Home Novel Seram/Misteri MAYAT HIDUP
MAYAT HIDUP
Ninie Othman
31/1/2018 19:42:52
14,374
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
PROLOG

PANDANGAN mereka bertemu. Dahi pemuda Cina itu dipenuhi darah selepas jatuh tersembam di kawasan yang dipenuhi batu dan ranting kayu. Bau darahnya hanyir sehingga menaikkan nafsu makhluk-makhluk yang sedang mengejar mereka. Mereka harus lari menyelamatkan diri secepat mungkin sebelum diri mereka dibaham hidup-hidup.

“Alan, bertahan okey?” Nazim memberi semangat kepada rakannya. Dia mengeluarkan sapu tangan yang tersisip kemas dalam kocek seluar lalu dibalut ke kepala Alan.

Alan mengangguk. Dia akan cuba bertahan walaupun tenaganya semakin berkurangan. Dengan tenaga yang masih berbaki, dia mengatur langkah dengan bantuan Nazim dan Qayyum.

“Syyh!” Haziq meletakkan jari telunjuknya ke bibir. Ada bunyi sesuatu yang sedang menghampiri mereka.

Nazim, Qayyum dan Alan mengunci mulut.Dada mereka berdebar-debar. Pakaian mereka juga sudah lencun dengan peluh.

“Berundur,” arah Haziq. Dia mengayun langkah dengan penuh hati-hati dan mengajak rakan-rakannya bersembunyi dibelakang semak yang merimbun.

Bunyi dengusan nafas yang bergema pada waktu senja itu benar-benar menakutkan mereka. Ya ALLAH, selamatkanlah kami. Keluarkanlah kami dari kegilaan ini.

Mereka duduk bertinggung dalam posisi berhimpit-himpit.Peluh sudah menitik-nitik bagaikan air hujan. Ketakutan sudah tidak terbendung lagi. Mereka benar-benar di dalam bahaya!

“Qay…” ujar Alan separuh berbisik.

Qayyum menelan liur. Dadanya bagaikan mahu pecah. Dia tahu apa yang ingin disampaikan oleh Alan dengan memanggilnya begitu. Dia tahu makhluk itu berada di belakang mereka. Bau busuk sangat kuat menusuk ke dalam lubang hidung.

“Lari!” Qayyum bertempik.

Mereka serentak bangkit dan lari menyelamatkan diri. Alan menggagahkan diri untuk berlari walaupun kakinya cedera akibat terjatuh tadi. Mujur Nazim dan Haziq berpatah balik untuk membantunya.

“Kau orang tak patut datang balik! Selamatkan diri kau orang dulu!” marah Alan.

“Kami takkan tinggalkan kau Alan. Cepat!” Haziq memapah Alan bersama-sama Nazim. Qayyum pula sudah berada di depan tetapi tetap menunggu mereka supaya mereka dapat lari bersama-sama.

Mereka pasti akan selamat!

Namun selepas itu, larian mereka tergendala. Ada seorang wanita dengan rambut berserabai sedang berdiri tidak jauh di hadapan mereka. Mukanya terkopak sana-sini dan cecair hitam meleleh-leleh keluar dari mulutnya yang sentiasa ternganga.

Qayyum memandang wanita itu dengan wajah sayu. Airmatanya bergenang.

“Qay…” Kawan-kawannya memanggil. Qayyum masih tidak berganjak. Dia merenung makhluk ngeri itu dengan perasaan bercampur-campur. Akhirnya airmatanya berderai. Jatuh berjujuran ke pipi.

“Qay, jom…” Haziq perlahan-lahan pergi mendapatkan Qayyum. Dia menarik lengan remaja berusia 18 tahun itu dengan harapan supaya Qayyum mengikutinya.

“Aaaaa!!” Makhluk itu bertempik lantang.Dia berlari laju menuju ke arah Qayyum.

“Qayyum, lari!!”


Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham