Home Novel Komedi/Romantik Komedi Tuk! Tuk! Tuk! Housekeeping!
Tuk! Tuk! Tuk! Housekeeping!
Eina Afrina
8/10/2013 12:46:36
74,986
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 10

BAB 10

MEMANG malang nasib Azwa sejak akhir-akhir ini. Mungkin inilah hari paling malang semenjak 20 tahun hidup di muka bumi ALLAH ini. Apa tidaknya, sudah berpuluh hotel yang dia kunjungi di sekitar Kuala Lumpur tetapi semua permohonan kerja yang diminta ditolak begitu saja. Nak kata dia meletakkan kadar gaji yang tinggi, tidak juga. Nak kata dia meminta jawatan yang tidak sesuai dengan kelulusannya, tidak juga. Dia ada sijil dalam bidang perhotelan dari UiTM Dungun, Terengganu.

Begini al kisahnya, selepas STPM semua teman-teman sekolah Azwa dapat tawaran menyambung pelajaran ke IPTA. Hanya Azwa saja yang tak dapat apa-apa tawaran. Memang satu pengalaman paling tak best dalam hidupnya. Malu sudah tentu. Angan-angan tu memang nak masuk universiti seperti teman-teman yang lain tetapi nampaknya rezeki tak menyebelahi dia.

Sudahnya, Azwa nekad memohon apa saja bidang yang masih ada kekosongan. Maka dia diterima menjalani kursus di UiTM dalam bidang Certificate in Hotel Managment selama enam bulan walaupun selama ini dia tak pernah terfikir untuk ambil kursus itu. Azwa fikir ambil bidang cikai macam tu boleh dapat kerja dengan mudah memandangkan di Kuala Lumpur ada berlambak-lambak hotel. Baik hotel yang bertaraf satu bintang hinggalah yang bertaraf tujuh bintang. Kalau boleh biarlah dia dapat kerja di hotel yang lima atau enam bintang. Barulah semangat sikit.

Menurut pensyarahnya dahulu, kadangkala semasa training di mana-mana hotel, mungkin pihak hotel akan serapkan menjadi staf jika dia menunjukkan prestasi kerja yang baik. Sampai habis training, tunggu punya tunggu, langsung tak dapat tawaran tu. Sedih betul. Mungkin dia belum cukup efisen di mata pihak hotel. Sudahnya jadilah dia manusia buntu sekarang ini. Tercangak-cangak di tengah-tengah Kuala Lumpur mencari-cari pekerjaan. Terasa nasibnya sama dengan mat-mat indon yang baru datang dari tanah seberang. Sekali pandang, dia pun sudah macam minah indon. Berserabut dan berserabai.

Banyak bangunan yang tinggi-tinggi tapi tak tahu yang mana satu hotel, yang mana satu pejabat atau pusat membeli belah. Betul-betul memeningkan kepala. Sudahlah duit yang ada di poket semakin mengering. Itu pun mujur ada Abang Hanif yang sudi menumpangkan rumah untuknya. Memang rasa tertekan tinggal di rumah Abang Hanif. Maklumlah rumah flat biasa saja. Sempit tak boleh bergerak. Almari baju pun tak ada. Semua bajunya simpan dalam beg saja. Tidur pun terpaksa berhimpit-himpit di ruang tamu. Jangan berangan nak ada bilik sendiri sebab rumah itu cuma ada satu bilik sahaja. Tak tahulah tahun bila rumah flat itu dibina tapi memang nampak sudah usang dan hanya layak didiami oleh hantu-hantu.

Duit belanja yang diberi abah harus digunakan dengan berjimat jermat. Keluarganya di kampung bukan orang berada. Kalau tiap-tiap hari dia minta duit pada Abang Hanif, silap hari bulan kakak iparnya pula yang naik hantu. Sudahlah abang dan kakak iparnya itu ada empat orang anak yang masih kecil dan memerlukan perbelanjaan yang besar. Takkan dia ingin menambahkan lagi beban Abang Hanif yang sedia ada.

“Hoi, termenung lagi!” sergah Zaliah tiba-tiba.

Azwa terkejut bukan main. Dia mengurut dada memandang muka Zaliah yang sedang tersengih itu.

“Kau ni tak reti tegur elok-elok ke? Kalau aku mati terkejut, siapa nak tanggungjawab?” marah Azwa.

“Aku tahu kau takkan mati semata-mata kerana terkejut. Lainlah kalau kau ada sakit jantung.” Zaliah duduk di sebelah Azwa tanpa mempedulikan jelingan tajam Azwa.

Zaliah membuka bungkusan plastik yang dibawanya. Dua bungkus nasi lemak yang baru dibeli dikeluarkan dari plastik itu. Jangan tak tahu, di Kuala Lumpur ni orang makan nasi lemak tak mengira waktu. Tak semestinya pagi sahaja. Tengah hari, petang dan malam pun masih terdapat gerai-gerai menjual nasi lemak.

“Kau beli lauk apa?” tanya Azwa.

“Lauk ikan bilis ajelah. Nak beli lauk lain tu mahal. Kita mana ada duit,” jawab Zaliah.

Azwa pasrah sahaja. Dia faham, kerja sebagai kerani berapa sangat gajinya. Lagipun Zaliah harus berjimat kerana akan melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat ini. Dapat makan nasi lemak kosong ni pun dah kira syukur, alhamdulillah. Kalau dah tak berduit kenalah buat cara tak berduit. Makan saja apa yang ada.

Azwa dan Zaliah pun makan bersama. Paling sadis bila mereka makan di tepi longkang saja. Betul-betul macam pelarian. Orang yang lalu lalang hanya memandang dengan pandangan pelik. Azwa dan Zaliah buat tidak tahu saja. Bukan mintak duit diorang pun!

Mujurlah hari ini Zaliah sudi menemani Azwa. Zaliah tidak menyambung pelajarannya ke tingkatan enam seperti Azwa. Dia terus bekerja di Kuala Lumpur sebaik saja tamat SPM. Nasib Zaliah baik kerana dapat bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat guaman. Maka Zaliah lebih tahu selok belok Kuala Lumpur berbanding Azwa.

“Za, lepas ni kita nak ke mana pulak?” tanya Azwa selepas selesai makan. Dia sudah tidak tahu arah mana yang harus dituju.

“Kita try kat hotel hujung sana tu. Rasanya itu satu-satunya hotel yang kita tak pergi lagi. Kalau tak dapat jugak, kita balik ajelah. Aku dah penat sangat ni. Seharian dah kita tawaf KL. Tapi kau jangan putus asa, mungkin bukan rezeki kau tu. Lain kali aku temankan kau lagi ek?”

“Okeylah, itu hotel terakhir kita untuk hari ni. Aku pun dah tak larat nak berjalan ni. Maaflah sebab susahkan kau hari ni, Za.”

“Tak apa, aku ikhlas nak tolong kau. Lagipun kan aku dah janji nak tolong kau cari kerja lepas kita balik dari Cherating.”

Maka dua anak dara itu pun memulakan langkah menuju ke Hotel Green Oriental. Jika dia gagal memohon kerja di situ, Azwa dan Zaliah mahu terus pulang ke rumah saja. Dia akan memikirkan apakah langkah seterusnya yang harus diambil? Ingin terus bertahan di sini atau pulang saja ke kampung untuk menenangkan fikiran?

“Nanti kita nak balik macam mana Za? Nak naik komuter ke, bas?” Sambil berjalan Azwa bertanya.

“Nanti aku tengok duit aku dulu. Aku ada dua puluh ringgit ni. Kau?” soal Zaliah semula sambil menunjukkan wang kertas yang baru dikeluarkan dari beg duitnya.

Azwa memeriksa pula poket seluarnya. Ada satu not RM5.00 yang sudah renyuk dan bertampal plaster memandakan wang kertas itu sudah terkoyak dan terpaksa dicantumkan semula dengan plaster itu. Ada juga beberapa keping duit siling. Memang menyedihkan!

“Kita naik bas ajelah. Tak payah susah-susah jalan kaki ke stesyen komuter,” putus Zaliah akhirnya.

Azwa menarik nafas lega. Mujurlah Zaliah tidak menyuruh Saiful Izzat datang menjemputnya seperti yang dilakukannya pagi tadi. Rasa malu pada Saiful Izzat masih terasa hingga sekarang.

Zaliah memang boleh dikategorikan teman yang sanggup bersama ketika suka dan duka. Apa tidaknya, nak jimat kos punya pasal, Zaliah sanggup menyuruh Saiful Izzat menghantar mereka ke pusat bandar dengan menaiki motor RXZ secara bergilir-gilir. Memang hilang akal Zaliah agaknya. Azwa yang selama ini tidak mengenali Saiful Izzat, harus naik motor dengan lelaki itu. Rasa malu dan kekok bercampur aduk.

Sepanjang perjalanan Azwa memegang erat palang di belakang motor itu. Tak tergamak pula dia ingin menyentuh tubuh Saiful Izzat. Lainlah kalau Saiful Izzat itu buah hatinya sendiri. Dan lebih memalukan lagi bila helmet yang dipakainya tersangkut pula di kepala. Tak mahu keluar walaupun Azwa sudah cuba menanggalkannya berkali-kali. Nak kata kepalanya besar, tidak logik. Rasanya kepalanya lebih kurang sama saja dengan kepala Zaliah.

“Bukalah helmet tu,” pinta Saiful Izzat setelah melihat Azwa masih tercegat di sisinya.

Selepas ini Saiful Izzat mahu menjemput Zaliah pula. Tak pasal-pasal hari ini dia jadi pengangkutan awam. Tapi tak kisahlah, sayang tunang katakan. Jika tidak dituruti nanti Zaliah merajuk pulak. Dia juga yang susah.

“Err… helmet ni tak nak keluar,” ujar Azwa tergagap-gagap.

Helmet ni pun satu, masa inilah dia nak buat hal! Gerutu Azwa di dalam hati.

Saiful Izzat memandang Azwa dengan pelik. Waktu itu Azwa rasa seperti mahu bunuh diri. Malunya hanya TUHAN yang tahu. Jangan Saiful Izzat fikir dia saja nak mengada-ngada, sudahlah.

“Biar saya tolong bukakan,” kata Saiful Izzat yang masih duduk di atas motor RXZnya.

Perlahan-lahan Azwa mendekatkan dirinya pada Saiful Izzat. Alhamdulillah dengan bantuan Saiful Izzat, helmet itu berjaya dibuka. Waktu itu muka Azwa sudah merah padam. Entah Saiful Izzat perasan atau tidak, Azwa redha saja.

“Tunggu sini sampai saya dengan Za sampai. Jangan pergi ke mana-mana tau,” pesan Saiful Izzat.

Azwa hanya mengangguk patuh. Tanpa berlengah Saiful Izzat terus menekan gear dan memecut laju meninggalkan Azwa di bahu jalan yang entah apa nama tempatnya. Azwa mula memerhati keadaan sekeliling sebaik saja motor Saiful Izzat hilang dari pandangan. Oh, memang banyak hotel di sekitarnya. Memang Saiful Izzat sudah menghantarnya ke tempat yang betul.

Azwa duduk di kerusi batu di tepi bangunan sementara menunggu Zaliah. Hati semakin berdebar-debar mengenangkan sesi temuduga yang bakal dihadapi. Sijil dan resume yang ada di dalam fail dibelek sekali lagi. Semuanya ada. Azwa mengeluarkan pula cermin kecil dari beg tangannya. Melihat wajahnya. Manalah tahu kalau rambutnya yang sudah diikat kemas itu sudah berserabai gara-gara helmet yang tidak mahu tertanggal tadi.

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.