Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Bab 21

Izdan menghalang langkah gadis itu. Adwa terkedu.

"Ad please," rayu Izdan sambil duduk melutut di hadapan Adwa. Dia sudah tidak peduli dengan pandangan orang ramai yang berada di cafe tersebut. Adwa menggigit bibir tanda geram.

"Kau jangan malukan aku kat sini, " balas Adwa keras sebelum berlalu keluar. Izdan mengeluh sebelum berdiri mengekori langkah gadis itu. Keluar sahaja dari café, Adwa berhenti melangkah. Dia berpaling memandang lelaki itu.

"Kau nak tahu sangat apa yang berlaku?" soal Adwa dengan riak wajah yang serius. Izdan mengangguk pantas.

"Sebelum tu aku nak tanya. Kenapa kau tinggalkan Qish?" soal Adwa lagi. Izdan agak terkejut mendengar pertanyaan gadis itu. Terangkat kening Adwa menunggu jawapan Izdan.

“Aku…,” Izdan terdiam sejenak.

“Kalau kau tak tinggalkan Qish, aku tak akan benci kau sampai macam ni. Kau lah sebab Qish hampir hancurkan hidup aku,” pintas Adwa dengan perasaan sebak. Izdan hilang kata-kata.

“Macam ni lah Iz. Aku akan maafkan kau. Aku juga maafkan Qish. Tapi aku dah tak boleh nak berkawan dengan kau dan perempuan tu lagi. Cukup apa yang berlaku. Aku merayu dengan kau. Lepas ni, tolong jangan ganggu aku lagi,” sambung Adwa sebelum melangkah semula untuk berlalu. Izdan masih tegak berdiri memandang gadis itu. Dia benar-benar hilang kata-kata.

                                *****

Fuadzi yang memerhati sedari tadi menghampiri Izdan yang sedang duduk meraup wajahnya.

"Iz…," panggilnya perlahan. Izdan mengangkat wajahnya. Fuadzi agak terkedu memandang wajah basah lelaki itu. Izdan pantas mengesat air matanya. Fuadzi menepuk lembut bahu lelaki itu. Dia simpati pada Izdan. Namun dalam masa yang sama dia juga berasa lega. Fuadzi mengeluh perlahan.

Iz, maafkan aku.

"Aku nak jumpa Qish. Aku nak tahu apa yang berlaku selepas aku ke Itali," kata Izdan dengan suara serak. Fuadzi mengangguk. Dia juga ingin tahu apa yang menyebabkan Adwa marah sangat sehingga dia turut terkena tempiasnya. Balqish pula tidak pernah memberitahunya apa-apa mengenai hal tersebut.

                              *****

Adwa membiarkan angin malam menyapa wajahnya. Air matanya mengalir perlahan. Bukan mudah baginya membenci lelaki yang pernah mengisi ruang hatinya itu. Namun apa yang berlaku mengubah segala-galanya. Dia menyalahkan Izdan kerana meninggalkan Balqish. Jika lelaki itu tidak berbuat demikian, sudah pasti Balqish tidak meroyan sehingga sanggup memfitnahnya. Adwa mengesat air matanya. Dia telah memaafkan kedua-duanya, namun bekas luka yang telah wujud tidak mungkin akan hilang sampai bila-bila. Hidupnya hampir musnah. Dia tidak akan lupa itu.

                                *****

Bulat mata Tengku Jasmine memandang suaminya.

"Perlu ke kita datang? Min risaukan Wan, " katanya agak resah.

"Mesti lah. Nanti Garia merajuk dengan abang. Min jangan ikutkan perasaan tu sangat. Jangan tunjukkan rasa takut tu. Kita tak boleh lemahkan semangat Wan," balas Tengku Kamal sambil mencapai teh yang masih berasap.

"Abang cakap senang lah," kata Tengku Jasmine dengan perasaan sebak. Tengku Kamal mengeluh perlahan.

"Min jangan ingat abang tak risau. Ikutkan hati, abang nak larang Wan ke Istanbul hari tu. Tapi abang tahan hati. Abang tak nak Wan rasa tak bebas pula," balasnya. Tengku Jasmine tunduk memandang jemarinya.

"Kita tak boleh salahkan ketentuan ni. Allah dah atur yang terbaik untuk Wan," sambung Tengku Kamal yang seperti tahu apa yang difikirkan oleh isterinya. Tengku Jasmine mengeluh lagi.

"Min takut bang. Min tak nak Wan jadi macam dulu lagi. Min serik," sambung Tengku Jasmine yang sebak bila mengingatkan semula apa yang berlaku pada anak lelaki mereka itu beberapa tahun yang lalu.

"Abang pun tak nak perkara itu berulang lagi Min. Kita doakan yang terbaik untuk Wan," balas Tengku Kamal dengan senyuman. Tengku Jasmine hanya tersenyum hambar. Dia memang tidak pernah berhenti berdoa untuk anak lelakinya itu. Dia sentiasa berharap agar Tengku Hadwan boleh melupakan perempuan yang telah membuatnya hampir gila suatu ketika dahulu.

Eeii! Geram aku! Mati hidup semula pun aku tak akan terima kau jadi menantu aku!

Tengku Jasmine mendengus perlahan. Tengku Kamal hanya menggeleng melihat telatah isterinya itu.

                                 *****

"Aku minta maaf. Aku terpaksa balik dulu, " ucap Adwa perlahan.

"Dah kemas barang?" Diana menyoal. Adwa mengangguk dengan senyuman.

"Aku dah hilang mood nak bercuti, " celah  Rania mula menarik muncung panjang.

"Sorry Nia. Aku dah rosakkan percutian kali ni," ucap Adwa lagi dengan perasaan bersalah.

"Tak apa lah. Kau jangan lupa call kami pula bila dah sampai Malaysia," balas Rania dengan senyuman hambar.

"Adwa," Lufia yang hanya membisu sedari tadi berjalan menghampiri gadis yang sedang duduk di atas katil itu. Dia menarik jemari Adwa lalu menggenggamnya erat.

"Kau tak bersendirian, " katanya dengan senyuman. Adwa turut tersenyum.

"Aku tahu. Aku ada korang," balasnya. Diana menepuk lembut bahu gadis itu. Rania tersenyum lebar membalas pandangan Adwa.

"Hati-hati esok, " pesan Lufia lagi. Adwa mengangguk tersenyum.

                                *****

Fuadzi menarik nafas perlahan. Fikirannya saat itu masih pada peristiwa semalam.

Maafkan aku Iz. Mungkin dah tiba masanya kau lepaskan dia.

Bisik Fuadzi sambil meraup wajahnya.

"Seorang aje? " soal satu suara. Fuadzi berpaling menoleh. Rania tersenyum. Dia menghampiri Fuadzi bersama seorang pemuda di sisinya.

"Nia..., " kata Fuadzi dengan senyuman.

"Kenalkan ni Ray. Ray, ni Fuad, " beritahu Rania sambil memandang kedua-duanya silih berganti.

"Fuadzi, salah seoran usahawan Malaysia yang berjaya kat Itali. Siapa tak kenal," kata Ray sambil menghulurkan tangan.

"Yang pasti saya bukan artis," balas Fuadzi sambil menyambut huluran tersebut. Kedua-duanya tergelak kecil. Rania berdehem perlahan.

"Fuad, pagi tadi Ad dah balik Malaysia. Saja nak beritahu. Awak tu selalu cari dia bila jumpa saya. So, sebelum awak tanya baik saya beritahu," katanya separuh memerli. Fuadzi tersenyum hambar.

"Kami pergi dulu. Budak kecil ni dah bising dari tadi nak cari makan," celah Ray sambil memeluk pinggang ramping Rania. Fuadzi sekadar mengangguk tersenyum sambil membalas lambaian Rania.

Iz tahu ke yang Ad dah balik?

Fuadzi mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia merenung lama telefon tersebut sebelum mengambil keputusan untuk menyimpannya semula. Dia mengeluh lagi.

                                 *****

Adwa hanya memandang sekilas penumpang yang baru mengambil tempat di sebelahnya itu. Dia terkedu. Tengku Hadwan turut terkejut melihat Adwa yang duduk di sebelahnya. Tanpa mempedulikan lelaki itu yang masih memandangnya, Adwa menyandarkan tubuhnya dengan selesa sambil menutup matanya. Tengku Hadwan berdehem perlahan. Dia mencapai majalah di sisinya. Satu persatu lembaran majalah tersebut diselak tanpa perasaan. Tengku Hadwan mengeluh. Dia menutup majalah itu semula. Pandangannya dialihkan ke sisi. Wajah tenang Adwa ditenung lama.

Apa yang berlaku Adwa?

Semalam dia yang sedang mengambil angin di luar kapal terkejut mendengar tangisan seseorang. Apabila dia mencari gerangan datangnya tangisan itu rupanya daripada Adwa. Gadis itu dilihatnya menangis teresak-esak sambil berkata sesuatu namun tidak jelas di telinganya.

"Sir," tegur pramugari yang sudah berdiri di sebelahnya sambil tersenyum menghulurkan selimut.

"Thank you," ucap Tengku Hadwan sambil menyambut.

"Welcome sir," balas pramugari tersebut sebelum berlalu. Tengku Hadwan berpaling ke sisi. Dia menyelimutkan Adwa dengan hati-hati supaya gadis itu tidak terjaga. Tengku Hadwan tersenyum apabila mendengar dengkuran halus gadis itu. Dia turut bersandar selesa dan cuba memejamkan mata.

                              *****

Adwa melangkah laju meninggalkan Tengku Hadwan di belakangnya. Tengku Hadwan hanya tersenyum melihat telatah gadis itu.

Aduh! Macam mana aku boleh tertidur atas bahu mamat tu? Buat malu aje!

Adwa menggigit bibir geram.

"Adwa,” panggil Tengku Hadwan agak kuat. Langkah Adwa terhenti. Dia berpaling memandang lelaki itu. Tengku Hadwan berhenti betul-betul di hadapan Adwa sambil tersenyum. Adwa mendegus geram.

"Nak apa? Nak minta ubat lagi?" soalnya kasar. Tengku Hadwan mengangkat tangannya lalu menyentuh ubun kepala gadis itu. Adwa terkedu dengan tindakan lelaki itu.

"Jumpa lagi," kata Tengku Hadwan. Dia berlalu selepas membetulkan rambut Adwa yang memang tidak sempat dibetulkan oleh gadis itu kerana tergesa-gesa mahu melarikan diri daripadanya sebentar tadi. Adwa hanya memandang lelaki itu berlalu.

Jumpa lagi?

                               *****

Balqish mengeluh perlahan mendengar perkhabaran daripada Diana mengenai Adwa yang telah pun kembali ke Malaysia.

"Aku perlu buat apa lagi Ana?" soalnya dengan perasaan sebak. Dia sangat bersyukur yang Diana sudah boleh menerima dirinya semula. Dia tahu bukan mudah untuk gadis itu memaafkan dirinya dengan apa yang telah dia lakukan. Diana menarik nafas dalam.

"Kau tahu yang Iz ada kat sini?" soalnya sambil memandang tepat gadis itu. Balqish mengangguk perlahan.

"Aku nak tanya kau. Kau masih sayangkan Iz?" soal Diana. Balqish menundukkan wajahnya.

"Aku…, aku dah lupakan dia. Dia tak pernah anggap aku lebih daripada seorang kawan. Dia dah ada Adwa. Aku langsung tak layak untuk dia," jawab Balqish dengan nada sayu. Diana terdiam mendengar kata-kata gadis itu.

“Fuad macam mana? Aku dengar kau dan dia rapat," soalnya pula ingin tahu. Dia mula tertanya-tanya sejak Lufia memberitahu hubungan gadis itu dengan Fuadzi. Balqish terdiam mendengar nama lelaki itu disebut.

"Korang ada apa-apa ke?" soal Diana mula tidak sabar.

"Kami cuma kawan," jawab Balqish dengan nada tegas. Diana mengangguk.

“Jangan lah marah. Kalau ada, tak salah pun. Kau dan Iz bukannya macam dulu lagi,” katanya. Balqish mengeluh.

“Aku tak dapat hubungi Iz selepas dia ke Itali. So, aku cari Fuad sebab aku nak tahu sangat keadaan Iz. Sejak tu aku mula rapat dengan Fuad. Tapi aku dan dia cuma kawan. Tak lebih daripada tu,” beritahunya.

“Maksudnya kau masih tak boleh lupakan Iz? Sampai sekarang?” soal Diana dengan kening terangkat. Balqish tunduk memandang jemarinya. Diana menggelengkan kepalanya. Dia tidak salahkan jika gadis itu masih ada hati pada Izdan. Itu haknya. Siapa dia hendak menahan perasaan Balqish.

“Aku tak tahu Ana. Separuh hati aku kata dah lupakan dia. Tapi separuh lagi degil tak nak buang dia dalam kepala ni. Kau nak aku buat apa?” soal Balqish dengan perasaan sebak. Diana mengeluh. Lidahnya kelu untuk membalas pertanyaan gadis itu.

                                *****

Izdan merenung lama foto Adwa. Dia tersenyum hambar. Kenangan lama terimbau semula.

"Iz, kenapa hari ni nampak handsome sangat?" soal Adwa sambil memeluk lengan Izdan yang sedang fokus dengan komputernya. Izdan memandang gadis itu sambil membuka cermin matanya.

"Nak apa?" soalnya dengan senyuman. Adwa tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Berkerut dahinya memandang lelaki itu. Izdan tergelak kecil. Dia menyentuh kedua belah pipi gadis itu.

"Comelnya budak ni," katanya sambil merenung wajah Adwa. Adwa menepis kedua-dua tangan Izdan.

"Boleh tak esok teman aku jumpa cikgu garang tu? Kalau dengan kau, cikgu Salim tu okay aje. Tapi kalau dengan aku, cikgu Salim macam nak terkam aku aje," pintanya separuh merungut.

"Kau lambat hantar kerja lagi?" soal Izdan dengan kening terangkat. Dia kenal sangat Adwa Riana. Suka sangat buat hal terutama dengan guru bahasa Inggeris mereka. Adwa tersengih membalas pandangan lelaki itu.

"Aku bukan tak nak teman kau. Masalahnya kita ni tak sama kelas. Nanti cikgu Salim kata apa?" soal Izdan lagi.

“Nak kata apa pula? Aku jamin kalau kau ada, dia tak akan marah. Kau tu kan anak murid kesayangannya,” balas Adwa separuh memujuk. Izdan menggeleng.

"Gaji?" soalnya sengaja menunjukkan wajah seriusnya.

"Kedekut lah kau ni. Aku nak pinjam kau sekejap aje. Bukannya pinjam untuk selama-lamanya," balas Adwa dengan kening berkerut.

“Aku lagi suka kalau kau ambil aku terus,” balas Izdan dengan senyuman nakal. Adwa menumbuk bahu lelaki itu. Izdan menangkap tangan gadis itu.

“Aku serius lah!”marah Adwa. Dia cuba menyembunyikan debaran di dadanya.

“Aku pun serius,” jawab Izdan kini dengan riak wajah serius. Adwa pantas menarik tangannya apabila melihat Balqish sedang berjalan menghampiri.

“Tak payah lah. Aku pergi sendiri,” katanya sebelum berlalu. Terkebil-kebil Izdan memandang langkah gadis itu. Namun dia mula faham apabila melihat Balqish yang sudah tercegat di hadapannya.

Izdan mengeluh perlahan. Dulu masa mereka masih berada di sekolah menengah, dia mula perasan yang Adwa sering melarikan diri daripadanya sejak dia dan Balqish mula bercinta. Pada mulanya dia tidak faham mengapa gadis itu berbuat demikian.Peristiwa yang benar-benar menyedarkan dirinya apabila Adwa mengambil keputusan untuk berpindah universiti.

Kenapa aku bodoh sangat?

Izdan mengeluh lagi.

                               *****

Adwa merenung lama pondok kecil yang berada di atas pokok mangga di halaman rumahnya. Pondok itu dibina oleh Pak Mat tukang kebun rumahnya.

"Ad masih tak maafkan Iz?" soal Tania sambil memandang wajah anak daranya itu. Adwa hanya diam membisu.

"Ada jumpa Iz tak masa travel?" soal Tania lagi tanpa memandang gadis itu. Adwa menoleh ke arah wanita itu.

"Iz ada call mama selepas beberapa hari Adwa kat sana. Dia beritahu ada jumpa  Adwa kat sana," sambung Tania dengan tenang. Bulat mata Adwa memandang wanita itu.

"Kenapa dia nak sibuk beritahu mama?" soalnya yang jelas kurang senang.

"Sampai bila nak pendam perasaan tu Ad? Mama tahu yang Ad dah lama maafkan Iz. Cuma Ad tak tahu nak beritahu Iz macam mana kan?" soal Tania separuh bertanya. Adwa terdiam mendengar kata-kata wanita itu. Mamanya tidak perlu tahu apa yang berlaku semasa pertemuannya dengan Izdan.

"Sebenarnya Iz sentiasa ambil tahu pasal Ad selama ni. Sejak Ad putuskan tak nak jumpa Iz, Iz selalu callmama dan nenek. Kalau tak call, Iz hantar mesej tanya pasal Ad. Ad tak nak beri Iz peluang?" tanya Tania lagi dengan kening berkerut. Baginya apa yang berlaku pada Adwa empat tahun yang lalu bukan salah Izdan. Izdan tidak patut menerima hukuman yang sama seperti mana Adwa menghukum Balqish.

"Ad nak teruskan hidup tanpa fikir pasal orang tu lagi. Ad harap mama faham," balas Adwa sambil berdiri lantas berlalu masuk ke dalam rumah. Tania hanya mampu mengeluh.

Degil sangat!

                               *****

“Adwa dah balik Malaysia. Dia langsung tak beritahu saya apa yang berlaku selepas saya ke Itali. Semua orang tak nak beritahu saya. Saya hanya harapkan awak untuk beritahu saya apa yang berlaku,” kata Izdan sambil memandang tepat ke arah gadis yang duduk di hadapannya itu. Selepas beberapa kali dia mengajak untuk bertemu baru Balqish setuju untuk menemuinya. Balqish yang sedang memakai kaca mata hitam itu hanya membalas pandangan Izdan tanpa berkata apa-apa.

“Qish, please…,”

“Kalau awak sayang sangat kat Adwa, kenapa sejak awal awak terima saya?” soal Balqish dengan perasaan kecewa. Sejujurnya dia masih tidak mampu menerima perpisahan antara mereka. Dia tidak pernah rela. Lelaki itu yang tinggalkan dirinya. Izdan tunduk meraup wajahnya. Dia memang tidak akan menafikan kesilapannya itu.

“Kenapa awak hancurkan hati saya Iz?” soal Balqish lagi dengan perasaan sebak.

I’m sorry,” ucap Izdan dengan perasaan bersalah. Balqish mengeluh perlahan.

“Saya fitnah Adwa. Saya beritahu semua orang yang dia dah pernah tidur dengan awak,” beritahunya tanpa memandang lelaki itu. Izdan terkedu.

“Qish, why? Kenapa buat Adwa macam tu?” soal Izdan sambil bangun dari kerusinya. Jika yang di hadapannya itu lelaki sudah lama dia menamparnya.

“Sebab dia, awak tinggalkan saya. Saya buat macam tu sebab awak dan dia dah mainkan perasaan saya!” balas Balqish dengan nada keras.

“Awak nak saya melutut depan awak ke? Saya akui kesilapan yang saya dah buat. Tapi awak tak patut libatkan Adwa. Dia tak salah apa-apa. Semuanya salah saya,” kata Izdan dengan perasaan sebak. Perlahan dia duduk melutut di hadapan gadis itu. Balqish menggeleng.

I hate you!” ucapnya sebelum bangun dari kerusi lantas berlalu pergi. Dia tidak sanggup melihat lelaki itu melutut semata-mata kerana Adwa Riana. Izdan meraup wajahnya. Memang patut Adwa marahkan dirinya. Fitnah itu sangat berat untuk Adwa. Izdan ingin meraung namun suaranya tersekat.

I’m really sorry, Adwa.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.