Home Novel Komedi/Romantik Komedi Dia Suami Rahsia
Dia Suami Rahsia
Sweet Jasmine
16/11/2021 19:14:05
38,906
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 9
I LOVE YOU TO THE MOON AND BACK




            DIA berdiri di tengah-tengah koridor. Sekelilingnya putih dan terang-benderang. Matanya seperti ditutup sehelai kain putih yang nipis. Jadi dia tak dapat melihat apa-apa pun dengan jelas. Sekadar samar-samar. Kakinya juga tak mampu digerakkan. Dadanya berombak kencang, peluh membasahi seluruh muka. Bermula dengan bunyi desingan panjang, bunyi suara-suara bertingkah pula menerpa gegendang telinga. Suara bertingkah yang tak jelas. Kedengaran juga mesin ventilator yang menyakitkan telinga. Bunyi nafas seseorang yang tak keruan cukup membuatkan dadanya semakin berombak. Sesak. Rasa takut membelit diri. 


Zap! Tangannya terus merentap kain yang menutup matanya. Barulah dia dapat melihat keadaan sebenar. Dia... berdiri di dewan bedah. Sekujur tubuh terbaring di atas katil di depannya tika ini. Ada lebih kurang 10 orang mengelilingi katil itu. Perut lelaki yang terbaring di atas katil, terbelah menampakkan organ dalaman. Darah merah membasahi sarung tangan doktor yang mengetuai pembedahan.


Melihat itu, dia kaku dengan mata membulat tak berkedip. Air matanya merembes di pipi, jantung berdetak kencang, dada berombak menyesakkan saluran nafas. Takut... Tak tergambar rasa takut yang menindih tubuhnya kala ini. Kepalanya semacam nak pecah kerana terlalu banyak suara bertingkah. Tak tahu datangnya dari mana tapi suara itu semakin lama semakin kuat... dan kuat... dan kuat...


   "Tolong aku, Zaidan!"


   "HAZ!"


Zaidan tersentak dari lelap. Luas bola matanya memandang sekeliling dengan dada beralun kuat. Peluh membasahi muka. Kepala pun terasa bengong untuk beberapa detik. Bila yakin dia sekarang baring di atas sofa kulit dalam pejabatnya, barulah dia beristighfar panjang. Tubuhnya diangkat ke posisi duduk seraya meraup muka sendiri.


   "Allah... Macam mana boleh terlelap," getusnya memegang pula batang tengkuk yang pejal. 


Mimpi barusan benaran seperti nyata. Segar di ingatan babak 12 tahun yang lalu mencucuk-cucuk tangkai jantung. Untuk seketika, dia termenung menekur kosong lantai pejabatnya. Jauh di lubuk hati yang paling dalam, ada satu luka yang masih belum sembuh walau waktu tak berhenti berputar. Luka yang terkadang menyakitkan, terkadang memilukan. Andai dia dapat undurkan masa, apa semuanya bakalan berubah? 


Tok! Tok! Tok! Ketukan pintu menarik Zaidan agar tak berlamaan dalam masa silam.


Zaidan mengeluh berat sebelum bangun berdiri. Sempat dia mengerling jam di pergelangan tangan sambil menapak ke arah pintu. Apabila tangannya menarik pemegang pintu, batang tubuh Adri tercegat di depannya. Shahid juga ada bersama, berjarak beberapa langkah dari Adri. Pastinya Adri dipaksa Shahid untuk mengetuk pintu. Tengok muka pun dah tahu.


   "Apa dia?" soal Zaidan acuh tak acuh macam biasanya.


   "Er... Saya cuma nak ingatkan jadual surgery Cik Fatin Nadhirah. Pukul 6 petang nanti," balas Adri.


   "Sekarang baru pukul 5 kan? Kau nak suruh aku buat apa? Buat-buat gelabah?"


   "Er... Tak. Kami tak nampak Doktor Zaidan sejak tengah hari tadi jadi..."


   "Bad news is, aku hidup lagi. Sedih kan? So korang boleh pergi menangis meraung kat mana-mana dulu, jumpa aku dalam OR pukul 6 nanti."


   "Hah?" Laju Shahid mencelah saat mendengar ucapan Zaidan. Lelaki itu mendekat rapat dengan tubuh Adri. 


   "Kami... boleh assist surgery nanti?" tanya Shahid lagi mendapatkan kepastian. Cerah biji mata penuh harapan.


Zaidan tetap selamba. "Tak nak? Fine. Tak nak kau boleh tukar dengan..."


   "Nak nak nak! Kami nak!" Bersungguh Shahid dan Adri memintas bagai nak menerkam Zaidan hidup-hidup. Sengih sampai telinga, siap bertepuk tampar bak anak kecil mereka berdua dek terlampau teruja.


Senyum di bibir Zaidan merekah nipis tapi tak sempat Shahid dan Adri melihat, senyum itu sudah disembunyikan.


   "Korang kalau buat silap dalam OR, aku ban korang assist mana-mana surgery untuk 6 bulan straight."


Ambik. Melayang terus keterujaan anak-anak buah mendengar ugutan dari mulut Zaidan. Maklumlah. Nama pun Zaidan kan. Mana mungkin senang-senang nak bagi anak buahnya bergembira senang hati. Dia dipanggil 'Si Gila Zaidan' itu kan bersebab.




---------------------------------------------------------




   SUASANA di pusat membeli-belah Sogo ketika ini agak ramai orang. Mungkin sebab dah waktu orang balik kerja. Sekitar jam 6 petang.


Syuhada berada di tingkat 3 bangunan. Sedang meronda-ronda cuci mata. Dah lama dia tak keluar 'shopping' macam ni. Setiap hari di hospital sampai lewat petang. Bila balik kerja pulak, terperuk ajelah dalam rumah memandangkan Zaidan selalu balik lewat. Itu tak kira lagi bila Zaidan syif malam. Berbulan tak bertemu muka walau tinggal sebumbung. 


Hari ini dia melepas hawa. Satu tangan menyuap aiskrim, satu tangan lagi sarat membawa barang belian. Itu pun barang kegunaannya, belum lagi beli buah tangan untuk ibu mentuanya malam ini. Nama pun perempuan. Niatnya cuma satu. Belinya lebih dari satu.


   "Cantiknya..." langkah Syuhada terbantut saat terpandang skarf hijau yang tergantung di dalam sebuah butik di deretan koridor tingkat 3 itu.


Di mendekati dinding kaca. Menilik skarf-skarf dari luar sahaja. Puan Naura, mentuanya itu wanita anggun yang bergaya anggun. Dia tahu Puan Naura sukakan skarf macam ni. Terkadang dipakai di bahu, terkadang diikat pada beg tangan. 


   "Mama mesti suka. Warna hijau kan favorite colour mama," monolognya membayangkan Puan Naura mengenakan skarf hijau yang dia lihat di balik kaca sekarang. 


Tak menunggu lama, dia segera menapak masuk ke dalam butik. Serta-merta disambut mesra oleh seorang staf lelaki berkemeja kemas.


   "Boleh saya bantu?" 


Syuhada senyum dan angguk sekali. Manis sungguh mata memandang.


   "Ya. Saya nak skarf hijau yang dekat display tu," lembut Syuhada berkata sambil menunjuk sopan ke arah skarf yang dimaksudkan.


Staf butik menoleh ke belakang sebelum kembali pada Syuhada. "Maaf, cik. Skarf tu limited edition keluaran butik kami. Baru saja sold out."


   "Oh yeke..." Jelas terpancar kehampaan di wajah Syuhada. Bibir digigit-digigit sambil otak berfikir apa yang dia perlu beli sekarang. Skarf hijau itu memang dah melekat dalam kepalanya.


   "Ayu boleh ambil yang ni," celah satu suara tiba-tiba mengejutkan Syuhada.


Spontan Syuhada berpaling ke belakang, anak mata jatuh pada sebatang tubuh tercegat di depannya, menghulur satu beg kertas dengan logo butik ini. 


   "Khai..." Tak sedar sebaris nama meluncur di bibirnya dek terlalu terkejut. Mata galak pun tak berkedip. 


Khalis membuka senyum. Gembira bila Syuhada masih mengingat namanya. 


   "Assalamualaikum, Ayu. Maaf, Khai buat Ayu terkejut," ucap lelaki berwajah manis itu lembut seperti biasa. Seperti 15 tahun yang lalu...


Dan Syuhada pun tersedar. Anak mata dilarikan, cuba mengawal tingkah agar tak terlihat aneh. Bibir dipaksa mengukir segaris senyum. Selang beberapa saat masa diambil untuk dia sedia membalas pandangan Khalis.


   "Waalaikumussalam."


   "Khai sempat beli skarf terakhir tu. Kalau Ayu nak, Ayu boleh ambil. Khai boleh dapatkan warna lain sebab Khai pun just pilih random je," ujar Khalis lagi seolah-olah perpisahan tak pernah berlaku antara mereka.


   "It's okay. You can keep it," pangkas Syuhada perlahan, sedikit gugup. 


Tak menunggu lama, langkah kaki dihayun laju meninggalkan ruang butik tanpa menoleh lagi. Cupingnya mendengar suara Khalis menyeru-nyeru namanya tapi tetap dia tak berhenti. Kelajuan langkah ditambah.


   "Ayu, wait." 


Khalis berjaya mematikan langkahnya dengan menghalang laluan di depannya. Ah. Cepat atau lambat, dia tetap harus bersemuka..


   "Awak nak apa, Khalis?" Syuhada bertanya lebih keras berbanding suara asalnya. Entah kenapa hati jadi sebal mengingatkan dirinya ditinggalkan sang kekasih suatu masa dulu.


Khalis memahami rasa itu dan sejujurnya dia merasa bersalah hingga ke hari ini. Tapi sumpah, cintanya pada Syuhada tak pernah lupus walau beribu batu jarak memisahkan.


   "Ayu marahkan Khai? Khai faham. Khai terima. Khai tak paksa untuk Ayu berlagak seolah-olah tak ada apa yang jadi antara kita dulu tapi please. Jangan mengelak dari Khai macam ni."


   "Saya tak tahu ada apa antara kita dulu tapi ya. Saya akan cuba mengelak dari awak selagi mampu."


   "Khai datang untuk tebus salah Khai. Khai nak sambung semula cinta kita." Bersungguh Khalis cuba meyakinkan niat di hati sampai tak sedar tangan bagai nak menyentuh Syuhada.


Syuhada geleng, tercuit sanubari mendengar ucapan itu tapi keputusannya tetap sama.


   "Cinta antara kita dah lama terkubur, Khalis."


   "Ayu dah berpunya?"


Kali ini Syuhada terpempam. Lidah dibelit tali, tak dapat dia menjawab soalan cepumas Khalis. Mereka setentang, cuma berlaga mata. Tak ada suara menemani untuk beberapa detik. 


   "Kalau hati Ayu belum dimiliki sesiapa, Khai tak akan menyerah macam tu aje. Cukuplah sekali Khai menderita tanpa Ayu." Khalis berkata memecah batu antara nmereka berdua.


   "Jangan sebut tentang derita bila awak yang pilih jalan hidup awak sendiri." Bola mata Syuhada bergenang. Kalau ikutkan hati, nak saja dia jerit sekuat hati betapa terlukanya dia sewaktu ditinggal pergi dulu. Tak ada lelaki lain dalam hatinya sebagai pengganti sebelum kemunculan Zaidan.


   "Ayu..."


   "Stop. Jangan... sebut nama saya. Saya tak selesa dengan cara awak sekarang."


Khalis telan liur. Tak menyangka Ayu Syuhada yang dia kenal dulu sudah berubah. Gadis lemah lembut yang tak pernah sekali pun membantah, sudah berani menyuarakan apa yang ada dalam hati. Dia... berbangga tentang itu.


Jadi akhirnya kepala diangguk bersama senyuman. Dia dah bersedia. Dia tahu bukan mudah nak menyambung satu ikatan yang telah terputus tapi dia tak akan menyerah kalah. Ambillah selama mana pun masa yang diperlukan.


   "Maaf kalau cara saya buat awak tak selesa. Tapi saya nak awak tahu yang saya tak akan ulangi kesilapan yang sama. Saya datang kerana awak, Ayu Syuhada."




-------------------------------------------------------



   HAMPIR 5 minit Zaidan tercegat di depan pintu apartmentnya yang terletak di tingkat 6. Air mukanya jelas tampak kelam. Penat fizikal? Ya. Tapi tak setanding penat dalam hatinya cuba memendam memori hitam yang tak henti cuba mengingatkannya. Mimpi ngeri itu tak pernah hilang walau apa cara dia mencuba. Emosinya letih... Jiwanya parah tapi tak terlihat. Seolah-olah ia memamah isi dalam tubuhnya perlahan-lahan.


   'Hah...' Keluhan berat akhirnya dihela keluar. Bahu lebar yang 'jatuh', dia angkat semula. Berlagak dialah lelaki paling kuat. Wajah kelam disorok sebelum tangan menguak pintu.


Langkah kaki menapak masuk ke ruang tamu sedang anak mata bergerak mencari tubuh 'rendang' sang isteri. Wanita itulah pengubat duka, penguat semangatnya.


   "Rama-rama~ Terbang tinggi, cari siapa... Cari siapa..." lagu kanak-kanak dinyanyikan Zaidan bila kelibat Syuhada tak ditemui di ruang tamu dan dapur. Kaki disusun ke arah kamar tidurnya dengan lirik lagu seterusnya.


   "Cari Ayu, mana Ayu..." dilihat Syuhada sedang memakai tudung bawal di depan cermin meja solek. Perlahan dia mendekati lalu berdiri rapat di belakang tubuh Syuhada.


   "Ayu aada di sini~~" Wah. Lirik on point, melodi on point, pitching sedikit ke laut.


Syuhada yang memandang Zaidan lewat pantulan cermin, kali ini tersenyum senang. Dia memegang kedua-dua tangan Zaidan yang mendarat di bahunya.


   "Tahniah sebab abang menyanyi dengan betul. Ayu bagi abang 5 bintang," giat Syuhada benar-benar memaksudkannya. Yelah. Kalau tak, kerja suaminya tu mereka lirik sajalah. Ada saja lirik yang nak 'mengutuk' orang, nak mengenakan orang.


Untuk itu, Zaidan lantas memegang kepala Syuhada kemudian mencium batang hidung isterinya itu. Lama dan kuat.  Niat nak bermesra tapi kasar benar gayanya. Sampai terlipat kepala bini tu ke belakang, nasib baik tak patah batang tengkuk. 


   "Muah!" Sengaja dia buat bunyi di hujung ciuman. Tak sempat Syuhada nak melayangkan tamparan manja, dia lebih pantas mengelak, bergerak ke arah almari dengan tawa gembira. Suka hati tengok muncung panjang Syuhada.


   "Senget tudung Ayu..." rengek Syuhada semacam nak menangis. Wanita itu membelek tudung bawal satinnya yang tak lagi terletak elok. Dahi berlapis tanda geram. 


   "Baiklah senget tudung dari senget otak, Ayu sayang..."


Syuhada melirik tajam pada Zaidan. Merapikan tudung terlebih dahulu sebelum dia bangun berjalan mendekati Zaidan yang masih dekat almari. Berdiri di sisi kiri suaminya yang dah tak berbaju itu.


   "Ayu faham abang nak ekspresikan kasih sayang abang pada Ayu tapi kan abang boleh guna cara yang... lebih soft mungkin?"


   "Boleh sayang ajarkan? Tunjukkanlah contohnya sekali bagi abang cepat faham." Zaidan buat-buat polos. Cahaya mata pun memang dah terpampang 'nakal'nya.


Syuhada mencemik. Geram, tapi lucu. Suaminya ni pantang ada peluang, mesti nak jugak ada miang-miang buluh dia tu.


   "Cepatlah, sayang... Macam mana nak express love dengan cara soft? Macam ni ke?"


   "Ah! Abang!" Terjerit Syuhada bila Zaidan tiba-tiba saja membelit lehernya dari sisi. Kalau dalam WWE, orang panggil apa? Headlock? 


Chup! Zaidan malah mengucup pipi gebu Syuhada tak menghiraukan jeritan buah hatinya itu.


Bersungguh Syuhada cuba melepaskan diri. Lengan berurat Zaidan yang melingkari lehernya pun ditampar-tampar. Hmh. Tak terasa pun setakat tamparan tepuk nyamuk macam tu. Hal tudung jangan disebut. Dah serabai habis.


   "Lepas sekarang, Taufik Zaidan."


   "Hmh? Apa sayang cakap?" Zaidan melonggarkan belitan tapi masih tak melepaskan. Terhibur bila 2 baris namanya meniti di bibir Syuhada. Fenomena jarang-jarang berlaku ni.


   "Ayu cakap lepas. Sakitlah, abang."


   "Oh... Taufik Zaidan ya... Nak main nama penuh pulak... Bin sekali lah, sayang. Buat 3 keturunan."


   "Taufik Zaidan bin Zakri. Ayu bagi last warning. Lepaskan Ayu sekarang."


   "Kalau tak?"


   "Kalau tak..." Syuhada diam sejenak. Otaknya kering bab nak buat 'benda tak elok'. Lainlah Zaidan yang banyak olah.


Selang beberapa saat, Zaidan pun melepaskan leher Syuhada bersama gelak ketawa. Tak sampai hati nak menyakat lama-lama. Muka blur Syuhada barusan pun memang dah buat dia cair. Comel sangat!


Pap!


   "Aduh!" Zaidan mengaduh bila tapak tangan Syuhada singgah di dadanya. Uish. Boleh tahan perit. Marah betul ni.


   "Tsk. Ayu tak sukalah abang buat macam tu. Abang kasar sangat," luah Syuhada dengan muka cemberut sebal. Dia bergerak ke arah meja solek sekali lagi untuk membetulkan tudung. Merah padam batang hidungnya.


Zaidan tak membalas, sekadar mengajuk omelan Syuhada tanpa suara dengan mimik muka paling buruk walaupun Syuhada tak melihat. Lelaki itu membawa tuala lalu masuk ke bilik mandi meninggalkan Syuhada terkumat-kamit sendiri melepas geram bersisa.


Usai mandi, Zaidan cuma bertuala separa lutut. Rambut lembap, bau harum. Fuh. Untung betul Ayu Syuhada dapat melihat pemandangan indah begini secara percuma. 


   "Ayu Syuhada Binti Azahar..." seru Zaidan dengan suara 'hantu tua'nya sambil memilih pakaian dari almari. 


Syuhada yang sudah siap berseluar palazo rona krim dan blaus peplum serona itu diam saja di birai katil. Duduk membelakangi Zaidan sambil membelek telefon bimbit. Masih merajuk mungkin.


Zaidan menoleh pada Syuhada sekilas. Ada senyum bergayut di bibir.


   "Sayang... Abang nak pakai baju mana ni?" Dia cuba mengumpan perhatian. 


   "Suka hati abanglah. Kalau Ayu cakap, bukan abang nak dengar pun," tempelak Syuhada pula. Tak menoleh tanda benaran merajuk.


Zaidan angguk. Lelaki itu kemudian mencapai blaus corak bunga sakura milik Syuhada. Zip belakang dibuka lalu dia cuba sarung di tubuhnya. Bahunya lebar, jauh beza dengan ukuran bahu Syuhada maka tersekatlah dia kat situ hah. Susah payah dia paksa juga asal muat.


Suara desas nafas Zaidan yang 'struggle' itu berjaya menarik perhatian Syuhada. Sebaik saja wanita itu menoleh ke belakang, mata membuntang luas. Tak percaya dengan mata kepala lihat.


   "Abang!" Laju dia meluru ke arah Zaidan. Bingung harus berbuat apa untuk menolong Zaidan dalam situasi aneh ini. Sumpah dia tak boleh hadam dengan perangai suaminya ini sorang.


   "Ya Allah... Apa abang buat ni... Koyaklah baju Ayu!" omel Syuhada menampar geram dada Zaidan. 


Zaidan tak dapat mengelak dek lengan tersekat. Tergantung tinggi 2 lengannya di udara. Baju tak berjaya melepasi dada pun. Risiko untuk baju koyak? 99 peratus!


   "Tolong abang, sayang. Abang tak boleh bernafas."


   "Yang abang pakai baju Ayu kenapa? Ya Allah... Taufik Zaidan!"


   "Ya, Ayu Syuhada... Tolonglah abang dulu, kita bercakap nanti. Dah lewat nak pergi rumah mama kan..."


   "Erm..." Syuhada garu kening sebentar. Merangka cara untuk melepaskan sang suami dari jerat sendiri. 


   "Okey, abang melutut."


   "Hah? Sayang nak buat apa? Tak boleh tunggu lepas balik dari rumah mama dulu ke?"


  "Abang boleh tak jangan fikir pelik-pelik? Melututlah, biar Ayu dapat tarik baju dari atas. Ayu tak sampai nak reach kalau abang berdiri."


   "Oh... Sorry. Abang ingatkan sayang nak..."


   "Melutut," pintas Syuhada menegaskan suara. Zaidan ni sejenis manusia aneh, tak boleh dibiar buka mulut terlalu lama. 


Kali ini Zaidan nenurut. Lelaki itu melutut di depan Syuhada, kemudian barulah Syuhada dapat menarik baju dari atas. Agak sukar dek terlalu ketat tapi dicuba berulang kali, akhirnya blaus miliknya itu tertanggal sepenuhnya dari Zaidan. Mengah!


   "Fuh... Lega abang. Kalau tak, kita kena gunting baju sayang," ucap Zaidan seraya bangun berdiri. Dia menguak pula rambut lembapnya ke arah kanan.


Syuhada membelek ringkas blaus di tangan. Bahagian leher sedikit terkoyak. Lambat-lambat dia angkat muka melirik Zaidan. Kulit mukanya merona merah.


   "Kita dah lewat nak pergi rumah mama, abang asyik usik Ayu, sekarang abang rosakkan blaus Ayu pulak?"


   "Maaflah, sayang. Abang saja je nak test tadi. Sayang kan... urm... tak berapa kurus. Abang ingatkan baju sayang muat dengan abang. Abang tak expect yang sayang tak... er... sebesar yang abang sangka."


   "Kalau Ayu ni besar sangat, gemuk sangat, okey takpe. Abang boleh pergi cari wife lain yang cantik, yang ramping, yang slim macam abang nak."


   "Tapi abang nak yang berisi macam sayang."


Syuhada mati kata. Ketap gigi merenung muka sok suci Zaidan. Niat di hati memang nak marah, nak merajuk. Tapi Zaidan ni pandai benar buat muka. Makin lama dia renung muka konon polos suaminya ini, hati yang menggelegak tak jadi nak meledak. Rasa kesian, rasa lucu, rasa comel pun ada. Jadi dia pun menarik nafas dalam lalu menghembus sekali. Aih. Geram betul! Patutlah 3 tahun Zaidan tak pernah nak insaf. Dia yang asyik mengalah.


   "Abang siap cepat, kesian mama tunggu lama," kata Syuhada lembut, tak lagi dibalut sebal. Wanita itu mengeluarkan pakaian yang perlu dipakai Zaidan. Lengkap dari boxer, seluar, baju, tali pinggang. 


Serta-merta mengundang sengihan Zaidan. 


   "You are the best, sayang!"


   "Lepasni janganlah usik Ayu..."


    "Sayang dah beli buah tangan untuk mama?" soal Zaidan nak lari dari 'perjanjian'.


Mendengar itu, Syuhada terdiam. Dia berundur beberapa tapak ke belakang sebelum melabuhkan punggung di birai katil. Mata memandang pada Zaidan yang sedang bersiap tapi otak mengimbas babak pertemuannya dengan Khalis petang tadi. Tak sedar hanyut sendiri.


   "Sayang? Abang terlalu menggoda ke?" giat Zaidan yang menyangka Syuhada ralit merenung tubuh seksinya.


Syuhada tersenyum. "Tak. Maksud Ayu, Ayu tak beli apa-apa."


   "Lah. Bertuah punya menantu. Tadi bukan main gelabah tak ada buah tangan. Kalahkan orang tak ada tangan." 


Selamba badak Zaidan 'mengutuk' isteri sendiri. Bila dah menyarung seluar, dia layangkan pula tuala ke arah Syuhada, jatuh menutup muka Syuhada. Bergurau tak berapa manja namanya.


Tapi Syuhada tak melenting. Sebaliknya dengan lemah lembutnya dia tolong sangkut tuala itu di ampaian sebelah almari. 


   "Ayu... tak jumpa hadiah sesuai untuk mama," balas Syuhada dengan jarak masa 20 saat setelah ucapan Zaidan barusan. Fikiran seakan sedikit terganggu.


Zaidan bersahaja, tak ambil pusing pun jawapan Syuhada. Dia sudah siap menyisir rambut. Haruman semburan wangiannya juga memenuhi segenap ruang kamar.


   "I'm ready..." Ceria Zaidan memaut pinggang Syuhada dan mencium bibir Syuhada lebih kurang 10 saat lamanya. Tak cukup dengan itu, dia tarik pula tubuh genit Syuhada ke dalam pelukannya. Dipeluk kemas melepas rindu yang tak pernah surut.


   "I love you, sayang. I love you the moon and back," bisiknya tulus dan ikhlas. 


Cukup membuatkan Syuhada terpaku lama. Rasa bahagia menyelinap masuk ke celah hati. Bahagia yang buat dia rasa selamat, buat dia rasa selesa, buat dia rasa disayangi. Dia memejamkan mata, bau tubuh sang suami cukup menenangkan. Spontan tangannya membalas pelukan. Dia yang cuma separas dada Zaidan, mengucup sekali dada Zaidan berlapik baju.


   "I love you too, abang."


   "To the moon and back?"


   "To the moon and back."


   "And back?"


   "And back."


   "And back again?"


   "Abang, enough."




                                                      .

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sweet Jasmine