ELFIRA meletakkan barang-barang yang dibelinya di atas
meja. Dia melihat jam di dinding baru pukul 2.30 petang. Tangannya laju
memunggah barang-barang yang dibelinya tadi. Satu persatu dikeluarkan dan
diasingkan. Setelah itu dia meletakkan barang-barang itu ke tempat yang
disediakan.
Usai dia
menyimpan dan mengemas, dia terus mendaki anak tangga. Tubuhnya direbahkan ke
katil.
“Huuuiii
sedapnya dapat baring macam ni. Kalau hari-hari macam inikan syok,” ujarnya
sambil menggeliat malas. Dia menguap kecil. Matanya hampir terpejam.
“Eeeh, tak
boleh lelap. Ini kalau tidur, mahu sampai ke petang tak sedar diri!” Dia
bingkas bangun lalu membersihkan diri. Kemudian, dia turun ke tingkat bawah
terus menuju ke dapur.
Tangannya
mencapai ayam yang telah diletakkan di dalam bekas lalu membersihkannya. Lincah
tangannya membuat kerja. Dia tersengih sendiri. Dia akui sejak dia menjadi
pembantu rumah pada Firuz, dia menjadi semakin mahir dalam menguruskan hal
rumahtangga. Sekarang ni dia dah pandai masak tau.
Tidak lama
kemudian, dia terdengar seperti pintu diruang tamunya terbuka. Terus sahaja
penyapu dicapainya. Bimbang juga jika ada pencuri di siang hari. Perlahan-lahan
langkah diatur dengan tangannya sudah bersedia untuk memukul jika perlu.
Matanya meliar. Dia terpandangkan sepasang kaki yang menjulur di sofa. Dengan
langkah berhati-hati dia menuju ke sofa. Dia melihat sesusuk tubuk yang sedang
terbaring lesu.
Elfira menarik
nafas lega apabila melihat susuk tubuh itu adalah Firuz Eidil. Dia meletakkan
penyapu di tepi sofa. Kemudian dia mendapatkan suaminya. Dia berasa pelik
melihat keadaan Firuz Eidil. Perlahan tangannya diletakkan di dahi suaminya
itu.Sedikit hangat.
Demam ke?
Bisik hati kecilnya.
“Abang, bangun
abang. Kalau ya pun nak tidur naiklah atas. Sakit badan tidur macam ni,” kejut
Elfira lembut.
Tiada reaksi
daripada Firuz Eidil.
“Abang,
bangunlah. Janganlah buat L susah hati,” rengeknya pula. Dia menampar-nampar
lembut pipi Firuz Eidil.
Firuz Eidil
berasa terganggu. Matanya dibuka perlahan.
“Kenapa ni L?
Abang tak laratlah. Bagilah abang tidur kat sini,” beritahunya dengan nada
meminta simpati.
Elfira
mengusap lembut ubun-ubun suaminya.
“Abang tak
sihat ke?”
“Abang tak
laratlah L. Abang tak tahu kenapa, tiba-tiba aje abang diserang demam, sakit
kepala. Ni tekak abang ni mual semacam aje. Perut abang ni pun dah kosong. Tak
tahu nak muntahkan apa lagi,” adu Firuz Eidil. Wajahnya kelihatan lesu.
“Jom L hantar
abang ke klinik nak? Mana tahu abang keracunan makanan ke?”
“L, abang makan nasi goreng yang L buat pagi tadi. Kalau
abang keracunan makanan mestilah L pun samakan. Ke L bubuh apa kat makanan abang?
Yelah pagi tadikan L merajuk dengan abang. Mana tahu kalau L buat perangai lama
balik. Jangan ingat abang dah lupa pasal mi goreng dengan kopi o tu.” Dalam
suaranya yang lemah dia masih sempat mengusik Elfira. Firuz Eidil tersengih.
Elfira memukul lengan Firuz Eidil.
“Hisy, abang ingat L ni teruk sangat ke? Dulu memanglah L
buat macam tu sebab L geram sangat dengan perangai abang tu. Sekarang kalau L
buat macam tu nanti tak cium bau syurga pulak. Jomlah kita pergi klinik,”
ajaknya lagi.
Firuz Eidil tersengih. Dia akui dia memang suka kenakan L
bab itu. Bukan apa, supaya isterinya itu tidak nakal sangat dengannya.
“Abang nak rehat kat biliklah sayang. Nanti abang dah
larat nak jalan baru kita pergi klinik ya. Abang janji.” Firuz Eidil mengangkat
tangan kanannya seperti berikrar.
“Okey, kalau macam tu jom L hantar abang ke bilik.”
Elfira membantu Firuz Eidil untuk bangun. Dia merebahkan lalu
menyelimuti Firuz Eidil. Dia memandang ke arah suaminya dengan wajah muram.
“Kenapa sayang tenung abang macam tu? Dah tak comel
isteri abang.”
“Kesian L tengok abang. Yelah abang mana pernah sakit
macam ni.”
“Sakitkan anugerah Allah. Alhamdulillah, Dia masih
sayangkan abang. Daripada isteri abang ni sedih-sedih, tolong buatkan bubur
untuk abang, boleh?”
Elfira mengukir senyum. Dia mengangguk perlahan.
“Boleh. Abang rehat dulu. L nak masakkan bubur untuk
abang.”
“Okey sayang. Oh ya, L balik awal hari ni kenapa?”
Elfira mengukir senyum. Hari inikan anniversary kita yang
ke tiga bulan. Seperti yang dijanjikan L akan masak sesuatu yang istimewa untuk
abang.”
“oh so sweet.
Terima kasih, sayang.”
Elfira menepuk lembut tangan Firuz Eidil. Tapak tangannya
menyinggah ke dahi suaminya. Masih terasa hangat. Dia terus menuju ke almari
lalu diambilnya tuala kecil di dalam almari. Kakinya diatur pantas menuju ke
bilik air. Lalu dibasahkan tuala tersebut lalu diletakkan di dahi Firuz Eidil.
“Abang rehat dulu, ya. L ke dapur.”
Elfira terus berlalu menuju ke dapur sementara Firuz
Eidil sudah memejamkan matanya. Sebaik tiba di dapur, laju sahaja Elfira
memulakan tugasnya.
****
“Abang, bangun bubur dah siap.”
Elfira mengejutkan Firuz Eidil perlahan-lahan. Dia
bimbang jika Firuz Eidil akan terkejut jika dia main sergah sahaja. Kecil
kelopak mata Firuz Eidil terbuka. Dia cuba mengukir senyum namun bagai tak
terdaya. Raut wajah Elfira ditatapnya.
“Abang, bangun makan bubur ni.”
Firuz Eidil mengangguk perlahan. Elfira membantu Firuz
Eidil untuk bangun.
“Berat benar kepala abang. Berdesing telinga dibuatnya,”
adu Firuz Eidil.
“Tak apa, abang makan bubur ni dulu. Lepas tu kita pergi
klinik. L risau dengan keadaan abang ni.”
Elfira meniup perlahan bubur tersebut lalu disuakan
kepada Firuz Eidil.
Firuz Eidil memakannya lalu dimuntahkannya kembali.
“Kenapa? Tak sedap ke?” tanya Elfira gusar. Dia sedikit
berkecil hati. Namun disabarkan hatinya.
“L... abang tak nak bubur ni. Buatkan abang bubur kosong
boleh. Lepas tu letak kicap.”
“Aik, nak kosong pulak. Bukan abang tak suka bubur kosong
ke? Kata tak sedaplah. Ada ke makan bubur dengan kicaplah. Ini abang pulak yang
minta bubur kosong bubuh kicap. Dah kenapa? Buang tabiat ke apa ni?”
“Ala janganlah ungkit lagi. Abang tak nak bubur ni. Abang
nak bubur kosong lepas tu bubuh kicap. Bolehlah sayang. Jangan lupa ikan bilis
goreng tau.”
“Ewah, ewah, dah sakit pun masih demand nak makan apa yer.”
Firuz Eidil menyengih dalam payah. Dia buat muka memohon
simpati.
“Yelah, L buatkan abang nasi bubur kosong, lepas tu bubuh
kicap dengan ikan bilis goreng. Kalau abang tak makan, abang masak sendirilah
lepas tu,” usik Elfira.
“L, jangan lupa bubuh garam. Mentang-mentang nama dia
bubur kosong, memang kosong betul L buat nanti. Kenalkan mana garam?”
“Yelah L tahu!” Geram pulak dia apabila asyik diusik
begitu. Dalam perjalanan menuju ke dapur, dia sempat merasa bubur yang
dimasaknya tadi.
“Haih, apalah kena dengan laki aku tu. Selalunya bubur
kosong tu pandang pun tak. Siap gelarkan bubur Haji Bakhil lagi. Ini tiba-tiba
aje minta. Pelik sangat perangai dia. Ya Allah, panjangkanlah usia suami aku.
Amin.” Elfira meraup wajahnya.
“Hisy, kau ni L jauh benar kau fikir,” omelnya sendiri.
Sementara dia menunggu bubur itu siap, dia mengemas
rumahnya.
“Abang...” panggil Elfira lembut. Dia meletakkan bubur di
atas meja. Dia mendengar Firuz Eidil memuntahkan isi perut. Segera dia masuk ke
dalam bilik air.
“Abang okey tak ni?” tanyanya cemas.
Firuz Eidil mengangguk perlahan lalu berkumur.
“Hisy teruk sangat dah ni. Lepas makan ni, kita pergi
klinik. Tak boleh dibiarkan, nanti melarat susah.”
Elfira membantu suaminya. Firuz Eidil melabuhkan
punggungnya ke sofa. Sebaik dia terpandangkan bubur kosong dengan kicap dan
ikan bilis goreng, seleranya menggebu.
Elfira menyuapkan Firuz Eidil. Berselera sungguh Firuz
Eidil menikmati bubur tersebut. Habis
semangkuk bubur. Firuz Eidil sendawa.
“Kenyang tak? Nak lagi ke?”
Firuz Eidil menggeleng.
“Kalau macam tu, abang siap sekarang. L hantar abang ke
klinik.”
“Okey Puan Elfira. Terima kasih L buatkan bubur untuk
abang.”
“Kasih diterima. Nasib baik abang habiskan kalau tak...
hmmm memang L belikan abang bubur segera. Baru tahu.”