Home Novel Komedi/Romantik Komedi DIA MENANTU RAHSIA
DIA MENANTU RAHSIA
Indah Hairani Latif
3/5/2015 22:57:11
219,622
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 5
BAB 5
SYAKIR melangkah perlahan sebaik sahaja keluar dari keretanya. Malam tadi tiba-tiba Engku Maimunah menghubunginya meminta Syakir ke rumahnya. Katanya ada hal yang sangat penting.
Keluar dari pejabat Syakir terus memandu ke Petaling Jaya. Kalau tidak ada apa-apa hal, Engku Maimunah tidak akan menghubunginya, lebih-lebih lagi setelah ketiadaan Engku Karmila. Sudah tidak ada apa-apa urusan dengan keluarga itu. Malah dia pernah berpesan pada Puan Sarah, jangan selalu menghubungi Engku Maimunah. Kadangkala naik juling mata Puan Sarah berdepan dengan kerenah Syakir.
“Apa salahnya?” soal Puan Sarah
“Tak ada salah. Tapi Syaq tak nak mama rapat dengan Mak Engku. Tu aje,” balas Syakir bersahaja.
“Hisy! Mama hairan dengan kamu ni. Benda yang berlalu, biarlah berlalu.”
Ayat itu yang selalu diucap Puan Sarah pada Syakir.
“Nanti mama akan faham. Yang penting mama jangan lagi hubungi Mak Engku tu. Janganlah nak ajak ikut parti-parti mama tu,” ujar Syakir lagi.
“Yalah, yalah. Hisy,” balas Puan Sarah.
42
Syakir hanya tersenyum apabila mamanya memandang dirinya dengan dahi berkerut.
“Dahlah tu mama, jangan berkerut macam tu pandang Syaq. Nanti muka mama akan berkedut,” usik Syakir.
Selagi Puan Sarah tidak mencubit lengan, selagi itu dia mengusik mamanya itu. Apa yang disimpan dalam hatinya biarlah terus menjadi rahsia. Tidak perlu Puan Sarah atau siapa pun tahu. Biar dia simpan segalanya dalam sudut hati yang paling dalam. Syakir tersenyum setiap kali wajah mamanya muncul di benaknya.
Hampir jam 12.00 tengah malam, Syakir masih di rumah Engku Maimunah. Macam-macam luahan daripada Engku Maimunah didengarinya. Sudah jenuh dia mendengarnya. Beberapa kali dia cuba meminta diri untuk beredar, namun Engku Maimunah terus semakin rancak berbual. Rasa bimbang juga muncul dengan tanggapan jiran-jiran Engku Maimunah nanti kerana dia masih bertandang ke rumah wanita itu. Apatah lagi pada jauh-jauh malam begitu.
“Syaq nak ke mana? Baru pukul 11.00. Masih belum puas bercakap dengan Syaq. Syaq pun dah lama tak datang sini, kan?”
Baru pukul 11.00? Mengarut betul orang tua ni! Getus Syakir dalam hati.
Syakir menjeling jam di pergelangan tangannya. Dah jam 12.00 ni! Dilihatnya Engku Maimunah merenung dirinya sambil tersenyum. Hisy! Meremang roma. Janganlah macam ni Mak Engku, bisik hati Syakir.
“Mana yang lain?” soal Syakir.
“Yang lain? Syaq lupa ya berapa orang aje penghuni rumah ni,” balas Engku Maimunah.
“Lupa pulak saya.”
Engku Maimunah tertawa memandang Syakir. Syakir semakin gelisah.
43
Adoi, Mak Engku. Takkan tak ada anak dia, dia pulak nak mesra lebih-lebih. Seram sejuk Syakir dengan sikap Engku Maimunah yang nampak berubah.
“Mak Engku, saya rasa dah lewat sangat ni. Saya mintak diri dulu ya Mak Engku,” pamit Syakir lalu terus bangun.
“Eh, kejap, kejap. Mak Engku ada hal nak cakap dengan Syaq ni,” tahan Engku Maimunah.
Wnaita itu masih lagi nampak anggun walaupun sudah berusia 65 tahun.
“Tolong ya Syaq, sekejap aje,” pinta Engku Maimunah dalam nada bersungguh dan mengharap.
Syakir kembali melabuh punggungnya di atas sofa. Engku Maimunah tiba-tiba mengambil satu sampul surat besar lantas dikeluarkannya sesuatu dari sampul itu. Syakir tertanya-tanya. Apa agaknya yang ingin diperkatakan Engku Maimunah padanya. Malah apa yang ingin ditunjukkan Engku Maimunah padanya. Syakir mengawasi setiap perbuatan Engku Maimunah. Kecurigaan sekali-sekala datang ke dalam fikirannya.
Semenjak ketiadaan Engku Karmila, hubungannya dengan keluarga wanita ini menjadi renggang. Lebih-lebih lagi apabila keluarga mereka tidak dapat menerima kehilangan Engku Karmila dengan mengatakan bahawa semuanya berpunca daripada Syakir. Syakir dipersalahkan atas kejadian yang menimpa Engku Karmila.
Syakir melirik pandangan menunggu reaksi Engku Maimunah. Tiba-tiba Mak Engku mengeluarkan beberapa keping gambar lantas menghulurkan pada Syakir. Tangan Syakir tiba-tiba gementar ketika gambar itu berada di tangannya. Wajah Engku Karmila terpampang pada kepingan-kepingan gambar di tangannya. Syakir memandang Engku Maimunah. Wajah wanita itu direnungnya tajam.
“Apa semua ni Mak Engku?” soal Syakir.
44
Wajahnya mula mendung dan dadanya berasa sakit. Gambar-gambar di tangannya diletakkan semula di atas sampul di depan wanita itu.
“Mak Engku tahu Syaq rindu pada Mila,” ujar Engku Maimunah.
Hah! Rindu? Apa yang dia tahu ada dalam hatiku? Detik hati Syakir.
“Buat apa Mak Engku tunjukkan semua ni pada saya? Saya dah lupakan, Mak Engku,” balas Syakir tanpa ragu.
Wajah Engku Maimunah direnung menanti reaksi wanita itu. Engku Maimunah memandangnya dengan mata berkaca.
“Syaq jangan keliru. Ni bukan Mila,” ujar Engku Maimunah sambil tersenyum.
“Kalau bukan Mila, siapa? Mak Engku nak bergurau dengan saya?” balas Syakir.
Dia sudah tidak selesa mahu berlama lagi di rumah wanita itu.
Engku Maimunah mengelus pipinya dan merenung Syakir.
“Ni adik Mila, Engku Kamelia. Melia,” ujar Engku Maimunah perlahan.
Mata Syakir terbuntang mendengar kata-kata Engku Maimunah. Mak Engku menipu? Sampai hati Mak Engku menipu, desis hati Syakir.
“Tak! Mak Engku tak tipu, Syaq. Mak Engku mintak maaf, selama ni tak cakap semua ni,” tegas Engku Maimunah.
Syakir mengerutkan dahi. Menunggu kata-kata wanita itu seterusnya. Menilai antara benar dan bohong.
“Mila ada saudara kembar, Engku Kamelia. Mak Engku mintak maaf, Syaq,” jelas Engku Maimunah.
Kemarahan Syakir sedikit mengendur. Kata-kata wanita itu bergolak dalam hatinya. Kenapa baru sekarang? Syakir mengerutkan dahi. Hairan dengan semua itu. Kenapa
45
selama ini ia tidak diceritakan Engku Karmila, Engku Maimunah dan seluruh keluarganya? Kenapa?
“Syaq, Mak Engku mintak maaf,” ulang Engku Maimunah lagi.
“Mak Engku tak perlu nak mintak maaf. Dah tak ada apa-apa. Saya pun dah lupakan semuanya.”
“Tapi Mak Engku tak pernah melupakan semuanya. Walaupun Mila dah meninggalkan kita, tapi Mak Engku tak pernah rasa yang Syaq dah tak ada apa-apa hubungan lagi dengan kami.”
Apa lagi yang Mak Engku nak? Getus Syakir dalam hati.
“Syaq, Mak Engku nak mintak tolong sangat,” ujar Engku Maimunah.
Syakir memandang Engku Maimunah. Apa lagi? Dia sudah tidak mahu mendengarnya.
“Syaq, Mak Engku nak satukan Syaq dengan Melia.”
Kata-kata yang meluncur daripada mulut Engku Maimunah membuatkan hati Syakir panas. Kalaulah Engku Maimunah itu Engku Karmila dulu, sudah pasti ditamparnya pipi itu. Syakir bangkit pantas. Dicapainya kunci keretanya. Wajah Engku Maimunah berkerut lantas wanita itu ikut bangkit.
“Syaq, dengar dulu apa yang Mak Engku nak cakap,” tahan Engku Maimunah.
Syakir merenung wanita di depannya itu. Kenapa wanita ini tidak faham-faham?
“Mak Engku, saya dah lupakan semuanya. Kalau boleh saya tak nak ingat lagi. Saya mintak diri dulu. Assalamualaikum,” ujar Syakir.
Lantas Syakir berlalu tanpa menunggu salamnya dijawab. Kelakuannya nampak sangat kurang ajar. Namun, masa lalu mengajar dia kurang ajar dengan keluarga itu. Syakir melangkah dengan pantas menuju ke keretanya. Syakir melabuhkan punggung di tempat duduk sebaik sahaja menguak pintu kenderaannya itu. Dia melepaskan keluhan.
46
Tanpa menunggu lama, dengan pantas tangannya memulas kunci dan kereta terus bergerak keluar dari pekarangan banglo milik Engku Maimunah. Syakir menekan pedal minyak. Enjin mengaum memecah sepi malam. Hatinya sakit mengenang semua yang telah dilalui bersama penghuni banglo itu.
Deringan telefon menjerit. Namun, dibiarkan sahaja. Malas menjawab sebarang panggilan. Dia berasa benci dengan cara Engku Maimunah. Deringan itu berbunyi lagi. Ditekannya punat pada stereng untuk menjawab panggilan itu. Suara mamanya kedengaran.
“Syaq pergi mana? Mama tunggu lama kat apartmen tadi,” soal Puan Sarah.
Pertanyaan Puan Sarah tidak dijawabnya.
“Syaq dengar tak?” soal Puan Sarah lagi.
“Syaq dengar,” balas Syakir, acuh tak acuh.
“Habis? Kenapa susah sangat nak jawab? Kalau ada kecemasan berlaku, Syaq tak fikir?” soal Puan Sarah bertalu-talu.
“Maaf ma, Syaq tengah meeting.”
“Ha? Pukul 12.00 tengah malam masih di pejabat? Mesyuarat apa?” soal Puan Sarah, ragu-ragu.
“Tak, maksud Syaq, discuss dengan kawan-kawan,” dalih Syakir.
Suasana diam seketika.
“Kenapa mama telefon Syaq malam-malam macam ni? Papa dah tidur?” soal Syakir kembali.
“Dah. Boleh tak Syaq balik rumah sekarang?” soal Puan Sarah.
Syakir menjeling jam yang terletak di tengah-tengah papan pemuka. Syakir tiba-tiba memicit dahinya. Apakah mamanya ingin memperkatakan hal yang sama? Kerjasama antara mama dengan Mak Engku. Mantap! Bisik hati Syakir.
“Tak lewat ke mama? Mama tu perlu cukup tidur,” ujar Syakir, cuba memberikan alasan.
47
“Pandailah kamu. Ni Syaq kat mana?”
“Dalam kereta, mama,” jawab Syakir perlahan.
“Kalau macam tu, balik tidur di sini malam ni,” suruh Puan Sarah.
Syakir memicit dahinya lagi. Susah mahu menolak permintaan seorang ibu. Bukan permintaan besar. Hanya diminta balik tidur di rumah. Tapi, mama jarang buat panggilan malam-malam begini, detik hati kecil Syakir. Atau mungkin mahu membincangkan perkara sama dengan Mak Engku.
“Syaq!”
Suara Puan Sarah buat Syakir tersentak.
“Ya ma, Syaq dengar ni,” balas Syakir sambil memberi perhatian pada lampu isyarat di depannya.
“Balik ke sini ya nak,” ujar Puan Sarah lagi.
“Yalah, yalah. Syaq balik sekarang,” jawab Syakir sambil memulas stering ke kanan.
Kereta membelok ke Puchong. Sampai sahaja di rumah, kelihatan lampu bilik Puan Sarah masih menyala. Lampu tingkap bawah juga masih bernyala. Ini bermakna penghuni rumah itu masih belum tidur. Sebaik sahaja kenderaannya memasuki garaj, pintu hadapan terbuka dan kelihatan Mak Ton, pembantu rumah berdiri.
“Mak Ton belum tidur?” soal Syakir, berbasa-basi.
“Belum Encik Syaq. Mak Ton banyak kerja yang belum siap,” balas Mak Ton yang dalam lingkungan usia lima puluhan.
“Tidur ajelah Mak Ton, kerja tak pernah habis,” ujar Syakir sambil melangkah masuk.
Mak Ton hanya tersenyum. Syakir melangkah anak tangga menuju ke biliknya. Puan Sarah muncul sebelum Shakhir menutup pintu biliknya.
“Mama tunggu Syaq,” ujar Puan Sarah.
Syakir tersentak dengan kehadiran mamanya itu.
48
“Ya ma, Syaq balik ni pun nak jumpa mamalah,” balas Syakir sambil tersenyum.
“Papa mana, ma?” soal Syakir tanpa menunggu balasan kata mamanya.
“Tidurlah mana lagi. Siang tadi ke padang golf, malam letihlah,” balas Puan Sarah.
Syakir tertawa kecil.
“Biarlah mama, sekurang-kurangnya, papa ada exersice,” balas Syakir sambil merenung mamanya dengan penuh kasih sayang.
Puan Sara hanya mengangguk.
“Owh ya, apa yang penting sangat mama? Tak sempat esok nak jumpa Syaq,” soal Syaq sambil melabuhkan punggung di atas katil.
Puan Sarah melangkah masuk lalu melabuhkan punggung di kerusi di hadapan Syakir. Syakir merenung mamanya itu dengan perlbagai persoalan bermain di kepalanya. Puan Sarah menarik nafas sebelum menghenbus perlahan-lahan.
“Macam ni, mama nak tanya. Harap Syaq jawab dengan ikhlas,” ujar Puan Sarah.
Dia berhenti seketika. Mahu melihat reaksi anaknya itu.
Syakir menunggu kata-kata selanjutnya dengan sabar.
“Syaq masih rindu Mila?” soal Puan Sarah.
Terasa jantung Syakir seperti dihentak. Wajah mamanya direnung tajam. Kenapa soalan itu yang ditanya mama? Kenapa mama masih menyebut-nyebut nama perempuan yang ingin dibuangnya daripada ingatannya?
“Syaq? Mama tanya Syaq ni,” ujar Puan Sarah apabila melihat anaknya diam sahaja.
“Ya, ma. Apa?” soal Syaq, pura-pura tidak mengerti.
“Mama tanya Syaq ni, Syaq masih ingat pada Karmila?” soal Puan Sarah sekali lagi.
49
Syakir merenung wajah mamanya itu dengan mata membuntang
“Mama! Apa yang mama cakap ni?” soal Syakir kembali.
Puan Sarah tersentak. Barangkali tidak menduga cara Syakir menjawabnya.
“Sebab tu mama panggil Syaq. Mama nak bincang tentang hal ni,” balas Puan Sarah dengan wajah tenang.
Terasa seperti dada Syakir disiat-siat dengan pertanyaan mamanya itu.
“Mama, Syaq tak fikir pun fasal semua tu,” jawab Syakir.
Dia cuba sedaya upaya mengawal perasaan dan tutur kata agari tidak menyinggung hati mamanya.
“Kenapa Syaq tak fikir? Syaq sedar tak umur Syaq berapa sekarang? 28 tahun bukan muda tau.”
“Mama suruh Syaq balik jauh-jauh malam hanya kerana mama nak cakap pasal tu?” soal Syakir dengan dahi berkerut dan tidak puas hati.
Puan Sarah hanya mendiamkan diri.
“Tolong ma. Tak perlu cakap lagi fasal tu. Mama, buat masa ni, Syakir tak nak fikir langsung tentang soal kahwin,” rayu Syakir sambil memegang tangan mamanya.
“Atau Syaq dah ada? Kalau Syaq belum ada, biar mama yang carikan. Mama akan cari sama macam Mila. Semua macam Mila,” ujar Puan Sarah, masih tidak puas hati.
Mata Syakir membuntang mendengar kata-kata Puan Sarah. Sekali lagi kata-kata mamanya mencincang hati Syakir. Kenapa mamanya suka sangat menyebut nama itu? Kenapa mamanya suka sangat menimbulkan kembali ingatan yang sejak sekian lama cuba dipadamkannya? Kenapa mama? Jerit Syakir dalam hati.
Syakir merenung wajah Puan Sarah. Dia mahu mamanya faham dengan segala yang ada dalam hatinya.
“Mama yakin, Syaq akan suka dia. Sebab mama tahu, anak mama masih rindu Mila,” ujar Puan Sarah, yakin.
50
Syakir mengelus dadanya berkali-kali. Sakit dadanya datang kembali.
“Mama masuk tidur dulu. Lupakan dululah pasal tu. Syaq pun letih sangat ni. Mama tidur ya,” ujar Syakir selembut mungkin agar mamanya tidak kecil hati dengan kata-katanya.
Puan Sarah bangkit. Syakir mendekati mamanya lantas menarik tangan dan menyalami mamanya.
“Selamat malam ma, assalamualaikum,” ucap Syakir.
“Waalaikumussalam,” jawab Puan Sarah perlahan.
Puan Sarah melangkah menuju ke biliknya. Kelibat Puan Sarah dihantar Syakir dengan pandangan sehingga susuk mamanya hilang di sebalik pintu. Syakir menutup pintu biliknya, kemudian menghempaskan badan ke atas tilam. Terasa dada dan hatinya sakit. Kesakitan itu menggamit kembali kenangan lalu. Wajah wanita dibenci itu menerjah ingatannya tanpa diminta. Gadis keturunan Engku itu menjadi kebanggaan mama.
Banyak kali mamanya mengajak keluarga itu datang ke rumah untuk makan malam. Rupa-rupanya mamanya ada agenda. Mamanya ingin menemukan Syakir dengan anak Engku Maimunah. Gadis kacukan Arab Melayu itu memukau mata mamanya. Pelbagai cara dilakukan mama agar mereka bersatu. Setelah beberapa kali pertemuan yang dirancang keluarga berlangsung, akhirnya Syakir menerima permintaan mamanya. Puan Sarah orang yang paling bahagia di dunia ini barangkali ketika itu. Berkali-kali mama mengucapkan terima kasih pada pada dirinya.
“Isteri daripada keturunan baik-baik untuk cucu-cucu mama yang bakal lahir nanti.”
Kata-kata itu menikam hati Syakir setiap kali mengenang kata-kata Puan Sarah. Hakikatnya Puan Sarah tidak tahu siapa Engku Kamila yang diagung-agungkan sebagai gadis baik itu. Barangkali juga Puan Sarah mentafsirkan keturunan baik-baik itu daripada keturunan
51
yang memiliki gelaran yang baik-baik. Kalau Puan Sarah tahu siapa gadis itu, sudah tentu Puan Sarah tidak akan memaafkan diri sendiri kerana memperkenalkan kepada anak lelakinya.
Tersedu-sedu Syakir menangis dalam hati. Mata Syakir tiba-tiba berair. Malah kenapa dia sendiri harus akur pada kehendak mamanya? Derhakakah dia jika menolak kehendak mama? Dia tidak rela menjadi anak derhaka. Tiba-tiba terasa panas pada kedua-dua pipinya. Cepat-cepat Syakir menyekanya. Terasa dirinya bodoh menangis kerana seorang perempuan hina itu.
Syakir memejamkan mata sambil meletakkan tangan di dahi. Sakitnya dikhianati lebih sakit daripada tertusuk pisau. Hanya orang yang melalui akan merasakan apa yang dirasai sebelum ini, Biarpun sudah dua tahun berlalu peristiwa itu, namun segalanya masih segar di ingatan Syakir.
Sebelum dipanggil Puan Sarah pulang, hati Syakir telah kesakitan apabila Engku Maimunah menyuakan Engku Kamelia untuk menggantikan tempat Engku Karmila. Permintaan yang tidak masuk akal pada Syakir. Keluhan berat terluah lagi daripada bibir Syakir. Dunia ini banyak sekali kepelikan dan ia berulang kali berlaku dalam hidupnya. Sekali lagi Syakir melepas keluhan. Akhirnya dia terlelap
Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Indah Hairani Latif