Kata orang bercinta selepas bernikah itu indah. Kini aku
kena percaya dengan kata orang sebab memang indah percintaan selepas bernikah
tetapi dalam indah-indah percintaan kami pun, kadang-kadang rasa sengal tu
tetap ada. Aku pun tak tahu kenapa? Mungkin sebab aku dan dia dah terbiasa
begitu. Firuz Eidil a.k.a Mat singa, bila terkenangkan kisah aku dan dia rasa
macam kelakar pulak. Ala mengaku ajelah yang korang pun sebenarnya gelak dengan
keletah kamikan? Kih! Kih! Kih! Aku sendiri tak pernah sangka akan jatuh cinta dan
berkahwin dengan dia. Huh! Seorang bos yang sengal dan banyak kerenah. Tapi
kalau dah jodoh, lari hingga ke hujung dunia sekalipun pasti akan bersatu juga.
Tak begitu?
Puas sudah dia membetulkan kedudukannya. Dari mengiring
ke telentang, kemudian meniarap, selepas itu bersujud dan terlentang kembali.
Semuanya serba tak kena. Akhirnya dia bangun lalu duduk bersila. Dia memandang
ke arah suaminya yang sedang nyenyak tidur. Cemburu beraja di hati. Idea
nakalnya mula bermain diminda. He! He! He!
Dia mengelus lembut rambut suaminya itu dengan senyuman
membunga. Kemudian, hidung Firuz Eidil dicuitnya. Segera Firuz Eidil menepis cuitan isterinya. Sekali
lagi Elfira mencuit hidung Firuz Eidil.
“L... janganlah kacau, kan abang tengah tidur,” rungutnya
perlahan.
“Ala, bangunlah. L tak boleh tidur ni,” adu Elfira manja.
Dia masih memerhati Firuz Eidil dengan bibirnya telah memuncung panjang.
Firuz Eidil tidak mempedulikan aduan isterinya. Dia terus
nyenyak bahkan siap berdengkur lagi. Bertambah geram Elfira melihat suaminya
itu.
“Oh tak nak layan kita eh, tak apa,” omel Elfira sendiri.
Dengan langkah berhati-hati dia turun dari katil. Kemudian dia mengambil
eyeliner lalu menconteng muka suaminya. Firuz Eidil yang merasakan ada sesuatu
yang bergerak di mukanya, dia segera membuka mata.
“Opocot!” Elfira terkejut apabila Firuz Eidil tiba-tiba
membuka mata saat dia sedang seronok menconteng muka suaminya.
“L buat apa kat muka abang ni?” tanya Firuz Eidil lembut.
Sedikitpun dia tidak marahkan Elfira.
Elfira tidak menjawab sebaliknya dia hanya diam membisu. Firuz
Eidil menggosok matanya. Dia memandang Elfira dengan kantuknya yang masih
bersisa. Kemudian dia terus duduk. Dia menarik lembut Elfira ke dadanya. Lalu
dielusnya rambut Elfira.
“L dah tak ada kerja ke conteng muka abang? Kenapa L tak
tidur lagi?” soal Firuz Eidil perlahan. Dia mencium dahi isterinya.
“Manalah tahu kenapa tak boleh tidur. Tadi sayang pergi
tandas, lepas tu mata ni terus segar. Pasal dah tak ada kerja tulah L conteng muka
abang.”
“Okey, alang-alang sayang dah tak boleh tidur dan sayang
dah pun kejutkan abang, jadi rasanya lebih afdal kalau kita buat solat
tahajjud. Jadi tak sia-sialah waktu kitakan.”
“Okey, tapi tu...”
Elfira menunjukkan ke arah wajah Firuz Eidil yang telah
dicontengnya sebentar tadi.
“Boleh cucikan,” jawab Firuz Eidil perlahan. Elfira
menyengih. Rasa bersalah terbit di hatinya.
Firuz Eidil terus turun dari katil lalu tuala dicapainya.
Dia terus menuju ke bilik air. Manakala Elfira membentangkan sejadah. Tidak
lama kemudian Firuz Eidil keluar dari bilik air. Giliran Elfira pula menuju ke
bilik air. Sementara menunggu Elfira selesai, Firuz Eidil membaca ayat-ayat
suci Al-Quran. Sebaik Elfira siap, mereka segera mengabdikan diri kepada Ilahi.
Ketenangan menyelubungi hati keduanya.
“Baru pukul 3.40 pagi. Abang nak sambung tidur. L pun
tidur okey. Esok nak kerjakan.”
Firuz menyelimutkan isterinya. Elfira memejamkan matanya.
Tidak lama kemudian, dia terus lena. Sebaik melihat Elfira sudah lena, Firuz Eidil
pula merebahkan dirinya.
“Abang, bangun!” laju Elfira menggoncangkan tubuh
suaminya.
“Apa lagi ni L?” soal Firuz Eidil dengan matanya masih
terpejam rapat. Dirasakan kepalanya berdenyut-denyut. Mungkin sebab terkejut
akibat goncangan brutal Elfira.
“Abang, bangunlah! Dah pukul 6.55 pagi ni. Kita belum
solat subuh tau!” beritahu Elfira sambil terus-terusan menggoncang tubuh Firuz
Eidil.
Firuz Eidil
terus bangkit. Dia memandang ke arah jam disebelahnya. Dia mengambil jam
tersebut.
“Astaghfirullahalazim.
Kenapa L tak kejut abang? Tengok dah pukul berapa ni?”
Eflfira
menggaru kepalanya.
“Ni sedang
kejutkanlah. Abang nak marah L kenapa pulak? L pun terlambat tau. Abang tu
ketua keluarga patutnya abanglah yang kejutkan L,” bentak Elfira geram.
Bengang dia
apabila pagi-pagi begitu telah dimarahi oleh Firuz Eidil. Laju sahaja
langkahnya diatur menuju ke bilik air. Selesai membersih diri dan megambil
wudhuk terus sahaja telekung disarung. Elfira terkejut apabila melihat suaminya
sudah siap dengan memakai baju melayu dan kain pelekat. Tahulah dia, suaminya
itu bersiap di bilik sebelah.
“Maaf, abang
bukan sengaja nak marah L. Kita solat berjemaah ya,” pujuk Firuz Eidil. Dia
tahu isterinya itu terasa hati dengannya.
Elfira terus
mengambil tempat di belakang Firuz Eidil. Dia tidak menjawab pertanyaan Firuz Eidil
walau sepatah. Malah mengangguk juga tidak. Terasa hati benar dia. Firuz Eidil sekadar
mengukir senyum melihat tingkah isterinya. Dia perasan sejak akhir-akhir ini
Elfira mudah sahaja terasa hati dan merajuk. Kadang-kadang hal yang kecil pun
dirajuknya. Firuz Eidil terus mengimamkan solat subuh.
“L masih
marahkan abang?” tanya Firuz Eidil apabila melihat isterinya masih dingin
dengannya.
Elfira
menggeleng. Wajah Firuz Eidil tidak dipandangnya. Dia terus menyendukkan nasi
goreng ke dalam pinggan Firuz Eidil lalu diletakkan di hadapan suaminya itu.
Firuz Eidil
menarik lembut tangan isterinya. Elfira tidak melawan. Dia hanya membatukan
diri.
“Abang tahu,
abang salah sebab marahkan L pagi tadi. Abang minta maaf. Insya-Allah lainkali
abang tak buat lagi. Janganlah merajuk lagi. Sunyilah bila tak dengar omelan
isteri abang ni.”
Elfira masih
tidak mempedulikan kata-kata Firuz Eidil. Dia masih seperti patung cendana.
“Yelah, orang
tu dah tak sayang kita,” ujar Firuz Eidil sayu. Dia pulak yang merajuk.
“Apalah nasib,
diriku yang malang oh Tuhan. Ada isteri asyik merajuk memanjang,” nyanyi Firuz
tiba-tiba mengikut irama nyanyian Aziz Sattar dalam cerita Ali Baba Bujang Lapok.
Elfira menahan
tawanya. Matanya terkebil-kebil memandang Firuz Eidil.
“Ala sayang,
janganlah macam ni. Susah abang tau. Dulu sebelum kahwin tak ada pulak perangai
merajuk macam ni. Abang bukan pandai bab pujuk memujuk ni. Okey, kalau sayang
masih nak merajuk dengan abang, abang cari isteri nombor dualah,” ujar Firuz
Eidil sekadar menguji.
“Amboi, bukan
main menggatal ya. Isteri pertama pun tak reti nak pujuk nak cari lain. Berani
buatlah. Tengok apa yang L akan buat nanti,” bebel Elfira tidak semena-mena.
Geram dibuatnya. Bukan nak dipujuk dirinya tapi ada hati nak tambah yang baru.
“Ha! Boleh pun
bercakap. Fuh risau abang tadi. Ingatkan isteri abang ni dah bisu. Betul kata
orang, perempuan ni kalau bab kahwin lagi satu confirm yang senyap pun boleh
terus melenting. Jadi L dah maafkan abangkan? Ala maaflah pasal pagi tadi tu.
Tak sayang kat abang ke?”
“Yelah, yelah.
Abang inikan entah apa-apa tau. Ada ke pujuk cara macam tu.”
“Habis tu abang
nak pujuk macam mana lagi? Sayang tu hal kecil tapi merajuknya macam hal tu
besar sangat. Sudahlah abang ni bukan pandai memujuk.”
“Yelah,
pagi-pagi lagi abang dah marah L tu kenapa. Kecil tau hati L.”
“Abang tak ada
niat pun nak buat L kecil hati. Pasal kahwin tadi tu pun abang gurau aje. Tak
akan ada wanita lain yang dapat gantikan tempat L. Abang sayang L tau. Sayang
sangat.”
“L pun
sayangkan abang. Dahlah cepat makan. Lepas tu boleh gerak pergi kerja. Kita dah
lambat ni.”
“Aik, kita bos
kat tempat kerja masing-masing. Bos boleh masuk lewat apa.”
“Abang, memanglah
kita bos tapi kita kenalah tunjuk tauladan yang baik pada para pekerja. Hisy,
malaslah L nak layan abang. Cepat makan cepat kita pergi.”