Malam
itu Haji Embong menggelisah. Tidak sedap hati. Setelah beberapa jam barulah dia
tertidur. Rumah Al-Mustaqim senyap-sunyi. Hanya sesekali kedengaran bunyi
cengkerik bersahutan. Di luar rumah angin bertiup agak kuat. Mungkin tanda hari
akan hujan. Langit juga gelap tak berbintang.
Penghuni di Al-Mustaqim semakin
lena. Kain selimut menutupi badan masing-masing. Ada yang menariknya sampai
kepala. Cuaca sejuk memang membuat tidur jadi lena. Dalam cahaya suram dari
lampu tidur kelihatan Haji Embong terjaga semula. Tersentak. Dia seakan terdengar
bunyi yang aneh. Setelah memasang telinga, tidak ada pula bunyi yang
kedengaran.
“Mimpi agaknya.”
Haji Embong menyambung tidur semula.
Tidak sampai beberapa minit sudah kedengaran dengkuran kecilnya. Apabila
badannya terlalu penat, Haji Embong akan berkeruh. Dia sudah tidur mati. Nasib
baik Haji Embong tidur seorang, kalau tidak sudah tentu teman tidurnya tidak
akan pernah aman dengan dengkurannya yang macam lembu kena sembelih.
Di ruang tamu kelihatan seseorang
sedang bergerak dengan berhati-hati. Takut akan terlanggar sesuatu yang akan
mengeluarkan bunyi. Kalau ada penghuni rumah yang tersedar bermakna dia akan
mendapat bala. Kalau tidak patah riuk tulang temulangnya sudah pasti akan
bertabur giginya. Dia hanya berbekalkan lampu suluh bersaiz kecil untuk
memudahkan pergerakannya.
“Manalah aku nak cari ni? Tak nampak
pun ada almari selain daripada almari kitab-kitab ni. Payah betullah!”
rungutnya sendirian. Agak marah.
Dia mencangkung lalu melihat-lihat
di antara susunan kitab di rak buku. Mana tau apa yang dicarinya tersimpan di
situ. Lebih kurang 15 minit dia berlegar di ruang tamu. Masih tidak beroleh hasilnya.
Dia yakin barang yang dia mahu memang tidak ada di situ.
Selepas itu dia bergerak pula dari
bilik ke bilik. Ada yang berkunci ada yang tidak. Pintu yang tidak berkunci
dikuak sedikit untuk dia mengintai ke dalam. Kesemua penghuni lena di atas
katil masing-masing. Macam-macam ragam cara tidur mereka. Lelaki yang bergerak
dalam gelap itu tersengih sendiri.
“Mana pulak bilik si tua kutuk tu?” Dia tidak
putus asa. Terus mencari apa yang perlu dicari.
“Siapa pulak yang dengkur tu? Buruknya bunyi.
Kalau bukan sebab upah, tak hingin aku masuk ke bilik si tua tu.” Omelnya.
Pintu cuba ditolak. Ternyata tidak berkunci.
Batang lehernya dipanjangkan. Menjenguk ke dalam. Sah! Di situlah bilik Haji
Embong. Lelaki itu menarik nafas sebelum memulakan langkah seterusnya. Dia
mulai melangkah masuk. Terjengkit-jengkit kakinya, takut bunyi tapak kaki akan
didengari Haji Embong. Lampu suluh dimatikan. Lelaki itu bergerak dalam suasana
suram.
“Aku
benam pulak dalam longkang! Kau nak?” Lelaki itu tersentak apabila tiba-tiba
saja Haji Embong bersuara.
Cepat-cepat dia bersembunyi di
sebelah almari. Dadanya diurut supaya dapat bertenang. Senyap. Haji Embong
tidak bersuara lagi. Kemudian diganti semula oleh dengkuran yang kuat. Dalam
takut-takutnya, terselit pula rasa gelihati. Sudahlah kuat berdengkur, mengigau
pula.
“Huh! Merepek je orang tua ni!” Lelaki
itu lega kerana Haji Embong hanya marah-marah dalam tidurnya.
“Tidur pun tidur mati..selamatlah aku.”
Ejeknya sambil keluar dari sebalik almari.
Dalam keadaan malap, lelaki itu dapat
melihat ada dua buah almari di dalam bilik Haji Embong. Salah satunya mungkin
almari pakaian. Sebuah lagi bersaiz sederhana besar dan banyak laci. Almari
banyak laci dihampiri.
“Kalau
banyak laci mesti banyak rahsia. Rahsia?...hmmm...rahsia maksudnya benda-benda
penting! Ya...ya.” Lelaki itu berkira-kira sendiri.
Tanpa membuang masa dia memanjangkan tangan.
Cuba menarik salah satu laci yang terhampir. Huh! Berkunci! Cuba ditarik yang
lain. Berkunci. Ditarik kesemuanya satu per satu. Berkunci. Terjelir lidahnya
kerana gagal mendapatkan apa yang dicari.
Matanya liar memerhati ke setiap ruang dan
setiap sudut. Mana tau dia akan dapat menemui kunci laci tersebut. Tidak
kelihatan. Geram sungguh dia. Dijelingnya Haji Embong yang terbuka dan tertutup
mulutnya. Dengkuran orang tua itu menghasilkan irama yang menyakitkan
telinganya. Dia geram lagi.
Terasa mahu ditekup mulut orang tua
itu supaya tidak bernafas lagi. Otaknya melarang. Otak cepat-cepat mengingatkan
tentang bilik empat segi dengan jeriji besi dan tali gantung. Algojo yang berbadan besar bersedia pada bila-bila masa
saja untuk melakukan tugas menggantungnya. Lidahnya akan terjelir panjang dan
matanya menjadi buntang. Dia tidak akan dapat melihat dunia lagi.
“Haishhh! Apa bendalah yang aku fikir ni? Tak
nampak macam crook langsung!” Dia
mahu ketawa tetapi ditahankan. Matanya masih liar mencari.
“Tu apa yang kilat tu?” Suluhan lampu suluh
yang dipasang sebentar bertembung dengan sesuatu yang berada di bawah bantal
Haji Embong.
Cepat-cepat dia
memanjangkan tangan untuk menyentuhnya. Benda yang berkilat itu terasa keras.
Dia yakin itu adalah segugus anak kunci. Lebar senyum lelaki itu. Tidak sia-sia
dia belajar menjadi orang yang panjang tangan. Ia tidak pernah menghampakan.
Dia tidak peduli kegiatannya itu disukai orang lain atau pun tidak.
“Haaa...aku kata nak benam dalam longkang!”
ujar Haji Embong.
“Opocot!...” Sepantas kilat lelaki itu menutup
mulutnya yang mulai mengeluarkan suara dek rasa terkejut oleh tindakan Haji
Embong. Tangan orang tua itu terjatuh di atas bahunya, membuat dia lebih gugup
lagi.
Senyap lagi. Lelaki itu cuba
mengintai mata Haji Embong. Lega! Matanya masih tertutup rapat. Haji Embong
yang tidur terlentang telah berubah arah. Mengereng. Mukanya betul-betul
berdepan dengan lelaki itu. Sebelah tangan masih terletak elok pada bahunya.
Mahu dialihkan takut Haji Embong akan sedar. Hendak dibiarkan, takut pula dia
yang akan menunggu hingga ke pagi.
“Krerrr...krerrr.” Dengkuran dan
tiupan nafas Haji Embong masuk tepat ke lubang hidung. Kembang kuncup hidungnya
yang kurang mancung itu. Bau yang kurang enak dihidu tanpa rela. Hantinya
menyumpah tidak sudah-sudah.
“Haishhh! Crook kena nekad! Apalah asyik teragak-agak je.” Maklum saja itu
pengalaman pertamanya dalam kegiatan pecah rumah.
Sebelum ini dia hanya memanjangkan
tangan dengan mengambil sekotak dua rokok atau duit di dalam laci taukeh kedai
runcit di Pekan Ulu Telom. Dalam bab itu dia memang handal. Belum sekali pun
tertangkap.
Perlahan-lahan lelaki itu memegang
tangan Haji Embong untuk dialihkan dari bahunya. Kalau tidak nafasnya akan
semakin sesak dengan aroma yang menyeksa hidungnya. Gerakan tangannya seirama
dengan degup jantungnya yang main tarik tali. Separuh takut separuh nekad
berbuat jahat.
“Tidurlah kau sampai pagi ya orang
tua.” Bisiknya setelah berjaya mengalihkan tangan Haji Embong. Lelaki itu
bangga kerana misinya hampir berjaya.
Tangan diseluk semula ke bawah
bantal. Kunci ditarik keluar dengan berhati-hati. Sesekali dia masih
menjeling-jeling Haji Embong sebagai langkah berjaga-jaga. Mana tau kalau
tiba-tiba saja orang tua itu tersedar lalu membuka bunga-bunga silat. Sudah
tentu dia terpaksa membuka langkah seribu. Lari lintang-pukang meninggalkan
rumah Al-Mustaqim.
“Nasib baik tidur mati! Ni kalau
bunyi bom pun tentu tak dengar.”
Lelaki itu mengejek lalu ketawa sendiri.
Gelihati melihat Haji Embong yang terbuka dan tertutup mulutnya. Dasar!
Sudahlah panjang tangan, tidak tahu hormat orang tua pula. Sambil buat jahat
sempat pula mengutuk Haji Embong.
Tanpa membuang masa dia memasukkan
satu per satu anak kunci ke lubang kunci laci pertama. Gagal. Tidak ada yang
padan. Dicuba pula pada laci yang kedua. Tidak berjaya. Laci ketiga juga tidak
memberi hasil.
“Pandai pulak orang tua ni nak
kenakan aku! Macam sama je semua kunci ni. Benda mudah jadi payah.” Rungutnya
perlahan.
“Hah! Berjaya!” Setelah laci keempat
berjaya dibuka lelaki itu melihat ke dalamnya. Di selak satu-satu kertas yang
bersusun. Apa yang dicari masih tidak dijumpai. Hatinya mulai sebal semula.
Perasaan bosan dipujuk-pujuk agar
bertenang sedikit. Usaha yang sudah dimulakan mesti diakhiri dengan kejayaan.
Apabila laci keenam terbuka, segera disuluhnya. Matanya besar apabila membawa
tulisan yang tertera pada fail nipis dalam susunan yang paling atas.
“Wah! Tak payah cari-cari lagi. Dah
menyerah diri. Nasiblah kau fail! Siapa suruh duduk paling atas. Jadi makanan
akulah nampaknya!” Tangannya mencapai laju. Selaju mulutnya yang tidak
sudah-sudah bercakap sendiri.
Fail diambil. Kunci dicampak ke bawah
katil. Dia mesti cepat pergi. Fail yang ditemui diselitkan ke dalam jaket yang
dipakai supaya lebih selamat. Lelaki itu memalingkan badan, menghala ke pintu
bilik. Dengan langkah yakin dia berjalan laju. Tidak sedar ada pasu tembikar
yang besar di dalam bilik Haji Embong.
“Alamak!” Lelaki itu gugup lagi. Pasu
yang disepak telah jatuh ke lantai dan pecah. Bunyinya yang kuat boleh membuat
orang yang tidur terus terjaga.
“Hah! Apa? Apa? Zariq! Guruh ke tu? Nak hujan
ke?” Haji Embong terbangun dari tidurnya. Dia duduk tegak, kebingungan. Terasa baru
mengalami mimpi pelik yang agak panjang.
Mimpi tentang longkang. Tentang
orang suruhan tuan punya tanah. Tentang Al-Mustaqim dan tentang perebutan hak
milik tanah. Haji Embong menggosok-gosok mata apabila terlihat kelibat orang
yang berlari keluar dari biliknya.
“Astaghfirullah...orang ke tu?” Sesudah
pandangannya jelas semula, dia bingkas dari katil. Tidak sedap hati.
Haji Embong berkejar keluar dari
bilik. Dia pasti ada seseorang telah pecah masuk ke Al-Mustaqim. Apa yang
dicari dan dicuri tidak mahu difikirkan dahulu. Dia akan cuba menghalang
pencuri dari keluar.
“Zariq! Tajol! Bangun, ada pencuri!”
Haji Embong menjerit semahu hati. Dia mahu
kedua anak lelaki harapan Al-Mustaqim akan mendengarnya. Haji Embong menjerit
untuk kali kedua sebelum pintu bilik Zariq dan Tajol dibuka. Lega hatinya bila
melihat mereka yang masih berkelubung dengan kain pelikat sudah muncul.
“Pencuri, ayah? Mana dia? Biar Zariq hentak
kepala dia!” Zariq berlari keluar dengan marah. Tajol di belakangnya.
“Dah lari keluar dari bilik ayah.
Cepat kamu ke mari!” laung Haji Embong.
“Tu dia ayah! Dah lari keluar.” Zariq nampak
dengan jelas kelibat lelaki itu dari muka pintu.
“Tajol! Kita kejar! Jangan bagi
peluang dia lari!”
Mereka bersungguh-sungguh mengejar
pencuri itu. Selepas bertahun-tahun tinggal di Al-Mustaqim, mereka sudah mahir
selok-belok kawasan itu. Biarpun dalam gelap malam, mereka memiliki mata yang
tajam.
“Sana
tu. Dia lari kebun kelapa sawit!” Tajol melihat lebih dulu dengan cermin mata
barunya.
“Jangan
lepaskan Jol. Kalau boleh kita tabuh, kita bagi cukup-cukup!” ujar Zariq dengan
nafas turun naik.
“Kita
berpecah Jol. Kau belah sana. Aku situ.” Sambung Zariq. Berlari sambil memberi
arahan.
Tiba di kebun kelapa sawit, kelibat lelaki
yang menjadi pencuri telah hilang. Zariq dan Tajol berhenti di tempat
masing-masing. Kemudian bergerak semula dengan langkah berjaga-jaga. Boleh jadi pencuri bersembunyi di
sebalik batang pokok kelapa sawit. Mereka perlu awas.
“Sana Jol...sana! kejar dia!” Zariq
berlari ke arah yang dilihatnya. Dia mengejar dengan laju.
“Hah! Tu...dia jatuh. Cepat!” Kaki
pencuri tersadung pada pelepah kelapa sawit yang dicantas dan dilonggokkan di
satu tempat. Zariq dan Tajol sudah biasa dengan tempat itu tetapi tidak bagi
pencuri yang kurang ajar itu.
“Ni dia, Zariq!” jerit Tajol yang
menekan semula badan pencuri apabila dia cuba bangun.
“Bantai dia Jol! Jangan bagi peluang
dia lari!” Hanya beberapa langkah saja lagi Zariq akan menghampiri Tajol dan
pencuri.
“Kurang ajar! Nah kau! Rasakan!” Zariq
pula memberikan tumbukan padu.
Dikepal buku lima dengan sekuat hati.
Dihayun berkali-kali. Pencuri mahu melawan tetapi hanya memukul angin. Tidak
mengenai sasaran. Zariq bijak mengelak. Tajol tidak melepaskan peluang
melepaskan tendangan walaupun kurang padu. Sekurang-kurangnya dia juga
menyumbang tenaga untuk melemahkan pencuri yang keji.
“Sudahlah! Teruklah aku macam ni. Satu
lawan dua. Lagi pun aku tak curi apa-apa. Tak sempat.” Rayu pencuri yang
kesakitan.
“Kau jangan nak bohonglah. Mesti ada
yang kau cari kat rumah anak yatim ni. Siapa kau, hah?” soal Zariq.
Terasa mahu menarik topeng yang
menutupi muka pencuri. Setiap kali mencuba asyik gagal. Pencuri itu lebih rela
melindungi topeng yang dipakai daripada badannya yang hampir lembik dipukul berkali-kali.
Upah besar yang dijanjikan oleh seseorang membuat dia berusaha melindungi mukanya.
“Mana ada? Aku tak ambik apa-apa pun.”
Dalihnya lagi.
“Tak mengaku ya? Nah kau!” Zariq
melepaskan pukulan lagi. Ditambah oleh Tajol.
“Zariq!” Dari jauh kelihatan Haji
Embong berjalan dengan longlai menuju ke arah mereka. Langkahnya bagaikan
diheret.
“Kenapa dengan ayah tu?” Keduanya
menoleh serentak.
Pencuri yang menanti peluang,
mengambil kesempatan itu untuk melarikan diri. Apabila Zariq dan Tajol terleka,
dia berlari laju untuk meninggalkan tempat itu. Untuk seketika kedua remaja itu
terpinga. Mana satu yang mahu diuruskan? Pencuri atau Haji Embong?
“Zariq! Jangan lepaskan dia! Kalau
perlu kamu berdua belasah dia cukup-cukup!” jerit Haji Embong dari jauh.
Pemilik Al-Mustaqim menyedari tentang
kehilangan itu sebaik saja dia masuk semula ke dalam bilik untuk memastikan
tidak ada apa-apa yang hilang. Harapannya musnah apabila satu-satunya bukti pemilikan
tanah lenyap dari simpanan. Biarpun lututnya terasa ketar, dia menguatkan diri
untuk memberitahu Zariq dan Tajol.
“Ayah suruh kejar. Jom!” Tanpa banyak
soal Zariq dan Tajol mengejar pencuri.
“Itu dia! Masih ada!” Kali ini Tajol berlari
di hadapan.
“Laju sikit Jol. Dah nak sampai jalan
besar tu!” Selain memberi arahan, Zariq turut memecut.
Pencuri mesti ditangkap. Perintah
Haji Embong mesti dipatuhi. Tentu ada sebabnya jika lelaki tua itu mahukan
begitu. Kebiasaannya Haji Embong kurang suka jika mereka menggunakan tenaga dan
kekasaran terhadap orang lain. Kali ini dia sendiri yang mengarahkan.
“Aku rasa ada kereta tunggu dia tu!”
Zariq amat yakin apabila melihat sebuah kereta seperti sedang menanti pencuri
itu.
“Laju Jol, laju lagi.” Zariq telah
pun berada di hadapan. Mereka seperti sedang berlumba lari jarak jauh.
Kedua remaja dari Al-Mustaqim
mengerah sepenuh tenaga untuk berlari lebih laju. Suasana yang gelap dan jalan
yang berbatu agak menyukarkan. Sedangkan pencuri sudah berada jauh di hujung
jalan. Demi Haji Embong, mereka tidak mahu berputus asa. Merekalah harapan
lelaki tua itu.
“Jol, aku tengok dia macam dah
kepenatan tu. Cepat Jol!”
“Tapi dia dah dekat sangat dengan
kereta yang berhenti tu.” Tajol hilang keyakinan.
“Selagi boleh, selagi daya...jangan
beralah Jol. Kesian ayah! Mesti ada sesuatu yang dah hilang.” Zariq mahu Tajol
bersemangat semula.
Sambil berlari mereka dapat melihat
pintu kereta yang berhenti dibuka oleh seseorang. Seperti mahukan pencuri masuk
ke dalamnya. Jarak di antara mereka dan pencuri agak jauh. Semua tenaga telah
dikerah. Segala daya telah diusahakan.
“Adoi! Ya Allah...kita gagal, Jol.”
Kedua-duanya berhenti. Tidak mengejar lagi. Jika terus melakukan, hanya
sia-sia. Pencuri itu telah berjaya masuk ke dalam kereta dan kereta meluncur
pergi dengan laju.
Zariq terduduk di tengah jalan.
Menitis air matanya. Dia berasa gagal. Gagal untuk menangkap pencuri. Gagal
menangkap pencuri bererti gagal memberi kegembiraan kepada Haji Embong. Tidak
tahu apa yang Haji Embong telah kehilangan sehingga dia berkejar keluar dan
mendesak agar pencuri itu ditangkap. Tajol turut sebak. Seperti Zariq, dia juga
telah gagal.
“Kita balik dulu, Zariq. Ayah tunggu
kita.”
Tajol dan Zariq melangkah dengan
lemah. Mereka mahu tahu apa yang telah hilang dari Haji Embong. Mereka juga
mahu memberitahu betapa gagalnya mereka untuk melaksanakan arahan lelaki tua
yang mereka sayangi itu.
Mereka berasa ralat kerana gagal
menangkap pencuri itu untuk dihadiahkan kepada Haji Embong. Mana tahu Haji
Embong mahu melepaskan geramnya sebelum menghantar pencuri itu ke balai polis.
Harapan mereka mahu melihat orang tua itu menghenyak-henyak pencuri dengan
tenaga tuanya tidak berhasil.
“Ayah mesti sedih.” Luah Tajol.
“Bukan saja ayah...aku pun sedih.
“Hmmm...betul! aku sama...sedih.”
“Apa nak buat Jol, kita dah cuba
sungguh-sungguh.”
“Ya...ya, betul.”