Home Novel Komedi/Romantik Komedi Dia Suami Rahsia
Dia Suami Rahsia
Sweet Jasmine
16/11/2021 19:14:05
38,825
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 3
SEPULUH BUDAK GEMUK


AYU SYUHADA duduk di meja solek sambil menyisir rambut lurus separa pinggangnya yang masih lembap. Rasa lega yang amat seusai mandi. Sekarang jam 11 malam, dia sudah siap berpajama satin warna biru. Bersedia untuk tidur.  Bila rambut lembut dan harumnya dah tersikat rapi, dia bangun berjalan keluar dari kamar. Melintasi ruang tamu apartment yang sunyi untuk ke dapur.


Sejak berkahwin dengan Zaidan, dia berpindah masuk ke apartment milik suaminya ini. Sebuah apartment yang cukup luas dan selesa untuk mereka berdua tinggal. Yang penting, tak jauh dari hospital. Mereka bukan selalu kat rumah pun. Siang malam, sehari-hari menghabiskan masa di hospital. Zaidan terutamanya. 


Sebelum tinggal di sini, dia menyewa bersama Cecilia berdekatan hospital kerana kediaman keluarganya jauh di Australia. Ibu bapanya menetap di Australia sejak dia berusia 12 tahun. Dia sendiri memilih untuk sambung belajar di Malaysia. Latihan kedoktoran juga di beberapa buah hospital dalam Malaysia dan akhirnya, berkhidmat juga di Malaysia, negara asal keluarganya.


Bila diimbas semula, terasa macam tak percaya yang dia kini bergelar isteri 'Doktor Zaidan'. Ketika dia masih lagi bergelar doktor pelatih, tak pernah terlintas sekali pun yang dia boleh jatuh cinta pada lelaki yang paling dibenci teman sekerjanya yang lain. Aih. Banyak kisah sepanjang 7 tahun di High Moon International Medical Centre kalau nak dicerita satu persatu.


Syuhada membasahkan tekak di dapur dengan segelas teh madu hangat. Esok pagi dia perlu ke seminar jadi malam ini dia perlu rehat yang secukupnya. Langkah diatur kembali ke kamar. Baru saja nak memanjat naik ke atas katil, telefon bimbitnya berdenting sekali mematikan niat. Dia menoleh kiri kanan mencari mana letaknya iphone 7 yang barusan berbunyi. Ada di atas meja solek jadi menapak tenang ke arah meja solek. Yang namanya Ayu Syuhada ini memang tenang memanjang. Dalam situasi genting sekalipun, dia tetap tenang, lemah gemalai setiap gerakan.


Melihat pesanan baru diterima dari sebaris nombor yang sama menghantar pesanan kepadanya petang tadi, lapisan di dahi licinnya kembali lagi. Hampir saja dia lupa soal pengirim misteri itu. Sangkanya salah nombor tapi sekarang dia menerima satu lagi mesej baru. 


   "I miss you so much that i can't sleep at all even though i'm deadly tired. Can't wait to see your beautiful smile and to hear your angelic voice once again."


Berbisik suara Syuhada membaca mesej yang baru diterima itu. Merinding satu tubuh dengan setiap bait perkataan tertera di skrin. Bukannya dia tak biasa terima surat layang, surat cinta apa semua. Boleh dikatakan setiap hari dia akan terima kad ucapan atau surat 'cinta' dari rakan sekerja, pesakit, orang luar tapi kali ini agak berbeza. Atau mungkin... agak berlebihan. Cukup untuk buat dia dijalari rasa tak nyaman.


Namun beberapa detik memerah otak, akhirnya dia geleng kepala. Menegaskan pada diri sendiri bahawa pesanan ini mungkin dihantar secara rawak atau mungkin salah nombor. Ya. Salah nombor.


Tak berlengah lagi, ibu jarinya bergerak lincah di atas permukaan skrin untuk memadan kotak perbualan dan menyekat nombor. Tiba-tiba, dia dapat merasakan sesuatu yang hangat di belakang tubuhnya. Seperti ada satu lembaga berdiri di belakangnya. Baru nak menoleh...


   "Gemuk."


   "Ah!" Menjerit kaget dia bila suara bisikan terlebih dahulu menghembus betul-betul di cuping telinganya sebelum dia sempat berpaling. Telefon terlepas dari tangan, dia menekup mulutnya sendiri dengan mata membuntang. Berombak dada!


Hampir saja dia jatuh ke lantai dek terlalu terkejut namun yang dia dengar, cuma tawa besar Zaidan yang seronok dapat menyakatnya seperti biasa.


   "Tarik nafas... Hembus... Ulang 3 kali," giat Zaidan bersahaja menanggalkan kemeja yang tersarung di tubuhnya. Dia kini cuma berseluar slack tanpa baju. Menampakkan dada bidangnya. 6 ketulan di perut juga terpampang jelas. Ditambah dengan kulit keperangan. Cukup seksi.


   "Abang..." rengek Syuhada bila dah mendapatkan semula semangat yang barusan melayang. Mencemik dia tunduk mengutip telefonnya dari lantai. 


Zaidan masih tersenyum-senyum tanpa rasa bersalah. Menanggalkan jam tangan dekat meja solek. 


   "Ya intan payung... Abang kat sini hah. Kenapa? Ada apa?" suaranya sengaja dibuat-buat konon bercakap dengan anak kecil. Mengundang jelingan Syuhada.


   "Phone Ayu dah pecah..." Syuhada menunjukkan skrin telefonnya pada Zaidan dengan muka cengeng.


Seperti biasa, apa Zaidan kisah? Lelaki itu mendekati Syuhada, masih tersenyum lucu menampakkan barisan giginya yang tersusun bersih. 


   "Mana ada pecah, Puan Ayu Syuhada... Ini retak namanya."


   "Sama jelah. Tetap kena baiki."


   "Kan sayang pakai tinted kaca.Tukar tinted jelah. Nak baiki buat apa. Hahh... Perempuan tak pernah tak complicated."


Syuhada menjuih tanda tak menerima jawapan Zaidan. Dia menilik skrin telefonnya semacam teruk benar 'pecah'nya itu. Walhal cuma retak 4 garisan dari bucu atas skrin.


Tak betah melihat kecomelan Syuhada, Zaidan lantas memaut pinggang Syuhada sebelah lengan. Tangan kirinya mencubit kuat pipi gebu Syuhada membuatkan isterinya itu berkerut satu muka.


   "Sakit!" marah Syuhada menggerakkan kepala ke sisi kanan agar tak dicubit Zaidan. Satu cubitan saja, kulit muka dah merah menyala.


Zaidan mengemaskan pautan. Pipi yang sama, dikucup-kucup laju. Geram!


   "Gemuk-gemuk pun abang sayang tau. Comel sangat kenapa? Geram nak gigit pipi pau sayang ni."


   "Kan Ayu dah cakap jangan panggil Ayu gemuk. Ayu tak gemuklah."


   "Aaaapaa? Tak gemuk?" Sengaja Zaidan tayang muka 'unbelievable'nya. Di melepaskan pinggang Syuhada dan berundur setapak ke belakang. Mengimbas seluruh tubuh Syuhada dari bawah ke atas sejenak sebelum geleng kepala dan bercekak sebelah pinggang. Jambang nipis di wajahnya dia gosok-gosok.


   "Kalau ikut BMI, sayang dah level obesiti tegar. Tinggi 155. Berat almost 70 kilo bulan lepas. Bulan ni tak timbang lagi kan? Abang agak dah capai dalam 80 kilo. Pipi kanan je dah 2 kilo."


   "Abang!!"


Bhaahahaha! Tawa Zaidan melambung tinggi memenuhi segenap ruang kamar. Berbunga-bunga dalam perut dapat usik Syuhada. Muka sebal Syuhada itu macam penghibur hati. Susah nak gambarkan kepuasan yang dia rasa setiap kali dapat buat Syuhada 'marah'. 


   "Ayu tak nak kawan dengan abang kalau abang cakap Ayu macam tu lagi," rajuk Syuhada seraya menyusun langkah ke arah katil. Kemeja Zaidan yang barusan Zaidan letak atas katil, dia ambil lalu dia masukkan ke dalam bakul pakaian kotor sebelah almari. Kemudian barulah dia memanjat naik ke atas katil.


   "Sepuluh budak gemuk~ Duduk tepi kolam~ Sorang jatuh kolam, tinggal lagi sembilan..." Kali ini Zaidan menyanyi lagu rakyat pula. 


Lagu rakyat yang liriknya direka sendiri. Air muka bukan main selamba badak konon menyanyi lagu jiwang 90an. Sambil-sambil mundar-mandir mencari pakaian untuk dipakai usai mandi nanti. Dia tahu Syuhada sedang merenungnya tanda amaran tapi dia berlagak seolah-olah Syuhada tiada di situ. Bahkan ketika sedang mandi pun, suara nyanyian masih kedengaran. Sampailah dah sembilan orang budak gemuk jatuh dalam kolam.


Zaidan yang siap mandi, menapak keluar dari bilik mandi bertuala separa lutut. Mengesat-ngesat rambut di hujung katil menghadap Syuhada yang belum lagi tidur. Cemberut wanita itu duduk di atas katil kerana tak dapat tidur diganggu nyanyian Zaidan.


   "Sembilan budak gemuk semua jatuh kolam. Kan ada Sepuluh. Mana sorang lagi, sayang?" Zaidan bertanya pada Syuhada tanpa rasa jemu nak mengusik wanita itu.


Syuhada angkat muka membalas pandangan Zaidan. Geram juga sebenarnya tapi dia jenis terlalu lembut untuk marah lebih-lebih. Buktinya, sekarang dia malah memikirkan jawapan untuk soalan Zaidan.


   "Ada tepi kolam lagi. Sebab tinggal dia sorang, so tak ada orang lain yang boleh tolak dia jatuh kolam," jawabnya lurus dan polos membuatkan Zaidan ketap bibir menahan tawa lucu.


Zaidan geleng kepala. "Teng! Salah."


   "Habis tu, mana sorang lagi?"


   "Ni. Ada atas katil depan abang."


Hahahaha! Sekali lagi tawa Zaidan meletus besar. Beria ketawanya sampai pegang perut. Mangsa bulinya dah pasrah campur redha di atas katil. Memerhati saja gerak-gerinya menyarung pakaian dengan pandangan 'give up'.


   "Dinda jangan marah-marah~ Takut nanti lekas tua~" 


Zaidan menyanyi pula lagu 'Dinda' dari kugiran 'Masdo'. Ceria memanjat naik di sebelah Syuhada. Muka pun dah tampak segar selepas dah mandi.


   "Dinda marah kanda ke?" bisik Zaidan meletakkan kepala dia atas perut Syuhada. Menempel manja bak anak kecil.


Apa yang mampu Syuhada balas? Mengeluh sajalah mampu. Jemarinya yang sedikit berisi itu brrmain dengan rambut lembap Zaidan. Dia tunduk membalas pandangan Zaidan.


   "Ayu tak marah... Tapi Ayu tak suka."


   "Okay noted. Nanti abang tukar lagu lain."


Syuhada berdecit. Dia tahu Zaidan tak akan berhenti menyakatnya. Macam mana dia tahu? 3 tahun dia merangkul gelaran 'gemuk' itu. Pastilah dia tahu.


   "Abang cakap malam ni tak balik." Dia memilih untuk ubah topik perbualan. Sesekali hujung jarinya melurut kening Zaidan yang cantik terbentuk. Antara hal yang dia paling suka pada Zaidan ialah bermain dengan kening dan jambang lelaki itu.


   "Abang tak tahan tanggung rindu. Abang balik jelah. Patient pun abang tinggal dalam bilik bedah macam tu aje. Terbelah kepala tak sempat tutup. Esok kot abang check keadaan dia."

 

   "Tsk." Syuhada berdecit lagi dengan kerutan di dahi. Geram betul dengan sikap Zaidan. Tak pernah nak jawab betul-betul. Jawapan pula menyakitkan hati. Main-main dengan nyawa pesakit.


   "Tak ada patient abang tinggal dalam OR kan?" Dan dia yang bodoh ini selalu masuk perangkap.


Zaidan ketawa kecil. Terhibur dengan kepolosan isteri sendiri. "Esok kita check sama-sama."


   "Abang!"





----------------------------------------------------



    AMIRA, Pasha, Shahid dan Adri tercegat dekat kaunter luar bilik wad di tingkat 3 bangunan West Wing. Adri menongkat kepala, tidur dalam jaga. Shahid dan Amira menyandar punggung sambil memerhati manusia di sekeliling sementara Pasha, tekun mengulang kaji sesuatu. Muka masing-masing penat dan mengantuk seperti biasa. 


   "Untung dorang tu," ucap Shahid sedang anak mata melekat pada sekumpulan intern seangkatannya di koridor yang sedang berbual mesra dengan pengajar mereka.


Amira, Pasha dan Adri pun ikut melempar pandang ke arah yang sama. Memuncung bibir kerana cemburu. 


   "Riz cakap Doktor Uzair siap bagi salinan folio kes legend dulu. Mana yang tak faham, boleh tanya direct, satu-satu Doktor Uzair explain. Riz sendiri dah banyak kali assist Doktor Uzair," kata Adri pula dengan muka sayu. 


Mana tak sayu. Waktu jadi intern inilah kena banyak belajar kes-kes besar. Banyak masuk bilik bedah, rasai pengalaman membantu pembedahan tapi mereka di bawah Zaidan? Dah hampir 6 bulan, baru sekali dibenarkan masuk dewan bedah. Itu pun cuma memerhati dari baris belakang. Yang Zaidan tahu, suruh mereka uruskan kes kecil. Kebanyakannya 'back up' unit kecemasan.


   "Why not kita jumpa Chief Physician, mintak tukar doktor lain?" cadang Shahid membuatkan Amira laju menoleh. 


Pap! Dia menampar perut Shahid menggunakan fail kulit tebal yang sedia ada di atas kaunter.


   "Aaah!" meleret Shahid punya mengaduh dengan kening hampir bercantum.


   "Tak cukup ke 4 orang dah peningkan kepala CP, kau nak tambah pening dia lagi? Dia tu dah tak lama nak bersara tahu tak?"


   "Uuu... Mira suka Zaidan..." celah Adri mengejek.


   "Diamlah, Adri. Kau pun satu. Kalau kau rasa nak belajar kes besar, kau researchlah sendiri. Naik library sana. Korek rekod lama. Tanya residen lain. Tanya juga kawan kau Riz tu. Ini tak. Tahu nak mengutuk Doktor Zaidan aje." Panjang lebar pula Amira berhujah dalam sebal. 


Seperti biasa, Shahid terkumat-kamit mengajuk hujahan Amira dengan muka paling buruk.


   "Guys. He's coming," maklum Pasha separuh berbisik tapi cukup membuatkan 3 temannya kalut membetulkan posisi. Berbaris dalam posisi sedia kalahkan tentera di kem latihan.


Dari koridor kiri, Zaidan dalam skrub biru dan jubah putih berjalan langkah besar. Muka segar, barulah nampak macam manusia berbanding 3 hari kebelakangan ini.


   "Ikut aku," katanya sepatah ketika melintasi anak buahnya.


Keempat-empat mereka membuntuti langkah Zaidan ke tingkat paling bawah. Tiba di unit kecemasan 4 yang agak sibuk memandangkan terdapat kemalangan antara bas dan kereta tak jauh dari hospital. Kesemua mangsa dibawa ke sini. Tapi Zaidan mendekati satu katil yang berjarak dari mangsa kemalangan. Dia berdiri di sisi kanan katil, anak-anak buahnya mengerumuni sisi kiri.


Seorang gadis muda terbaring di atas katil. Kurus, berambut hitam pekat separa bahu, muka agak pucat dan dahi dibasahi manik peluh. Masih sedarkan diri.


   "Female, 24. Usus tersumbat. Dia telan sesuatu tapi dia tak nak bagitahu apa yang dia dah telan. Current level of pain, 6. Shahid, apa yang dia telan?" Laju dan lancar Zaidan mengajukan soalan tanpa amaran. Muka selamba poyo.


Shahid lagi yang kena kali ini. Lelaki itu ketap bibir beberapa saat, mengimbas keadaan pesakit dalam gemuruh. Kepala yang tak gatal digaru-garu. Hujung kening pun digaru sekali. Otak ligat berfikir tapi dia tak ada jawapan untuk soalan itu.


   "Saya... tak tahu."


   "Of course you don't. Kalau kau tahu, tu maknanya kau bela saka nenek kau," tempelak Zaidan bagaikan bom meledak pada muka Shahid. 


Merah padam muka Shahid sementara Adri menahan geli hati macam biasa.


   "Shahid, Mira, pergi ambik result X-Ray sekarang. Dah dapat detail baru cari aku. Aku ada surgery, siapa boleh assist?"


   "Saya!" sepantas kilat Adri angkat tangan penuh semangat. Nak tercabut lengan dari bahu.


Zaidan angguk. "Bagus. Pasha, ikut aku. Adri, jaga patient ni."


Terus saja dia berlalu pergi meninggalkan Adri dan Pasha terkulat-kulat. Selang sesaat, Pasha menyusul langkah Zaidan walau serba-salah. Giliran Shahid pula ketawa terkekek-kekek kerana Adri di 'reject' mentah-mentah barusan.


   "Kau jaga patient ni baik-baik ya, Adri. Aku dengan Mira nak ke Unit Radiologi. Maklumlah. Kami doktor. Bukan pengasuh," perli Shahid menepuk sekali bahu Adri sebelum membuka langkah pergi.


Tinggallah Adri sendiri di sisi katil dengan muka kecewa, hampa dan menyedihkan. Terjuih bibir dalam tak puas hati. Tangan dimasukkan ke dalam poket kot putihnya dan dia memandang pula pesakit yang harus 'dijaga'. 


    "Awak telan apa sebenarnya?"


   "Coke."


   "Hmh? Coke? Air coke?" Dahi Adri berkerut seribu. Tubuhnya dibongkok sedikit untuk mendengar dengan lebih jelas.


Pesakit yang terbaring dengan air muka kosong itu diam sejenak. Seperti sudah putus asa untuk hidup.


   "Cocaine."

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sweet Jasmine