Bab 27
Sulaiman atau Syidah? Kedua-duanya tidak mahu difikirkan lagi. Jika diingat-ingatkan lagi akan membuat otak Rima jadi lebih padat. Kalau boleh segala ingatan itu hendak dibuang jauh-jauh ke dalam gaung. Rima mahu menyimpan benda-benda yang menggembirakan saja di dalam kepalanya. Kalau surat Sulaiman datang lagi, dia akan simpan baik-baik tanpa membacanya hinggalah dia sudah cukup bersedia. Kalau Syidah pula yang datang...entah, belum ada apa-apa perancangan.
“Aku tengok engkau ni macam tak ada apa-apa je, adik.” Ita berasa hairan dengan sikap tenang Rima.
“Yalah tu...dalam hati ni Tuhan aje yang tau. Kalau boleh adik nak keluarkan kejap hati ni, cuci bersih-bersih supaya perasaan yang tak elok dalamnya dapat dibuang. Lepas tu masukkan balik ke tempatnya. Adik ni bukan malaikat. Geram, sedih dan entah apa-apa perasaan semuanya ada. Paling adik tak suka bila ada benci...hmmm...entahah Ita.” Balas Rima panjang lebar.
“Macam tu ya?”
“Yalah...macam tulah. Habis, macamana lagi?” soal Rima pula.
“Engkau tabahlah adik.” Puji Ita.
“Orang yang tabah tak akan mengeluh macam adik ni. Ko kan selalu dengar adik mengeluh kan.” Rima ketawa di hujung kata-katanya.
“Kalau aku kan adik, aku akan balas surat Sulaiman. Sekurang-kurangnya hati engkau akan terhibur, tak adalah hati tu bengkak aje bila teringat perempuan tu.”
“Nama dia Syidah, ok!” Spontan Rima meninggikan suara. Selepas itu dia terus sedar kesilapannya.
“Errr...maafkan adik ya Ita. Haishhh...tak fahamlah, kenapa pulak adik nak marah bila ko cakap macam tu...ermmm.” Keluhan Rima kedengaran lagi. Ita yang agak terkejut sewaktu Rima meninggikan suara terus tersenyum sebaik Rima meminta maaf.
“Adoilah...boleh biol kalau adik terus macam ni. Cepatlah dapat panggilan belajar. Adik nak jadi guru...nak jadi guruuu.” Omel Rima sambil beria-ia. Ita ketawa melihat sikap Rima yang lucu.
“Aku tabiklah kat engkau. Dalam sedih pun masih sempat buat lawak.”
“Habis, ko nak tengok adik cepat tua? Adik tak nak!” sahut Rima. Hakikatnya, dalam hatinya sedang berperang. Peperangan zahir dan batin. Yang orang lain tidak tahu dan tidak perlu tahu. Kalau lemah tentulah tak nampak dewasa.
Jambu susu di tangan Rima sudah tinggal separuh. Sedap sungguh bila dicicah dengan garam. Rima memang hantu jambu susu, dia boleh menghabiskan 3-4 biji dalam satu masa. Ita sudah kalah, tidak mampu menghabiskan jambu kepunyaannya. Perutnya sudah senak.
“Ita, kalau adik dapat panggilan belajar, ko tolong jaga ibu ayah adik ya. Ko tu kan tak ada minat belajar kan. Jadi ada ajelah ko kat kampung ni.” Pinta Rima sambil mengusik Ita.
“Kalau engkau tak cakap pun aku taulah. Kan aku selalu tidur rumah engkau.”
“Itu tidur...adik nak engkau jaga, bukan tidur. Kalau datang rumah adik cuma nak tidur, baik tak payah.” Usik Rima. Ita sengih.
“Ita”
“Apa dia?”
Rima diam. Mulutnya terus mengunyah jambu susu. Matanya pula mendongak dan merayau memerhati dahan-dahan dan dedaun pokok jambu susu. Pokok itulah yang dulu selalu menjadi mangsanya. Buah jambu susu belum masak ranum sudah dipetik untuk dimakan. Terjerit pekik Pak Seman yang menunggu di bawah pokok dengan sebatang rotan. Mulutnya rancak memarahi Rima yang nakal. Terkenangkan itu, Rima tersengih sendiri.
“Sengih-sengih pulak dia!” tegur Ita.
“Adik teringat pak andak tunggu bawah pokok ni dengan rotan,” balas Rima. Ita tumpang sengih.
“Ita.”
“Dari tadi asyik Ita, Ita...apa engkau sebenarnya yang adik nak cakap ni?” Sudahnya Ita naik geram.
“Macam ni...errr, nak cakap apa ya?”
“Semacam aje engkau ni adik.” Ita berminat untuk tahu.
“Memang semacam...adik rasa semacam.” Akhirnya Rima membuka mulut.
“Semacam?”
“Sebenarnya kan Ita...lahai malunya nak cakap. Nanti ko ketawakan adik.” Rima menutup muka.
“Mengadanyalah. Sejak bila malu dengan aku pulak?” Bibir Ita dijuihkan.
“Dulu tak malu...sekarang tiba-tiba jadi malu. Sebenarnya kan, adik suka kat Sulaiman. Bukan macam adik suka Juki. Isyyy...susah adik nak cakap. Sebabnya bukan kenal dia pun...tapi...alahai susahnya nak jelaskan kat ko.”
“Haaa! C.I.N.T.A! dah sah!” jerit Ita. Cepat-cepat Rima menekup mulut Ita.
“Tak payah jeritlah! Satu kampung dengar nanti!” ujar Rima geram.
“Sepupu aku dah jatuh cinta, mestilah aku suka.”
“Cinta? Eh! Taklah!...tak! Tak percayalah cinta-cinta ni. Semua tu karut aje!” Bantah Rima dengan yakin.
Ita menahan ketawa sedangkan hatinya seperti sedang digaru-garu dengan pencakar sampah kepunyaan ayahnya yang tersandar di batang pokok kopi. Bukan Ita tidak tahu betapa pantangnya Rima bila disebut tentang cinta. Sayangnya dalam tidak sedar dia telah terjatuh dalam lubang cinta. Sampai bila Rima hendak bertahan dengan prinsipnya, Ita tidak pasti. Apa yang pasti hati Rima sudah mulai cair dengan cinta.
“Nak gelak, gelak ajelah. Kembang-kuncup, kembang-kuncup hidung ko adik tengok. Mesti ketawakan adik, kan!”
“Marah nampak!” suara ketawa Ita pecah juga.
“Taklah...adik bukan apa. Memanglah adik tak nak bercinta...eh, mungkin nak kut...tapi belum sampai masa.” Jelas Rima ragu-ragu.
“Makin tak faham aku. Kejap macam nak, kejap tak nak.”
“Alaaa, ko memang tak faham. Tak apalah...biar adik sorang yang faham.” Malas untuk Rima memanjangkan lagi.
“Kalau adik nak balik surat Sulaiman tu, ada lagi kat tempat bakar sampah. Aku tak koyak pun. Ada aku tindih dengan batu, dah kotor agaknya.” Ita memberitahu dengan selamba. Dia sendiri tidak pasti adalah Rima masih berminat tentang surat Sulaiman itu.
“Ada lagi ya? Adik balik nanti nak ambiklah...nak simpan.”
“Tak nak balas?” Uji Ita.
“Tak! Nak simpan aje.”
Sekali lagi Ita berasa pelik. Apa sebenarnya yang Rima mahukan? Kadang-kadang Ita melihat Rima seperti orang yang tidak ada pendirian tapi kadang-kadang dia menjadi orang yang paling tegas dalam dunia. Ada masanya pula sepupunya yang satu itu seperti membenci cinta tapi ada waktunya seperti orang yang sedang jatuh cinta. Sudahnya Ita yang bingung sedangkan Rima selamba saja.
“Baik tak payah ambik!” ujar Ita.
“Nak simpan...kalau dia betul suka adik, dia akan cari adik, akan tunggu adik sampai satu masa yang adik tak tau. Adik nak teruskan cita-cita adik, nak sambung belajar lepas tu nak jadi guru. Buat masa sekarang tak nak fikirkan apa-apa.” Pendirian Rima dinyatakan dengan jelas lalu Ita mengangguk-angguk tanda faham. Biarpun Ita faham tapi dia tidak puas hati dengan pendirian Rima.
“Kalau Sulaiman tak cari, tak tunggu adik?” soalnya.
“Terpulang pada keadaan. Ada, adalah. Tak ada...tak adalah.” Keputusan Rima sudah nekad.
“Ishhh! Senangnya...” Bukan Rima yang tidak yakin tapi Ita yang ragu-ragu.
Rima merenung daun-daun jambu susu yang sudah mengering. Tidak lama lagi daun-daun itu akan dicakar dengan pencakar sampah oleh Pak Seman. Selepas itu akan dilonggokkan di satu tempat untuk dibakar. Sesudah dibakar ia akan menjadi abu yang bakal diterbangkan oleh angin yang bertiup kuat. Mudah saja. Semudah membakar daun keringkah laluan hidup ini? Sudah tentu tidak sama sekali.
“Mana ada yang mudah dalam hidup ni. Semuanya susah...payah. Sebab tu adik tak nak menyusahkan diri pada benda yang belum pasti, kalau gagal adik jugak akan kecewa. Cukuplah masalah adik dengan perempuan tu. Itu pun dah cukup memeningkan kepala adik.” Perlahan dan tegas suara Rima. Itulah keputusan yang diambilnya. Dia mahu mengejar cita cita sebelum terjebak dalam cinta yang masih tidak pasti.