4
Kelihatan di ruang tamu, Tan Sri Mikhail, Tan Sri Lukman Hakim, Zamrin Edril dan Firuz
Eidil sedang rancak berbual. Manakala Puan Sri Fazura, Puan Sri Karmila dan
Rania sibuk membantu Elfira menghidangkan makanan.
“Banyak betul L
masak hari ni?” tanya Puan Sri Fazura.
“Saja mama. Dah
lama kita tak berkumpul.”
“Firuz tu tak sihat
ke L? Mama tengok pucat aje muka dia,” tanya Puan Sri Karmila pula.
“Abang demam sikit
ma,” beritahu Elfira.
“Oh, patutlah
nampak pucat,” ujar Puan Sri Karmila.
“Semua dah dihidang
ni. Bolehlah kita panggil mereka,” arah Puan Sri Fazura.
“Abang, makanan dah
dihidang. Ajaklah papa dan along makan,” arah Elfira.
“Okey sayang.”
Firuz Eidil
mempelawa papa dan papa mertuanya untuk menjamu selera. Terbuntang mata Tan Sri
Lukman Hakim dan Tan Sri Mikhail apabila melihat hidangan di atas meja.
“Wah, banyaknya
makanan. Ini L yang masak atau Firuz yang jadi chef? Ke masak kat luar? Balik
rumah tinggal panaskan aje, konon-konon macam L yang masak,” soal Zamrin Edril
dengan penuh rasa curiga. Sebenarnya dia lebih kepada mahu menyakat adiknya
itu.
“Hisy, apalah
sayang ni... tak baik tau cakap macam tu kat L. Penat-penat dia masak, abang
tuduh dia beli pulak,” celah Rania. Laju sahaja tangannya mendebik lengan
suaminya itu.
Sementara itu,
muncung Elfira sudah panjang sedepa gara-gara sakit hati mendengar usikan nakal
abangnya itu.
“Ala, janganlah
buat muka macam tu, along gurau aje. Along tahu L sekarang ni dah pandai masak.
Tak comellah buat muka macam tu,” pujuk Zamrin Edril. Dia sempat menyiku
adiknya itu.
“Hisy, apalah along
ni. Pujuk kita tapi disikunya pulak.”
Zamrin Edril menyengih.
Manakala Firuz Eidil buat-buat tak nampak. Geli hatinya melihat tingkah isteri
dan abang iparnya. Nasib baik Erry Edrian tiada di situ, jika tidak makin
gamatlah suasana dikerjakan tiga beradik itu.
“Ada majlis apa
sampai macam ni sekali lauk-pauk yang dimasak. Special nampak gayanya ni,”
celah Tan Sri Mikhail cuba untuk meredakan suasana.
“Majlis untuk
meraikan kedatangan ramadan yang lagi dua hari. Selain itu, saya dan L ada
hadiah istimewa untuk semua orang.”
“Hadiah istimewa?”celah
Puan Sri Karmila.
“Hadiah apa tu?”soal
Puan Sri Fazura pula.
Firuz Eidil dan
Elfira saling berbalas pandang.
“La, sibuk main
mata pulak budak berdua ni. Apa yang istimewanya tu?” tanya Tan Sri Lukman
Hakim.
“Ha... kalau nak
tahu apa yang istimewanya tu, kenalah makan dulu. Lepas habis makan, baru saya
dan L beritahu semua orang. Boleh?”
“La... macam tu
pulak.”
“Iya , macam
tulah,” sampuk Elfira.
Mereka mengambil
tempat masing-masing. Pujian demi pujian diterima Elfira. Mereka sungguh
berselera menikmati hidangan yang disediakan. Puan Sri Karmila sendiri tidak
menyangka yang kini anaknya itu sudah pandai memasak. Usai sahaja makan malan,
mereka semua berkumpul di ruang tamu.
“Apa hadiah
istimewa yang L dan Firuz janjikan pada
kami?” tanya Zamrin Edril sudah tidak sabar.
“Along ni, memang
tak pernah nak sabarkan?”
“La, mestilah. Lama
tau along pendam perasaan ingin tahu tu.”
“Tak apa. Biar
abang yang beritahu ya,” ujar Firuz Eidil kepada Elfira.
Elfira mengangguk.
“Hadiah istimewa tu
adalah kita semua akan dapat ahli baru,” beritahu Firuz Eidil dengan riak
gembira.
“Jap, maksudnya kat
sini...”
“L mengandung?”
celah Zamrin Edril sekaligus mematikan bicara isterinya, Rania.
“Yup! Tepat
sekali,” jawab Firuz Eidil.
“Alhamdulillah,”
mereka mengucapkan rasa syukur serentak.
“Wah, seronoknya
tak lama lagi bertambahlah cucu kita,” ujar Puan Sri Fazura kepada Puan Sri
Karmila.
“Hmm, nampaknya
begitulah. Senangnya hati saya.”
Malam itu kediaman
Firuz Eidil dan Elfira riuh rendah dengan berita gembira itu. Mereka sudah
tidak sabar untuk menerima ahli baru dalam keluarga itu.