Home Novel Komedi/Romantik Komedi DIA MENANTU RAHSIA
DIA MENANTU RAHSIA
Indah Hairani Latif
3/5/2015 22:57:11
220,509
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 2
BAB 2
MELISSA membetul-betulkan mini kurung yang dipakainya. Agak ketat, namun dengan bentuk badan yang tidak kurus dan tidak gemuk dengan ketinggian 157sm membuat Melissa nampak anggun dan manis. Sedikit bedak dan gincu dikenakan, kemudian digariskan eyeliner coklat tua pada matanya. Rambut separas bahu diikatnya, kemudian dicapainya penutup rambut lantas disarungnya. Sehelai shawl panjang dicapai dan dikenakan di kepala.
Melissa berdiri seketika di hadapan cermin besar. Dia tersenyum. Kalau dah tak cantik, sapu bedak seinci pun tetap tak cantik, desis hati Melissa. Melissa menarik nafas, kemudian mencapai tas tangannya dan bergegas keluar dari bilik. Zulaikha yang sedang menunggunya terbuntang mata memandangnya. Melissa berdiri sambil mengukirkan senyuman manis.
“Wah, cantiknya sepupu aku ni! Dah lama benar aku tak nampak kau macam ni,” puji Zulaikha sambil merenung Melissa dari bawah sampai ke atas.
“Dah. Kau lupa ke apa? Kata dah lambat,” balas Melissa sambil mencapai kasut dari atas rak kasut di tepi dinding.
“Lambat memanglah lambat, tapi kau ni cantik sangat,” puji Zulaikha lagi.
12
“Eee... loyalah. Lambat dengan cantik tu, tak samalah!”
Zulaikha ketawa mengekek.
“Yalah, yalah. Lupa pulak, aku duduk serumah dengan pakar bahasa.”
Zulaikha ikut melangkah ke pintu. Melissa yang lebih dahulu menyarung kasut terkumat-kamit mulut meleterkan sikap Zulaikha yang gemar melambat-lambatkan sesuatu kerja.
“Apa yang mak cik leterkan tu?” soal Zulaikha.
Pertanyaan itu menyentap Melissa yang leka memerhatikan Zulaikha.
“Kenapa yang lambat sangat ni? Alahai,” rungut Melissa dengan dahi berkerut.
“Hei, kau yang bawa kereta ke, aku?” balas Zulaikha.
“Adoi,” keluh Melissa lagi.
“Kalau kau rasa aku lambat, kau pergi aje dengan teksi.”
“Fuh! Dah, dah. Dada aku tengah berdegup kencang ni.”
“Alah, bukannya nak interview jadi menteri. Baru nak jadi pembantu kedai,” seloroh Zulaikha.
“Pembantu kedai ke, menteri ke, dah aku ni jenis berdebar. Darah gemuruh, nak buat macam mana?” balas Melissa sambil menunjukkan muka merajuk.
Zulaikha ketawa terkekeh-kekeh. Memang kadang-kadang sikap Zulaikha menyakitkan hati Melissa. Kata-kata Zulaikha seperti tidak tahu menjaga perasaannya sahaja. Kalau ikutkan hati mahu saja dia ketil pipi Zulaikha.
“Dahlah, muncung mulut kau tu macam tikus munduk. Kau tu nak interview,” ujar Zulaikha sambil menepuk-nepuk bahu Melissa.
Melissa masih tetap diam. Rasa geram menggunung di dada. Kalau kita bercakap dia marah, kalau kita tak bercakap, hah! Macam-macam dia kata kat kita, gumam Melissa dalam hati.
13
“Okey, okey, aku mintak maaf,” ucap Zulaikha sambil tersenyum.
Melissa masih tidak mengendahkan kata-kata Zulaikha. Sebaliknya dia menyarungkan kasut dan melangkah perlahan-lahan ke pintu lif. Sengaja dia berbuat begitu. Biar sepupunya itu jenuh memujuk. Rasa seronok juga dipujuk. Selalunya ibunya yang jenuh memujuk dirinya, kali ini Zulaikha yang terkena.
Butang lif ditekan. Kedengaran tapak kasut Zulaikha melangkah ke arah lif. Pintu terbuka. Melissa melangkah masuk. Zulaikha juga berbuat demikian.
“Hei, apa kena dengan nenek ni? Pagi-pagi dah buat hal? Kau lupa ke? Zamer dah tak ada nak pujuk-pujuk kau tau,” ujar Zulaikha sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam lif.
Melissa tidak senang apabila nama lelaki itu disebut-sebut Zulaikha. Wajah Zulaikha direnungnya tajam. Tiba-tiba Zulaikha tertawa.
“Dahlah. Mengalahkan budak pra-sekolah,” ujar Zulaikha sambil menepuk-nepuk bahi Melissa.
Kali ini Melissa tidak dapat menahan geli hati. Dia turut tertawa.
“Kenapa kau suka sangat sakitkan hati sepupu kesayangan kau?” marah Melissa dalam nada merajuk.
Zulaikha semakin kuat ketawa.
“Kau tahu kenapa?” Sebab aku suka tengok muka sepupu aku yang comel ni masa marah,” jawab Zulaikha.
Melissa tersenyum di dalam hati.
“Bukan,” balas Melissa tiba-tiba.
Zulaikha menjongket kening.
“Ibarat macam nilah. Kau ingat cerita bangau oh bangau tak?” soal Melissa.
“Hah! Apa pulak tak ingat? Aku yang tulis lirik lagu tu,” jawab Zulaikha selamba.
14
Melissa tidak dapat menahan tawa. Berdekah-dekah ketawanya pecah di kawasan yang masih kelihatan sepi. Lucu kedengaran kata-kata Zulaikha. Susah hendak kenakan Zulaikha sekali-sekala.
“Banyaklah. Ular dalam cerita tu, kaulah. Pantang ada peluang, tahu nak menyakat aje kerja,” balas Melissa, geram.
Zulaikha tertawa. Melissa ikut tertawa. Sampai ke kereta, ketawa mereka terhenti serentak.
“Lisa!” jerit Zulaikha spontan.
“Ya, aku nampak,” balas Melissa sambil melangkah mendekati kereta Zulaikha.
“Aduh! Macam mana ni? Kita dah lambat sangat ni,” keluh Zulaikha dengan dahi berkerut sambil merenung jam di pergelangan tangannya.
Matanya melilau memandang sekeliling.
“Haah,” sokong Melissa dengan wajah cemas.
“Kita tukar tayar sparelah,” ujar Zulaikha tiba-tiba.
Melissa ternganga. Wajah Zulaikha direnung tidak percaya. Biar betul Ika ni. Ada ke nak tukar tayar dengan pakaian aku macam ni? Hisy, takkan tak ada lelaki lalu kat sini, rungut Melissa dalam hati. Wajah Zulaikha ditatap dengan rasa tidak puas hati.
“Dengan aku yang cukup cantik ni, kau nak suruh aku tukar tayar?” soal Melissa dengan mata membuntang.
“Habis? Tak payah buat apa-apa? Kita berdiri dan pandang tayar yang pancit tu?” balas Zulaikha.
Zulaikha menekan punat pada kunci kereta di tangannya. Kemudian dia melangkah ke belakang kereta. Melissa masih tercegat berdiri dengan riak wajah geram. Tidak puas hati dengan apa yang berlaku.
Apalah malangnya hari ini. Baru nak pergi interview dah ditimba musibah. Hisy! Tak ada ke hero yang tiba-tiba muncul dan tolong? Melissa memejamkan mata sesaat. Ya ALLAH, tolonglah hamba MU ini supaya ada manusia
15
berhati mulia datang dan tolong aku. Melissa membuka matanya kembali. Tiba-tiba matanya tertancap pada sosok seorang lelaki yang berjalan ke arah mereka.
“Ika, cuba tengok tu,” suruh Melissa sambil matanya memandang ke arah lelaki yang sedang melangkah dengan tenang ke arah mereka.
“Apa?” soal Zulaikha sambil memandang ke arah Melissa.
“Tengok, mamat tu. Aku rasa kita boleh mintak tolong dengan dia,” ujar Melissa perlahan.
Zulaikha menoleh dan ikut memandang ke arah lelaki yang diberitahu Melissa. Dia tiba-tiba mencebik.
“Ni Damansaralah! Bukan Pasir Puteh. Manusia kat sini hati plastik. Kalau kau rasa nak mintak tolong, kau cakaplah. Aku? Sorry,” balas Zulaikha lalu kembali ke bonet kenderaannya.
“Okey, kau cabar akulah ni ya? Tak apa,” balas Melissa sambil tersenyum yakin.
Susah sangat ke nak mintak pertolongan orang di sini? Dia menunggu lelaki itu mendekati mereka. Semakin dekat semakin jelas wajah lelaki itu. Wajah lelaki itu yang memakai T-shirt berlengan panjang dengan berpenutup di bahagian kepala nampak tenang. Kedua-dua tangannya terseluk di poket jeannya.
Lelaki Melayu, bisik hati Melissa pantas. Sebaik sahaja lelaki itu menghampiri mereka, Melissa melangkah selangkah ke hadapan.
“Assalamualaikum encik. Tayar kereta kami pancit. Encik boleh tolong kami. Kami nak tukar tayar,” ujar Melissa sambil memandang tepat ke wajah lelaki itu.
Kelihatan bibir lelaki itu terkumat-kamit. Lelaki itu memandang sekilas ke arah Zulaikha yang sedang bersusah payah mengeluarkan tayar dari but kereta. Lelaki itu kemudian menjeling ke wajah Melissa tanpa memberi sebarang jawapan. Kemudian lelaki itu terus melangkah
16
pergi tanpa langsung menunjukkan reaksi untuk menolong mereka. Melissa memandang ke arah Zulaikha. Zulaikha terus ketawa berdekah-dekah.
“Ha! Kan aku dah cakap. Kau degil. Padan muka!” jerit Zulaikha.
Melissa terkulat-kulat. Benar ke masyarakat bandar tidak ada hati dan perasaan?
“Meh, tolong aku. Jangan nak berangan ada orang baik hati sangat,” pinta Zulaikha pantas.
“Harapkan muka aje hensem. Hisy! Siapalah jadi bini dia nanti? Malang nasib,” rungut Melissa.
Zulaikha melirik pandangan ke wajah sepupunya itu.
“Yang kau kutuk-kutuk mamat tu kenapa? Dia tak nak tolong sudahlah. Tak baik kau kutuk-kutuk orang macam tu. Bila kau nak mintak maaf kat orang tu?” tegur Zulaikha.
“Argh! Tak ada sebab, aku nak mintak maaf. Dah memang lelaki tak gentleman. Nak buat macam mana?” balas Melissa, masih tidak puas hati.
Hairan dia dengan sifat lelaki bandar. Kalau di kampung, tidak perlu meminta pertolongan, mereka mudah sahaja memberi pertolongan. Itulah perbezaan orang kampung dengan orang bandar. Melissa memerhatikan Zulaikha yang cuba memulas skrew pada ring keretanya.
“Laa... apa yang tercegat tu? Tolonglah aku ni,” pinta Zulaikha dengan suara Suara termengah-mengah.
Melissa tertunduk-tunduk mendekati Zulaikha.
“Apa aku nak buat ni? Aku tak pernah buat kerja lelaki,” ujar Melissa sambil merenung pemulas skrew di tangan Zulaikha.
“Habis? Aku ni jantan?” balas Zulaikha dengan wajah serius dan berpeluh.
Melissa tiba-tiba menarik perlahan bahu Zulaikha. Dia berdiri memandang Zulaikha dengan wajah serius dan dahi berkerut. Fikirannya ligat memikirkan kemungkinan yang
17
perlu dilakukannya. Melissa merenung sekilas pada tangannya. Melissa menarik nafas dalam-dalam lalu melepaskannya.
“Ke tepi. Biar aku yang buat,” ujar Melissa tiba-tiba.
Zulaikha pantas mendongak. Dia agak ragu-ragu mendengar permintaan sepupunya itu.
“Ke tepilah,” ulang Melissa dengan wajah serius.
Zulaikha melangkah setapak. Melissa tertawa di dalam hati. Pasti sepupunya itu terkejut. Melissa melangkah ke tepi Zulaikha dengan kedua-dua tangannya mengangkat kain baju mini kurungnya, Melissa menghentak-hentak pemulas skru dengan kaki. Skru mula terpulas.
“Aik! Sejak bila kau belajar ni? Tadi bukan main lagi kau cakap kerja jantan?” soal Zulaikha dengan dahi berkerut memandang skru yang bergerak sedikit.
“Kau lupa, dulu aku berkawan dengan Zamer?”
“Owh, jadi mamat tu selalu suruh kau bukak tayar kereta ya?” balas Zulaikha sambil tersenyum sinis.
“Ke situ pulak. Cuba tengok, kalau hanya bergerak 1mm, bila kita dapat tukar tayar ni? Alahai,” balas Melissa dengan muka mula memerah.
“Yalah. Sebenarnya aku pun tak pernah tukar tayar,” ujar Zulaikha, memecah tembelangnya.
“Kan? Baru nak mengaku? Kenapa tak cakap dari tadi?” marah Melissa sambil memandang ke arah sepupunya yang bersusah payah berusaha memulas skru.
Melissa seperti ingin menangis. Kalau ikutkan hati mahu saja dia menjerit. Baru bersemangat hendak dapat kerja, alih-alih ini jadinya. Melissa mengesat peluh di mukanya. Zulaikha juga turut berbuat demikian. Masing-masing telah berpeluh kini.
“Assalamualaikum!”
Tiba-tiba kedengaran suara lelaki. Melissa tersentak lantas melihat ke arah suara itu. Seorang lelaki berdiri di depannya dengan peralatan membaiki kenderaan. Zulaikha
18
terlongo. Melissa memandang ke arah Zulaikha. Namun, Zulaikha hanya mengangkat bahu.
“Cik-cik boleh ke tepi sikit. Biar saya tengok,” ujar lelaki itu.
Melissa dan Zulaikha beralih tempat berdiri. Lelaki itu meletakkan kotak besi di tepi kereta. Kotak besi itu dibukanya dan dikeluarkan peralatan yang akan digunakan. Kerja-kerja membuka tayar hanya mengambil masa beberapa minit dan kemudian memasangnya dengan mudah. Melissa dan Zulaikha saling berpandangan. Lelaki itu bangkit dan melangkah meninggalkan mereka.
“Encik! Err... encik, berapa kami kena bayar encik?” soal Melissa sopan.
Lelaki itu menoleh lalu mengukirkan senyuman.
“Tak payah. Dah berbayar pun,” balas lelaki itu.
“Hah?” Zulaikha dan Melissa terkejut.
Lelaki itu masih lagi tersenyum.
“Semoga encik murah rezeki!” ujar Melissa separuh menjerit.
Lelaki itu langsung tidak menoleh, sebaliknya berlalu dengan pantas menuju ke motosikalnya.
“Dahlah. Jangan nak berbasa-basi sangat Lisa,” balas Zulaikha yang mula menguak pintu kereta.
Melissa menarik daun pintu lantas menghenyak punggung di tempat duduk sebelah Zulaikha.
“Hai, orang berbudi, kita berbahasa,” ujar Melissa pantas.
Zulaikha tidak menghiraukan kata-kata sepupunya itu. Hanya beberapa minit mereka telah pun berada di jalan raya. Zulaikha memandu agak laju. Mengejar waktu yang sudah hampir satu jam melepasi waktu yang dijanjikan.
Hal-hal yang tidak dijangka begini yang buat Melissa gelisah. Lebih-lebih lagi dalam urusan janji temu. Dia benci orang yang tidak menepati janji. Kalau boleh dia tidak mahu disenaraikan dalam kalangan orang yang suka berjanji,
19
tetapi malas untuk menunaikan, Dia selalu ingin menepati masa. Itu yang selalu ada dalam kepala Melisa.
Zulaikha memulas butang pendingin hawa. Rasa dingin mula dirasai. Melissa memejamkan mata sesaat kemudian membukanya semula. Dibetulkan-betulkan duduknya. Zulaikha menoleh ke arah sepupunya yang macam kegelisahan itu.
“Kau ni! Macam ayam nak bertelur. Duduklah diam-diam sikit,” tegur Zulaikha.
“Mau aku tak gelisah? Kau kenal aku, kan? Aku paling pantang kalau tak tepati masa.” balas Melissa.
“Huh!” Zulaikha mendengus.
Previous: BAB1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Indah Hairani Latif