8
Firuz Eidil ternganga luas. Jemarinya digenggam kejap.
Dadanya berombak. Dia meletakkan briefcasenya atas kerusi.
“Elfira!!!” jeritnya kuat. Namun tiada sahutan daripada
Elfira. Hati Firuz Eidil semakin panas apabila panggilannya tidak bersambut.
Laju kakinya melangkah menuju ke bilik.
Buntang matanya apabila melihat Elfira sedang lena tidur.
Dilihat telapak tangan Elfira masih bersisa tepung yang sudah mengering.
Semakin mendidih Firuz Eidil dibuatnya. Dia mendapatkan Elfira lalu digoncang
tubuh Elfira kuat.
“L, bangun! Bangunlah!” jerkahnya kuat.
Elfira yang merasakan tidurnya terganggu terus
mencelikkan matanya. Dia mengukir senyuman apabila melihat Firuz Eidil.
“Abang dah lama balik ke? Maaflah L tertidur,” ujarnya
lembut.
Firuz Eidil tidak menjawab sebaliknya dia terus menarik
tangan Elfira lalu dibawanya ke dapur. Elfira terpempan dengan tindakan Firuz
Eidil yang tidak semena-mena itu. Cengkaman kuat dipergelangan tangannya
membuatkannya berasa sakit.
“Abang, kenapa tarik L macam ni? Sakitlah! Lepaskanlah
tangan L,” rayu Elfira.
Firuz Eidil tidak mempedulikan rayuan Elfira. Sedikit
rasa simpati tidak terbit di hatinya. Sebaik tiba di dapur, Firuz Eidil
melepaskan cengkamannya. Elfira menggosok pergelangan tangannya. Merah sudah
pergelangan tangannya akibat cengkaman yang kuat. Bibirnya sudah memuncung.
Bengang dengan tindakan Firuz Eidil.
“Apa semua ni L? Kenapa dapur berkecah sampai macam ni
sekali?” jerkah Firuz Eidil.
Tersentak Elfira mendengar nada tinggi Firuz Eidil itu.
Dia kemudiannya menyengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Maaflah, tadi L buat kuih. Tu... banyakkan L buat kuih,”
ujarnya sambil menunjukkan ke arah balang-balang yang telah terisi kuih yang
dibuatnya. Dia berharap hati Firuz Eidil akan terpujuk dengan kesungguhannya.
Malangnya, sedikitpun tidak diendahkan oleh Firuz Eidil.
Sebaliknya dia dihadiahkan dengan renungan tajam seolah-olah ingin mahu
menelannya ssat itu juga.
“Kenapa abang pandang L macam tu? Abang marahkan L ke?”
Firuz Eidil masih seperti tadi.
“Abang?”
“L, awak tahu tak yang awak sekarang ni merimaskan saya?
Saya macam dah tak kenal awak lagi. Awak yang saya kenal dulu beza sangat
dengan sekarang! Awak buat saya rasa menyampah, jelek, rimas dengan sikap dan
perangai awak. Awak tu bukan budak-budak lagi. Awak nak jadi mak orang pun.
Tapi perangai awak... tengoklah...” Firuz Eidil menunjuk sekeliling.
“Saya penat, saya tidurlah sekejap. Bukan saya tak nak
kemas,” beritahu Elfira perlahan. Nada cerianya bertukar sayu.
“Penat? Habis tu awak ingat saya tak penat? Saya kerja,
L! Bila saya balik rumah, saya nak rehat bukan nak tengok semua ni. Apa guna
awak sebagai isteri kalau rumah macam kapal pecah? Kalau macam tu lebih baik
saya tak payah kahwin. Saya dah penat nak layan kerenah awak tu! Apa yang awak
nak semua saya tunaikan, sampaikan awak suruh saya tukar baju berbelas kali pun
saya ikut. Awak buat kerja gila dengan keluarkan semua periuk belanga, pinggan
mangkuk, konon-kononnya untuk cuci pun saya turutkan. Tapi kalau awak asyik
buat kerja-kerja bodoh ni, terus-terang saya cakap awak memang dah
melampau!Eeee... macam manalah saya boleh jatuh cinta dan berkahwin dengan
perempuan macam awak! Merimaskan! Meluat!”
“Abang menyesal ke kahwin dengan L?”
“Iya memang menyesal!”
Kolam mata Elfira seakan mahu pecah. Hatinya bagai
dihiris-hiris. Kata-kata terakhir dan jawapan daripada Firuz Eidil benar-benar
menikam tangkai hatinya. Disabarkan hatinya.
“Saya minta maaf. Saya akan kemaskan semua ni. Abang
naiklah rehat.”
“Saya nak keluar! Rimas saya duduk kat rumah ni. Saya
berbuka kat luar. Pandai-pandailah awak nak berbuka sendiri.”
Firuz Eidil terus melangkah keluar. Elfira memandang
sayu. Gugur jua air matanya. Dia mengusap perutnya perlahan. Dia melihat
dapurnya yang seperti baru lepas berperang itu. Dia tahu suaminya itu
benar-benar marah. Dia tidak kisah jika dia dimarahi kerana kesilapannya.
Tetapi dia terluka apabila Firuz Eidil menyesal jatuh cinta dan berkahwin
dengannya. Itu yang membuatkan hatinya terhiris pedih. Lincah tangannya
mengemas dapur.
Penat mengemas, dia melabuhkan punggungnya ke kerusi.
Dapurnya yang bagaikan dilanda tsunami kini tampak bersih dan kemas. Elfira
memandang sekeliling. Dapur itu banyak kenangan antaranya dan Firuz Eidil. Di
situ, dia pernah dibuli. Di situ dia melihat bagaimana mi gorengnya dan kopi o
nya dibuang. Di situ juga dia dan Firuz Eidil masak bersama-sama setelah mereka
berkahwin. Segalanya cukup indah dan hari ini, di situ juga dia telah mendengar
kata-kata penyesalan daripada Firuz Eidil. Elfira tersentak dari lamunannya
apabila dia mendengar azan maghrib berkumandang.
“Astaghfirullahalazim.” Elfira beristighfar. Segera dia
berbuka puasa. Dia sekadar meneguk air kosong dan memakan kurma. Kemudian dia
mengambil kuih samperit yang telah dibuatnya, lalu dimasukkan ke dalam tong
sampah. Kemudian dia terus menuju ke bilik.
Segera dia menunaikan solat maghrib. Usai solat maghrib, Elfira mengemas
pakaiannya ala kadar lalu dimasukkan ke dalam beg. Begitu juga dengan barangan
peribadinya. Matanya tertancap pada baju raya dia dan Firuz Eidil yang
tergantung. Perlahan air matanya mengalir.
Elfira meletakkan begnya di pintu bilik. Laptop Firuz
Eidil dibuka. Dia menaip sesuatu pada laptop tersebut. Elfira memandang ke arah
cincin yang tersarung dijari manisnya. Dia kembali ke almari lalu ditariknya
laci dan dikeluarkan kotak cincin. Cincin yang dijarinya dikeluarkan lalu
dimasukkan ke dalam kotaknya semula. Setelah itu, dia meletakkan kotak tersebut
di sebelah laptop. Semua barang yang Firuz Eidil berikan kepadanya,
ditinggalkan. Tiada satu pun yang dibawanya bersama melainkan anak dalam
kandungannya. Elfira mencapai begnya lalu turun ke tingkat bawah. Gambar
perkahwinan mereka dipandang sayu. Dia tersentak apabila mendengar bunyi hon
yang bertalu-talu. Elfira melihat sebuah teksi sedang menantinya. Dengan berat
hati, dia melangkah keluar dari rumah tersebut. Dia terus meninggalkan rumah
dengan seribu satu rasa yang sukar diungkapkan.
Firuz Eidil merenung kosong ke arah nasi bungkus yang dibelinya
tadi. Hilang seleranya untuk menikmati nasi bungkus tersebut. Dia hanya
menjamah sesuap dan minum seteguk mineral water. Lalu dia terus menunaikan
solat maghrib. Hatinya kembali tenang.
Selesai solat maghrib, Firuz Eidil kembali melabuhkan
punggungnya di sofa. Ruang pejabatnya dipandang kosong. Ingatannya menerewang
kepada apa yang berlaku petang tadi. Rasa bersalah menghimpit hatinya. Wajah
sayu Elfira, tubir mata yang bergenang, membayanginya. Wajahnya diraup. Dia
beristighfar.
“Ya Allah, apa yang telah lakukan pada isteriku? Firuz,
apa dah jadi dengan kau ni? Kenapa kau buat dia macam tu? Mana perginya
kesabaran kau, Firuz,” omelnya sendiri.
Wajah Elfira terus menghantuinya. Masih dia ingat betapa
pucatnya wajah Elfira semasa dia mengejutkan isterinya itu bangun petang tadi.
Tapi wajah itu tak mampu menyejukkan hatinya yang sedang panas. Bahkan hatinya
bertambah panas apabila melihat Elfira tidur dengan tangan yang masih bersisa
bancuhan tepung yang sudah kering.
“Maafkan abang, L,” rintihnya. Firuz Eidil terus mencapai
kunci kereta. Dia harus memohon maaf dan pujuk Elfira. Sewaktu melewati surau
di kawasan perumahannya, dia mengambil keputusan untuk menunaikan solat terawih
terlebih dahulu.
Usai solat terawih, dia terus memecut laju. Setibanya di rumah,
dia melihat rumahnya masih terang-benderang. Dia yakin Elfira pasti belum
tidur. Dengan lafaz bismillah, dia masuk ke dalam rumah. Nama Elfira
dilaungkan. Namun tiada sahutan.
Dia terus menuju ke dapur. Mulutnya tidak berhenti
memanggil Elfira disertai dengan ungkapan maaf dan rayuan. Dia melihat ruang
dapurnya kelihatan kemas. Dia menuju pula ke sinki. Tiada tanda-tanda yang
Elfira masak untuk berbuka. Dia membuka tong sampah, tujuannya untuk melihat
jika ada sisa-sisa yang dimakan oleh Elfira. Sayangnya, dia hanya melihat kuih
samperit yang dibuat Elfira dibuang ke dalam tong sampah itu. Rasa bersalah
semakin mencengkam dirinya.
“Maafkan abang, L,” rintihnya.
Firuz Eidil terus mengatur langkah menuju ke biliknya.
Dia melihat biliknya gelap-gelita. Suis lampu ditekannya. Sebaik lampu menyala,
dia melihat Elfira tiada di katil. Dia penasaran.
“L! L! L kat mana? Janganlah main sorok-sorok dengan
abang. Abang tahu abang salah sebab melulu marahkan L. Sayang, janganlah
bergurau macam ni. Kalau merajuk pun janganlah menyorok. L!”
Masih tiada sahutan daripada Elfira. Matanya tertancap
pada meja kerjanya. Dia melihat barang-barang peribadi milik Elfira terletak
elok di situ. Dia terus menuju ke meja kerjanya. Sticky note yang tertampal
pada laptopnya dibaca.
Ada nota untuk abang di dalam laptop.
Firuz Eidil menghidupkan laptopnya yang berada dalam mode sleep.
Assalamualaikum abang,
Ketika abang membaca nota ini, L tiada lagi di sini. Abang, izinkan L untuk
keluar dari rumah ini. Biarlah L cari hidup L sendiri. L tahu, L dah banyak
susahkan abang. L sedar, perangai L selama ini membuatkan abang berasa rimas,
menyampah, sakit hati dan menjengkelkan. L faham sangat perasaan abang bila
abang kata semua itu pada L tadi. L pun pernah laluinya. Jadi L teramat faham perasaan
abang. L sedar, L tak layak untuk abang. Tadi abang tanya, macam mana abang
boleh jatuh cinta dengan perempuan macam L? Mungkin abang tak pernah jatuh
cinta pada L pun. Kata cinta yang abang ungkapkan pada L hanyalah kebohongan
hati abang. Mungkin waktu tu, abang cuma nak buktikan pada Julia, yang abang
mampu hidup tanpa dia dan abang jadikan L sebagai pengganti Julia. Salah L
jugakan, sebab percaya yang abang cintakan L. Tak sepatutnya L cari abang dulu.
Kan bagus kalau waktu tu L terus ikut angah ke UK. Sekurang-kurangnya L tak
dengar ungkapan penyesalan daripada abang. Bodoh L ni kan? Tak sedar yang
selama ni abang menyesal jatuh cinta dan berkahwin dengan L. Abang, L tahu L
tak layak jadi isteri abang. L ni kasar, L ni tak ada ciri-ciri langsung untuk
jadi isteri yang baik. Dengan itu, L kembalikan semua pemberian abang pada L.
Dengan rendah hati, L minta ampun dan maaf atas segala kesalahan L pada abang,
halalkan makan, minum dan segala pemberian abang pada L. Terima kasih sebab
menjadi seorang suami yang baik untuk L sepanjang perkahwinan
kita ni. Abang, izinkan L untuk bawa zuriat kita bersama L. L doakan
agar abang temui pengganti L. Satu permintaan terakhir daripada L, tolong
lepaskan L. Jangan paksa diri abang untuk mencintai L. Jaga diri abang
baik-baik. Salam ramadan dan selamat hari raya aidilfitri, maaf zahir dan batin
buat abang. L akan belajar untuk lupakan abang.
Berjurai air mata Firuz Eidil membaca luahan hati Elfira.Rasa bersalah terus menular ke setiap
urat nadinya.
“L, maafkan abang. Abang langsung tak bermaksud apa yang
abang cakapkan pada L. Abang sayang dan cintakan L. Kembalilah pada abang L.
Elfira!!!” laungnya dengan nada kesal beserta deraian air mata.