Home Novel Seram/Misteri Realiti atau Fantasi
Realiti atau Fantasi
Maryani Zailani
11/11/2022 13:53:10
13,264
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 3

Bum…bunyi pintu dihempas kuat menarik perhatiannya. Encik Alfrado tidak pulang lagi ke rumah walaupun hari sudah larut malam. Sendirian dia di situ. Dia tidak memasang lampu utama di pejabat itu sebaliknya memasang lampu meja sahaja. Itu kegemarannya jika bersendirian. Turut terpasang sekali instrumental rancak yang boleh menaikkan keyakinan diri menerusi aplikasi Youtube.

Fail-fail yang berisi dokumen yang sudah lusuh berlonggok di atas meja. Satu persatu fail diteliti dan dibaca dengan sabar. Sesekali dia meneguk segelas berisi jus anggur yang menjadi kegemarannya.

“Bau cat…yang masih baru,” tersentak kerana tiba-tiba ingatannya memutar kembali memori itu. Seseorang menghadiahkan senyuman sinis itu sedang berdiri di salah sebuah lukisan di galerinya. 

“Nampaknya…kelakuan lama masih berulang!” Ingin sahaja dia menekup rapat mulut seseorang itu. Tidak ingin dia mendengar kata-kata yang menghantui bertahun-tahun. 

“Kenapa aku perlu memikirkannya?” Sedaya-upaya dia mencuba menyingkir pemikiran itu.

“Bukan-bukan jelah aku fikir,” dia meraup wajah dan memejam mata serta menarik nafas dalam-dalam. Tak dinafikan, dia penat seharian bekerja ditambah dengan kes kehilangan lukisan di galeri.

Beberapa saat kemudian, instumental rancak bertukar kepada muzik panik. Encik Alfrado tidak mempedulikannya dan tidak berniat untuk menukarnya. Mungkin dia menekan butang automain pada Youtube itu tadi. 

“Habis…” gelasnya kosong.

Baru bangun daripada duduk, dia terdengar tombol pintu seperti dipulas seseorang. Dia melihat ada bayang-bayang seseorang depan pintu. Terkejutnya bukan alang kepalang.

“Siapa?” Tetapi dia hanya bersuara dalam hatinya. Dia terfikir tiada sesiapa pun yang berada di galeri pameran ketika itu. Hanya ada dia dan pengawal keselamatan.

“Hantu?” Encik Alfrado menepuk mulut sendiri yang terlepas cakap itu. Terus terasa seram dalam hati.

Encik Alfrado cuba menekan intercom untuk memanggil pengawal keselamatan. Namun, tiada sesiapa mengangkatnya. Lagilah dia panik!

“Tanpa seru…aku datang! Tanpa seru…aku datang!” Ada suara perempuan sedang menyanyi dalam nada seram dan serentak itu muzik panic bertukar kepada muzik seram seperti yang pernah didengar dalam filem seram. Kemudian, dia ketawa nyaring dan kedengaran amat menakutkan. Ia membuatkan Encik Alfrado menggigil satu badan.

“Alah…kenapa pula muzik ni?” Encik Alfrado tidak tertahan takut. Dia menggenggam tangan dan kaku di tempat duduknya.

“Tanpa seru…aku datang! Tanpa seru…aku datang!” Pintu itu terkunci dari dalam. Seseorang dari luar masih belum berjaya membuka pintu itu tetapi pulasannya makin kuat. Hampir mahu tertanggal tombol pintu itu.

“Siapa kau?” Dia memberanikan diri untuk bertanya. Mana tahu hanya pekerjanya sahaja mahu menyakatnya. Dia bersuara garang. Jatuhlah maruahnya kalau ada yang tahu dia pengecut dan bagaikan mahu terkencing dalam seluar saat ini. Sungguh!

Encik Alfrado mengambil tongkatnya dan mahu menggunakannya untuk mempertahankan diri daripada bahaya.

“Tanpa seru…aku datang!” Seseorang itu hanya mengulang kata-kata itu.

“Mana pula kau ni? Makan gaji buta ke?” Encik Alfrado cuba beberapa kali menghubungi pengawal keselamatan yang bertugas. Malangnya, talian seperti sengaja diputuskan oleh talian sebelah sana. Dia geram dan mahu membaling telefon pintarnya namun dia menahan diri. Dia menggigil-gigil dan mulalah terbayang-bayang wajah hantu di Malaysia.

“Tak...tak…tak!” Encik Alfrado menggeleng-geleng kepala untuk menyingkirkan bayangan yang bukan-bukan. Dia berdoa agar tuhan lindungi dirinya daripada yang bukan-bukan di samping menyumpah-nyumpah marah.

“Tanpa seru…aku datang!”

“Hah…sial!” Encik Alfrado mengetuk kakinya supaya dapat berdiri. Dia berjaya berdiri akhirnya dan meninjau tingkap untuk melarikan diri. Namun, terlalu bahaya untuk lompat turun dari tingkat 4 itu. Dia mundar-mandir untuk mencari jalan penyelesaian.

Pang…tombol pintu tercabut. Encik Alfrado terperanjat dan berhenti bergerak sana-sini. Ketika itu, tangannya memegang langsir.

Pintu pejabat terbuka. Encik Alfrado yang memandang lantai untuk menghilangkan takut meneguk air liur dengan rasa ketakutan melampau. Dia lihat bayang-bayang di lantai kelihatan ramping bagaikan milik seorang model.

Gelap! Seseorang yang masuk tadi rupanya menutup suis lampu meja. Hanya ternampak biasan sahaja daripada kaki lima luar.

“Aduh…kenapa sial ni datang…hari Khamis selalunya hari bertuah aku. Bantu aku, Tuhan!” Doanya dalam hati.

“Kau terlalu takut...,” milik suara perempuan. Suaranya manja.

Encik Alfrado tetap tidak mampu mendongak memandangnya. Dia tahu, dalam manja-manja ada sikap pemangsa yang sedang tidur dan tunggu masa untuk terjaga.

“Hei...lelaki tidak sepatutnya menjadi penakut!”

Encik Alfrado terasa ada jari lembut memegang dagunya. Jari jemari itu sebenarnya memaksa dia untuk mendongak.

“Kalaulah semua tahu…ketua mereka hanya berlagak berani!” Kata-kata itu sememangnya benar. Encik Alfrado bukanlah berani mana pun walaupun suka duduk dalam gelap. Duduk dalam gelap sepertinya orang berani dan misteri sebaliknya dia hanya silau berada dalam keadaan terang. Melihatkan lipas lalu pun dia akan melompat macam wanita.

Encik Alfrado tidak mampu menjerit kerana terlalu terkejut dan lemah. Dia terduduk longlai tiba-tiba sebaik sahaja melihat wajah perempuan itu.

“Lihatlah!” Wanita itu rupanya menyuluh wajah sendiri menggunakan lampu suluh. Itu yang membuatkan Encik Alfrado terperanjat dan paling membuatkan dia longlai lagi, wanita itu hampir tidak berwajah. Semacam zombie kerana kulit mukanya koyak ternampak gusi dan gigi.

“Lihatlah! Bukankah engkau mengetahui seni? Bukan semuanya mesti cantik baru digelar seni! Ya, definisi seni itu satu keindahan! Tetapi, tentu engkau dapat memahami mesej disebalik seni yang unik pada wajah ini! Bukankah begitu?” Wanita itu bagaikan kerasukan. Dia mendekati Encik Alfrado. Encik Alfrado terdorong ke belakang. Kerana berasa takut.

“Cuba, kau terjemahkan mesej disebalik karya unik ini!” Wanita itu mencengkam kuat rahang Encik Alfrado.

“Lemah!” Wanita itu mengherdiknya.

“Hanya tahu mengambil kesempatan…kau bukanlah pencinta seni! Pendusta!” 

Encik Alfrado sudah seperti kanak-kanak kehilangan gula-gula. Dia menangis kerana takut. Dia memanggil nama ibunya berulang kali. Dia memang lelaki tetapi tidaklah mempunyai jiwa seperti lelaki.

“Jangan risau…kakak akan tenangkan kamu,” tiba-tiba, wanita itu berubah suara lembut. Dia membelai rambut Encik Alfrado.

“Kamu pasti akan tenang…1…2…3!!!” Dia menghitung dan pada akhir pengiraan dia, dia memetik jari. Serentak itu, Encik Alfrado mulai terbaring. Dia berasa ngantuk dan akhirnya pengsan. Dunianya kelam dan dia mulai memasuki alam mimpi. Dia termimpi buruk, kenangan silamnya dahulu.

“Lemah!” Wanita itu menyepak Encik Alfrado. Dengan menggunakan kemahiran membaling, dia membaling sesuatu yang halus berhampiran dengan leher Encik Alfrado.

Wanita itu menuju ke komputer. Dia menaip lagu kanak-kanak pada enjin carian Youtube dan setelah itu menekan carian yang dirasakan sesuai. Akhirnya, dia memilih lagu enjit-enjit semut!

Sebelum pergi, dia sempat mengejek Encik Alfrado yang pengsan bagaikan tidur mati itu, “Pandai adik kakak tidur! Pengecut!”

*****

Manisah kelihatan menulis sesuatu dalam buku catatannya. Dia duduk keseorangan di bangku taman permainan sambil itu matanya memerhatikan beberapa kanak-kanak bermain dengan permainan yang disediakan di situ. Dia tersenyum sahaja, hatinya girang melihat ulah kanak-kanak. Angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa menambahkan lagi rasa nyaman dalam hatinya.

Dia memakai earphone dan mendengar lagu kegemarannya dalam kelantangan yang tinggi bagi menghindari bunyi sekitar. Mulutnya terkumat-kamit mengikuti rentak lagu itu sambil tangannya masih lagi menulis.

“Hei...dah bersedia ke nak pergi?” Amirul muncul dari belah kanan Manisah yang memang tidak mendengar bunyi sekeliling melainkan lagunya.

“Hei!” Amirul menguatkan sedikit suaranya atau lebih tepat menjerit sambil menarik keluar earphone dari lubang telinga Manisah. Terdengar juga muzik dari lagu Mic drop itu menandakan memang lagu itu dipasang dalam kelantangan yang tinggi.

“Apa ni…” dia mengadu marah dan menarik kembali earphone miliknya. 

Amirul ketawa dan duduk di sebelah Manisah yang masam mencuka kerana diganggu pada waktu yang tenang sebegitu. Dia cuba merampas buku catatan Manisah namun gagal. Manisah membulatkan mata tanda tidak suka.

“Apahal ni…kacau ketenangan aku ni? Baru nak sedut udara segar…dah kau kacau!” Dia menutup lagu dan buku catatannya. Dia membuat muka bosan.

“Lupalah tu. Lupa ke pasal ni?” Amirul mengeluarkan brochure dari dalam poket baju. Spontan Manisah merampas dari tangannya.

“Dah agak! Kau pasti akan berminat.” Suaranya kedengaran bosan.

“Syhhh…” Manisah membaca brochure dengan khusyuk.

“Ia pasti menarik…” Kata Manisah dengan penuh bersemangat dan tidak sabar mahu mengatur perancangan seterusnya.

“Tentu…” Amirul menarik brochure dari tangan Manisah. Angin bertiup agak kuat di taman itu dan berjaya menerbangkan brochure dari tangan Amirul.

“Alah!” Manisah bangkit daripada duduknya dan mengejar brochure. Akhirnya, brochure itu mendarat berdekatan dengan budak-budak yang sedang bermain di taman itu. Mereka tadinya bising bergelak ketawa hanya senyap apabila Manisah menghampiri mereka.

“Dapat pun…” Kata Manisah dengan sangat gembira. Dia memeluk erat brochure bagaikan terjumpa emas gayanya.

“Oh…” dia berasa tidak sedap hati. Perlahan-lahan dia mengambil barangnya dan beransur-ansur pergi dari situ.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.