Home Novel Komedi/Romantik Komedi Miss Diva Semput
Miss Diva Semput
Eija Khadeeja
3/1/2015 15:55:51
33,123
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 3

3

DIVA menekan-nekan perutnya. Terasa sakit benar perutnya tika ini. Dia melilau-lilaukan pandangannya ke kiri dan kanan jalan untuk mencari stesen minyak agar dapat dilepaskan ‘hajatnya’.

“Ada pun setesen minyak.” Diva memberikan signal dan segera keretanya dibelokkan ke kiri. Stesen minyak yang sinonim dengan warna hijau dan putih itu menjadi perhentiannya.

Tergesa-gesa Diva memboloskan dirinya keluar setelah kereta diparkirkan berdekatan dengan tandas di stesen minyak itu. Dia berlari anak untuk mendapatkan tandas perempuan. Namun saat dia hendak memboloskan tubuhnya masuk ke dalam tandas itu, seorang lelaki Melayu dengan selamba terus mendahuluinya.

“Hei! Encik!” Terjerit Diva.

Tertoleh lelaki berkemeja hitam itu. Dia memandang tepat ke wajah Diva, “Ada apa?”

“Ada apa awak cakap? Awak buta ke apa? Ini tandas perempuan dan bukannya lelaki!” Masih kasar suara Diva lantaran ‘hajat’ yang ingin dilepaskan tertunda.

“Woi! Kalau nak bercakap tu beradablah sikit. Kau ingat kau tu siapa?” Marah lelaki berkulit cerah itu.

“Sebelum nak suruh orang beradab. Cermin sikit diri tu! Awak ingat yang awak tu beradab sangat ke bila main terjah je tandas perempuan ni?” Diva sudah merempuh tubuh lelaki Melayu itu. Sakit yang menguasai perutnya itulah penyebabnya.

“Apa ni main tolak-tolak?! Ni dah main kasar dah ni!” Lelaki itu enggan mengalah. Dia tetap juga mahu mendahului Diva untuk memasuki tandas di hadapannya itu.

“Ini tandas perempuan dan bukannya lelaki!” bentak Diva.

“Masalahnya tandas lelaki rosak! Jadi tak salahlah kalau aku guna tandas ni!” Lelaki berwajah kacak itu merentap lengan Diva.

“Adui!!! Sakit!!! Tolong... tolong! Ada orang nak cabul kehormatan saya! Tolong!!!” Diva menjerit. Entah dari mana datangnya idea gilanya itu, dia sendiri tidak tahu. Apa yang penting dia harus segera masuk ke dalam tandas itu. Tidak boleh ditangguhkan biarpun seketika.

“Cik! Cik tak apa-apa ke?” Seorang lelaki berpakaian seragam syarikat stesen minyak itu meluru mendapatkan Diva. Terlihat dua orang pekerja asing berada di belakangnya.

“Tolong... lelaki ni nak mencabul kehormatan saya.” Diva sengaja mensayukan wajahnya.

“Tahan lelaki ni!” arah lelaki itu kepada dua orang pekerja asing di belakangnya. Pekerja-pekerja asing itu terus menarik lengan lelaki kacak itu dengan kasar.

“Lepaskan aku! Aku tak buat apa-apalah! Perempuan ni yang gila! Lepaskan aku!!!” Lelaki itu memberontak minta dilepaskan.

‘Memang aku gila! Kau yang menyebabkan aku menjadi gila.’ Diva memandang tajam ke arah lelaki yang sedang terjerit itu.

“Cik okey ke?” Pekerja stesen minyak itu masih mahu memastikan keselamatan Diva.

“Lelaki tu tak sempat buat apa-apa pada saya.” Sayu kian Diva ‘tekankan’ ke wajahnya.

“Baiklah. Kalau macam tu lepas ni saya minta agar cik masuk ke dalam Kedai Mesra. Kami akan tahan lelaki ni di dalam kedai terlebih dahulu sebelum cik mengikuti kami untuk membuat laporan polis.” Pekerja berbangsa Melayu itu lancar memaklumkan.

“Laporan polis? Woi! Kau orang ni tak betul ke apa? Aku tak buat apa-apalah dekat perempuan ni. Aku cuma nak gunakan tandas ni sebab tandas lelaki rosak! Itu je!” Lelaki yang dituduh masih cuba mempertahankan dirinya. Dia ingin lepas daripada segala tuduhan perempuan berbaju kurung merah berlabuci penuh itu.

“Maaf encik. Kalau betul encik tak bersalah sila ikut kami ke dalam dahulu. Bawa lelaki ni masuk ke dalam.” Sekali lagi arahan diberikan kepada para pekerja asing itu.

Laju sahaja arahannya dituruti. Lelaki yang sedang memberontak minta dilepaskan itu langsung tidak diendahkan. Beberapa orang yang sedang melihatkan kejadian itu mulai berbisik sesama sendiri.

‘Ah! Lantaklah kau orang nak bergosip ke apa. Yang penting aku dapat melepaskan ‘hajat’ aku,’ omel hati Diva dan melangkah masuk ke dalam tandas. ‘Hajat’ segera dilepaskan dan sakit perut yang tadinya ‘berkuasa’ sudah hilang ‘taringnya’.

“Ah... lega,” tutur Diva sambil membasuh tangannya. Dia memandang tepat ke arah cermin di hadapannya. Medium itu memantulkan semula wajahnya. Wajah yang jelita itu ternyata telah membuat onar sebentar tadi.

Mengingatkan penganiayaan yang telah dilakukan kepada lelaki ‘mental’ itu. Diva mengeluh.

“Takkanlah aku nak beritahu pada dia orang yang aku sengaja reka cerita pasal kes cabul tu... aduyai... apa aku nak buat ni?” Diva mengeluh sekali lagi. Otaknya ligat berfikir.

Seandainya dia merendahkan dirinya untuk memberitahu perihal sebenarnya pasti dirinya dicaci. Silap-silap hari bulan dia pula akan didakwa di atas penipuan yang telah diutarakannya.

“Tak! Aku takkan rendahkan dirinya aku. Tapi aku pun tak sanggup nak biarkan mamat ‘mental’ tu masuk lokap. Aduyai... fikir Diva! Fikir!” Diva mendesak dirinya sendiri untuk membuat keputusan.

Selepas lima minit memandang terus ke dalam cermin, akhirnya dia tersenyum. Senyuman yang penuh dengan kegembiraan, “Aku tahu apa yang perlu aku lakukan sekarang.”

Perlahan Diva membuka kecil pintu tandas perempuan tersebut. Dia mengintai ke sekeliling untuk melihatkan gerangan siapakah yang berada di sekitar tandas tersebut.

“Bagus! Tak ada orang!” Seraya menuturkan kata-kata itu, Diva membuka pintu tandas dan meluru keluar.

Segera kereta Waja miliknya didekati dan pintu kereta dibuka. Masuk sahaja ke dalam, enjin kereta terus dihidupkan dan gear dimasukkan. Mendesup kereta Waja berwarna gold itu mengghaibkan ‘dirinya’.

Diva tersenyum sekali lagi. Kali ini senyumannya benar-benar lebar. Puas hatinya kerana rancangan singkatnya itu berjaya. Dia bukan sahaja tidak perlu berhadapan dengan penipuannya tetapi dia sebenarnya telah menyelamatkan lelaki ‘mental’ tersebut.

‘Bijak jugak ya aku ni!’ Hati memuji diri sendiri.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.