Home Novel Seram/Misteri Realiti atau Fantasi
Realiti atau Fantasi
Maryani Zailani
11/11/2022 13:53:10
13,260
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 1

Cinta, hormat, penghargaan, keberanian dan keghairahan.

Satu persatu kelopak bunga mawar merah dicabut dengan kadar perlahan. Lantai dipenuhi dengan kelopak-kelopak bunga dan batangnya. Dengan sengaja, pelaku menyembunyikan identiti melalui pemakaian kelubung merah dan tidak menghiraukan jarinya yang berdarah terkena duri batang bunga mawar itu. Darah menitik mengenai kelopak bunga.

Kedengaran bunyi tapak kaki seseorang berjalan dari arah belakang.

“Terlalu seronok hidup sebagai pelarian sehingga lupa asal-usulmu,” kedengaran bunyi tepukan tangan.

Pelaku berkelubung merah menguntum senyum dibalik wajah yang sengaja disembunyikan itu.

“Aku mungkin tiada berjasad…yang mampu kau lihat dan sentuh. Tapi, aku ada di mana-mana.” Suara perempuan itu penuh dengan kelembutan namun ayatnya membawa maksud yang sangat berbahaya jika difahami.

Sememangnya apabila gadis berkelubung merah menoleh ke belakang, tiada satu jasad pun. Hanya kedengaran bunyi langkah berjalan dan suaranya sahaja. Namun, dia tahu dia sedang berhadapan dengan siapa. 

“Aku datang untuk mengingati kau. Tugas hakiki kau!” Kali ini suara tanpa jasad itu kedengaran keras dan seperti mengugut.

Kelubung merah itu terselak apabila angin menerpa secara drastik. Kini, kelihatan wajah sebenar perempuan berkelubung merah. Wajahnya cantik, kulitnya bersih, tidaklah terlalu cerah warna kulitnya namun ayu bertahi lalat di tepi bibir kanan. Air mukanya tenang namun siapa akan menyangka perwatakan di sebalik wajah tenang itu. 

“Engkau diciptakan untuk…” suara tanpa jasad itu tidak sempat menghabiskan ayatnya kerana dipotong gadis berkelubung merah yang senyap sedari tadi.

“Melakukan huru-hara. Darah…mainan paling indah!” 

“Bagus…tapi, kau semakin hilang jiwa kau,” kata suara itu dengan keras.

“Jiwa? Aku ada jiwa ke?” Ayatnya ini membuatkan suara itu marah lalu si berkelubung merah dicekik dengan sangat kuat.

“Kau jangan berpura-pura dungu! Kau sudah hidup seperti manusia! Kau lupa diri!” Keras sekali kedengaran suaranya.

Sehingga mahu habis nafas dibuatnya sang kelubung merah. Walaupun begitu, dalam dia meronta, dia sedaya upaya untuk ketawa. 

Kerana kegeraman, suara itu melontar jauh sang kelubung sehingga terhempas ke dinding. Bunyi hempasan yang sangat kuat terhasil. Darah mengalir perlahan-lahan di dahinya. Seolah-olah itu semua tidak memberi deria rasa kesakitan kepadanya, dia tergelak kuat.

“Aku sengaja menguji. Aku sendiri sudah lama tidak beraksi,” pandangan matanya seperti dia sedang termenung jauh.

“Sekarang, kau sudah sedar akan tugas kau. Tentu kau tahu langkah seterusnya,” suara itu bertukar menjadi lembut.

Sang kelubung merah memandang atap. Dia tidak pernah berhenti ketawa sedari tadi.

“Aku tentu…tahu,” dia bagai menggapai sesuatu dari atas. 

“Bagus…” suara itu hilang setelah deruan angin kuat muncul. 

Sang kelubung senyum sinis. Dia tahu suara itu sudah pergi apabila sekuntum mawar hitam muncul di lantai secara mendadak.

Tanpa diminta, Sang kelubung jatuh terbaring di atas kelopak-kelopak mawar merah.

“Jiwa? Aku ada jiwa? Suatu hari, aku akan…ada jiwa,” suaranya tersekat-sekat. Perlahan-lahan dia menjadi kelopak mawar merah dan hilang selepas ditiup angin misteri.


Previous: PROLOG
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.