Home Novel Komedi/Romantik Komedi ABANG CIK. COM.MY
ABANG CIK. COM.MY
Fida Rohani
17/6/2015 03:26:44
50,104
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
bab 7

Dengan jalan yang berdengkut-dengkut, Abang Cik pergi kerja juga. Dahinya pun masih bertampal plaster. Kalau dia tidak pergi kerja, dia rasa lebih sakit dan tidak selesa. Duduk di rumah sambil memikirkan nasib masa depan adik-adiknya, lebih membuatkan dia sakit.

“Bos baru dah sampai. Cantik! Seksi! Genit!” kata Fitri ketika Abang Cik sampai dan sedang menyimpan barang dalam lokernya.

“Gatal ek?” balas Abang Cik pula dengan senyuman. Mesra dan tulus.

Fitri ketawa menyeringai.

“Aku tengah risau ni.”

“Apa pasal ni? Selalunya kau orang paling tabah. Susah macam mana pun kau tak pernah rasa susah. Kali ini kenapa?” Abang Cik menepuk bahu Fitri yang menyengih-nyengih macam kerang busuk.

“Aku ni hati rapuh. Aku takut terjatuh cinta dengan bos yang cantik genit ni. Habislah...”

“Buaya juga kau ni ya!” kata Abang Cik dengan ketawa.

“Belum buaya, baru nak jadi biawak daripada cicak!” balas Fitri.

Mereka berdua mengekek-ngekek perlahan.

“Hoi! Bos panggil. Mesyuarat sebelum masuk kerja!” Tiba-tiba Nikko muncul di muka pintu.

“Adui! Ni yang paling aku lemas.” Abang Cik menepuk dahi.

“Apa hal kau ni Abang Cik?” Fitri menegur. Belum pernah dia mendengar Abang Cik takut pada mesyuarat. Tidak pernah pula dia tahu rakan sekerjanya itu begitu.

“Aku lemas pada dua anak buaya yang baru nak mengganas! Pantang tengok perempuan cantik dan seksi!” jerit Abang Cik tersenyum dan cepat-cepat keluar sebelum Fitri dan Nikko mencubitnya.

Nikko dan Fitri berebut untuk mengejar. Namun ketika sampai di muka pintu, mata mereka terpaku kepada Cik Noni, bos baru yang sedang duduk di tengah restoren bersama dua orang staf bahagian dapur, Zakir dan Aida. Dia sedang menunggu semua staf sampai berkumpul untuk memulakan mesyuarat tidak resmi hari itu.

“Selamat pagi bos,” sapa Abang Cik diikuti oleh Fitri dan Nikko.

Yang dipanggil bos tidak menjawab, sebaliknya merenung wajah mereka silih berganti. Matanya lama terpaku kepada Abang Cik. Dari atas ke bawah matanya meneliti.

“Siapa nama awak?” Dia bertanya kepada Abang Cik.

“Ini.” Abang Cik menunjukkan kepada tanda nama di dadanya.

“Awak ingat saya tak tahu baca ke? Mulut awak tu tak boleh cakap dengan saya?” Tiba-tiba bos baru melenting marah.

“Maafkan saya puan...”

“Cik Noni. Saya masih muda. Belum kahwin lagi!” Suara itu semakin kasar. Abang Cik menoleh ke arah Fitri dan Nikko. Ada satu mesej yang ingin disampaikan melalui pandangan mata Abang Cik kepada kawan-kawannya. Kesal. Juga sedikit geram.

“Maafkan saya Cik Noni. Nama saya Najihah bt Hairi.”

“Hah, tahu pun nak cakap.” Cik Noni merenung mereka.

Semua tunduk diam. Semua menunggu arahan.

“Dengar sini, mulai hari ini saya yang akan menguruskan restoren ini. Papa saya dah serahkan semua urusan di sini kepada saya. Apa yang saya nak, awak bekerja mengikut peraturan baru yang akan saya buat. Semua peraturan yang lama dimansuhkan.”

Semua masih tunduk, mendengar.

“Saya nampak ada banyak perkara dalam restoren ini yang kena ditukar. Pertamanya ialah pakaian seragam kamu semua yang sangat saya tak suka. Seluar panjang dengan kemeja lengan pendek yang dilengkapi dengan topi hitam, rasanya dah tak sesuai lagi. Saya dah dapatkan uniform baru mengikut jantina. Yang lelaki dengan seluar panjang dan yang perempuan dengan skirt pendek atau skirt panjang,” kata Cik Noni, tegas.

“Abang Cik?” Serta merta Nikko bertanya.

“Siapa Abang Cik?” Mata Cik Noni tiba-tiba terbeliak besar.

Tidak ada yang menjawab. Suasana dibiarkan sepi. Namun Nikko tersenyum-senyum ke arah Abang Cik.

“Siapa Abang Cik?” Sekali lagi suara Cik Noni melantun kasar.

“Saya Cik Noni.” Abang Cik mengangkat tangan.

“Awak? Tadi awak kata nama awak siapa? Najihah kan?”

“Cik Noni, nama dia memang Najihah. Tetapi kami di sini memanggilnya Abang Cik.” Tiba-tiba Fitri menjawab.

“Ada saya suruh awak jawab?” tengking Cik Noni.

Wajah Fitri berubah. Wajah yang lain-lainnya juga ikut berubah. Geram dan kesal.

“Mulai minggu depan, selepas uniform baru siap saya nak awak pakai skirt. Saya tak suka ada tomboy dalam restoren saya,” kata Cik Noni, tegas.

“Tapi Cik Noni...”

“Tak ada tapi. Titik.”

Abang Cik terus diam. Hingga kepada perbincangan hal-hal yang lain, dia tidak menyampuk lagi. Hatinya benar-benar terusik dengan kata-kata Cik Noni. Lalu dia teringatkan Encik Puad. Alangkah jauh jarak perangai antara keduanya.

Selesai mesyuarat, mereka mula bekerja seperti biasa. Namun fikiran Abang Cik sudah tidak seperti biasa.

“Abang Cik, sabar ek.” Nikko menepuk bahunya.

“Aku tak sangka Cik Noni tu kasar macam tu. Ish! Aku dah mula tak kagum dengan dia,” kata Fitri pula.

“Itulah, kau nak gatal kan? Pergilah gatal dengan Cik Noni kau tu!” Abang Cik menyerang Fitri dengan berpura-pura ketawa.

“Aku ingat orang cantik rupa, perangai pun cantik.”

“Aku tanya sikit kau orang boleh jawab dengan jujur?” tanya Abang Cik sambil menatap wajah kedua-dua sahabatnya.

Angguk.

Ketika Abang Cik baru nak buka mulut, mereka terkejut dengan suara riuh di bahagian dapur. Suara Cik Noni memekik garing membuatkan mereka meluru untuk menjengah.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.