Home Novel Seram/Misteri Rangkulan Jin
Rangkulan Jin
Meja Editor
11/11/2024 09:25:14
779
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Prolog2

33 tahun kemudian
Villa de Amour, Cameron Highlands

MALAM kian larut. Udara di kawasan tanah tinggi itu semakin sejuk. Kelihatan kepulan kabus membungkus suasana. Di satu kawasan, berdirinya sebuah vila sebesar Istana Kellie yang diberi nama Villa de Amour. Legenda vila yang dibina pada tahun 1968 itu hampir sama seperti sejarah Istana Kellie. Dibina atas dasar tanda cinta seorang lelaki terhadap isteri dan anak-anaknya.

Cuma ... yang membezakan di antara dua kediaman lama itu ialah sejarahnya. Dikatakan malapetaka yang menimpa pemilik asal Villa de Amour lebih tragis apabila kebahagiaan beliau diragut pergi dengan kematian isteri tercinta dan kehilangan anak-anak perempuannya gara-gara satu insiden misteri yang terjadi di vila itu pada tahun 1982. 

Sehingga kini, tiada sesiapa yang tahu apa sebenarnya yang telah terjadi di vila itu. Pemilik asal vila itu dikatakan mengalami melankolia kerana gagal merungkai kejadian misteri yang terjadi kepada keluarganya di Villa de Amour. Dek hambatan kecewa yang melampau, pemilik vila itu membawa diri kembali ke negara kelahirannya dan tidak pulang lagi selepas itu.

Terdapat satu kisah yang lebih menarik, tetapi tiada sesiapa yang tahu tentang kebenarannya. Dikatakan pemilik vila itu telah membuat satu kontrak warisan harta Villa de Amour. Hanya penjaga wasiat yang punya kuasa atas pemilihan calon. Namun, cerita itu tenggelam kerana para pekerja vila menafikan dengan keras kewujudan kontrak itu. Akan tetapi, satu sahaja kebenaran yang pasti. Vila itu dihuni oleh satu entiti jahat selepas ditinggalkan oleh pemilik asalnya.

Julai, 2015

JAM 12.00 tengah malam. Semua tingkap dan pintu serentak terbuka dan tertutup tanpa henti. Bermula dari tingkat atas hinggalah ke tingkat bawah. Lampu-lampu yang menyala berkelip-kelip seperti tidak cukup tenaga elektrik. Mencetuskan suasana yang sangat tegang.

Dari jauh, kelihatan sepasang suami isteri cemas tidak keruan. Mereka berdua saling berpelukan dalam ketakutan. Mata mereka terbelalak memerhatikan sekeliling.

"Apa kita nak buat ni, bang? Saya takut." Si isteri tidak dapat lagi menahan tangisan.

"Kita kena lari dari sini. Pergi mampus dengan kontrak tiga bulan tu. Vila ni berpuaka. Kita kenaselamatkan diri kita," ujar si suami yang semakin diserang gelisah.

Ketika itulah, satu hembusan angin lintang yang menderu dari satu arah melanggar, seterusnya menolak tubuh pasangan suami isteri itu kuat sehingga mereka jatuh tersembam di atas lantai.

Di hadapan mereka, muncul sekujur lembaga menyerupai pengantin perempuan tercegat menghadap mereka. Kerudung yang meleret labuh di atas lantai menyembunyikan wajah ngerinya daripada tatapan mata suami isteri itu.

"Pergi atau mati di sini!" jerkah lembaga itu. Memecah-belahkan keberanian sesiapa yang mendengar suara paraunya.

Seiring itu juga, pintu masuk utama terbuka luas dengan sendiri. Bagai ada tangan ghaib yangmembukanya. Tanpa berlengah, pasangan suami isteri itu lekas bangkit lalu berlari seperti tidak cukup tanah. Suara jeritan mereka memecahkan kesunyian malam. Meskipun begitu, tiada sesiapa yang mendengar kerana hanya mereka berdua yang tinggal di vila itu. Para pekerja vila telah pulang sebaik sahaja waktu bekerja mereka tamat pada pukul 10.00 malam.

"Cepatlah hidupkan enjin kereta tu, bang!" gesa si isteri yang meraung ketakutan.

"Sabarlah, abang tengah cuba ni!" tempelak si suami yang terkial-kial memasukkan kunci untukmenghidupkan enjin kereta.

Di muka pintu masuk vila, berdirinya lembaga pengantin perempuan itu sambil merenung tajam ke arah mereka.

Di kawasan rimbunan semak pula, seorang remaja lelaki melopong menyaksikan situasi itu. Selama ini, dia membesar dengan momokan cerita mengenai puaka di vila itu. Pada mulanya, dia langsung tidak mempercayainya. Setelah melihat kejadian itu dengan mata sendiri, persepsinya terus berubah. Vila itu sememangnya dikawal oleh satu puaka yang menjelmasebagai pengantin perempuan.

Villa de Amour kembali tidur selepas kelibat kereta pasangan suami isteri itu semakin menjauh. Lembaga hantu pengantin sudah hilang. Pintu masuk yang terbuka, perlahan-lahan tertutup sendiri. Begitu juga semua lampu yang menyala, serentak terpadam. 

Previous: Prolog1
Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.