Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alahai, Mat Salih!
Bab 28

DEBARAN di hati Aira tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Bilik yang berhawa dingin dirasakan terlalu panas hingga menyesakkan. Aduhai, beginikah yang dirasakan oleh setiap pengantin? Sepatutnya tidak ada perkara yang perlu dirisaukan lagi kerana majlis akad nikah telah pun berlangsung. Namun, Aira merasakan debaran kali ini lebih kencang dibandingkan semasa akad nikah tiga minggu yang lalu.

Kedengaran dari luar, rombongan pengantin lelaki telah tiba. Aira semakin berdebar-debar. Tidak tentu arah dibuatnya walau sebenarnya telah lama terpaku di birai katil ditemani Amy dan Marlinda. Sesekali mereka mengusiknya, namun sedikit pun tidak dihiraukan.

“Assalamualaikum,” kedengaran suara memberi salam memecah kesunyian.

“Waalaikumussalam,” jawab Aira antara dengar dengan tidak. Tiba-tiba dia dikejutkan dengan kehadiran si kecil yang dia jumpa semasa di Alamanda, Putrajaya.

Sofea menghampiri Aira dengan tersenyum manja. Marlinda menunjukkan reaksi hairan dengan kehadiran si kecil. Yalah, dia juga pernah berjumpa dengan Sofea.

Aira apatah lagi. Siapa pulak yang menjemput Sofea? Ini yang buat dia tertanya-tanya.“Sofea datang dengan siapa?”soalnya inginkan kepastian.

“Dengan rombonganlah,” jawab Sofea dengan cerianya.

Aira terkejut dengan jawapan si kecil. ‘Dengan rombongan? Apa kena-mengena Sofea dengan rombongan?’ Tiba-tiba sahaja debaran di dadanya semakin kencang.

“Eh! Auntie Sha pun ada sama?” ujar Sofea pula sebaik ternampak Kak Sha masuk ke bilik Aira.

“Kak Sha kenal Sofea?” tanya Aira.

Kak Sha menekup mulut sambil mengangkat bahunya.

“Kak Sha…?” Aira memandang tepat ke arah Kak Sha minta penjelasannya.

Kak Sha hanya diam.

“Kak Sha sembunyikan sesuatu dari Aira?” Aira masih tertanya-tanya.

“Nanti Kak Sha cerita okey?” ujar Kak Sha.

Aira sudah tidak terkata. Mak andam masuk dan memberi isyarat majlis sarung cincin akan dimulakan tidak lama lagi. Kalau boleh Aira hendak bangun dan bertanya apa sebenarnya yang berlaku pada masa itu juga, namun kakinya seakan dipaku agar tidak berganjak.

Thanks Auntie Aira sebab kahwin dengan ayah.”

Kata-kata si kecil benar-benar buat Aira terkejut besar. Oh, tidak! Dia anak Zafri? Kenapa perkara begini menimpanya? Kenapa Zafri pun tidak pernah beritahu?

“Kak Sha!” panggil Aira.

Terpaksalah Kak Sha datang menghampiri. Aira sudah mula tidak keruan. Nafasnya kian tidak menentu.

SorryAira. Kak Sha tahu Kak Sha salah sebab tak cerita habis.” Kak Sha cuba menenangkan keadaan.

Wajah Aira telah berubah. Dia sedaya upaya cuba mententeramkan perasaannya. Marah ada, geram pun ada. Hendak marah Kak Sha pun sudah tiada gunanya kerana dia sendiri yang memberi persetujuan dengan cadangan Kak Sha. Tidak sangka pula begini jadinya.

Anyway selepas bernikah hari tu, Zafri tak beritahu Aira ke?” tanya Kak Sha pelik. ‘Bernikah sudah tiga minggu, masakan tidak tahu pasal Sofea? Hmm…sah, ini mesti Aira tidak serumah dengan Zafri,’ detik Kak Sha. Patutlah bosnya tidak begitu ceria walaupun telah bernikah dengan Aira. Namun, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana di pejabat pun ada macam-macam masalah juga.

“Tak,” jawab Aira sepatah. Kurang asam betul Kak Sha ni. Dia mahu lari dari Abang Lokman, kononnya tidak mahu berkahwin dengan duda beranak tiga. Sudahnya apa yang Aira dapat tiada bezanya, lebih baik tidak payah berkahwin langsung!

Astaghfirullahalazim… Aira, bawa mengucap banyak-banyak. Tidak baik melawan takdir yang datang. Boleh jadi kamu benci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. ALLAH Maha Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui. Teringat tafsir ayat al-Quran dari surah al-Baqarah yang dibaca sebelum ini. Aira cuba memujuk dan membawa dirinya untuk bertenang.

Tidak berapa lama kemudian, Zafri masuk dengan senyuman yang menawan. Tidak sempat Aira hendak jeling suami bertuah itu. Dia tunduk sahaja menanti dengan debaran. ‘Cepatlah sarung cincin tu, berdiri lagi dekat situ buat apa?’ Sempat juga dia hendak membebel dalam keadaan fikiran yang sudah berkecamuk.

Aira menyalam dan mencium tangan Zafri sebaik suaminya itu menyarungkan cincin ke jari manisnya. Jurugambar pula asyik suruh ulang cium tangan sebab nak ambil gambar dari sudut yang berlainan. Saat ni Aira terpaksa mnegenepikan perasaannya. Nasib baiklah sesi bergambar di dalam bilik tidak lama. Begitu pun dia tetap rasa segan, lebih-lebih lagi pada Amy dan Marlinda.


MAJLIS kenduri meriah dengan kehadiran saudara mara dan rakan-rakan Zafri dan Aira. Sebenarnya Zafri agak terkilan kerana terpaksa bersetuju dengan permintaan Aira yang hanya mahu majlis kenduri diadakan di pihak Aira sahaja. Kiranya sekali dengan pihak Zafri juga. Tiada majlis persandingan dan merenjis atas permintaan Aira sendiri.

Memanglah Zafri tiada saudara mara di Malaysia, namun itu tidak bermakna dia tidak berkeinginan mengadakan majlis di pihaknya juga. Memikirkan dia sendiri banyak bergantung pada Kak Sha untuk menguruskan perkahwinannya, terpaksa jugalah dia beralah.

Lagipun Zafri sendiri banyak benda yang dia tidak berapa tahu dan arif. Selebihnya buat kerja kahwin ini memang memenatkan kerana banyak persediaan yang perlu dilakukan.

Betul juga kata Aira, mereka bukanlah muda lagi, tidak perlulah hendak buat besar-besaran. Apa yang penting majlis perkahwinan meriah dalam kesederhanaan. Itu lebih berkat kerana tidak melakukan pembaziran walaupun sebenarnya wang bukanlah masalah bagi Zafri mahupun Aira.

Malamnya, Aira sibuk mengemas pula. Dia memang tidak reti hendak duduk diam. Dia tidak boleh lihat barang-barang berselerak nanti dirinya pun berserabut. Lagipun itu sahajalah cara untuk tidak asyik berkepit dengan Zafri.

Setelah selesai mengemas, dia keluar menuju ke bilik Puan Ainun untuk mengambil cadar tambahan. Namun, langkahnya terhenti tatkala terpandang ibunya sedang bersedih sambil menatap potret Kak Maira. ‘Ya ALLAH! Bagaimana aku boleh terlupa dengan kakakku yang seorang ini?’

Tiba-tiba Aira sendiri jadi sebak dan kemudiannya berpatah semula ke biliknya. Tidak sanggup rasanya hendak masuk ke bilik ibunya. Ia hanya akan menambah sedih di hatinya mahupun Puan Ainun. Ibunya pasti teramat rindu dengan Kak Maira. Diam tak diam, tanpa diduga sudah hampir sepuluh tahun Kak Maira membawa diri.

Dahulu ada juga Kak Maira menghubungi Aira melalui e-mel walaupun jarang-jarang. Namun, sejak empat tahun yang lalu, Kak Maira langsung tidak menghubunginya malah e-melnya juga tidak berbalas. Akhirnya mereka terputus hubungan. Aira sendiri tidak pasti adakah Kak Maira masih berada di Seattle, USA atau telah berpindah ke tempat lain.

Kesibukan di tempat kerja menyebabkannya terlupa langsung pasal Kak Maira. Adik apakah aku? Kahwin punya pasal sampai lupa terus kakak sendiri? Dalam sedih Aira mengutuk dirinya.

Mengenang Kak Maira membuat Aira benar-benar sayu dan pilu. Tanpa disedari air matanya mengalir membasahi pipi. Ya ALLAH! Apa agaknya khabar Kak Maira ketika ini?

Kak Maira hanya tiga tahun lebih tua dari Aira, namun perangai mereka berdua tidak banyak berbeza. Sama-sama degil dan sama-sama keras kepala. Bezanya, Kak Maira lebih berani berbanding dengan dirinya.

Tidak hairanlah Kak Maira nekad membawa diri ke luar negara hanya kerana perselisihan faham dengan arwah ayah. Aira sendiri tidak begitu jelas apa sebenarnya yang berlaku kerana ketika kejadian, dia berada di kolej.

Tahu-tahu, Aira dapat e-mel dari Kak Maira yang menyatakan dia kini berada di Seattle, USA. Ketika itu dia memang terkejut bukan kepalang dengan tindakan Kak Maira. Puan Ainun pula langsung tidak buka mulut kerana tidak mahu mengganggu pelajarannya lebih-lebih lagi ketika itu dia sibuk dengan peperiksaan akhir. Paling menyebabkan Aira sedih, sampai kini dia tidak dapat memberitahu Kak Maira yang ayah mereka telah pun tiada.

Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.