3
DIVA menekan-nekan perutnya. Terasa
sakit benar perutnya tika ini. Dia melilau-lilaukan pandangannya ke kiri dan
kanan jalan untuk mencari stesen minyak agar dapat dilepaskan ‘hajatnya’.
“Ada pun setesen minyak.” Diva
memberikan signal dan segera
keretanya dibelokkan ke kiri. Stesen minyak yang sinonim dengan warna hijau dan
putih itu menjadi perhentiannya.
Tergesa-gesa Diva memboloskan dirinya
keluar setelah kereta diparkirkan berdekatan dengan tandas di stesen minyak
itu. Dia berlari anak untuk mendapatkan tandas perempuan. Namun saat dia hendak
memboloskan tubuhnya masuk ke dalam tandas itu, seorang lelaki Melayu dengan
selamba terus mendahuluinya.
“Hei! Encik!” Terjerit Diva.
Tertoleh lelaki berkemeja hitam itu.
Dia memandang tepat ke wajah Diva, “Ada apa?”
“Ada apa awak cakap? Awak buta ke
apa? Ini tandas perempuan dan bukannya lelaki!” Masih kasar suara Diva lantaran
‘hajat’ yang ingin dilepaskan tertunda.
“Woi! Kalau nak bercakap tu
beradablah sikit. Kau ingat kau tu siapa?” Marah lelaki berkulit cerah itu.
“Sebelum nak suruh orang beradab.
Cermin sikit diri tu! Awak ingat yang awak tu beradab sangat ke bila main
terjah je tandas perempuan ni?” Diva sudah merempuh tubuh lelaki Melayu itu.
Sakit yang menguasai perutnya itulah penyebabnya.
“Apa ni main tolak-tolak?! Ni dah
main kasar dah ni!” Lelaki itu enggan mengalah. Dia tetap juga mahu mendahului
Diva untuk memasuki tandas di hadapannya itu.
“Ini tandas perempuan dan bukannya
lelaki!” bentak Diva.
“Masalahnya tandas lelaki rosak!
Jadi tak salahlah kalau aku guna tandas ni!” Lelaki berwajah kacak itu merentap
lengan Diva.
“Adui!!! Sakit!!! Tolong... tolong!
Ada orang nak cabul kehormatan saya! Tolong!!!” Diva menjerit. Entah dari mana
datangnya idea gilanya itu, dia sendiri tidak tahu. Apa yang penting dia harus
segera masuk ke dalam tandas itu. Tidak boleh ditangguhkan biarpun seketika.
“Cik! Cik tak apa-apa ke?” Seorang
lelaki berpakaian seragam syarikat stesen minyak itu meluru mendapatkan Diva.
Terlihat dua orang pekerja asing berada di belakangnya.
“Tolong... lelaki ni nak mencabul
kehormatan saya.” Diva sengaja mensayukan wajahnya.
“Tahan lelaki ni!” arah lelaki itu
kepada dua orang pekerja asing di belakangnya. Pekerja-pekerja asing itu terus
menarik lengan lelaki kacak itu dengan kasar.
“Lepaskan aku! Aku tak buat
apa-apalah! Perempuan ni yang gila! Lepaskan aku!!!” Lelaki itu memberontak
minta dilepaskan.
‘Memang aku gila! Kau yang
menyebabkan aku menjadi gila.’ Diva memandang tajam ke arah lelaki yang sedang
terjerit itu.
“Cik okey ke?” Pekerja stesen minyak
itu masih mahu memastikan keselamatan Diva.
“Lelaki tu tak sempat buat apa-apa
pada saya.” Sayu kian Diva ‘tekankan’ ke wajahnya.
“Baiklah. Kalau macam tu lepas ni
saya minta agar cik masuk ke dalam Kedai Mesra. Kami akan tahan lelaki ni di
dalam kedai terlebih dahulu sebelum cik mengikuti kami untuk membuat laporan
polis.” Pekerja berbangsa Melayu itu lancar memaklumkan.
“Laporan polis? Woi! Kau orang ni
tak betul ke apa? Aku tak buat apa-apalah dekat perempuan ni. Aku cuma nak
gunakan tandas ni sebab tandas lelaki rosak! Itu je!” Lelaki yang dituduh masih
cuba mempertahankan dirinya. Dia ingin lepas daripada segala tuduhan perempuan
berbaju kurung merah berlabuci penuh itu.
“Maaf encik. Kalau betul encik tak bersalah
sila ikut kami ke dalam dahulu. Bawa lelaki ni masuk ke dalam.” Sekali lagi
arahan diberikan kepada para pekerja asing itu.
Laju sahaja arahannya dituruti.
Lelaki yang sedang memberontak minta dilepaskan itu langsung tidak diendahkan.
Beberapa orang yang sedang melihatkan kejadian itu mulai berbisik sesama
sendiri.
‘Ah! Lantaklah kau orang nak
bergosip ke apa. Yang penting aku dapat melepaskan ‘hajat’ aku,’ omel hati Diva
dan melangkah masuk ke dalam tandas. ‘Hajat’ segera dilepaskan dan sakit perut
yang tadinya ‘berkuasa’ sudah hilang ‘taringnya’.
“Ah... lega,” tutur Diva sambil
membasuh tangannya. Dia memandang tepat ke arah cermin di hadapannya. Medium
itu memantulkan semula wajahnya. Wajah yang jelita itu ternyata telah membuat
onar sebentar tadi.
Mengingatkan penganiayaan yang telah
dilakukan kepada lelaki ‘mental’ itu. Diva mengeluh.
“Takkanlah aku nak beritahu pada dia
orang yang aku sengaja reka cerita pasal kes cabul tu... aduyai... apa aku nak
buat ni?” Diva mengeluh sekali lagi. Otaknya ligat berfikir.
Seandainya dia merendahkan dirinya
untuk memberitahu perihal sebenarnya pasti dirinya dicaci. Silap-silap hari
bulan dia pula akan didakwa di atas penipuan yang telah diutarakannya.
“Tak! Aku takkan rendahkan dirinya
aku. Tapi aku pun tak sanggup nak biarkan mamat ‘mental’ tu masuk lokap.
Aduyai... fikir Diva! Fikir!” Diva mendesak dirinya sendiri untuk membuat
keputusan.
Selepas lima minit memandang terus
ke dalam cermin, akhirnya dia tersenyum. Senyuman yang penuh dengan
kegembiraan, “Aku tahu apa yang perlu aku lakukan sekarang.”
Perlahan Diva membuka kecil pintu
tandas perempuan tersebut. Dia mengintai ke sekeliling untuk melihatkan
gerangan siapakah yang berada di sekitar tandas tersebut.
“Bagus! Tak ada orang!” Seraya
menuturkan kata-kata itu, Diva membuka pintu tandas dan meluru keluar.
Segera kereta Waja miliknya didekati
dan pintu kereta dibuka. Masuk sahaja ke dalam, enjin kereta terus dihidupkan
dan gear dimasukkan. Mendesup kereta Waja berwarna gold itu mengghaibkan ‘dirinya’.
Diva tersenyum sekali lagi. Kali ini
senyumannya benar-benar lebar. Puas hatinya kerana rancangan singkatnya itu
berjaya. Dia bukan sahaja tidak perlu berhadapan dengan penipuannya tetapi dia
sebenarnya telah menyelamatkan lelaki ‘mental’ tersebut.
‘Bijak jugak ya aku ni!’ Hati memuji
diri sendiri.