Setiap kali Zariq berada di atas bukit sudah
pasti dia akan banyak termenung. Tajol bosan bila melihat Zariq seperti itu. Kawan
baik merangkap adik-beradik sebumbung Al-Mustaqim itu akan melontar batu-batu
kecil ke dalam tasik yang terletak di bawah kaki bukit. Mulut Zariq kerap benar
menyebut-nyebut nama Nadira.
Sesudah perit kerongkongnya, Zariq
diam. Mencangkung. Kelopak matanya dirapatkan. Muka Nadira cuba digambarkan.
Bagaimanalah Nadira sekarang. Uh! Rindunya setiap kali mengingati senyuman
Nadira sebelum meninggalkan Al-Mustaqim. Terasa dekat tapi jauh. Seolah-olah
ada depan mata tapi tidak dapat disentuh.
“Nadira...aku selalu ingat kau. Aku masih
ingat janji kita dulu...tapi...tapiii, kenapa kau dah pecahkan botol tu. Aku
yakin memang kau yang pecahkan. Tak ada orang lain yang tau tempat kita tanam
botol tu.”
“Alah! Sudahlah...jom kita balik. Botol yang
dah pecah bukan boleh ditampal-tampal lagi. Sebab botol pun nak bising-bising.
Mana tau ada budak-budak main kat belukar tu, lepas tu jumpa botol tu...lepas
tu dorang pecahkan.”
“Banyaklah, lepas tu...lepas tu kau,
Jol. Aku bagi sebijik karang!”
“Kau bagi aku ambik. Bukan susah.”
Berdekah ketawa Tajol. Gelihati
melihat Zariq yang menjadi tidak menentu setiap kali teringatkan Nadira. Tidak sudah-sudah kesalnya sebab tidak
menunjukkan muka sewaktu Nadira meninggalkan Al-Mustaqim 10 tahun dulu. Entah
kenapa walaupun perkara itu sudah begitu lama berlalu tapi sangat susah untuk Zariq
melupakan Nadira.
“Aku nak sangat jumpa Nadira. Aku pun
hairan, kalau ya dia dah jumpa botol tu tentu dia dah baca nota aku...tapi
kenapa dia tak cari aku? Aku kecewa Jol bila tengok serpihan kaca je yang ada.”
Zariq lesu. Selesu air tasik di kaki Bukit
Gondol. Selesu angin yang kurang bertiup pada pagi itu. Hanya keinginannya
untuk bertemu masih belum berhenti. Azamnya akan terus mencari dan memburu Nadira. Dalam
hatinya dia sedang berkira-kira hendak ke Kuala Lumpur untuk mencari adiknya
itu. Kuala Lumpur boleh tahan luasanya. Bolehkah dia menemui Nadira?
“Tapi kan Jol, kami dah janji. Kalau
bukan aku yang letakkan nota, dia pun boleh. Aku rasa betullah kau kata, ada
budak-budak jumpa botol tu. Aku rasa dia tak datang ke belukar tu atau cari
aku. Agaknya dia dan senang-lenang ya Jol...duduk KL sana. Tu yang tak ingat
kat aku.”
“Heh! Tak fahamlah aku. Tadi kau kata
dia yang pecahkan botol. Sekarang kau dah termakan cakap aku pulak. Tak tetap
pendirian betul!. Rileks sudahlah...ni macam tak siuman je.”
“Ya ke Jol? Kau tengok aku macam tak
siuman ya?”
Risau pula Zariq bila mendengar
kata-kata Tajol. Tidak dapat dibayangkan kalau muda-muda lagi sudah tidak waras.
Tentu dia akan keluar masuk hospital bahagia. Apa akan jadi dengan janjinya
kepada Haji Embong? Dia mesti menjaga orang tua itu yang sudah semakin uzur.
Itu janjinya bersama Tajol.
“Kau ni menakutkan akulah, Jol”
“Takut ke? Aku ingat kau spesis yang langsung tak tau
takut. Asyik membelasah orang je kerja kau.” Tajol ketawa.
“Aku belasah orang bersebab. Macam
kau jugak, kan. Kau pun tau kenapa aku...kau...jadi macam tu.”
“Hmmm...ya, betul. Kau rasa Nadira
akan suka ke kalau tau benda-benda tu semua?”
“Kalau dia masih Nadira yang dulu,
aku rasa dia akan faham Jol...tapi tak taulah kalau Nadira dah berubah. Manusia
kan...kita tak boleh jangka.”
Terpaksa Zariq mengakui hakikat itu.
Dia sedar masa dan keadaan mampu mengubah seseorang. Sama ada berubah kepada
yang baik atau sebaliknya. Ada juga betulnya apa yang Tajol cuba ingatkan. Ada
juga gunanya Tajol pada masa kecemasan seperti itu. Sewaktu kepalanya sedang
pusing kerana terlalu memikirkan tentang Nadira.
Sebiji batu kecil diambil lalu dilontar kuat
ke dalam tasik di kaki bukit. Percikan air mengocak air tasik yang tenang.
Zariq mengulangi lagi. Air tasik memercik seperti tadi. Diulangi untuk kali
ketiga. Tasik bergelora. Zariq senyum. Seronok pula dapat mengocak air tasik.
Lega sedikit hatinya.
“Aku
tau Nadira. Hati kau pun macam air tasik yang dilontar batu. Kau mesti tak
tenang kan. Macam aku. Aku percaya, Nadira! Aku percaya!”
“Hah! Dah mula balik! Aku ingat dah insaf
tadi. Gelilah ketiak aku tengok kau macam ni. Tak padan dengan berengaknya kau
bila berdepan dengan orang yang pernah kau belasah. Macam langit dengan bumi.”
Sekali lagi Tajol menegur.
Rupa-rupanya Zariq tidak makan saman. Sedar sekejap selepas itu membebel lagi.
Air tasiklah...itulah...inilah. Hai Zariq...Zariq. Terasa hendak ditinggalkan
saja Zariq di atas Bukit Gondol itu tapi Tajol masih sedar diri. Dia yang
menumpang Kancil Zariq. Terpaksalah Tajol terus mendengar omelan Zariq tapi
berada di Ulu Telom memang mendamaikan.
“Zariq...aku tidur dulu, boleh?”
“Tak ada kerja ke nak tidur atas
bukit ni.”
“Memanglah kita datang sini bukan
nak kerja, kan. Cuma nak dengar bebelan kau tu. Daripada dengar kau asyik
sebut, oh! Nadira...Nadira...Nadira, tak sudah-sudah. Lagi baik aku buat tahi
mata. Mana tau aku mimpi jumpa puteri yang jaga tasik tu. Mana tau kan.”
Kali ini terhambur ketawa Zariq.
Barulah dia tau kawan baiknya itu sudah kebosanan dengan ragamnya. Kasihan Tajol.
Salah Tajol juga, setiap kali dia hendak ke Bukit Gondol sudah pasti Tajol
hendak ikut sama. Ke mana saja Zariq pergi, mesti ada Tajol. Masih seperti
beberapa tahun dulu.
“Cabullah mulut kau tu. Kalau puteri
tasik ikut kau balik, ada berani ke?”
“Kau rasa puteri tasik terliur ke
tengok aku. Sedangkan manusia macam kita pun takut nakdekat aku ni. Maklumlah
terlebih lawa.” Tajol terbahak-bahak sambil membetulkan cermin matanya. Mujur badannya
yang bulat-bulat masa kecil dulu sudah berubah segak.
“Ya jugak...aku lupa pulak yang kau
ni memang orang kata...apa tu? Haaa...rupa tak ada, budi bahasa pun kurang.
Sesuai sangatlah dengan kau.” Zariq menyambung ketawa sedangkan ketawa Tajol
terhenti begitu saja.
“Kau marah ke Jol.” Tidak sedap hati
pula bila Zariq melihat perubahan Tajol.
“Aku bukan budak kecik. Sikit-sikit nak marah.
Biasalah tu.”
Tajol meletakkan badannya pada
hamparan rumput bukit. Dia berbaring sambil merenung langit. Biru bersih. Hanya
ada sedikit awan di sana sini. Anak matanya beralih ke Zariq pula. Zariq masih
merenung ke dalam tasik. Apa saja yang Zariq sedang fikirkan. Sudah pasti
tentang Nadira yang jauh di mata dekat di hati.
“Zariq...kau pernah terfikir tak? Apa
kesudahan hidup kita ni.”
“Kenapa tiba-tiba tanya?”
“Saja
aku nak tau pendapat kau.”
“Haaa...kalau untuk diri aku, aku tak
pasti lagi. Tak fikirkan sangat. Biarlah semuanya bergerak sendiri je. Ikut
aturan Allah. Cuma satu...selagi aku tak dapat gembirakan ayah, tak senang hati
aku ni.”
Dua sahabat itu diam. Setiap kali
teringatkan Haji Embong ada kepiluan di hati mereka. Kedegilan mereka untuk
tidak mahu berpisah dengan Haji Embong beberapa tahun dulu adalah pilihan yang
tepat.
Sekarang ini merekalah anak lelaki
yang sentiasa mengambil berat tentang Haji Embong. Kadang-kadang Midi, Cik Ah,
Busyra dan yang lain-lain masih juga sudi mengunjungi orang tua itu. Hanya
Nadira yang tidak pernah menjengah sejak dia meninggalkan Al-Mustaqim.
Ada masanya Zariq merasakan tidak wajar untuk
Nadira terus melupakan Haji Embong. Terlalu banyak pengorbanan Haji Embong
untuk mereka. Hingga ke hari ini orang tua itu masih menyebut-nyebut tentang
Nadira. Mungkin dia juga seperti dirinya dan Tajol. Merindui Nadira yang sudah
menjadi sebahagian dari keluarga mereka selama beberapa tahun lamanya.
“Kau tau tak Jol?”
“Kau belum cakap manalah aku nak tau.
Cer cerita...cer.”
“Entah...payah aku nak cakap.”
“Dah sudah...macam tu pulak. Ada-ada
je kau ni.”
“Huuu...kadang-kadang aku tak puas
hati dengan Nadira. Aku rasa dia macam kacang lupakan kulit. Kadang-kadng benci
pun ada dengan sikap dia yang langsung tak ingat ayah. Masa yang lain pulak aku
rindu nak jumpa dia.”
Tajol duduk semula. Sama-sama
memandang ke dalam tasik. Dia tidak menafikan apa yang dirasai olah Zariq tidak
ada beza dengan perasaannya. Dia juga berasa hairan mengapa selama beberapa
tahun ini Nadira langsung tidak menjengah Haji Embong. Sekurang-kurangnya
bertanya khabar ayah tua mereka itu.
“Tapi kau tak benci orangnya kan, Zariq?”
Duga Tajol.
“Entah...yang pasti bila aku tengah geram hati
aku berbisik, tak payah muncul terus pun tak apa. Itu lebih baik. Senang untuk
aku lupakan terus. Tapi separuh dari otak aku ni asyik nak fikir dia je. Heh! Tension aku!”
Tajol tahu apa yang ada di dalam hati kawan
baiknya itu. Sama dengan apa yang dia rasakan selama ini. Seperti kata Zariq,
sebahagian dari otaknya seperti cip yang sentiasa menyimpan memori tentang
Nadira. Cip itu sudah melekat dan tidak boleh ditanggalkan lagi.
“Kau sayang Nadira?”
“Ah! Kau ni Jol. Mestilah sayang.
Macam aku sayang kau. Macam kau sayang Nadira. Sayang Busyra, Midi, Cik
Ah...semua yang jadi keluarga kita.”
“Ikhlas?”
“Jol,
ikhlas bukan letak kat mulut. Dalam hati ni haaa...” Zariq meletakkan tangan
kanan pada dadanya yang agak bidang. Mungkin berbulu sedikit...eiii.
“Lega aku!”
Ada perkiraan dalam kepala Tajol. Dia
hendak menguji Zariq lagi. Masih tentang Nadira. Seboleh-bolehya Tajol mahu
mengorek isi hati Zariq. Kepastian itu sangat penting buatnya. Lebih penting
dari sekadar duduk-duduk di atas Bukit Gondol itu.
“Lega? Apa fasal pulak?”
“Taklah...kau kata sayang Nadira macam
keluarga. Okeylah tu. Selamatlah aku.”
“Kau jangan! Tolonglah jangan bagi aku suspen.”
Tidak senang duduk Zariq dibuatnya. Kata-kata Tajol dipenuhi tanda-tanya. Apa
sajalah muslihat Tajol kali ini.
“Tak payah suspen sangatlah. Bukan
apa sekurang-kurangnya aku ni bakal adik ipar kau. Kan Nadira tu adik kau.”
“Hampeh kau!” kutuk Zariq.
“Jol, balik jom. Dah lama kita kat
sini.”
Zariq sudah hilang selera untuk terus
berada di Bukit Botak. Kata-kata Tajol betul-betul mengganggu fikirannya. Jika
Tajol memaksudkan apa yang diperkatakan tadi, itu bermakna Tajol memang
menyimpan hati terhadap Nadira.
Dirinya? Entahlah, Zariq tidak pasti. Apa yang
pasti nama Nadira tidak pernah pergi dari dalam hatinya. Seorang budak berkulit
putih melepak dengan rambut kerinting bergulung di hujungnya. Budak yang selalu
dihadiahi dengan gula-gula dan kalau ada lebihan duit tabungan, Zariq akan
membelikan sehelai T-shirt bergambar kartun.
‘Entah macam mana kau sekarang, Nadira. Aku
tak pernah putus berdoa supaya dipertemukan dengan kau semula. Aku harap kau baik-baik
je.’ Bisik Zariq.
“Nak balik ke tidak ni?” ulang Tajol.
“Okey...kita balik.” Tajol mengangkat
punggung untuk bangkit. Begitu juga Zariq. Mereka melangkah seiring tanpa
bersuara. Untuk sementara masing-masing cuba membuang nama Nadira dari fikiran
mereka. Biar otak dan hati mereka aman tanpa diganggu oleh bayangan Nadira.