Home Novel Seram/Misteri LENGLOI
LENGLOI
Maria Kajiwa
28/9/2013 06:31:31
110,003
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 16

Bab 16

SEMENTARA itu Lim berjalan kaki ke kedai Muthu untuk makan tengah hari dan menghabiskan masa. Dari jauh lagi dia sudah dapat melihat Kedai Beng yang tutup pada hari itu. Kemudian dia terlihat Aunty May sedang duduk minum di gerai Pak Cik Kasim. Dia rasa hairan. Selama ini tidak pernah pula dilihatnya orang tua itu duduk di situ. Rasa seperti tidak percaya.

“Air tebu?” tanya Pak Cik Kasim sejurus terpandang muka Lim.

Lim cuma angguk. Dia ambil sebuah kerusi plastik lalu dibawa berdekatan meja Aunty May. Dia duduk tanpa dipelawa.

“Aunty dari mana?” Dia pandang muka Aunty May yang muram.

“Jalan-jalan sini saja.”

“Sudah makan?”

“Gua tak ada selera. Ini pun sudah kenyang.” Aunty May tunjuk pisang goreng di atas piring di hadapannya. Ada dua ketul. Itu pun separuh pun belum luak.

“Aunty ada masalah ka?” tegur Lim.

Selama ini dia terlalu mengikut kata hati. Sejak Suzy hilang, dia jarang bercakap dengan Aunty May. Mengambil berat memang tidak kerana dia tahu Aunty May tidak pernah sukakan dia. Tetapi apabila melihat Aunty May termenung di situ, dia menyedari yang orang tua itu sangat kesepian setelah Suzy tidak ada.

Aunty May hanya menarik nafas kemudian melepaskannya perlahan.

“Kalau ada apa-apa yang saya boleh tolong, cakap la.”

“Malam tadi gua nampak seseorang.” Aunty May bersuara dengan susah payah.Wajah tuanya nampak semakin tua dan sarat dengan masalah.

“Siapa? Dekat mana?”

“Situ.” Aunty May tunjuk ke arah kedai Muthu.

Lim menjeling.

“Perempuan?”

Aunty May angguk.

“Habis tu?”

Lim bingung. Dia tidak faham apa yang membuatkan Aunty May terkesan dengan hal itu. Bukan seorang dua yang datang ke kedai Muthu setiap hari. Ramai. Lagipun di sebelah kedai Muthu itu ada beberapa buah kedai yang lain pula.

“Waktu tu sudah dekat tengah malam. Semua kedai sudah tutup. Kereta pun sudah tak ada lalu.” Aunty May menyambung perlahan.

“Dia buat apa dekat situ?”

“Entah. Tapi dia pandang saja rumah gua.”

Lim mula faham.

“Kalau aunty rasa takut, boleh panggil polis. Ataupun aunty ambil pembantu rumah sorang kasi teman aunty. Kalau tak pun aunty telefon sama saya. Nanti saya datang.”

Aunty May tidak menjawab. Dia hanya menunduk dan mengeluh. Belum sempat Lim membuka mulut lagi, dia sudah berdiri dan menghulur duit kepada Pak Cik Kasim.

Segala tingkah laku Aunty May, Lim perhatikan. Jauh dalam hati dia berasa kasihan tetapi dalam masa yang sama sikap orang tua itu selalu buat hatinya terluka.

“Kenapa dengan orang tua tu?” tegur Pak Cik Kasim seraya mengutip piring dan cawan dari atas meja.

“Dia kata malam tadi dia nampak orang perhati rumah dia,” jawab Lim. Mungkin hal itu boleh dikongsikan dengan Pak Cik Kasim.

“Siapa?”

Lim angkat bahu.

“Mungkin orang tua tu takut. Kan dia tinggal sorang sekarang?”

“Ajaklah saudara-mara tinggal sekali. Kalau tak pun upah saja pembantu rumah. Kalau ada duit semua boleh,” balas Pak Cik Kasim dengan bersemangat. Setahu dia Aunty May bukannya orang susah.

“Saya sudah bagitahu tadi. Tapi entahlah. Selama ni pun dia tinggal berdua saja dengan Suzy.”

“Ya la… itu masa Suzy ada. Tapi sekarang Suzy dah tak ada. Kalau dia sakit pening siapa mau jaga? Sekarang kes pecah rumah juga banyak.”

Lim sendiri tidak ada jawapan.

*****

“PAK CIK…. Semalam saya betul-betul jumpa hantu ooo…” kata Lim dengan selamba apabila Aunty May sudah jauh.

“Hisy! Mulut….” Pak Cik Kasim menegur.

“Betul, pak cik. Ssya jumpa dalam lif hospital.”

“Kamu buat apa kat situ?”

“Jaga abang. Dia kena tahan wad.” Baru Lim sedar yang Pak Cik Kasim belum tahu pasal Gark. Dia pun lupa hendak beritahu semalam.

“Macam mana rupa dia?”

Lim tarik nafas panjang. Walaupun tidak begitu tidur malam semalam namun segala apa yang dilihat dan dirasa masih terakam jelas dalam ingatan. Sehingga saat itu dadanya masih belum lega.

“Seram,” katanya.

“Ya la macam mana rupanya? Rambut panjang ke…ada taring ke.” Pak Cik Kasim mengusik tetapi Lim tetap berwajah serius. Entah apalah lagi masalahnya.

“Saya pandang sekali saja, pak cik. Tapi sempat juga tengok muka dia yang hitam legam. Macam terbakar. Hangus. Pecah-pecah. Ada darah keluar. Bau busuk.”

Pak Cik Kasim sekadar angguk. Dia tidak melihat jadi susah untuk dia mentafsirkan apa yang telah menggangu Lim. Tetapi kalau rupanya sangat teruk dan berada dalam keadaan yang tidak kena maka ada harapan itu bukan manusia tetapi makhluk halus atau syaitan yang menjelma sebegitu rupa.

“Macam mana kamu boleh jumpa pulak?”

“Entahlah. Saya mahu turun ke tingkat bawah, mahu pergi minum. Semasa saya tutup lif, tiba-tiba dia ada di sebelah. Pada mulanya lif tu kosong.”

“Habis tu apa kamu buat?”

“Apa lagi, pak cik? Macam tak cukup tangan saya tekan butang lif tu. Dapat saja keluar, saya terus lari.”

Pak Cik Kasim puas menahan gelak. Kalau gelak besar-besar nanti, tersinggung pula Lim. Dia boleh bayangkan apa yang telah Lim lalui tetapi bagi dia itu tetap satu perkara yang mencuit hati.

“Saya dah kata… ada benda ikut saya,” Lim menambah. Sekarang dia semakin yakin walau masih tidak jelas apa dan kenapa. Cuma semua hal itu membuatkan dia sentiasa seram sejuk dan gelisah.

Kali ini Pak Cik Kasim tidak terus membalas. Ada sesuatu yang dia fikirkan.

“Kamu nak tahu, Lim?” katanya kemudian.

Lim angkat muka.

“Semalam pun ada yang cerita hal yang sama.”

“Cerita apa?” Lim terkejut.

“Ada orang cerita nampak perempuan cantik depan kedai Muthu. Bila ditegur terus perempuan tu menangis. Muka dia berubah. Dari cantik ke hitam legam. Baju pun berdarah-darah.”

Lama Lim terlopong.

“Pak cik rasa benda tu benda yang sama ikut saya ke?” tanyanya perlahan. Dada sudah berdebar semula.

“Susah nak cakap lagi.” Pak Cik Kasim tidak mahu buat kesimpulan yang terlalu cepat. Cuma pelik juga, dahulu hal itu tidak pula timbul. Beberapa hari kebelakangan ini sahajalah baru mula terdengar cerita-cerita yang menyeramkan.

“Tapi… semuanya bermula sejak kedai Muthu ada masalah.” Dia menambah. Itu yang dia perasan.

Kali ini Lim tidak berbunyi lagi. Baru dia perasan hal yang sama.

*****

SEMAKIN dekat dengan kedai Muthu semakin berdebar dada Lim. Segala kata-kata Pak Cik Kasim mula bermain-main di fikiran. Adakah semua yang dirasa dan dialami itu ada kena-mengena dengan masalah di kedai Muthu? Dia sendiri tidak pasti. Cuma sewaktu dia masuk ke kedai Muthu dia dapati satu perubahan telah berlaku.

“Roti ada, nasi ada, mi ada.” Riuh rendah suara Muthu menyambut kedatangan dia.

Dia sedikit gugup. Semua ada, maknanya kedai Muthu sudah tidak bermasalah lagi. “Nasi. Macam biasa,” katanya.

Dengan penuh bersemangat, Muthu ke belakang untuk menyampaikan pesanan kepada Pooja dan Murugan. Kemudian dia ke meja lain pula untuk melayan pelanggan.

Semuanya diperhati Lim dengan teliti. Dia tertanya-tanya tetapi jauh dalam hati dia berasa lega apabila melihat wajah Muthu yang ceria semula. Tidak seperti dua hari yang lalu. Dia yakin semuanya akan baik-baik sahaja selepas itu. Pooja, Murugan dan Raju juga tidak menang tangan buat kerja.

Muthu datang semula ke meja sewaktu Pooja sudah membentang daun pisang di atas meja Lim. Sebaik sahaja Pooja menjauh, Muthu terus bersuara; “Hari ni… bisnes okey.”

Lim angguk dan tersenyum. Itulah yang dia nampak. Itulah yang dia juga harapkan.

“Kedai Beng tutup pulak hari ni ya?” katanya. Walaupun dia tahu Beng tidak sihat tetapi dia tidak sangka kedai akan ditutup. Pelik.

“Belum tahu lagi ke?”

Lim menggeleng.

“Beng masuk ICU,” tambah Muthu.

“ICU? Kenapa?”

“Ada orang cakap… semalam Beng menggelupur dalam kedai. Kena sawan. Lepas tu terus koma.”

Dahi Lim berkerut. Sawan? Dia teringatkan abangnya, Gark. Semalam Jacky tidak beritahu apa-apa pula pasal Beng. Tetapi kalau sudah sampai koma, tentu teruk. Bagaimanapun keadaan itu tentu bagus bagi perniagaan Muthu.

“Bagus untuk uncle la.” Dia ketawa kecil. Dia berharap keadaan itu akan berterusan dan tidak ada masalah yang timbul lagi.

Muthu tersenyum lebar.


Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.