirup udara luar setelah terperangkap lama di dalam bangunan semenjak mendarat. Ibarat berada di planet lain, aroma baharu ini sukar diterjemah dengan kata-kata. Pinat kurang berkenan sebenarnya. Serta-merta terbit rasa rindu terhadap bau Lembah Klang. Warga tempatan yang lalu-lalang di sekelilingnya kini tampak menggunung. Termasuklah anak-anak baya remaja. Dia terasa kerdil yang amat.

Deru angin sepoi-sepoi bahasa menyapa rambut Pinat yang keriting separas bahu. Labuhan seluar slek hitam gagal menepis betisnya yang berstoking daripada serangan sejuk. Pinat kurang yakin badannya boleh bertahan sekadar berkemeja putih nipis lengan panjang. Maka, blazer hitam yang setia menyarungi tubuhnya tidak jadi dia tanggalkan.

Jika bulan September pun sudah menggigil sebegini, tidak mampu Pinat membayangkan kesengsaraan yang menanti saat turunnya salji pada hujung tahun. Pemerhatian kecil ini semakin menambah kekaguman Pinat terhadap Abang Din yang hanya berkemeja safari lengan pendek dipadankan dengan seluar kargo. Seakan-akan langsung tidak terkesan dengan suhu luar.

Meskipun deria Pinat sedang diserang secara bertalu-talu, dia tidak sempat menghadam setiap satu gara-gara mengejar Abang Din. Lelaki berkopiah putih itu telah mengambil alih peranan mengemudi troli. Langkahnya panjang serta bertenaga. Tidak padan langsung dengan usia. Entah apa yang mahu dikejar, Pinat pun tidak tahu. Dia yang bersepatu kulit termengah-mengah cuba merapatkan jarak. Mereka sedang menapak ke ruang parkir terbuka di luar bangunan terminal.

Langkah lelaki itu terhenti di belakang sebuah Vauxhall sedan berwarna hijau gelap. Bahagian metalik pada lapisan cat kereta sudah lama luntur. Tampak vintaj. Kunci dijolok masuk ke lubang bonet belakang. Terbuka sahaja, Pinat gagal memproses segala item rencam yang berselerakan. Terlalu banyak. Abang Din sekadar menepis segalanya ke tepi sebelum memasukkan bagasi Pinat.

"Laptop dengan beg galas Pinat nak letak sekali?" soal Abang Din. Pintu bonet sudah pun diturunkan separa.

"Tak apa, bang. Saya boleh pegang."

Pinat bergegas menuju ke ruang sebelah pemandu. Dia terpempan melihat timbunan barang di tempat duduk sewaktu pintu dibuka.

"Pinat duduk saja di belakang."

"Eh, seganlah. Rasa macam bos pula. Pinat alihkan barang-barang ni ke belakang, boleh?"

"Lambat nanti. Kita perlu kejar masa."

Abang Din sudah lama mengambil tempat duduk. Enjin kereta telah dihidupkan. Hanya menanti untuk dipacu.

Pinatterpaksa akur. Adakah ini gara-gara pesawat domestiknya yang tergendala hampir dua jam? Walaupun situasi penerbangan di luar kawalan penumpang, dia tetap dirundung serba salah. Berapa lama agaknya masa Abang Din terbuang kerana menunggu?

Hasrat Pinat yang terpendam sejak tadi gagal disuarakan. Dia sebenarnya mahu menyelongkar jaket tebal keluar dari bagasi, namun sudah terlambat. Vauxhall sudah bergerak.

KEADAAN tempat duduk penumpang tidak jauh beza dengan situasi bonet. Ruang letak kaki juga penuh dengan barang. Pinat terpaksa mengalihkan sepana boleh laras, sepasang sandal serta senaskhah surat khabar lama yang sudah menguning ke ruang kaki sebelah. Barulah dia boleh melunjur dengan selesa.

Pinat bersyukur kerana fabrik buatan kain yang menyarungi kusyen tempat duduk. Jika buatan kulit, pastinya lebih sejuk. Dekor dalaman kereta berwarna krim. Lantas mewujudkan latar suasana yang cerah dan ceria.

Pinat cuba menjejak sumber haruman lembut berasaskan sitrus yang sedang berlegar dalam kenderaan. Deria bau memandu garis matanya ke arah pewangi bersaiz mini yang dikepit pada bukaan corong unit pendingin hawa berhampiran stereng.

Dari situ, matanya turun sedikit. Kelihatan sebuah pita kaset terjelir dari mulut radio. Muzik mahupun ceramah, Pinat tidak kisah. Hatinya meronta-ronta meminta sang pemandu menolak kaset itu masuk ke dalam. Sepi terlalu membingit seluruh ruang dalam kenderaan.

Tambah mengeruhkan situasi, mereka belum berupaya keluar dari ruang parkir lapanganterbang. Jumlah kenderaan yang beratur boleh tahan banyak. Menanti giliran berurusan dengan pondok bayaran manual. Suasana terasa canggung yang amat buat Pinat yang tersandar ibarat VIP. Meskipun letih dan langsung tidak teruja untuk bersembang, dia harus bertindak memecahkan kesunyian.

"Fuh, dingin terasa sampai ke tulang!"

Topik cuaca selaku mukadimah perbualan ternyata klise. Apakan daya, Pinat ketandusan idea. Malah dipeluk tubuhnya bagi menyokong testimoni.

"Fasa peralihan masuk ke musim luruh sememangnya begini. Maaf, sistem pemanas kereta abang bermasalah."

"Eh, bukan itu maksud Pinat."

Dia sekadar mahu memancing bual. Kini dia bimbang andai komentarnya tadi tampak seperti merungut. Lebih baik dia tutup mulut sahaja.

"Dua minggu lepas, abang ada jemput tiga orang pelajar baharu dari Malaysia. Sesi September 2004 bermula lusa, bukan? Lewat benar Pinat sampai."

"Errr ... masalah visa, bang. Betul. Pinat dah terlepas semua program orientasi."

"Tak mengapa. Yang penting, syukur Pinat dah selamat tiba. Pasti ada hikmah di sebalik kelewatan tu. Mungkin ALLAH nak beri masa tambahan buat Pinat luang bersama mak dan ayah. Eh, kejap! Pinat dah maklumkan kepada keluarga yang Pinat dah selamat mendarat?"

"Belum. Di terminal tadi memang tak sempat. Terlalu ramai orang beratur depan pondok telefon."

"Pinat ada bawa telefon bimbit? Kita boleh singgah kedai beli kad SIM."

"Tak pernah ada lagi, Abang Din. Telefon bimbit masih mahal di Malaysia."

"Hmm ... kalau begitu, Pinat pinjam abang punyalah." Dari tempat pemandu, Abang Din menghulur telefon Nokia model 6610.

Melihat aliran trafik yang belum berganjak, Abang Din mengambil kesempatan untuk melucutkan tali keledar. Punggungnya diangkat sedikit. Dompet kulit di ambang lunyai ditarik keluar dari kocek belakang seluar. Sekeping kad berwarna biru ditarik, lantas dihulur kepada Pinat.

"Ambil ni. Kad panggilan antarabangsa. Lebih jimat untuk panggilan jarak jauh. Pinat perlu masukkan deretan nombor berjela yang tertera pada kad tu sebelum dail nombor rumah di Malaysia."

Trafik kembali bergerak. Abang Din kelam-kabut masuk gear.

Berbekalkan kad tadi, Pinat memulakan usaha menghubungi keluarga. Panggilan berdering lama sebelum disambut oleh suara mamai salah seorang abang bujangnya. Dia terlepas pandang perbezaan zon waktu. Jam di tanah air sudah melangkaui detik tengah malam. Dia hanya mampu berpesan agar si abang memberitahu kepada ahli keluarga yang lain.

"Helo, angah. Adik pinjam telefon orang ni. Tak boleh sembang lama. Haah, sekarang kat dalam kereta. Menuju kampus. Kirim salam semua, ya? Okay, love you too."

Sedu sedan pada nada suara Pinat sempat dikesan oleh Abang Din. Menerusi cermin pandang belakang, dia nampak si gadis tertunduk hiba. Air mata dikesat dengan hujung jari yang masih berinai. Dia tiada hasrat mahu menegur. Simptom begini terlalu kerap dia saksikan. Homesick. Setiap perantau baharu yang berkelana jauh harus menghadapnya dengan gaya tersendiri.

"Terima kasih, Abang Din." Pinat menyerahkan kembali telefon bimbit berserta kad SIM tadi. 

Abang Din hanya mengangguk dan menyambut tanpa menoleh ke belakang. Tumpuannya setia pada pemanduan. Mereka sudah berjaya keluar dari kawasan lapangan terbang.

"ADUH, silap percaturan!" rungut Abang Din.

Susur masuk ke lebuh raya sudah pun kelihatan. Tetapi, Vauxhall kembali sangkut dalam kesesakan lalu lintas. Ini pasti warga kerja yang berpusu-pusu pulang sempena petang Jumaat. Gerbang memasuki cuti hujung minggu. Ada kelompok yang menuju terus ke rumah. Tidak kurang juga yang mahu terjah bar dan pub untuk bersosial. Resam budaya masyarakat setempat. Tanpa sebarang kesesakan, hampir 40 minit masa yang lazimnya diambil untuk sampai.

Durwell ialah destinasi sasaran Abang Din dan Pinat. Sebuah bandar universiti.

"Hostel Pinat yang mana satu? Rasa-rasanya, Pinat ada sebut dalam e-mel tempoh hari. Maaf, abang terlupa."

"Oh. Kejap ya, bang." Pinat menyelongkar beg galas.

Sebuah fail jenis clear holder dikeluarkan. Kantung-kantung plastik diselak sebelum jari-jemarinya terhenti pada halaman yang dicari.

"Saint Georges Residences. Abang Din tahu?"

"Kalau tak silap, berhampiran Rowley Park saja. Taman riadah awam. Tapi, tidaklah begitu dekat dengan kampus. Berapa kadar sewanya?"

"50 Pound Sterling seminggu, bang."

"Wuish, mahal juga!"

"Dalam senarai hostel, situ yang paling murah," jelas Pinat sedikit defensif.

Ikutkan hati, mahu sahaja dia menyewa bersama pelajar-pelajar sebangsa di luar kampus. Ternyata lebih jimat. Namun, ada beberapa isu berbangkit yang tidak perlulah Abang Din tahu.

Saint Georges Residences terdiri daripada lapan buah blok dalam kompaun berpagar. Tiga blok lelaki. Tiga blok wanita. Dua blok jantina bercampur. Pinat akan ditempatkan di blok H, blok wanita. Biliknya berada di aras utama bangunan setinggi lima tingkat. Berdasarkan foto iringan serta deskripsi brosur, arasnya sahaja mengandungi enam unit bilik tidur. Dapur pula harus dikongsi dengan kesemua bilik. Begitu juga dengan bilik mandi dan tandas.

Pinat berdebar menanti detik bersua muka dengan teman-teman satu hostel yang masih misteri. Komposisi umat pastinya kosmopolitan. Mampukah manusia daripada pelbagai latar belakang bangsa, agama, usia serta kerakyatan hidup berharmoni sebumbung?

Banyak udang banyak garam. Banyak orang banyaklah ragam. Pinat seboleh-bolehnya mahu menjauhi sebarang konflik. Andai terbukti masing-masing tidak sekepala, angkat kaki bukan suatu pilihan baginya. Kontrak penginapan setahun telah ditandatangani. Terpaksalah bertahan.

Pada brosur penginapan yang sedang Pinat tatap dengan khusyuk, turut tersisip risalah panduan buat pelajar baharu. Dia resah memikirkan deretan item dalam senarai semak. Pendaftaran. Pemeriksaan kesihatan. Suntikan vaksinasi. Pembukaan akaun bank UK.

Hari inisudah Jumaat. Bank pula ditutup sepanjang cuti hujung minggu. Meskipun jadual kelasnyapenuh, Pinat sedar yang dia terpaksa mencuri masa antara sesi kuliah Isnin bagitujuan ini. Selagi akaun bank belum dibuka, cek kembara tidak boleh ditunaikan. Selagi tiada wang di tangan, Pinat tidak mampu berbelanja membeli barang-barang keperluan. Apatah lagi buku-buku teks. Terlepas orientasi pun satu hal juga. Rugi yang amat. Peluang mengenali selok-belok kampus harus dia usahakan sendiri kelak.

Kekerapan si pemandu membelek jam di tangan mula disedari oleh Pinat.

"Tak boleh jadi ni." Abang Din berdecit.

Pusingan U secara tiba-tiba mengejutkan Pinat. 

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.