2
KERETA Waja berwarna gold itu terus meluncur di atas jalan
raya. Si pemandu sedikit tertekan emosinya lantaran rumah yang dicari-cari
masih belum ditemui. Dia menoleh sekali lagi ke arah kanan jalan raya. Terlihat
bangunan besar yang gah memonopoli pandangannya.
“Bangunan Tenaga Nasional Berhad.”
Diva membaca apa yang tertera di dada bangunan yang sedang diperhatikannya itu.
“Betullah... Betullah ni kawasan
Bukit Badak. Tapi mana pulak simpangnya? Adui... susahlah macam ni. Nak dekat
lima kali dah aku pusing-pusing dekat sini,” bebelan bersama keluhan terpacul
di bibir Diva.
Namun saat dia terlihatkan satu
simpang kecil yang terlindung sedikit dengan lalang liar, bibirnya menguntumkan
senyum, “Akhirnya! Dapat jugak aku cari simpang ‘keramat’ ni.”
Diva terus memberikan signal sebelum membelokkan keretanya ke
kiri jalan. Namun saat keretanya hendak memasuki simpang itu, sebuah kereta
Honda City berwarna putih nyaris-nyaris ‘mencium’ kereta Waja miliknya. Diva
pantas menekan brek kaki. Mujur tindakannya tangkas, andai tidak pasti sebuah
kemalangan akan berlaku.
Diva menekan perlahan dadanya.
Terasa kuat degupan jantungnya tika ini. Dia cuba menstabilkan pernafasannya.
Tercungap-cungap dirinya tika ini.
Tuk... tuk... tuk..
Terdengar bunyi ketukan di cermin
sisi pemandu. Diva menoleh ke sisi. Terlihat seorang lelaki berkemeja putih
sedang memberikan signal agar dia
membuka pintu keretanya. Wajah lelaki itu dipenuhi dengan kuruman kerisauan.
“Cik tak apa-apa ke? Cik tercedera
ke?” Laju lelaki berkaca mata itu bertanyakan soalan saat Diva memboloskan
dirinya keluar dari keretanya.
“Tak... saya tak apa-apa. Maaflah...
salah saya tadi. Saya sepatutnya lebih berhati-hati,” tutur Diva.
“Tak. Ini bukannya salah cik. Tapi
salah saya. Saya pandu laju sangat tadi. Maafkan saya ya.” Lembut lelaki itu
menyuakan kata maaf setelah dia meletakkan kesalahan itu di bahunya.
Diva menjadi kagum dengan sikap gentleman lelaki kacak di hadapannya
itu. Tanpa sedar dia mengukirkan segaris senyuman. Lelaki kacak itu turut sama
membalas senyuman Diva.
“Nampaknya cik betul-betul tak
apa-apa. Lega hati saya. Baiklah, kalau macam tu saya minta diri dulu ya.
Assalamualaikum.” Salam, lelaki itu hulurkan sebelum dia mendapatkan kereta
Honda City miliknya dan sekejap sahaja kelibat kereta itu menghilang dari pandangan
Diva.
Diva mendapatkan semula keretanya
dan pemanduan diteruskan. Dia harus segera sampai ke destinasi sementelah sudah
terlalu banyak masa dibazirkan sewaktu dia mencari lorong kecil ini. Namun di
dalam kesungguhannya mencari rumah banglo dua tingkat milik pelanggannya itu,
hatinya berdetik sayu, ‘Dapatkah aku bertemu dengan lelaki kacak itu lagi?’
“Alhamdulillah...” Kata syukur
terlahir di bibir Diva saat keretanya diparkirkan di bawah pohonan merendang.
Diva melangkah keluar dari keretanya
bersama lima helai jubah moden di tangannya. Dia memandang ke hadapan. Tepat ke
arah sebuah rumah banglo dua tingkat berwarna putih. Dia begitu yakin, itulah
rumah milik Datin Salmah.
Loceng ditekan. Tidak sampai seminit
meluru seorang wanita yang sudah berusia ke arah pintu pagar.
“Assalamualaikum. Cik nak cari
siapa?” soal wanita yang hanya berserkup itu.
“Waalaikumussalam. Saya nak cari
Datin Salmah. Ini rumah Datin Salmah, kan?” soal Diva sopan kepada wanita tua
di hadapannya.
Anggukan, wanita tua itu berikan dan
senyuman dimekarkan, “Ya. Inilah rumah Datin Salmah. Cik ni cik Diva ya?”
“Ya saya. Saya Diva. Datin Salmah
minta saya hantarkan jubuah-jubah ni. Boleh mak cik serahkan kepada Datin?”
Diva turut sama melebarkan senyumannya.
“Eh... apa pulak mak cik yang nak
kena serahkan. Cik Divalah serahkan sendiri ya. Lagipun Datin dah pesan supaya
jemput Cik Diva masuk kalau Cik Diva dah sampai. Jomlah masuk dulu.” Wanita tua
itu membukakan pintu pagar buat Diva.
Mahu tidak mahu terpaksa jua Diva melangkah
masuk ke dalam rumah besar itu. Diva dibawa ke ruang tamu. Minuman sejuk juga
segera dihidangkan kepadanya. Setelah hampir 15 minit menunggu barulah Datin
Salmah turun bertemu dengannya.
“Maaflah aunty solat tadi. Tu yang
Diva kena tunggu lama sikit tu.” Datin Salmah tersenyum manis. Dia melabuhkan
punggungnya di sisi Diva.
“Tak apa... saya yang patut minta
maaf sebab lambat sampai. Maafkan saya ya Datin,” tutur Diva.
“Ish! Dah berapa kali aunty pesan,
jangan panggil Datin tapi panggil aunty. Datin... datin... tak mesralah.” Datin
Salmah mengambil jubah-jubah yang terletak elok di atas meja di hadapannya.
Diva tersenyum lagi. Gembira kerana
dirinya ‘diterima’ oleh orang kenamaan seperti Datin Salmah itu.
“Cantiknya sulaman manik di jubah
ni,” puji Datin Salmah saat matanya ‘menilai’ kehalusan sulaman manik pada
jubah berwarna hijau lumut yang sedang dipegangnya.
“Siapa yang jahit sulaman manik ni?”
Datin Salmah mengalihkan pandangannya ke arah wanita muda di sisinya.
“Saya sendiri yang jahit Da..tak
maksud saya aunty. Saya yang jahit aunty.” Diva membetulkan sasul di mulutnya.
Tertawa kecil Datin Salmah
melihatkan sikap polos wanita jelita itu, “Patutlah cantik sangat sulaman manik
ni, orang yang menyulamnya pun cantik menawan.”
Diva tertunduk. Sikap suka memuji
Datin Salmah itu sering sahaja menghadirkan malu pada dirinya.
“Dik Salmah... hidangan, akak dah
hidangkan dekat atas meja tu.” Wanita yang menyambut kedatangan Diva tadi hadir
semula di hadapan Datin Salmah.
“Dah siap dah? Jom Diva. Temankan
aunty makan tengah hari. Aunty belum makan lagi. Sibuk sangat hari ni. Dah
pukul tiga baru nak makan.” Datin Salmah sudah bangkit.
Diva masih berkira-kira. Andai
diikutkan perut yang sedang ‘memberontak’ mahu sahaja dia menerima pelawaan
itu.
“Jomlah temankan aunty,” pelawa
Datin Salmah lagi. Terlihat kian ikhlas pelawaan itu.
Akhirnya Diva mengukirkan senyuman
sebelum bangkit dan beriringan dengan Datin Salmah ke meja makan.
“Kak Kemah tak makan sekali ke?”
soal Datin Salmah kepada pembantu rumah yang sedang menyendukkan makanan ke
dalam pinggannya.
“Dik Salmah makanlah dulu. Akak
kenyang lagilah,” tutur Mak Kemah bersama segaris senyuman sebelum dia berlalu
ke dapur.
‘Ooo... Mak Kemah nama pembantu
rumah Aunty Salmah ni. Beruntunglah dia dapat majikan yang humblemacam Aunty Salmah ni. Kalau orang lain, tak adanya nak
panggil akak bagai.’ Komen hati Diva.
“Diva... apa tunggu lagi. Jemputlah
makan.” Datin Salmah memandang insan di sisinya.
Diva tersentak. Perlahan dia menganggukkan
kepalanya sebelum bismillah dibaca dan makanan disuapkan ke mulutnya.
‘Aduyai... sedapnya ayam masak lemak
cili api ni,’ puji hati kecil milik Diva.
“Sedap Diva?” soal Datin Salmah
sekadar untuk memecahkan kesunyian di antara mereka.
“Sedap. Pandai Mak Kemah masak.”
Jujur Diva.
“Kalau sedap. Tambahlah lagi.” Laju
Datin Salmah menyendukkan nasi dan lauk pauk ke dalam pinggan Diva yang sudah
hampir kosong itu.
“Datin... banyak sangat ni,” tutur
Diva.
“Tak apa. Makan perlahan-lahan. Lagi
lama Diva dekat rumah ni lagilah aunty suka. Bukan apa, aunty bosanlah asyik
duduk seorang-seorang je. Suami dengan anak aunty tu asyik kerja je. Mana ada
banyak masa untuk temankan aunty. Nasib baiklah Mak Kemah tu ada. Kalau tak
lagi sunyilah aunty.” Ringan mulut Datin Salmah berceloteh. Entah mengapa dia
senang dengan kehadiran wanita di sisinya itu.
Diva hanya mengukirkan senyuman.
Cuba memahami hati dan perasaan Datin Salmah.
“Susah ke Diva nak cari rumah aunty
ni?” Datin Salmah masih hendak meneruskan perbualan.
“Bolehlah. Susah jugak. Sebab Diva
tak pernah lalu pun sekitar kawasan Bukit Badak ni.” Jujur Diva.
“Bukan setakat Diva. Kawan-kawan
aunty yang first time datang ke rumah
aunty ni pun cakap macam tu jugak. Dia orang suruh aunty beli banglo lain.
Katanya kawasan rumah aunty ni macam tempat jin bertendang. Jauh ke dalam. Tapi
tak adanya aunty nak ikutkan kerenah dia orang tu. Sebab kalau Diva nak tahu...
deretan banglo ni... arwah papa yang hadiahkan pada aunty adik-beradik. Papa
nak kami semua berkumpul satu tempat. Yalah... aunty bukannya ramai pun adik-beradik.”
Datin Salmah kian mesra dengan wanita jelita di sisinya.
“Maksud aunty... banglo-banglo dekat
sebelah banglo aunty ni, adik-beradik aunty yang punya?” soal Diva.
Datin Salmah anggukkan kepalanya,
“Sebelah banglo aunty ni, milik Aunty Siti. Dia adik kedua aunty dan yang
hujung tu milik adik bongsu aunty, Uncle Salman. Tapi Uncle Salman sekeluarga
masih lagi menetap di Rusia. Mungkin lagi dua, tiga tahun baru balik ke
Malaysia.”
Diva menganggukkan kepalanya sebagai
tanda mengerti sambil meneruskan kunyahan makanannya.
“Ish... aunty ni membebel pulak.
Dah... lebih baik Diva habiskan makanan tu. Kalau Diva layan mulut becok aunty
ni memang sampai ke sudahlah tak ke mana.” Datin Salmah senyum lagi.
Diva membalas senyuman manis Datin
Salmah dan mereka sama-sama menghabiskan makanan di dalam pinggan
masing-masing. Sunyinya suasana di meja makan tetap jua melahirkan rasa senang
di hati Diva kerana dirinya dilayani mesra oleh wanita yang berkedudukan tinggi
itu.