Home Novel Komedi/Romantik Komedi Dia Suami Rahsia
Dia Suami Rahsia
Sweet Jasmine
16/11/2021 19:14:05
48,650
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 10
CEMBURU



    "YA ALLAH... Ini kereta orang ke, kereta goblin," giat Zaidan ketika nak menyumbat tubuh tinggi lampainya ke dalam perut kereta milik Syuhada. Kerusi rapat ke stereng!


Syuhada yang sudah pun duduk di tempat sebelah pemandu mengerutkan dahi dengan muncung pendek. Tongkat dagu menanti Zaidan bersusah-payah untuk menyurup masuk. 


   "Lebih-lebihlah abang ni. Tolak jelah seat ke belakang," katanya setelah beberapa detik pun, suaminya masih mencuba masuk. 


Mendengar itu, Zaidan mengeluh sambil geleng-geleng kepala. Buat-buat payah. Saja nak menyakitkan hati Syuhada sebenarnya. Dia kemudian menolak kerusi ke belakang lalu mengambil tempat dengan mudahnya. Pintu juga ditutup.


   "Boleh pun masuk. Saja je tau. Kereta orang cakap kereta goblin pulak." Syuhada mencemik manja. 


Apabila pacuan 2 rodanya mulai bergerak perlahan meninggalkan tempat parkir luar bangunan apartment, barulah dia memalingkan tubuh ke hadapan.


   "Seatbelt tu pakai, sayang. Sekali abang brek, ke bulan sayang terpelanting," pesan Zaidan yang segak berbaju T lengan panjang warna biru. Rambut kemain sikat rapi. Kalau tak, hari-hari kat tempat kerja macam gelandangan.


   "Lupa..." Comel saja Syuhada menyeringai sambil mengenakan tali pinggang keledar. 


Zaidan yang sentiasa menoleh pada sang isteri itu tumpang tersenyum. Geram nak gigit!


   "Lupa pakai seatbelt takpe lagi, sayang. Jangan lupa dah kahwin sudah."


   "Abang tu."


   "Abang apa?" Zaidan kerut dahi.  


   "Sayang ni kalau bercakap, tak tahu pucuk pangkal. BM zaman sekolah dapat gred apa? E minus? Cakaplah bagi terang... Ni tak. Tiba-tiba, 'abang tu'. Abang apa?" tokoknya lagi siap dengan mimik muka mengajuk ucapan Syuhada barusan.


   "Aduh!!" Tak pasal-pasal lengannya menjadi sasaran cubitan maut Syuhada. Haaa... Kan dah mendapat...


   "Sakit, sayang... Muka polos sangat. Kutil orang kalahkan mak ketam," usik Zaidan lagi tak pernah kenal erti serik.


Syuhada menjeling, berpeluk tubuh pula. Makin dilayan, makin menjadi yang namanya Taufik Zaidan sorang. Bila beberapa detik dia tak bersuara, Zaidan mula pasang radio manual. Menyanyi lagu-lagu 90an penuh perasaan. Part rendah tu sedaplah sebab suara garau serak. Tang part tinggi, hmh. Ke laut China Selatan perginya. Yang anehnya, dia terhibur. Kadang tersenyum, kadang ketawa. Muka Zaidan yang acah penyanyi asal tu yang kelakar. Muka ia-ia.


Lebih kurang 15 minit pemanduan, Zaidan meluncurkan kereta ke pekarangan stesen minyak Petron. Cuma ada beberapa buah kereta.


   "Kita kasi ini kereta makan dulu. Sebab tuan dia pandai naik aje. Makan minum tak dipeduli. Apalah nak diharap dari kaum perempuan kan?" perli Zaidan bersahaja dengan muka tak mengata sesiapa. Alah, macam biasalah dia. Sok suci...


   "Ayu memang niat nak isi minyak esok pagi... Tak tahu pulak abang nak drive kereta Ayu pergi rumah mama," balas Syuhada membela diri sendiri.


Zaidan jongket bahu sekali dengan muka tak kisah. Lelaki itu mengeluarkan not 50 dari dompetnya lalu dihulur pada Syuhada.


   "Nah, pergi bayar dekat kaunter sana."


   "Abanglah pergi bayar." Syuhada menolak huluran Zaidan, tubuh dirapat ke pintu. Macam tu sekali ya? Nasib baik lembut dan sopan penolakannya.


   "Sayanglah pergi bayar... Baru cepat kerja. Sayang bayar, abang terus isi. Kita dah lewat ni. Takut mama tinggal kita tulang ikan je. Tak pun suruh kita cuci pinggan mangkuk."


   "Abang. Dah malamlah. Takkan abang nak biar Ayu jalan sorang-sorang."


   "Sayang. Abang suruh bayar kat kaunter depan tu je hah. Bukan kaunter cawangan Madagascar sana. Lagipun abang dah pagar sayang guna saka nenek moyang abang. Musuh tak nampak sayang..."


   "Abang!" Laju betul tamparan Syuhada hinggap di paha Zaidan. Bulat mata wanita itu dek takut mendengar bab saka nenek moyang.


Zaidan dah melambung tawanya. Nak berdebat sangat kan...


   "Dah. Ambil duit ni, bayar cepat. Kalau abang bayar, abang akan guna duit sayang. Kalau sayang bayar, sayang guna duit abang."


Syuhada tarik muka. Berkira-kira sejenak memikirkan perjanjian menarik Zaidan kali ini. Bab duit jangan main-main. Hm...


   "Yelah, Ayu pergi bayar. Guna duit abang." Akhirnya dia akur. Wang kertas bertukar tangan lalu dia melangkah keluar dari perut kereta.


Tersenyum kemenangan Zaidan menghantar langkah Syuhada ke arah kaunter yang tak jauh sama sekali. Sedetik, dia teringat tentang tali jam tangannya yang dia tertinggal dalam kereta isterinya ini minggu lepas. Lantas dia melinggas anak mata mencari. Poket pintu, atas dashboard, dalam dashboard...


Pencariannya terhenti sejenak saat dia menemui sesuatu. Lambat-lambat dia mengeluarkan beberapa keping kad dan surat dari laci dasboard. Belum lagi kad dan surat itu dibuka, perut sudah dijerut sebu. Bawah bibir spontan dijuihkan dengan muka menahan cemburu. Dia memang jenis tak tunjuk rasa cemburu. Kononnyalah. Walhal jelas terpampang di muka.


Walaupun dia sedia maklum yang Syuhada menerima 'surat cinta' hampir setiap hari, tapi dia tak pernah membacanya. Mungkin sekali dua. Biasanya dia akan selalu berlagak seolah-olah dia tak kisah. Gelora dalam hati? Cuma tuhan yang tahu.


Sekarang pun muka dah keruh mendung keruh mendung. Sempat dia mengerling pada Syuhada yang masih di kaunter sana. Teragak-agak untuk membuka lipatan surat dan kad-kad di tangannya. Pertama, takut dia makan hati sendiri. Kedua, dia jenis yang tak menceroboh privasi Syuhada. Kalau bermain dengan telefon bimbit Syuhada pun, dia tak pernah buka kotak mesej, log panggilan, email dan sebagainya tanpa izin.


Jadi sekarang... ah. Ikutkan hati, dia nak tahu lelaki mana yang selalu nak memikat isterinya. Apa yang terkandung dalam 'utusan cinta' ini. Tapi... macam mana kalau dia sampai tak betah?


   "Tsk," decitnya sekali sebelum pantas menyimpan semula kad dan surat milik Syuhada ke dalam laci dashboard. Melihat Syuhada sedang menghampiri, dia berlagak selamba. Keluar dari pacuan untuk mengisi minyak sebaik saja Syuhada membolos masuk. Bibir masih terjuih dengan mata yang kadang sengaja dibuat pandang kiri kanan. Faham kan muka bila tahan diri dari menangis? Hah. Macam tulah Zaidan sekarang. Mengawal cemburu dalam hati.


Usai mengisi minyak dalam mulut kereta, dia menerobos masuk. Senyum sukar diukir. Sekelip mata mood ditelan ombak. 


5 minit menyambung pemanduan, suasana dalam kereta sunyi sepi. Pada awalnya Syuhada dapat duduk menyandar dengan tenang menikmati panorama ibu kota di malam hari. Tapi bila dah lebih 5 minit, dia rasa tak kena. Tak biasalah kalau tak dengar suara Zaidan. Sepi lain macam.


   "Senyap je abang," giat Syuhada mencuit sekali telinga Zaidan. Hmh, bila suami tak kacau dia, dia pulak yang kacau suami. Nak salahkan siapa sekarang?


Zaidan menoleh sekilas. Tersenyum sambil angkat kening. Konon dia baik-baik saja. Cep! Senyum pun tawar hambar.


   "Kenapa? Dah tak nak bercakap? Letih?" giat Syuhada lagi, kali ini tangan kanannya merayap di paha sang suami pula.


   "Tak adalah," dalih Zaidan. Ini kalau buka surat tadi, konfem menangis. 


   "Hmh. Yelah tu. Tiba-tiba aje."


   "Seronok sayang kan?" 


Berkerut seribu dahi Syuhada mendengar soalan tak semena-mena Zaidan itu. Dia memiringkan tubuh ke arah Zaidan.


   "Seronok kenapa?"


Zaidan berlagak selamba. Bahu dijongket sekali. "Seronoklah... Hari-hari dapat surat cinta. Ramai peminat."


   "Aik. Tak ada angin tak ada ribut." Syuhada curiga. Tambah curiga bila Zaidan menoleh sekilas bersama senyum hambar. Dia dah dapat baca sikit-sikit ni. Hm... Apa punca pulak ni?


   "Apa perasaan sayang dapat surat cinta?" Zaidan menggali kubur sendiri. 


Berterus-terang jelah kau jeles, Zaidan oi... (suara hati penulis)


   "Ish abang ni," pangkas Syuhada kembali menghadap tubuh ke depan. Jemari runcingnya bermain dengan blausnya sendiri.


   "Memanglah Ayu bersyukur sebab ada orang suka Ayu. Ayu pun suka semua orang. Tapi perasaannya tu tak lebih dari rasa berterima kasih. Abang expect Ayu berbunga-bunga dalam hati bila baca surat layang?"


Zaidan jongket bahu lagi, bibir menjuih tanda dia tak tahu dan dia nak tahu.Tapi dia tak nak tanya. Haaa... Macam mana tu?


   "Abang jangan risaulah. Ayu tak ambil pusing sangat pun tentang surat tu semua. Bila orang dah bagi, takkanlah Ayu nak tolak..."


   "Bila sayang terima, itu macam greenlight buat dorang. Macam sayang bagi dorang harapan, sayang bagi dorang ruang. Buktinya, bertahun-tahun dorang masih cuba pikat sayang kan?" terluah juga isi hati Zaidan sedikit demi sedikit. Masih terkawal nada dan air mukanya. Ego tinggi melangit nak mengaku cemburu.


Mendengar hujahan Zaidan, Syuhada jadi terdiam sejenak. Ada betulnya juga kata suaminya.


   "Tapi Ayu tak pernah balas mana-mana surat yang Ayu terima so kiranya Ayu tak berminatlah kan? Dorang pun one day akan sedar sendiri. Lagipun, tak ada yang serius sangat pun. Mostly Ayu dapat wish note aje."


Zaidan diam. Mengetap bibir tak memandang Syuhada. Dia kurang bersetuju dengan cara isterinya itu tapi ada sedikit rasa terkilan dalam hatinya jadi tak dapatlah dia bersuara. Takut meninggi suara tanpa sedar, takut mengeluarkan ucapan yang tak sepatutnya, takut melukai hati Syuhada. Jadi dia pendam saja rasa tergores itu. Memujuk luka sendiri seperti biasanya dia.


Sedar tak sedar, mereka tak berbual lagi selepas itu. Sepi menemani perjalan hinggalah mereka tiba di vila keluarga Zaidan.


Vila yang tersergam gah, terletak agak jauh dari kesibukan pusat ibu kota. Ambil masa lebih 30 minit dari apartment.


Tak membuang masa, Zaidan dan Syuhada menyusun kaki masuk ke dalam rumah. Kedatangan meraka disambut baik oleh Puan Naura yang anggun di malam hari dengan baju kelawar labuh. Pakai baju kelawar pun nampak elegan.


   "Mama ingatkan you berdua tak datang... Dah pukul berapa ni..." ramah Puan Naura berkata sambil berlaga pipi dengan Syuhada. 


Wanita itu kemudian menggosok-gosok pula belakang tubuh Zaidan.


   "Menantu mama nilah... Bersiap lama sangat... Sepuluh kali tukar ganti gincu. Last-last warna tu jugak yang dia pakai hah," temberang Zaidan mengundang cerlungan Syuhada. 


Syuhada ketap gigi memberi amaran lewat isyarat mata. Kalau tak ada mama, dah lama dia cubit-cubit perut suaminya. Geram betul.


Puan Naura cuma menggeleng senang. Suka melihat 'kemesraan' anak menantu.


   "Hmh. Macam-macamlah Eid ni. Mari makan. Dah sejuk lauk Mak Intan masak..."


Mereka bergerak ke ruang makan yang luas dan selesa. Pelbagai jenis makanan untuk makan malam terhidang di atas meja. Mejanya pula panjang macam nak buat meja makan beradab.


Syuhada duduk bersebelahan Puan Naura, bertentangan Zaidan. 


   "Santi, panggilkan tuan kamu," arah Puan Naura pada salah seorang pembantu rumahnya yang berdiri di sudut ruang.


Wanita 30an bernama Santi itu pantas menurut.


   "Papa kamu tu ada macam tak ada. Asyik berkurung dalam bilik bacaan dia. Mama ni sorang-sorang ditinggalnya," luah Puan Naura disambut senyuman Syuhada. 


Senyum pun sedikit kekok. Ya. Sejujurnya Syuhada masih kekok dengan keluarga mentuanya. Yelah. Mereka jarang sekali bertemu muka. Boleh hitung dengan jari berapa kali mereka berkumpul begini. Raya... kadang raya pun masing-masing bekerja. Tambahan pula dia masih tak dapat menyesuaikan diri dengan....


   "Ha, papa dah turun," ucap Puan Naura teruja nak memulakan makan malam.


Syuhada telan liur. Berdebar kalahkan orang nak masuk meminang. Dia angkat muka. Melempar senyum pada pada bapa mentuanya yang mengambil tempat di hujung meja. Fuh. Nasib baik jauh. Sempat dia kerling pada Zaidan. Ah. Nama pun Zaidan. Ribut petir melanda, tetap saja selamba saja mukanya.


   "Kamu apa khabar, Syuhada? Lama saya tak nampak kamu." Sapa Tuan Farid bersama senyuman.


   "Ish papa ni. Berapa kali nak pesan... Ayu bukan kakitangan papa kalau kat rumah. Dia menantu papa. Apa pulak 'kamu saya'..." celah Puan Naura yang dah berbuih mulut berkata perkara sama.


Tuan Farid ketawa 'orang kaya'. 


   "Selama ni pun saya bercakap macam tu jugak dengan Zaidan... Sama saja..."


   "Ayu sihat, pa. Alhamdulillah. Papa apa khabar?" Syuhada bersuara kerana tak mahu memanjangkan topik menjanggalkan.


Tuan Farid mengangguk-angguk kepala. "Sihat... Tapi kamu tahulah. Banyak hal kerja nak diuruskan. Tahun ni tahun pemilihan CP baru."


Kali ini Tuan Farid melirik pada Zaidan, bicaranya ditujukan pada lelaki itu.


Zaidan buat-buat tak mengerti. Bersahaja menyudu lauk ke dalam pinggan. 


Syuhada pula telan liur menahan debaran. Janganlah bapak dengan anak nak bertikam lidah di meja makan.


   "Papa. Mama tak nak sesiapa pun sebut urusan hospital di meja makan. Please enjoy our quality time together," sampuk Puan Naura memberi amaran.


Fuh. Lega Syuhada mendengarnya. Dia pun cuba selesakan diri. Bibir tak lekang dengan senyuman.


   "Makan, Syuhada. Makan..." Tuan Farid mempelawa dalam senyuman.


Makan malam pun dimulai dengan... kekok.

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sweet Jasmine