Home Novel Komedi/Romantik Komedi Tuk! Tuk! Tuk! Housekeeping!
Tuk! Tuk! Tuk! Housekeeping!
Eina Afrina
8/10/2013 12:46:36
75,037
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 1

BAB 1

AZWA menjeling jam Casio di tangan kirinya. Pukul 4.30 petang. Cuaca di luar masih panas berbahang. Bibir Azwa berdecit bila teringatkan Zaliah yang sedang menunggu di pantai. Rakan baiknya itu punyalah jakun dengan pantai sampai tak sempat menunggu hari redup sedikit. Sudahlah dia terlupa membawa sunblock. Hitamlah kulit dia nanti. Punyalah banyak pusat peranginan lain di Malaysia, Cherating juga yang menjadi pilihan Zaliah. Dua tahun lepas, mereka bercuti ke sini juga.

Azwa berdiri di pintu chalet. Dari kejauhan dia melihat Zaliah asyik bermain ombak di tepi pantai. Seorang diri pun boleh jadi, bisik hati Azwa. Kata Zaliah, ini percutian terakhirnya sebagai wanita bujang sebelum bergelar isteri kepada Saiful Izzat. Azwa ikutkan saja hasrat terakhir sahabatnya itu walaupun duit di dalam poket tidak begitu mencukupi. Silap hari bulan dia jugak yang terpaksa ikat perut bila duit yang diberi abah habis dibuat berjoli. Semua ini demi Zaliah.

Zaliah melambaikan tangan bila menyedari Azwa sedang memerhatikannya dari chalet yang mereka sewa. Pasti Zaliah tidak sabar ingin mandi di laut yang saujana mata memandang. Zaliah memang suka dengan pantai. Peliknya, walaupun 150 juta kali dia bercuti di pantai, Zaliah tetap tak pandai berenang. Begitu juga dengan Azwa. Dua kali lima saja mereka ni.

Seketika kemudian Azwa sudah berlari-lari anak menuju ke persisiran pantai ingin menyertai Zaliah. Di tangannya merangkul dua buah pelampung yang berbentuk huruf o. Satu untuk dia dan satu lagi untuk Zaliah. Kalau tak guna pelampung alamatnya mati lemaslah mereka. Jangan cari malapetaka. Zaliah tu darah tengah manis. Bakal pengantin baru katakan. Jika berlaku perkara tidak diingini terhadap Zaliah, siapa pula yang ingin bersanding dengan Saiful Izzat nanti?

Angin bertiup agak kuat hingga mengerbangkan rambut Azwa yang sudah disikat rapi. Menyesal pula tak ikat rambut. Kononnya rambutnya yang cantik beralun itu akan kekal cantik selama 24 jam walaupun ditiup angin. Sah, Azwa sudah tertipu dengan iklan syampu di kaca televisyen. Sekarang rambutnya sudah kelihatan seperti sarang burung.

Dam!!

Dalam kekalutan Azwa memikirkan rambutnya yang kusut itu, tanpa sengaja dia terlanggar sesuatu. Mujurlah kakinya masih mampu berdiri dengan stabil. Kalau tidak sia-sia saja tergolek atas pasir ni. Hisy, siapa pulak yang tanam pokok kat sini? Malunya kalau ada orang nampak. Azwa menyelak rambut yang menutupi mukanya. Seorang lelaki berdiri di hadapannya dengan wajah menginga. Azwa tergamam.

Eh, manusia rupanya… ingatkan pokok!

“Awak ni ada masalah apa ya?” tanya si pemuda sambil berpeluk tubuh.

Azwa yang masih tergamam hanya menggeleng kepala lambat-lambat.

“Lain kali berjalan tu pakai mata. Jangan nak menonong aje sampai orang besar macam ni pun tak nampak!” marah si pemuda. Tiba-tiba saja suaranya meninggi. Matanya tajam merenung Azwa tidak berkelip.

Azwa tersentak. Dia berlagak tenang walaupun agak terkejut dengan sergahan lelaki itu. Berlagak betul! Tak ada adap sopan langsung! Pantang betul kalau orang tak tahu nak berbudi bahasa macam ni. Dia ingat aku sengaja nak langgar dia? Azwa cuba menyabarkan hati yang sudah mula mahu berasap.

“Maaf,” pinta Azwa sepatah.

“Maaf, maaf, maaf, senang aje kan? Langgar orang lepas tu minta maaf,” bebel si pemuda dengan angkuhnya.

“Saya betul-betul tak sengaja.”

“Lain kali berjalan tu pandang depan. Jangan asyik nak berangan aje. Inilah masalahnya orang perempuan, tengah berjalan pun masih sibuk nak betulkan rambut.”

“Bukan sebab rambut ni saya terlanggar awak,” bantah Azwa.

“Habis tu, sebab apa? Macamlah saya tak nampak awak sibuk betulkan rambut awak yang mengerbang tu.”

“Eee… jahat betul mulut awak ni kan? Saya tak nampak awak sebab pelampung ni besar sangat. Lagipun saya dah minta maaf kan?”

Lelaki itu terdiam sejenak. Matanya masih tajam memandang Azwa.

“Cuba awak tengok bawah,” pintanya.

Azwa memandang ke bawah seperti yang diarah. Dia terlihat aiskrim Cornetto Wall’s yang jatuh di atas pasir. Perisa coklat. Memang nampak sedap. Azwa kembali memandang wajah pemuda yang rendah tahap kesedaran siviknya itu.

“Tengok, sampai jatuh aiskrim saya. Saya tak sempat nak makan lagi tau. Awak mesti ganti aiskrim tu. Mesti!”

“Kalau saya tak nak ganti?” balas Azwa dengan berani.

“Saya tak teragak-agak untuk saman awak!” balas si pemuda dengan pantas. Nada suaranya masih kasar dan menyakitkan halwa telinga Azwa.

Hisy… kecoh betul mamat ni! Pasal aiskrim pun nak mengamuk sakan. Nak suruh aku ganti pulak tu. Siap nak saman menyaman lagi, desis hati Azwa dengan perasaan yang cukup meluat. Mujur saja memang salahnya, jika tidak sudah lama lelaki itu makan seliparnya.

“Awak jangan risau okey. Hal kecikaje ni. Setakat aiskrim pun nak bising macam ayam nak bertelur. Awak ni memang jenis suka kecoh ek?” sindir Azwa.

Pemuda itu terdiam. Berkelip-kelip matanya memandang Azwa.

“Satu lagi, saya pantang kalau orang suka terjerit-jerit tak tentu pasal ni. Sakit telinga saya tau tak? Cubalah belajar bersopan sikit. Bercakap elok-elok, tak boleh ke? Awak orang Melayu kan?” Azwa cuba mengawal nada suaranya. Lembut tapi sinis. Lelaki macam ni memang patut disekolahkan sekali-sekala.

Sejurus berkata begitu, Azwa terus melangkah pergi tanpa sempat lelaki itu ingin membidas kata-katanya. Sengaja Azwa tidak mahu mendengar jawapan lelaki itu. Nanti dia juga yang sakit hati. Dia berjalan pantas menuju ke deretan kedai tidak jauh dari mereka. Pasti askrim itu dibeli di kedai itu memandangkan hanya di situ satu-satunya kedai runcit yang ada selain kedai makan, kedai pakaian dan kedai cenderahati.

“Hei, awak nak ke mana pulak tu?” tanya si pemuda.

“Nak ganti aiskrim awaklah. Saya ni jenis tak suka berhutang dengan orang. Lagipun malulah saya kalau pasal aiskrim pun nak dibawa ke mahkamah. Macam budak-budak aje!”

Si pemuda terdiam, namun dia segera mengikuti langkah Azwa dari belakang. Tanpa Azwa sedari, pemuda itu sebenarnya sedang menahan senyum melihat gelagat Azwa.

“Aiskrim pun nak minta ganti. Memang dasar Haji Bakhil! Berkira! Kedekut!” Azwa membebel-bebel sendiri.

“Apa awak cakap tadi?” si pemuda yang mengekori di belakang menegur. Dia kurang jelas dengan apa yang gadis itu bebelkan. Hanya perkataan ‘Haji Bakhil’ saja yang kedengaran.

Azwa diam. Buat tidak tahu saja. Hanya jelingan tajam yang diberi sekilas lalu.

“Awak kata saya kedekut?”

“Tak ada apa-apalah. Sibuk betul. Saya bukan bercakap dengan awak pun.” Azwa membidas tanpa memandang si pemuda yang sedang bercekak pinggang di belakangnya.

“Oh, awak bercakap sorang diri rupanya. Awak memang ada sejarah masuk Tanjung Rambutan ek? Kesian… harap muka saja cantik, gila rupanya.” Dengan selamba si pemuda berkata. Ada ketawa kecil mengiringi kata-katanya itu.

Hati Azwa sudah terbakar tahap mercun bola. Namun hanya ditahan rasa marah itu di dalam hati. Dia malas ingin melayan. Dia tahu lelaki itu sengaja ingin menimbulkan provokasi dalam dirinya.

“Awak datang sini dengan siapa?” Tiba-tiba si pemuda bertanya sambil cuba berjalan seiring dengan Azwa. Kali ini suaranya sudah mengendur. Tapi kedengaran seperti mengada-ngada pula.

“Kawan.”

“Mana dia?”

“Ada kat tepi pantai sana.”

“Kawan awak tu, lelaki ke perempuan?”

Azwa menjeling wajah lelaki yang cukup sifat itu. Zahirnya memang nampak sempurna, hanya perangainya saja yang separuh siap. Sudahlah berlagak, berkira, banyak tanya pulak!

“Jangan banyak tanya boleh tak? Pilih aiskrim yang awak nak tu cepat sebelum saya ubah fikiran,” jawab Azwa sedikit keras.

Kini mereka sudah berada di dalam kedai runcit. Azwa membelek-belek majalah sekali imbas. Kedai runcit itu agak sempit tapi semua barang keperluan harian boleh didapati di sini. Ia lengkap walaupun nampak agak berserabut dan tidak teratur. Ada pulak letak air minuman bersebelahan dengan cecair peluntur Clorox? Nak suruh orang mati agaknya, kutuk Azwa di dalam hati.

“Saya dah tak berminat nak makan aiskrim. Tekak saya ni teringin nak makan kerepek kentang Mister Potato pulak. Awak bayar ya?” pinta si pemuda dengan selamba.

Azwa menghela nafas. Sabar ajelah! Tanpa banyak soal Azwa mengangguk sahaja. Malas ingin berlama-lama menghadap muka lelaki itu. Bukannya kacak pun. Yang penting, selepas ini dia tidak berhutang apa-apa dengan lelaki bermulut longkang itu.

Si pemuda tersenyum senang melihat anggukkan si gadis. Dia mengambil sebungkus snek Mister Potato bersaiz besar. Kemudian dia membuka pula peti sejuk. Pelbagai jenis minuman sejuk tersusun di dalamnya. Serta-merta tekaknya berasa dahaga.

“Saya nak jus oren sekali. Tekak ni rasa kering pulak,” pintanya lagi.

Azwa terus berpaling menghadap si pemuda sambil bercekak pinggang. Ewah! Ewah! Dah bagi betis nak paha pulak! Lelaki ini memang tak boleh diberi muka. Lepas ni entah apa pula yang dia minta. Silap-silap dia akan minta dibelikan majalah untuk dibaca di tepi pantai. Lepas tu minta macam-macam lagi termasuk temankan dia tidur malam ini.

Ya ALLAH, jauhkanlah aku daripada makhluk perosak seperti ini. Semoga percutianku ini dilindungi dan terpelihara daripada perkara-perkara mungkar. Amin. Azwa berdoa di dalam hati.

“Saya hanya akan bayar jumlah yang tak melebihi harga aiskrim yang jatuh tadi. Selebihnya awak bayar sendiri,” ujar Azwa lalu pergi ke kuanter pembayaran.

“Saya tak bawak duit. Lagipun jus oren ni tak mahal pun. Cuma RM2.50 aje,” jelas si pemuda dengan muka tak malunya.

“Tak boleh! Saya pun tak bawak duit jugak!” Azwa separuh menjerit bagai kesabarannya sudah semakin nipis dengan kerenah lelaki itu.

Si pemuda hanya memandang si gadis dengan riak tidak puas hati. Jus oren di dalam peti sejuk dipandang bersilih ganti dengan wajah Azwa. Dia menelan air liur sebelum menutup semula pintu peti sejuk itu.

Azwa mengeluarkan wang kertas dari poket seluarnya. Mujurlah ada RM5.00. Duit baki makan tengah hari tadi. Harga Mister Potato itu RM2.90. Selesai melakukan pembayaran pada tauke kedai yang ala-ala mamak itu, Azwa terus melangkah keluar dari kedai runcit tanpa menoleh ke belakang lagi.

Lelaki itu biarlah jadi sejarah yang tak perlu dikenang langsung, fikir Azwa dengan perasaan lega.

“Awak ni kejam betullah. Kalau saya tercekik macam mana? Air tak ada ni?” rungut seseorang dari belakang.

Azwa terkejut bila mendengar suara itu. Dia fikirkan lelaki itu sudah membawa haluannya sendiri. Mengapa masih ada di belakangnya?

“Itu bukan masalah saya. Awak yang kedekut sangat nak keluar duit sendiri, siapa suruh!” Azwa menjawab tanpa memandang si pemuda.

Si pemuda tersenyum namun senyuman itu pastinya tidak dilihat oleh Azwa.

“Siapa nama awak? Awak buat apa di sini? Bercuti ek?” soal si pemuda buat-buat ramah.

Azwa mengeluh panjang. Dahinya berkerut sedikit memandang lelaki itu. Sudahlah berlagak, berkira, kedekut, banyak tanya, suka menyibuk pulak tu! Dia nak apa lagi ni? Omel Azwa di dalam hati.

“Awak ada masalah apa ya?” Azwa buat-buat bertanya.

“Tak ada apa-apa masalah.”

“Kenapa awak masih ikut saya lagi? Saya dah ganti aiskrim awak kan?” soal Azwa sambil berpeluk tubuh. Bulat matanya merenung lelaki yang berwajah selamba itu.

Si pemuda hanya tersengih santai. Dia buat bodoh sahaja.

“Awak ni garang sangatlah. Macam serigala. Nasib baik muka tu cantik, kalau tidak saya pun tak teringin nak tanya nama,” ujarnya tanpa rasa bersalah.

“Awak dah tahu saya ni macam serigala, buat apa awak ikut saya lagi? Tak takut dengan serigala? Kuku saya ni pun dah lama tak mencakar muka orang,” balas Azwa berani. Peluh yang merembes di dahi diseka dengan tangan. Sakit sungguh hatinya melihat muka bersahaja pemuda itu memandangnya.

Si pemuda ketawa kecil. Bersinar-sinar matanya merenung wajah Azwa yang masam seperti asam kelibi.

“Tak baik marah-marah macam ni. Kita ni kan orang Melayu, ada adap sopan dan budi bahasa. Saya bukan nak buat jahat dengan awak pun, cuma nak tahu nama awak aje. Takkan disebabkan itu pun awak nak transform jadi serigala jadian.” Si pemuda seolah-olah memulangkan kata-kata Azwa sebelum itu.

Azwa buat muka menyampah. Malas melayan dan terus berlalu pergi.

“Nama saya Qallif,” beritahu si pemuda tanpa dipinta.

Dia menghulurkan tangan sebagai tanda perkenalan. Cuba mewujudkan suasana harmoni dengan gadis itu. Namun salam Qallif tidak disambut. Azwa buat tidak endah saja. Tidak kuasa dia ingin berkenal-kenalan dengan lelaki itu. Sakit hati ditengking lelaki itu masih terasa hingga kini.

“Dah, pergi main jauh-jauh. Saya tak suka awak ikut saya. Urusan kita berdua dah selesai,” ujar Azwa sambil mempercepatkan langkah. Terkial-kial dia berlari. Namun semakin laju langkahnya diatur semakin pantas pula lelaki itu mengejarnya.

“Saya cuma nak tahu nama awak aje. Takkan itu pun tak boleh? Bukan kena bayar pun,” kata Qallif dari belakang.

Ya ALLAH! Dia ikut aku lagi! Azwa menyumpah-nyumpah di dalam hati. Dia mengetap bibir kegeraman. Rasa sakit hati dan takut bercampur aduk. Bimbang jika lelaki itu mempunyai niat yang buruk terhadapnya.

“Awak tak faham bahasa Melayu ke? Ke saya kena guna bahasa Jerman?” getus Azwa.

“Pandai ke awak cakap bahasa Jerman?”

Azwa diam. Sakit hati dengan soalan bodoh itu.

“Cuba awak perkenalkan diri awak dalam bahasa Jerman?” pinta Qallif sengaja ingin mengenakan Azwa.

“Awak tak perlu tahu siapa saya sebab lepas ni saya tak fikir kita akan jumpa lagi. Segalanya berakhir di sini. Jadi awak tak payahlah sibuk-sibuk nak tahu nama saya,” tegas Azwa.

“Tempat ni bukan besar sangat. Kalau ditakdirkan kita berjumpa lagi, macam mana?”

“Anggap saja saya tak kenal awak dan awak tak pernah kenal saya.”

Qallif terdiam. Diperhatikan saja si gadis mengutip pelampung yang ditinggalkannya tadi. Tanpa kata gadis itu terus berlari meninggalkannya bagaikan lipas kudung. Tanpa ucapan selamat tinggal. Jauh sekali sebuah senyuman sebagai tanda kenang-kenangan.

Cakap baik-baik salah, cakap kasar pun salah. Tak faham betul perempuan zaman sekarang ni, rungut Qallif di dalam hati.

Jika diikutkan hati yang sedang kemaruk ini, mahu saja Qallif mengejar gadis itu lagi. Namun dibatalkan niatnya itu memandangkan wajah si gadis sudah kemerahan merenungnya sebentar tadi. Risau juga jika gadis itu tiba-tiba bertukar menjadi Hulk.

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.