Home Novel Komedi/Romantik Komedi DIA MENANTU RAHSIA
DIA MENANTU RAHSIA
Indah Hairani Latif
3/5/2015 22:57:11
219,622
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 9
81
BAB 9
ZULAIKHA mengerutkan dahi. Wajah Melissa direnungnya dalam-dalam. Betulkah cerita sepupunya itu? Zamer masih menghubungi Melissa? Bukankah lelaki tidak guna itu telah bertunang dengan doktor cantik molek pujaan hati Mak Cik Odah? Kalau benar, kenapa lelaki itu masih menghubungi sepupunya itu? Apa yang dia mahukan daripada Melissa? Zulaikha mengecilkan matanya seolah-olah melihat Zamer berdiri di depannya.
Hisy! Apa lagi yang dia nak dari Lisa? Getus hati kecil Zulaikha.
“Habis? Kau jawab?” tanya Zulaikha tiba-tiba.
“Tak,” jawab Melissa ringkas.
Zulaikha menjeling Melissa melalui ekor mata.
“Tak? Bukan ke kau masih rindu dan sayang kat dia? Tak menyesal?” duga Zulaikha.
“Apa kau cakap ni?” soal Melissa kembali, tidak senang dengan cara pertanyaan sepupunya itu.
Zulaikha tertawa kecil sambil mengangkat bahu.
“Manalah tahu. Yalah, cinta pertamalah katakan.”
“Tahulah kau bencikan Zamer, tapi janganlah sampai macam tu pandang aku.”
“Habis? Kau nak suruh aku pandang macam mana?”
82
Zulaikha tiba-tiba ketawa mengekek.
“Aku ni bukannya apa, aku tak rela sepupu kesayangan aku dipermainkan lelaki yang sama berkali-kali,” ujar Zulaikha sambil mencapai buku dari tangan sepupunya itu.
Melissa membiarkan sahaja.
“Bodoh namanya tu,” tokok Zulaikha.
Melissa mengerutkan dahi. Zulaikha melihat Melissa melalui ekor mata.
“Tapi kan..,” ujar Melissa, namun teragak-agak.
Sekali lagi Zulaikha menjeling sepupunya itu.
“Erm? Apa dia?” soal Zulaikha pantas.
“Hairan jugak, kan? Kenapa dia telefon ya?” luah Melissa akan apa yang menggusarkannya.
“Entah-entah nak jemput ke majlis kahwin dia,” balas Zulaikha, acuh tak acuh.
“Mana pulak. Malam tadi, aku cakap dengan ibu, ibu tak cakap apa pun,” sangkal Melissa.
“Alah, manalah tahu kalau dia nak jemput kau sebagai orang pertama untuk hari bahagia dia,” balas Zulaikha.
Sekali lagi dia menjeling ke arah Melissa untuk melihat reaksi sepupunya itu terhadap kata-katanya.
“Kau pun nak hiris hati aku ke? Macam tak sayang aku aje,” ujar Melissa dengan nada perlahan.
“Aku marah kau layan mamat tu, kau cakap aku tak sayang kau?” balas Zulaikha dalam nada suara tinggi.
“Yalah. Habis kenapa selalu cakap kat aku macam tu? Dahlah Zamer sakitkan hati aku, kau pun nak sakitkan hati aku? Aku tak ada siapa-siapa. Tak ada kakak, tak ada abang. Aku hanya ada kau aje,” balas Melissa dalam nada sebak dan mata berkaca.
Zulaikha merenung wajah sepupunya itu. Sayu hatinya melihat mata Melissa yang mula berair. Zulaikha tiba-tiba memaut lengan Melissa.
“Aku minta maaf. Apa pulak aku tak sayangnya, kerana sayanglah aku tak nak kau ingat dan kenang dia lagi. Kalau
83
boleh jangan sebut lagi nama lelaki tak guna tu,” pujuk Zulaikha sambil tersenyum.
“Kenapa kau benci sangat Zamer tu?” soal Melissa perlahan.
“Sebab dia lelaki tak tegas. Tak mampu pertahankan keputusannya. Kalau dah dia ada orang yang dia cinta, kenapa dia tak bertegas dengan Mak Cik Odah. Cakaplah, dia dah ada kau. Kau tengok aku ni. Berapa tahun Abang Baha menunggu dan setia pada aku walaupun dia jauh di luar negara. Semalam dia telefon, dia dah ajak kawin. Bulan depan mak ayah dia nak ke rumah,” ujar Zulaikha.
Melissa terus menoleh ke arah Zulaikha, mahukan meminta kepastian dengan kata-kata sepupunya itu. Zulaikha mengangguk.
“Ya, aku tak bohong. Lagipun kau sendiri pernah jumpa Abang Baha, kan?”
“Haah, beruntungnya kau,” ujar Melissa dalam nada perlahan.
“Kau pun beruntung kalau Zamer tu setia. Zamer tu sebenarnya lelaki baik.”
Terbuntang mata Melissa memandang Zulaikha.
“Kau cakap Zamer tu baik? Kan selama ni kau cakap Zamer tu lelaki tak guna?”
Zulaikha tersenyum.
“Kau lupa ke? Zamer tu kan pernah mengaji al-Quran bersama-sama aku. Aku tahulah. Dia pernah azan di masjid.”
“Habis? Kenapa kau benci sangat dia?” soal Melissa lagi.
“Berapa kali aku nak cakap ni. Dah, lupakanlah. Dia pun dah nak kahwin,” pujuk Zulaikha dengan nada lebih lembut.
Mereka sama-sama mendiamkan diri. Kedengaran hanya deru alat pendingin hawa. Melissa mencapai telefon bimbitnya dan merenungnya.
84
“Kau ada jumpa mamat handsome tu lagi tak?” soal Zulaikha, menukar topik perbualan.
Melissa menoleh ke arah sepupunya itu dengan dahi berkerut.
“Mamat?”
“Ya, yang kita selalu terserempak tu. Alah, yang sombong bila kita mintak tolong tukar tayar hari tu,” jelas Zulaikha.
“Oh, ingat. Apa pulak pentingnya dia pada kita,” balas Melissa selamba.
“Haah. Betullah cakap kau tu. Tapi kan Lisa...”
“Tapikan apa?”
“Mamat tu handsome betul. Berkarisma. Kalau dapat kat sepupu aku ni, sama padan,” usik Zulaikha.
“Eee.. .tak sopan betullah! Tak sayang mulut ke?” marah Melissa.
Merah pipi Melissa diusik Zulaikha.
“Mula-mula tak berapa sangat, bila dah dua tiga kali terserempak, memang dia istimewa sangat,” puji Zulaikha.
Melissa tetap acuh tak acuh mendengar kata-kata Zulaikha. Zulaikha tersenyum.
“Kalaulah satu waktu, mamat tu melamar, nak tak?” soal Zulaikha tiba-tiba.
Terbuntang mata Melissa memandang Zulaikha.
“Woi! Mengigau ke apa sepupu aku ni?” balas Melissa, tersentak.
“Manalah tahu, kan?” soal Zulaikha sambil mengangkat kening beberapa kali.
Melissa tertawa kecil.
“Yang kau berkenan sangat tu kenapa? Macam kau ni belum ada Baha. Tak baik tau, dah ada orang lain tapi berkenan pada orang lain,” balas Melissa.
Zulaikha ikut tertawa.
“Siapa pulak cakap aku nak dia. Untuk sepupu aku nilah.”
85
Satu cubitan halus singgah di lengan Zulaikha.
“Sakitlah!” jerit Zulaikha sambil menggosok lengan.
“Tak bermimpi rupanya. Kenapa cakap mengarut ni? Tak baik tau,” balas Melissa lalu tertawa mengekek.
“Kenapa pulak?” soal Zulaikha, hairan.
“Yalah, bila aku sebut nama Zamer, bukan main kau marah. Tapi kau sibuk sebut fasal mamat sombong yang entah apa-apa tu,” ujar Melissa sambil merenung wajah sepupunya itu.
“Kau silap. Kita tak kenal dia lagi, tapi kita asyik cakap dia sombong dan macam-macam. Kau pernah dengar orang tua cakap, tak kenal maka tak cinta?”
“Ya, aku pernah dengar, tapi bukan untuk kes kita dengan mamat tu. Nak kawan macam mana? Lawa, handsome bukan boleh buat apa pun. Sombong lagilah pulak,” balas Melissa tenang.
“Yalah tu. Ni, kau dah cari kucing kau yang tak balik beberapa hari ni? Orang bela kucing, kau nak bela. Orang lain, bela kucing bagi makan, kau bela kucing sampai kebulur tak bagi makan,” ujar Zulaikha, sekali lagi menukar topik perbualan.
Melissa terbangun.
“Haah,” ujar Melissa dengan riak wajah cemas.
Zulaikha hanya memerhati reaksi sepupunya itu.
“Kau kena tolong aku. Kita kena cari kucing aku tu. Kucing tulah pengarang jantung aku selepas Zamer. Kau tahu, kan?” pinta Melissa.
Melihat wajah dan mendengar kata Melissa, Zulaikha tidak mampu menahan tawanya. Terkekeh-kekeh Zulaikha ketawa.
“Lisa, kalau kucing kesayangan kau masih hidup, ia akan balik. Percayalah cakap aku,” balas Zulaikha.
Melissa tidak menghiraukan kata-kata Zulaikha. Dia terus melangkah keluar.
86
“Lisa, kau nak ke mana?” jerit Zulaikha sambil memandang sepupunya itu yang meluru keluar.
“Cari kucinglah! Ke mana lagi?” laung Melissa dari pintu lif.
Zulaikha bingkas bangun dan melangkah ke pintu. Kelibat sepupunya itu telah pun hilang dalam perut lif. Zulaikha menggeleng-geleng. Begitulah kalau orang dalam kesepian. Dia melihat gelagat Melissa yang cemas dari tingkap apartmen mereka.
Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Indah Hairani Latif