Home Novel Seram/Misteri Rangkulan Jin
Rangkulan Jin
Meja Editor
11/11/2024 09:25:14
2,230
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 1

Tahun 2018
Puncak Alam, Selangor

MUZAFFAR memandu kereta laju. Hatinya dihentam resah yang tidak sudah. Pemanduannya terganggu. Kereta di hadapannya terkemut-kemut bergerak menjadikan dia baran menghentak stereng beberapa kali akibat tekanan perasaan.

Apa yang sedang berlaku di rumah sekarang? Muzaffar berharap agar keadaan masih terkawal dan tuan rumah sewanya, Salmiah tidak bertindak gila. Bukan dia tidak tahu sikap Salmiah yang kuat mendesak dan suka memeras ugut setiap kali dia terlewat bayar sewa rumah.

Muzaffar tahu dia bersalah. Dia sudah terlanjur berjanji akan melunaskan semua tunggakan sebelum masuk bulan baru. Tetapi, dia gagal. Hutang rumah sewa, kereta, pinjaman peribadi, bil-bil bulanan dan bil perubatan hospital ayahnya. Semua hutang itu mengejarnya serentak. Dia tidak akan jadi begini sekiranya dia tidak dibuang kerja dan diberi pampasan yang setimpal setelah menghambakan diri di tempat kerjanya lebih belasan tahun.

Sangkanya, keadaan ini cuma sementara, tetapi ia berlarutan berbulan-bulan lamanya. Tiada panggilan kerja yang diterima. Simpanan kecemasannya semakin susut apabila dia perlu membayar tiga kali kos pembedahan bapanya yang menghidap kencing manis.

Pada saat dia berasa gelap dan keseorangan, dia bertemu semula sahabat lamanya, Shahrill sewaktu bersama-sama melanjutkan pelajaran di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak pada tahun 1995.

Ketika itu, dia sedang melakukan kerja-kerja pembersihan landskap tanpa mengetahui bahawa suami kepada pelanggannya itu ialah Shahrill. Shahrill telah tumbuh sebagai lelaki dewasa yang berjaya. Sikap rendah diri lelaki itu masih kekal. Yang berubah hanyalah perwatakan pendiamnya.

Ternyata pertemuan itu telah membuka satu peluang untuk Muzaffar melepaskan diri daripadakemelut krisis kewangannya.

Shahrill telah menawarkan satu kontrak yang sukar untuk ditolak. Ganjaran yang lumayan, namun bersyarat. Dia dikehendaki mendiami sebuah vila di Cameron Highlands selama tiga bulan dan tidak boleh berpindah keluar walau apa pun yang terjadi sepanjang tempoh itu.

Kontrak itu kedengaran mencurigakan, tetapi dia mahu mencuba nasib. Lagipun, segala perbelanjaan dan risiko ditanggung sepenuhnya oleh pemilik asal vila. Jadi, segala sangkaan buruk disingkirkan jauh daripada hatinya.

MUZAFFAR memberi signal kiri, beberapa kilometer sebelum masuk ke simpang kawasan perumahannya. Dadanya berdebar apabila melihat kereta Salmiah terparkir di luar pagar. Dia pantas keluar dari perut kereta sebaik saja mematikan enjin kereta. Dari luar, sudah terdengar suara Salmiah terpekik memarahi isterinya, Radziah dan anaknya, Ayumi sebelum terdiam melihat kedatangannya.

"Aku dah tak nak buang masa bergaduh dengan kau orang semua! Aku nak duit sewa aku macam yang kau janjikan!" tempik Salmiah.

"Maafkan saya, Cik Salmiah. Duit saya belum cukup lagi. Tolong beri saya sedikit masa lagi," pinta Muzaffar yang dilihat oleh isteri dan anaknya dengan rasa hiba.

Wanita itu tertawa kuat mengejek Muzaffar. 

"Kisah apa aku? Aku nak kau orang kosongkan rumah sewa aku ni. Aku beri masa lima hari saja!" Salmiah terus beredar keluar dalam keadaan marah.

Dua orang lelaki yang mengikutinya, melepaskan pandangan sinis sewaktu melewati Muzaffar.

"Macam mana ni, abang? Apa patut kita buat?" soal Radziah setelah kereta Salmiah beredar meninggalkan pekarangan rumah mereka.

"Hanya ada satu jalan yang tinggal, tapi tak tahulah Ija dan anak-anak akan setuju atau tidak," beritahu Muzaffar selepas terdiam lama. Kata-kata Muzaffar itu membuatkan Radziah danAyumi saling berpandangan.

AYUMI duduk termenung menongkat dagu di meja belajarnya. Kejadian tengah hari tadi terbayang-bayang di ruang matanya. Jerit pekik Salmiah dan tangisan ibunya silih berganti memekakkan gegendang telinga. Kepalanya terasa hendak pecah.

Jauh di sudut hati, dia berasa kesal kerana tidak menyedari masalah yang membelenggu ayahnya. Patutlah beberapa bulan kebelakangan ini, Muzaffar kerap dilihat memencilkan diri dan termenung jauh. Dia menyangka ayahnya itu sekadar penat bekerja.

Lamunan Ayumi terganggu tatkala telinga terdengar bunyi pintu bilik dibuka. Terjengul Ailisha bersama wajah yang muram. Pasti budak itu telah mengetahui masalah dalaman yang sedang dihadapi oleh orang tua mereka.

"Yumi, aku tak boleh tidur. Boleh tak nak tidur dengan kau malam ni?" pinta Ailisha.

Tanpa berlengah, dia terus naik ke atas katil selepas melihat anggukan kakaknya yang sedang duduk di kerusi belajar.

"Kita nak tinggal kat mana lepas ni?" soalnya sambil berbaring.

"Akak tak tahu, Lisha," jawab Ayumi lemah. 

Suasana dalam bilik itu kembali sepi. Ayumi dan Ailisha tenggelam dalam lamunan masing-masing. Di luar bilik, Radziah diam mencuri dengar. Bibirnya bergetar menahan tangis. Pertanyaan Ailisha menyebakkan kembali perasaannya. Lambat-lambat Radziah mengatur langkah longlai menuruni tangga menuju ke kamarnya.

Di katil, Radziah termenung jauh memikirkan semula perbualannya dengan suaminya lewat petang tadi.

MUZAFFAR membawa Radziah masuk ke bilik. Menjauhi anak-anak agar perbualan mereka nanti tidak didengari.

Radziah sabar menunggu suaminya memulakan bicara. Muzaffar kelihatan melepaskan segumpal nafas berat beberapa kali.

"Abang buntu sekarang ni. Bertimpa-timpa masalah yang datang. Semuanya sebab duit." Muzaffar mengeluh untuk sekian kalinya.

"Jujur abang cakap, abang gagal. Abang tak ada duit. Duit upah ikut kawan abang buat kerja sivil dan landskap tak cukup untuk langsaikan semua tunggakan. Kalau keadaan terus macam ni, hidup kita sekeluarga akan makin tersepit."

Air mata Radziah mengalir lagi. Bukan dia tidak membantu Muzaffar, tetapi dia juga turut terkesan apabila perniagaan kecilnya tidak berjaya dan makan modal niaga.

"Sebenarnya, abang ada terjumpa kawan lama abang. Tak sangka dia suami kepada customer kawan abang. Dia ada tawarkan satu kontrak menarik masa kita orang duduk berbual sama-sama. Tapi masalahnya, kita kena pindah duduk di tempat lain."

"Pindah ke mana?" soal Radziah kepelikan.

"Cameron Highlands. Dalam kontrak tu, kita kena tinggal di sebuah vila selama tiga bulan. Sekiranya berjaya, kita akan dapat banyak ganjaran lumayan."

Muzaffar menggenggam tangan isterinya. 

"Kalau Ija berminat, abang nak bawa Ija jumpa dia. Dia akan terangkan lebih lanjut pasal kontrak tu pada kita berdua."

Previous: Prolog2
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.