Home Novel Komedi/Romantik Komedi CINTA? Hurm... Whatever lah
CINTA? Hurm... Whatever lah
AnnSelasih
8/4/2018 02:23:11
26,209
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 1


"Tak cukup tinggi tu. Tarik tinggi lagi. Lagi! Lagi! Regang betul-betul tangan tu sampai kau rasa macam nak tercabut dari sendi." 

Kuat betul tempikan Rashdan. Syarina telengkan kepala dan memaku mata ke arah lelaki yang enak bersilang tangan di hadapannya. Bukan sahaja tulang-belulang telah ditegakkan, segala urat-sendi turut terasa tegang dari tengkuk menjalar sehingga ke hujung jari.

"Fir, bagi aku pisau besar dekat sebelah kau tu." Syarina hulurkan tangan. 

Arahan rakan sekerja dipatuhi. Sebelum pisau bertukar tangan, Firman sempat bertanya, "Kau nak buat apa dengan pisau ni Rin?"

"Aku nak potong tangan abang Rashdan kau ni. Pinjam tangan dia kejap. Tangan aku tak cukup panjang nak tarik teh ni tinggi-tinggi." Suara dan lagak Syarina bagaikan Ah Long pengutip hutang. 


Pucat sebentar muka Firman. Pisau di tangan segera disembunyikan di belakang tubuh. 

Sambil menjeling panjang, Syarina beredar dari situ. Telinganya mendengar omelan Rashdan dari belakang.

"Perangai macam tu pun ada hati nak menang. Hisssh! Kau cuba pula Rahim."


Sesi latihan petang itu diteruskan tanpa gadis itu. Rashdan malas nak ambil pusing dengan karenah satu-satunya gadis di dalam kumpulan pembancuh minuman di Kafe Versus Mamak. Di antara Syarina dan Rahim, dia hanya akan memilih seorang sahaja sebagai rakan pertandingan Piala Raja Teh Tarik. 


Malam itu sungguh damai. Aneh! Ke mana menghilangnya suara-suara sumbang yang sering bergurau-senda dan bersembang sehingga ke lewat malam. Perasaan ingin tahu membawa Rashdan ke seluruh ruang di dalam asrama pekerja kafe yang disediakan oleh majikannya. Patutlah lengang. Seorang pun tiada di situ. 


Tiba-tiba sahaja kedengaran dentuman pintu belakang. Dalam debaran dada, Rashdan kuatkan semangat menjenguk ke ruang dapur. Tangannya masih terketar-ketar tatkala tombol pintu dipulas. Kawasan belakang dijenguk. 

Astagfirullahhalazim! 

Luas bukaan matanya melihat kelakuan buruk teman serumah. Apa yang mereka sedang buat? Mengendap? 

Firman dan Azim menyilang lengan mengangkat Rahim, Karim dan Sabri pula menampung berat Syed.

"Oii! Dah tak ada kerja lain ke korang nak buat?" Rashdan menjerkah. 


Rahim menggosok-gosok dada sebelum meletak jari telunjuk di bibir lalu memuncungkan mulut ke hadapan. Rasydan tidak puas hati. Pagar batu itu agak tinggi untuk dipanjat. Dia berpatah balik ke asrama dan kembali dengan tangga di tangan. Semasa kaki menginjak anak tangga, perlahan sahaja kedengaran keluhan Firman, "Apasal la aku tak terfikir pasal tangga tu tadi."


Di sebalik pagar batu, Syarina sedang asyik berlatih menarik teh di belakang kafe. Bermacam-macam gaya telah dibuat. Lembut badannya melentur bagaikan sedang menari. Aliran teh menuruti irama tangannya. Tiada yang terlepas keluar daripada kedua-dua corong tin aluminium itu. 


Seekor cicak tiba-tiba sahaja mendarat di atas kepala Firman. Lelaki penggeli itu hampir menjerit. Cepat-cepat Firma bebaskan tangan untuk mengusir binatang lembik itu dari terus melepak di atas rambut.

Bedebab!! 

Rahim tergolek menimpa Firman dan Azim.

Serentak semua saling berpandangan. Syarina, Rashdan dan Syed sebelum Syed juga jatuh menimpa Sabri dan Karim di bawahnya. 


"Oiii! Celaka! Berani sungguh korang!" Teriakan Syarina memecah hening malam.


Maka bertempiaranlah kesemua penghendap berlarian ke asrama semula. Dalam tergopoh-gapah, Firman tersondol belakang Rashdan. Pedih menjalar di batang hidung Rashdan mencium jalan. 


Keesokan harinya, seperti biasa Kafe Versus Mamak memulakan operasi selepas pukul 11 pagi. Dari jauh Rashdan sudah nampak kelibat Syarina sedang menghampirinya.

"Aku tarik diri. Kau pergi je la dengan Rahim esok. Best of luck guys."

Kata-kata Syarina sukar hendak dipercayai. Dari mula lagi Syarina telah tunjuk taring. Sekalipun dia tidak pernah mengalah. Malah, selepas menyaksikan dengan mata kepalanya sendiri akan kebolehan Syarina malam tadi, Rashdan sudahpun memilih pasangannya esok. Pergelangan tangan Syarina ditangkap sebelum gadis itu mula beredar.


"Kenapa? Kau tak yakin dengan diri kau sendiri? Atau dengan aku sebenarnya?"

Wajah Rashdan dijamah seketika. Syarina ketawa mengekek-ngekek sebelum menjawab serius.

"Kau selalu ada di hati aku. Kaupun tahu. Cuma... aku nak bagi peluang kepada mereka yang lebih memerlukan. Lumayan jugakan hadiah pemenang pertandingan tu." 


Mulut Rashdan terlopong tidak memahami sebelum terkatup kembali setelah mendengar ayat akhir Syarina.

"Letak krim banyak sikit atas batang hidung tu. Tak baik mengendap anak dara malam-malam. Kau nak ajak dating, cakap je terang-terang. Senang aku nak tolak atau terima."


Wajah tidak puas hati Rashdan ditinggalkan. Mata Syarina masih terbayang peristiwa semalam. Seorang budak lelaki tiba-tiba sahaja muncul di ruang dapur. Matanya melilau memerhati ke semua arah.

"Abang Rahim ada?" 

Kedua tangan budak itu saling menggenggam. Wajahnya gelisah.

"Abang Rahim solat asar sekejap. Kenapa? Adik Rahim ke?" 


Tekaan Syarina mengena. Kanak-kanak itu mengangguk. Ada sesuatu yang mengganggu di benak. Tangan budak itu dipimpin ke ruang belakang. Syarina keluarkan coklat bar yang sering ada di poket baju. Bulat mata budak itu melihat Syarina membuka pembalut coklat dan menghulurkan kepadanya. Sekejap sahaja coklat itu hilang di mata. 

"Lapar ke?" 

Pakaian budak itu amat lusuh. Lama baru dia mengangguk. Setelah wajah ditunduk ke lantai, barulah dia menjawab.

"Abang Rahim selalu bawa balik makanan lambat. Semua orang dah tidur baru dia sampai rumah. Ayah dah seminggu tak bekerja. Sakit. Mak cakap nak jimat duit. Nak beli susu adik. Kesian dia kecil lagi. Tapi... " 

Mata budak itu berkedip-kedip. 

"Adil tak tahan. Perut sakit kalau lapar."

Tubuh kurus melidi itu juga masih Syarina ingat. Meskipun sehari telah berlalu, air masih laju menerjah tubir mata. 


Syarina tak tahu keputusan pertandingan teh tarik semalam. Dia sibuk meraikan saudara dari kampung yang datang berziarah sehingga ke malam. 


Lama juga dia menanti di luar kafe barulah Rashdan tiba membawa gugusan kunci. 

"Macamana semalam? Menang tak?" 

Rashdan menyimpul senyuman. Bukan kunci yang dikeluarkan dari kocek seluar, tetapi kotak merah kecil. 

"Kemenangan aku bergantung kepada jawapan kau." 

Syarina mengerut kening. Jantung telah mula memalu kuat. Lebih-lebih lagi setelah melihat permata berkilau yang bertenggek di kepala cincin.


"Sudikah kau jadi isteri aku?"


Next: SE 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.