Home Novel Komedi/Romantik Komedi Dia Suami Rahsia
Dia Suami Rahsia
Sweet Jasmine
16/11/2021 19:14:05
48,654
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 4

BEKAS KEKASIH


ADRI berlari laju bagai dikejar malaikat maut. Jantungnya turuf berlari bersama tak dihiraukan tahap degupan. Beberapa kali terlanggar tubuh manusia, beberapa kali juga hampir tersadung. Tapi larian tetap diteruskan dengan muka panik. Dari lobi West Wing, dia sudah pun sampai di tingkat 2 East Wing, agak jauh lariannya dalam jangka masa kurang 10 minit. Setibanya dia Unit Radiologi, lariannya pun brek mengejut bila bertembung dengan Amira dan Shahid di koridor yang lengang.


   "Adri!" Amira meluru mendapatkan Adri, riaknya juga sedikit cemas. Pasti dia dah dapat tahu apa yang berlaku.


Adri tercungap-cungap. Menyandar pada dinding koridor melepas mengah.


   "Weh. Kau tahu tak apa yang patient tu telan?" Shahid menyoal sambil memegang sekeping radiograf di tangannya.


Laju Adri angguk. Peluh membasahi muka. "Kokain."


   "Kokain?" Mata Amira membulat. Staf di Bilik Radiografi tadi cuma mengagak 7 objek yang kelihatan pada paparan sinar x itu ialah dadah tapi ternyata benar.


   "Dia mungkin masukkan dalam belon atau plastik sebelum telan semua 7 dadah tu," kata Shahid gusar.


   "Macam mana sekarang? Zaidan on surgery. Tapi kalau salah satu je belon tu pecah, patient boleh mati dalam 5 minit," sahut Adri pula resah gelisah. Mundar-mandir di depan Amira dan Shahid memegang belakang kepala sendiri.


   "Kena bagitahu Doktor Zaidan sekarang," kata Amira menarik perhatian Adri dan Shahid.


   "Macam mana? Nak terjah je dia tengah operate patient? Macam tu?" Adri melepas serabut dalam dada pada Amira.


   "Kita tunggu," celah Shahid pula. Anak mata menekur lantai. "Pain level baru 6. Mungkin dia baru telan kurang 4-5 jam. Kalau kita tunggu, mungkin dia takkan apa-apa."


   "Kau gila ke?" Amira pula naik berang. Bercekak pinggang menghadap Shahid. "Dia kena operate as soon as possible. Kita kena buang dadah tu keluar dari usus dia sebelum ia pecah. Dadah tu boleh pecah bila-bila masa saja faham tak? Kau nak dia mati? Kau nak ada patient kau mati dalam rekod kau nanti?"


   "Habis tu kau nak aku buat apa?" jerkah Shahid kuat. Bergema sepanjang koridor. Muka merah padam, nafas berombak. Tegang udara yang bergerak antara mereka 3 sekawan tika ini.


Beberapa detik, Amira mengeluh berat sebelum menghayun langkah. "Aku nak jumpa Doktor Zaidan sekarang."


   "Mira tunggu." Laju Adri mengejar langkah Amira disusuli Shahid.


Mereka berdua cuba memujuk Amira untuk memikirkan cara lain tapi Amira tetap dengan pendiriannya. Sekarang mereka bertiga dah kembali di West Wing. Mereka sama-sama berdiri di depan papan jadual tugas harian di tingkat 3 tapi ketika itu, barulah mereka menyedari. Pembedahan yang sepatutnya Zaidan lakukan tadi, telah pun dibatalkan.


Kaget. Bulat mata masing-masing saling bertukar pandang sebelum sepantas kilat mereka berlari untuk ke Unit Kecemasan 4. Kelam kabut dan mungkin cuma mereka yang paling 'sibuk' di antara semua intern di hospital ini.


Setibanya di tempat yang dituju, sekali lagi mereka kaget. Katil pesakit di bawah 'jagaan' mereka sudah kosong. Gadis kurus yang tadinya terbaring pucat di atas katil itu sudah tiada. Liar anak mata mereka melinggas ke sekeliling ruang unit kecemasan tapi tetap tak kelihatan.


   "Damn it!" Shahid hentak kaki menyumpah kebodohan sendiri.


   "Mana patient? Di... dia dah balik ke? Atau apa-apa jadi ke?" Amira diasak rasa takut dan buntu. Rambut yang terikat kemas, dia raup sambil tubuh bergerak pusingan 360 darjah.


Dalam masa yang sama, Adri menahan salah seorang jururawat yang melintasi mereka.


   "Sorry. Mana... patient perempuan yang duduk katil ni tadi?" Soal Adri membuatkan Amira dam Shahid juga fokus menanti jawapan.


Jururawat lelaki 30an bertag nama Seth itu mengerling sekilas pada katil yang dimaksudkan Adri.


   "Hanis Othman. She had just caused a big chaos just now. She was really in pain. She was screaming, crying and kept shouting that she swallowed a bunch of cocaine or something and..."


   "Mana dia?" pintas Shahid tak betah lagi mendengar penjelasan panjang lebar. Jantungnya bagai nak meletup.


Seth bersahaja, jongket bahu sekali. "Doktor Zaidan dah arahkan dia masuk OR. Tapi rasanya bukan Doktor Zaidan yang lead."


   "Oh my god..." Adri meraup muka sendiri. Gelap sekejap dunia membayangkan apa yang telah berlaku dan apa yang bakal berlaku. Terngiang-ngiang di cuping arahan Zaidan menyuruhnya menjaga pesakit. Kalau saja dia tak tinggalkan pesakit.


Amira dan Shahid juga merasai hal yang sama. Terasa dunia mereka hancur. Mereka seolah-olah berdiri di hujung tanduk. Bila-bila masa saja boleh jatuh dan ranap segala tulang temulang. Apa nasib mereka selepas ini?



----------------------------------------------------



   SYUHADA baru saja tiba di lobi banguanan West Wing sekembalinya dari seminar di Shantanand Auditorium. Walau agak penat, bibir mungilnya tak lekang dengan senyuman manis buat sesiapa saja yang berselisih dengannya. Berbaju kurung moden rona pink, tudung bawal lilit serona dan beg galas belakang, wanita itu tampak comel seperti pelajar universiti. Siapa sangka umurnya sudah mencecah 34 tahun. Awet muda dan manis dipandang.


Bila melihat agak ramai manusia menunggu di depan pintu lif, dia memilih untuk memanjat anak tangga yang terletak di tengah-tengah ruang lobi, belakang kaunter utama. Tapi tangga itu cuma membawanya sampai ke tingkat 1. Dari tingkat 1, barulah dia perlu menggunakan lif untuk naik ke pejabatnya di tingkat 5.


Niat untuk menaiki lif terbantut tatkala anak mata tertancap pada sekumpulan manusia yang berkumpul di hadapan luar pintu unit kecemasan 4. Membuat seakan satu bulatan. Dahinya berkerut memikirkan apa yang berlaku. Sempat dia mengerling jam di pergelangan tangannya. Masih ada masa senggang jadi menangguhkan niat menaiki lif, sebaliknya dia turun semula ke lobi, mendekati kumpulan manusia yang dilihat tadi. Tak perlu meminta, orang-orang yang menyedari kehadirannya terus saja membuka ruang agar dia dapat melewati tanpa perlu bersentuhan.


Melepasi lapisan manusia, dia kini berdiri di baris paling depan. Sedikit kaget melihat tumpuan utama bulatan manusia ini adalah suaminya sendiri. Dilihat Zaidan berdiri di tengah-tengah ruang. Bertentangan suaminya itu, tercegat pula 4 orang doktor pelatih yang tertunduk menekur lantai dengan kedua-dua tangan bersatu di depan tubuh. 


   "Jawab!" 


Syuhada tersentak bila suara keras Zaidan mengherdik 4 orang pelatih muda itu. Bingung dia cuba menghadam apa yang sedang berlaku tapi dia cuba memberi sepenuh perhatian.


Zaidan tampak berang. Kedua-dua telinga merah, begitu juga dengan kulit muka. Air muka yang tegang menakutkan sesiapa saja yang melihat.


   "Adri. Aku suruh kau jaga dia. Apa kau buat? Kau tinggalkan dia kan? Kenapa? Kau tak anggap arahan aku serius? Semua benda kau anggap remeh? Semua kerja aku bagi kau remeh? Tak layak untuk seorang 'doktor'?" Zaidan mengajukan soalan bertubi-tubi pada Adri. Mengena tepat di batang hidung Adri.


Tak sempat lagi Adri menjawab, Zaidan mendekati Shahid pula. Desas nafasnya menyapa muka lelaki muda itu. Segulung kertas di tangannya di genggam kuat, merenung muka Shahid yang tak membalas renungannya sama sekali.


   "Kau terima biasiswa penuh kan? Layak ke kau terima biasiswa berharga kalau kau terlalu bodoh untuk buat satu kerja mudah macam ni? Hmh?"


Shahid telan liur. Gigi diketap rapat menahan sakit hati. Rasanya dia seperti disimbah sebaldi cat merah. Mukanya panas sampai ke urat saraf. Malu. Malu diperlakukan begini di depan rakan sekerja yang lain. Tapi dia tak mampu melawan.


   "Aku seriously tak tahu apa yang ada dalam kepala korang," sambung Zaidan lagi mengetuk kepala Shahid dan Adri menggunakan gulungan kertas di tangannya.


   "Macam mana korang boleh lulus belajar? Tak. Macam mana korang boleh tergamak nak pegang title 'doktor' bila otak korang sebodoh ni. Like seriously aku tak faham." Zaidan berundur setapak ke belakang dengan muka kecewa bercambur sebal.


   "Pasha. Ada apa dalam usus patient?" Dia menyoal pada Pasha di sebelahnya pula tanpa memandang gadis itu.


Pasha telan liur. Teragak-agak dan serba-salah. "7 belon berisi kokain."


   "Apa yang berlaku kalau belon tu pecah dalam usus patient?"


   "Patient meninggal dalam 5 minit."


   "Ya. Meninggal. Mati. Nyawa manusia melayang ketika datang untuk dapatkan rawatan. Korang faham tak?" Zaidan bercekak pinggang memandang satu demi satu muka anak buahnya.


Amira tunduk menahan air mata. Malu cuma tuhan yang tahu. Kecewa, menyesal. Berbaur segala rasa.


   "Shahid. Bila kau ada dadah dalam usus patient. Apa patut kau buat?" Zaidan belum selesai, mengaju soalan pada Shahid pula.


Lambat-lambat Shahid angkat muka. Tegang. Dia membalas pandangan Zaidan kerana tak sanggup nak melihat ke dalam mata penonton sekelilingnya.


   "Jalani pembedahan segera. Buang usus besar dari seluruh kaviti badan, cari belon dan keluarkan."


   "Okey. Apa yang korang buat? Buang masa? Tunggu patient mati?"


   "Tapi Doktor Zaidan on surgery jadi kami..."


   "Sebab tu aku cakap korang bodoh! Korang tak layak berada kat sini, tak layak pakai pakaian yang korang pakai sekarang!"


Tumpah juga air mata Amira dek jerkahan lantang itu. Shahid kembali tunduk, mengepal 10 jemari menelan segala 'hinaan'. Sementara Adri, hanyut di dunia lain. Dunia penyesalan.


Amarah Zaidan belum surut.Dia menarik nafas dalam. Meraup sekali jambang di wajah.  "Aku sorang aje ke doktor kat sini? Hmh? Sebesar-besar hospital ni, aku sorang aje yang boleh lead surgery?" 


Sepi tanpa jawapan.


   "Pasha. Kalau aku dalam OR, ada patient usus tersumbat perlu jalanani pembedahan segera. Kau cari siapa?"


   "Er... any available surgeon from Gastroenterology Department."


   "Exactly." Kepala Zaidan terangguk-angguk seakan sudah kehabisan ayat nak menggambarkan kebodohan anak buahnya.


Selang sesaat, dia menyambung lagi dengan suara separa berbisik. "Korang bernasib baik dia dapat diselamatkan. Kalau dia mati... you should all die with her. None of you deserve to be here, alive."


Zaidan membuka langkah besar beredar pergi meninggalkan anak buahnya lemas dalam rasa sendiri. Kurang seminit, penonton pada bersurai. Meninggalkan Amira, Pasha, Shahid dan Adri masih tercegat di tempat yang sama. Jelas terpancar kesuraman di wajah masing-masing termasuklah Pasha walaupun gadis itu tidak terlibat dalam isu ini.


   "Sial," sumpah Shahid menumbuk kuat dinding batu bercat biru cair sebelah pintu. Gigi diketap sekuat mungkin menahan gelora, tak menghiraukan sakit di buku limanya.


   "Aku... tak patut tinggalkan dia," ucap Adri benaran kesal. Bola matanya berkaca.


   "Mamat kerek tu pun tak patut malukan kita macam ni sekali. Dia boleh panggil kita masuk pejabat dia. Banyak lagi tempat lain tapi kenapa depan ramai orang jugak dia nak basuh kita? Sebab dia tak guna. Dia, tak guna!"


   "Aku rasa memang kita salah," celah Amira menitiskan air mata. Bergetar bibir mengawal sebak. 


   "We can actually handle the situation much more better but what do we do? We’re too scared, we thought about too many things and it’s as if we’ve been playing with someone’s life. Just like what he said."


   "Kalau dia tak layan kita macam Hitler, kita mungkin boleh fikir dengan waras. Tapi sebab kita terlalu takut dengan dia, kita jadi bodoh. 'Just like what he said', isn't it?" bidas Shahid tak pernah termakan kata-kata Amira mahupun Adri. Bencinya pada Zaidan membuak-buak. 




----------------------------------------------



   SYUHADA melabuhkan punggung di atas kerusi kulitnya. Beg galas diletakkan di atas lantai sebelah kaki meja. Otak mengimbas semula apa yang disaksikan di lobi tadi. Salah seorang temannya sudah menjelaskan punca Zaidan marah-marah. Ada rasa risau menjalari hati. Bukanlah risau tentang Zaidan tapi risau akan emosi 3 doktor pelatih yang dimarahi Zaidan. Simpati dan tak nyaman rasa di hatinya tika ini. Mungkin dia patut berjumpa ketiga-tiga mereka seorang demi seorang untuk memberi sedikit kata semangat dan nasihat. Ya. Dia perlu buat macam tu biar hati ini tak terganggu.


Tok! Tok! Tok!


Syuhada tersedar dari lamunan pendek. Muka diangkat memandang pintu. Sedetik, batang tubuh Cecilia muncul dengan senyum sampai ke telinga. Automatis membuatkan senyum Syuhada pun ikut sama meleret lebar. 


   "Awak buat apa kat sini?" tanya Syuhada bangun dari kerusi dan memeluk Cecilia. Lagaknya macam setahun tak jumpa. Teruja dan gembira.


Cecilia memegang tangan Syuhada. "I datang jumpa you lah. Alang-alang ada meeting dengan Doktor Hana tadi."


   "Aww... So sweet. Thank you, Ceci. Sorry tak teman awak sarapan tadi."


   "It's okay. You dah cakap you ada seminar kan. I makan kat East Wing saja. Lama tak makan 'rumah sendiri', sedap juga."


Mereka ketawa lucu. Syuhada kembali duduk di tempatnya dan Cecilia mengambil kerusi bertentangan. 


   "I datang ni bersebab tau."


   "Sebab apa?"


   "You tak tahu lagi?"


   "Tahu apa? Awak nak ajak Ada bergosip ek... Datang dari jauh semata-mata nak 'spill a tea'?" Kening Syuhada bercantum. Nak tergelak pun ada dengan muka Cecilia yang kononnya bawa rahsia sulit. Badan pun disua ke depan takut ada yang dengar perbualan mereka.


   "Have you heard about our new surgeon? Yang akan bertugas bulan depan kalau tak silap."


   "Awak selalu mention pasal ni. Tapi... tak. Maksud Ada, Ada pernah dengar nurses here cakap tentang new surgeon tu. Tapi tak tahu details pun. Ada pun tak tertanya. Kenapa?"


   "Okey. Dah ready? Jangan terkejut taw."


   "Cecilia!" Syuhada menepuk perlahan tangan Cecilia bersama tawa manja. "Janganlah buat saspen. Risau pulak Ada."


Cecilia sengih. Teruja benar air mukanya. "Apa pulak risau. Berita baik ni. Mana ada tahu cinta lama berbunga kembali."


   "Hmh?" Syuhada kerut dahi. Tambah bingung dan penasaran.


   "New surgeon tu..." sengaja Cecilia meleretkan bicara. 


   "Ceci..."


   "Khalis Kamarulzaman! Your boyfriend!"


Dap! Syuhada terpana. Tersentap. Kendur senyum di wajah,  bulat mata tak berkedip. Liur tersekat di kerongkong, dia dah tak sedar sama ada dia bernafas atau tidak. Kaku. Lama... Seraut wajah manis yang sentiasa tersenyum melintasi layar mata. Satu demi satu babak silam berlegar-legar dalam kotak memori. Merinding tubuh saat suara gelak ketawa seorang lelaki bergema di pendengaran.


   "Ha. Macam mana? Terkejut tak?" soal Cecilia menyedarkan Syuhada dari kenangan 15 tahun yang lalu.


Dalam terkejut pun, Syuhada cuba untuk tak terlalu ketara di wajah. Dia mengukir senyum. Kepala digeleng lembut.


   "Ada dengan Khalis cerita lama, Ceci... Cinta zaman belajar, boleh anggap cinta monyet," dalih Syuhada meski dia keliru mengapa ada debar di celah ruang hatinya saat ini. Setiap babak silam yang hampir saja dia lupa sepenuhnya, malah kembali segar dalam ingatan.


Mendengar jawapan klise Syuhada, Cecilia mengejek melalui lirikan mata.


   "Yelah tu... Dulu you dengan dialah CC paling sweet dalam sejarah. Sama cantik sama padan. Yang paling penting, sama hebat, sama pandai."


   "Ish. Awak janganlah cakap macam tu. Dah 15 tahun, Ada yakin dia ada kehidupan dia sendiri. Mungkin juga dah ada keluarga bahagia so awak jangan nak buka kisah lama. Jangan sampai sorang pun tahu tentang Ada dengan Khalis."


   "Macam mana kalau dia belum ada orang lain? You single, masih belum berpunya. Tak mustahil Khalis pun sama. Aww... So sweetlah kalau you berdua bersatu semula. Eye candy couple. Brain couple. Apa lagi?"


   "Cecilia..." rengek Syuhada geleng kepala tanda merayu agar Cecilia tak meneruskan gurauan begini. 


Cecilia ketawa lucu. Masih teruja sebenarnya kerana dari zaman universiti dulu lagi dia peminat hubungan Syuhada dan Khalis. CC, Campus Couple paling sepadan!


   "Okeylah, okeylah. I tak kacau you untuk harini. Akan datang tak tahulah," giat Cecilia mengenyit mata sambil berdiri.


   "I pergi dulu tau. Nanti chit chat lagi. I akan guna bakat terpendam i untuk stalk your Khalis sampai jumpa."


   "Ceci..."


   "Bye!" Laju Cecilia berlari keluar bersama tawa senang.


Meninggalkan Syuhada yang mulai merasa tak senang. Tak senang hati, tak senang duduk juga. Berfikir-fikir, cuba menyambung satu persatu tentang bagaimana takdir menemukan mereka kembali setelah 15 tahun lamanya.


Dan... sedetik, dia teringat sesuatu. Lantas tangannya mengeluarkan telefon bimbit dari poket beg galas belakangnya yang di atas lantai. Jari rancak bergerak di atas skrin. Dia membuka semula kotak perbualan melalui aplikasi Whatsapp. Pesanan yang diterima sejak semalam dibelek semula. Lama...


   "Khalis..." sebaris nama meniti di bibir. Disusuli babak silam jelas di layar matanya tika ini.


Kembali ke tahun 2005, di pinggir padang kampus yang lengang kerana hujan renyai-renyai turun membasahi bumi. Angin dingin berpusing-pusing memaksa pohon dan dedaun menari tak tentu.


Syuhada berlari anak ke bawah pokok besar di pinggir padang menghijau dimana Khalis sudah pun menanti di situ. Rambut lelaki berhoodie merah dan jeans denim itu agak basah. Wajahnya ada segaris senyum nipis tapi sukar ditafsir makna di balik senyum itu. Anak mata tak lepas dari seraut wajah indah milik Syuhada seakan tak banyak waktu bersisa untuk dia berbuat begitu.


   "Tak kena hujan kalau kat sini kan?" Suara lembut Syuhada kedengaran setelah gadis itu menyapu-nyapu seluruh pakaiannya yang terkena hujan dalam perjalanan ke sini. Gadis polos bertudung ungu itu masih tak menyedari apa yang bakal berlaku di hari bersejarah ini.


   "Kenapa Khai nak jumpa Ayu kat sini? Tak sejuk ke? Dah lama Khai tunggu?" Syuhada bertanya lagi. Mata galaknya bersinar memandang ke dalam mata redup Khalis.


Khalis diam sejenak. Angguk kepala selang beberapa saat kerana dia tahu, hari ini hari yang menentukan hala tuju hubungan mereka.


   "Khai akan sambung belajar di Champ Medical College. London." Suara Khalis kedengaran. Perlahan tapi didengari Syuhada.


Syuhada terdiam. Kaku. Tak berkedip memandamg Khalis kerana otaknya berfikir sama ada ini benaran atau gurauan saja.


   "Khai dah janji dengan Ayu nak graduate sama-sama kat sini tapi... maaf. Khai terpaksa. Family Khai cuma nak yang terbaik untuk Khai."


Syuhada telan liur. Dia sedar sendiri dan segera dia mengalihkan pandangan ke arah lain. Jujurnya dia terkejut. Dan terkilan. Memikirkan janji yang terpatri selama satu tahun bersama, perutnya jadi sebu. Dia terlalu polos kerana menyangka segala cinta sejati itu ada. Bercinta, belajar, berkahwin, bekerja. Impiannya itu cuma anganan.


   "Erm... Tahniah," ucap Syuhada akhirnya. Menyembunyikan gores luka di hati. Bibir memaksa senyum.


Sakit untuk Khalis melihat senyum itu. Dia tahu keputusannya telah melukai Syuhada.


   "As long as... you're happy with it, i'm okay. Cuma... Ayu tak tahu macam mana nak cakap. Khai tak pernah mention tentang ni."


   "I'm really sorry, Ayu. Khai tak sampai hati nak bagitahu."


   "Jadi Khai biarkan Ayu bercakap tentang masa depan kita macam orang bodoh? Bila Ayu cakap kita akan graduate sama-sama, plan kita lepas graduation, internship, semua tu. Khai ada banyak ruang untuk bagitahu Ayu but instead... Khai biarkan Ayu terus berangan."


   "Ayu..." Khalis dijerut rasa bersalah.


Syuhada menggeleng. Air mata tumpah di pipi tapi bibir mengukir senyum. 


   "Tahniah, Khai."

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sweet Jasmine