Home Novel Komedi/Romantik Komedi Siapa Tak Sayang Bini?
Siapa Tak Sayang Bini?
Nur Insyirah
1/4/2014 16:12:17
108,332
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 5

SUASANA restoran Ayam Penyet Seksyen 7, Shah Alam agak penuh dengan pelanggan yang belum putus sejak setengah jam lalu. Di sudut kanan restoran itu, Emili dan Maira menikmati hidangan dengan penuh berselera. Maira sudah dua kali bertambah nasi. Emili pun tidak melepaskan peluang. Kebiasaannya, dia kurang gemar makanan pedas tetapi kali ini, dia tidak mahu kalah dengan Maira. Biar pijar bibirnya hingga merah menyala. Digagah juga dia menelan.

Kenikmatan masakan yang cukup rencah membuatkan Emili lupa pada pantangnya yang satu. Sanggup dia meneguk air sejuk berkali-kali sambil disulam dengan kunyahan nasi ayam penyet. Pantang larang yang dipegang lebur. Selalunya, Emili cukup pantang makan nasi bersulam air. Itu petua yang dipegang untuk mengelakkan perut buncit.

Maira sudah tersandar kekenyangan. Ketawa mereka bersatu apabila mata mereka bertentang. Satu kepuasan!

“Sekarang, aku faham kenapa kau tak kurus-kurus walaupun kena duduk di asrama! Dan berjauhan daripada mak.”

Maira mencebik. “Eleh. Buat sakit otak aje nak berdiet-diet bagai. Makan makanan seimbang sudah. Selagi makanan yang aku ambil cukup nutriennya, kira okeylah tu,” balas Maira. Tak mahu mengalah langsung.

“Masalahnya, Cik Syarifah Alya Humaira... makanan yang kau ambik ni... cukup nutrien ke terlebih nutrien? Kalau macam ni gaya kau makan... mimpilah kau nak dapat badan macam Erra Fazira. Apatah lagi nak dapat pinggang kerengga macam aku ni!” Tepat, padu. Tajam ke lubuk hati Maira kata-kata Emili itu. Pedas sambal lado yang dimakan tadi, pedas lagi ayat Emili.

“Alah, esok akuworkout la!”

“Pukul berapa?”

“7.30 pagi!”

“Boleh percaya ke?”

“Mestilah boleh! Bulan lepas aku turun 500 gram lepasworkout...”

“Malam ni, naik lima kilo!” pintas Emili sebelum sempat Maira memuji dirinya lebih jauh lagi.

“Weh! Apa pulak isu makan termasuk dalam masalah ‘besar dan kecik’ kau tu. Makan untuk hidup. Perut kenyang hati senang, beb! Lagipun... aku ni tengah studi. Bukannya jual ubat kurus macam kau! Orang nak studi kena cukup makan minum baru otak boleh berfikir dengan kreatif dan kiritis.” Maira paku Emili dengan hujah yang agak ilmiah. Otaknya makin ligat mencari alasan. Dia tahu kalau Emili bersyarah tentang isu kesihatan memang dia akan kalah!

Emili hantar pandangan tajam. Maira cukup kenal pandangan yang mula berubah sinis itu. ‘Satu... dua... tiga...’

“Suplemen untuk slimming dah habis makan ke belum?”

‘Kan aku dah kata!’ bentak hati Maira. Lambat-lambat Maira menggeleng. “Alah, sikit aje lagi...”

Emili tayang muka tak puas hati. Pinggan-pinggan yang bersusun di depannya dan tubuh gempal Maira dipandang silih berganti.

“Ni apa hal tenung aku dengan pinggan-pinggan ni pulak? Hah... tak payah nak buat isu ya? Poyo aje nak kira kalori yang aku makan. Kau pun melantak tak ingat dunia tadi!” Maira cepat-cepat menuding jari.

Emili hilang kata untuk berbahas tentang isu suplemen dan kalori dengan Maira. Ada saja idea sahabatnya untuk mengelak isu diet. “Okey, kau menang. Untuk malam ni aje!”

Maira tersenyum bangga. Untuk pertama kali, Emli kalah dalam perbahasan gaya hidup sihat. Kebiasaannya, Emili yang lantang bersuara tentang kalori. Malah, paling dia tidak boleh terima bila dia dipaksa makan pil-pil untuk membakar lemak. Itu belum masuk bab makanan kegemarannya dicatu tanpa belas kasihan.

“Ceritalah pada aku... apa masalah ‘besar dan kecik’ kau tu?” soal Maira sambil menyedut air sirap bandung dengan laici. Wajahnya nampak gembira dengan kemenangan itu. Dipandang sekilas wajah keruh Emili.

“Aku dah jatuh cinta...”

Maira terus tersedak. Sirap bandung yang disedut tadi berjejeh sedikit di mulutnya. Merah padam wajahnya bila terbatuk-batuk dengan kuat. Aksi Maira itu mencuri tumpuan pengunjung lain yang sedang menjamu selera.

Emili segera menghulurkan air kosong kepada Maira. Tajam Maira membalas pandangan Emili.

“Kau okey?” tanya Emili selamba. Wajahnya tanpa riak.

Maira yang baru reda dari batuk tadi mengangguk. Perit rasa tekak dan hidungnya. Apatah lagi bila tersedak selepas makan sambal lado yang pedas! Pijar di tekak dan dalam hidung tak dapat digambarkan dengan kata-kata! Air kosong yang disua oleh Emili diteguk rakus.

“Aku jatuh cinta dengan abang kau!”

“Pufff!” Menyembur air kosong yang diteguk oleh Maira tadi. Tepat kena ke muka Emili.

Maira tunduk malu. Rapat. Langsung tak berani nak pandang muka Emili. Apatah lagi wajah pengunjung di restoran itu.

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.