Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 8

Bab 8

“Kak long, merah-merahnya rambutan tu tapi tinggilah pokoknya.” Mata Rima merayau-rayau memerhati buah rambutan yang bergayutan di dahannya. Terliur sungguh dia. Fina yang berjalan terkedek-kedek menghampiri Rima dengan membawa anak patung bersaiz besar. Dia menghulurkan anak patung supaya Rima menyambutnya.

“Haiiipp, maksu tak boleh main anak patung dah. Maksu kan dah dewasa,” ujar Rima dengan yakin. Dia cuba menolak anak patung itu. Sufiah diam sahaja. Bila mengingatkan apa yang diceritakan oleh Daud selepas pulang dari kampung malam tadi, Sufiah tidak dapat menahan ketawa. Mujur saja pada masa itu Rima sudah pun tidur lena. Kalaulah Rima dengar, tentu dia akan minta dihantar pulang semula ke kampung malam itu juga.

“Adik nak ke? Pandai kait tak? Kak long tak laratlah nak angkat galah. Tunggulah abang long balik ya.” Sufiah menarik nafas payah. Perutnya yang semakin memboyot sangat menyukarkan pernafasannya. Dia menyandarkan tubuhnya di dinding bangsal di belakang rumah. Bangsal itu adalah tempat untuk menikamti angin yang banyak kerana ia hanya berdinding separuh.

“Galah tu panjang sangatlah kak long. Mesti berat tu. Tak pandailah adik.”

“Tak pandai sudah. Kamu tolong jagakan Fina kejap ya, kak long nak lelapkan mata. Mengantuk sangat rasa.” Pinta Sufiah. Rima mengangguk tanda setuju.

Sufiah merebahkan tubuhnya di atas sehelai tikar mengkuang. Lengan kanannya dijadikan bantal. Rima membawa Fina ke hujung bangsal supaya dia tidak mengganggu Sufiah. Fina mengheret anak patung dengan malas. Anak kecil berusia dua tahun itu mulai bosan kerana tidak ada yang mahu melayannya bermain.

“Makcu, main.” Pujuk anak kecil yang baru pandai bercakap itu dengan muka kasihan. Rambut ikal yang menutupi dahinya berjuntaian menampakkan kecomelannya. Rima menguak rambut anak buahnya itu. Rimas dia melihatnya.

Rima merenung lama anak patung besar kepunyaan Fina. Biji mata anak patung yang besar akan terkelip-kelip bila ia digerak-gerakkan. Dia membiarkan Fina bermain sendirian. Fina bercakap-cakap dengan anak patung yang tidak memahami apa-apa. Sekejap-sekejap Fina akan tergelak-gelak, kemudian dia memuncungkan bibir untuk mencium anak patung itu.

‘Isyyy! Budak kecik ni dah menggoda adiklah. Hmmm, nak main ke tak ya? Kalau main, adik nampak macam budak-budak. Nanti sedap-sedap je Kak Asmah cakap, “adik! Bilalah kamu ni nak jadi dewasa? Tak sudah-sudah buat nakal!”...bla bla bla bla...huh! benci adik,” bisik Rima.

‘Tapi...masa kecik ibu tak ada pun belikan anak patung macam ni. Best jugak kalau dapat main ni. Bukan ada orang nampak pun. Kak long tidur nyenyak, Kak Asmah pulak jauh kat kampung sana...hek hek hek. Ada peluang ni.’ Rima tersengih sendiri.

“Makcu, napa nak tawa?” soal Fina dengan kuat. Rima cepat-cepat menekup mulut anak kecil itu. Takut Sufiah akan terjaga. Akan musanahlah harapannya mahu bermain dengan anak patung yang dia tidak pernah ada semasa dia kanak-kanak.

“Fina cayang, Fina nak bobok tak? Tu umi Fina dah bobok. Maksu buai Fina ya.” Fina hanya angguk apabila mendengar pertanyaan Rima. Rima lega. Muslihatnya hampir menjadi. Dia tidak mahu Fina melihatnya bermain anak patung. Malulah dia.

Tubuh kecil Fina dicempung lalu dimasukkan ke dalam buaian yang sudah sedia tergantung pada kayu alang bangsal itu. Susu yang sudah siap dibancuh oleh Sufiah awal-awal tadi diberi kepada Fina. Setelah susu dihisap, tidak sampai 15 minit Fina pun terlena. Mengantuk sungguh dia agaknya.

Rima lega. Dia mengambil anak patung di atas tikar mengkuang. Dibelek-belek dan ditelek-telek. Dia senyum sendiri. Inilah peluang emas yang akan digunakan dengan sebaik mungkin. Yesss! Rima membengkokkan anak patung besar itu kemudian dikelek pada pinggangnya. Rambut plastik anak patung itu diusap, kemudian hidungnya ditarik kuat.

“Ha ha ha ha...bilalah kamu ni nak dewasa, adik? Dah datang bulan tapi masih jugak macam budak-budak! Dah main anak patung pulak dia!...ha ha ha,” anak patung dicampakkan jauh sebaik tengiang-ngiang ejekan Kak Asmah menendang-nendang lubang telinganya.

“Sampai ke sini Kak Asmah ikut adik. Teruknya! Benci betullah!”, sungut Rima yang semakin geram dengan Asmah. Anak patung besar dikuis dengan kaki, ditolak ke tapi dinding. Alahai, bosannya.

“Sedapnya kak long dengkur. Apalah adik nak buat sorang-sorang ni?” sudahnya Rima bercakap sendirian. Bosan melanda.

“Mulut ni pulak rasa nak makan je. Hmmm, panjat pokok rambutan pun ok jugak ni!” seperti biasa, Rima terlupa lagi angan-angannya untuk cepat menjadi dewasa. Bayangan Asmah yang datang mengejeknya hilang lenyap begitu sahaja.

Tanpa berfikir dua kali, Rima menghampiri pokok rambutan di tepi bangsal. Dia mendongak sebentar. Terik matahari memanah biji matanya. Silau. Rima tidak peduli. Yang penting dia mesti mendapatkan buah rambutan masak merah yang asyik melambai-lambai tekak dan perutnya.

Rima mengambil bangku kayu tinggi yang sudah agak senget. Untuk ke dahan pertama yang paling rendah, dia memerlukan sesuatu untuk memudahkannya memanjat. “Selamat ke ni? Isyyy...alah, adik ringan je.” Rima tidak mengendahkan amaran hatinya.

“Boleh ni, boleh!” berjaya juga Rima melepasi halangan pertama. Kakinya sudah pun mencecah ke dahan yang paling rendah. Dia tersenyum megah.

Untuk ke dahan yang lebih tinggi, Rima terpaksa mendongak. Silau matahari tepat ke biji mata. Adoi, peritnya. Rima menggosok-gosok mata beberapa kali. Pedih dan merah. Memang dasar budak nakal, dalam panas terik masih mahu memanjat pokok rambutan.

Buah rambutan merah yang bergayutan di sana sini membuat iman Rima semakin nipis. Panas terik dia tidak kisah. Tangkai rambutan yang letaknya pada dahan yang tinggi dia tidak peduli. Yang penting, dia mesti memastikan misinya akan berjaya. Hendak menunggu abang longnya balik dari luar daerah, alamat kempunanlah dia. Kalau hari ini dia hendakkan sesuatu, hari ini juga mesti dapat. Tidak boleh tidak!

Dengan yakin Rima cuba memanjat pada dahan yang kedua pula. Sebaik kaki kanannya memijak dahan, sekali lagi panahan matahari membuat matanya silau. Terpaksa digosok lagi biji mata merahnya. Tangannya tidak dapat berpaut pada batang pokok lagi. Imbangan kakinya juga tidak dapat dikawal dengan baik.

“Tolonggg! Ibu! Ayah! Kak longgg! Adoi, sakitnya adik! Sakitnyaaa! Matilah adik, matilah!” serentak dengan itu, tubuh Rima terhentak pada akar rambutan yang timbul berselirat di permukaan tanah. Rima menyeringai menahan sakit. Mukanya dipenuhi banjir peluh. Sakitnya bukan kepalang.

“Apa tu? Apa? Kenapa? Kenapa?” mendengar jeritan kuat Rima, Sufiah yang sedang tidur lena telah tersentak. Dia terkebil-kebil. Degup jantungnya tiba-tiba menjadi laju. Sufiah terkejut bukan main. Tiba-tiba perutnya senak. Sakit!

Di bawah pokok rambutan, Rima mengerang sakit. Tangan kanannya tidak boleh digerakkan. Sufiah juga tidak dapat berdiri untuk membantu Rima. Nasib baik Fina masih lena, kalau tidak akan menambah masalah kerana Fina suka menangis bila bangun dari tidur.

“Kak long, sakitnya tangan adik ni. Tolonglah adik, kak long!” rayu Rima yang sudah mulai meleleh air matanya.

“Kak long tak boleh bangun ni, adik. Baby macam dah nak keluar. Kak long pun takut. Cuba

adik jerit kuat-kuat, mana tau ada jiran yang boleh dengar.” Arah Sufiah disela kesakitannya.

“Adoi, sakitnya, sakitnya.” Omel Rima yang masih menyeringai.

“Tolonggg! Tolonggg!...tolong! tolong!” dengan sedaya upaya, Rima berusaha menjerit. Kuat dan bersungguh-sungguh.

“Adiiik, baby kak long dah nak keluar dik! Macam mana ni?” suara Sufiah berlaga dengan jeritan Rima. Kedua beradik berpandangan. Masing-masing menahan sakit dengan muka yang kelat. Mereka sudah bermandi peluh.

“Tahanlah kak long, jangan bagi baby keluar!” tidak tahu lagi apa yang boleh dilakukan oleh Rima.

“Mana boleh! Adooiii, ya Allah! Ya Allahhh!” Sufiah tidak dapat bertahan.

‘Semua salah adik! Salah adik!’ dalam diam, Rima marah pada diri sendiri. Geram dan sesal dengan sikapnya yang sudah menyusahkan orang lain. Lebih-lebih lagi orang itu adalah Sufiah, bukan Asmah! Arghhh!

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Raihan Zaffya