Home Novel Komedi/Romantik Komedi Siapa Tak Sayang Bini?
Siapa Tak Sayang Bini?
Nur Insyirah
1/4/2014 16:12:17
108,323
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 3

Jam di dinding berdenting enam kali. Fahim pandang sekilas ke dinding. Luar pejabatnya juga sudah sunyi. Lengang. Hanya dia yang masih tekun di meja pejabat. Barangkali ada dua, tiga orang rakan sejawatnya yang masih di bilik masing-masing. Dia sendiri tidak tahu dan tidak ambil peduli. Yang penting, kerja yang berbaki harus disiapkan sebelum bercuti panjang untuk membuat persediaan ke United Kingdom.

Usai menyemak tugasan pelajar, Fahim membelek pula skrin desktopnya. Kotak e-mel dibuka. Bibir Fahim mengukir senyum. Ada tiga e-mel yang belum dibaca daripada Emili. Pantas jarinya menekan-nekan butang tetikus. E-mel terbuka.

My dear Mat,

Tahniah! Tercapai juga impian awak nak ke UK, buat Ph.D kan? Saya tumpang gembira... tapi dalam masa yang sama, saya juga sedih. Lepas ni, kita akan terpisah lebih jauh. Awak belum pergi saya dah rindu. Manakan tidak, ada telefon, nak jugak awak guna e-mel! Nak tunggu awak balas satu hal. Bercintalah saya dengan laptop ni. Menjadi penunggu setia. Kalau laptop ni boleh cakap, dah lama dia cakap. “Bosan aku tengok muka kau hari-hari!”

Sengihan Fahim melebar. “Lagi bagus guna e-mel daripada telefon. Kalau e-mel bolehcontrol sikit perasaan tu. Kalau telefon? Haiya... Mili... entah serius ke tak budak ni,” gumam Fahim. Bibirnya diketap. Cermin matanya yang tersangkut di batang hidung dibetulkan sebelum meneruskan bacaan.

Bila awak nak berterus terang dengan keluarga awak? Saya takut dia orang tak boleh terima hubungan kita. Sampai bila kita nak berahsia? Apa yang awak takutkan sangat? Sampai bila kita nak teruskan percintaan jarak jauh kita ni? Bila dekat macam tak kenal, macam tak rapat. Cakap pun malu-malu... Tapi bila jauh... bukan main lagi berbalas e-mel. Awak... awak betul-betul sayang saya, kan?

Saya ada bagi klu pada Mak Diah. Tapi... Mak Diah nampak macam terkejut aje. Tak sudi ke dia kalau betul-betul saya jadi menantu dia? Agak-agak Maira boleh terima tak kalau bestfriend dia jadi kakak ipar dia? Saya takut keluarga awak tak boleh terima. Saya sayang keluarga awak. Kita dah macam satu keluarga. Saya risau, kerana cinta kita keluarga awak dah tak nak sayang saya lagi. Mana tahu dia orang tak boleh terima?

Bulat mata Fahim membaca perenggan itu. “ALLAHUAKBAR! Mili ni biar betul? Serius ke dia? Kan ke muda lagi? Baru umur 22 tahun dah fikir nak kahwin? Mampus Tauke Liew kejar aku nanti!”

Dada Fahim sesak tiba-tiba. Jantungnya berdegup kencang. Bait-bait gadis itu menunjukkan kesungguhannya dalam hubungan rahsia ini. Fahim kaget!

Fahim... saya rasa lebih baik kita berterus terang dengan keluarga awak tentang hubungan kita sebelum awak berangkat. Saya bimbang. Awak jauh... dan akan pergi lagi jauh. Saya macam boleh rasakan yang... suatu hari nanti awak akan terus menjauhi dan melupakan saya.

Kalau hubungan ini betul-betul serius, ada baiknya kita suarakan. Untuk apa dirahsiakan? Ke mana hala tuju hubungan kita? Adakah akan sampai ke jinjang pelamin atau hanya saya yang beria-ia? Saya perlukan kepastian...

Regards,

Emili

Fahim menanggalkan cermin matanya lalu diletakkan di atas meja kerja. Pelipisnya diurut berkali-kali. Tiba-tiba dunianya terasa berpusing. Wajah Emili dan Mak Diah silih berganti. Diganti juga dengan wajah adik-beradiknya, Kak Murni dan Maira. Selama ini, dia lebih suka berahsia tentang hubungan itu. Tapi... permintaan Emili ini dirasakan berat untuk ditunaikan.

“Sebab ini ke Mili tak nak sambung belajar? Sebab leka dibuai cinta?” Hati Fahim mula bimbang. Macam-macam perkara buruk singgah di mindanya. Tentang masa depannya dan masa depan gadis Cina itu. Malah, tidak terkecuali juga tentang air muka keluarganya. Fahim kusut. Wajah Tauke Liew yang telah banyak menabur budi turut terlayar di kotak fikirannya.

“Macam mana kalau Mili tahu aku sebenarnya tak menaruh harapan tinggi pada hubungan ni?” Fahim berbicara sendiri. Dia cuba meneka reaksi gadis Cina yang kecil molek itu. Akan terhapuskah keceriaan di wajahnya? Akan terputuskah hubungan silaturahim yang terbina? Fahim buntu. Hatinya berbelah bahagi. Lalu, Emel itu dipandang sepi. Terimbas peristiwa yang merapatkan hubungannya dengan Emili dua tahun lalu.

Dua tahun lalu...

Fahim resah. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah terasa lambat meskipun kereta yang dinaikinya meluncur laju melebihi had kelajuan lebuh raya. Hatinya dipagut rasa bimbang. Panggilan telefon daripada Emili yang diabaikan akhirnya membuatkan dia menyesal sendiri. Dia langsung tidak menyangka panggilan Emili kali ini betul-betul penting.

Sebelum ini, gadis itu suka membuat panggilan kosong. Sekadar bertanya khabar. Jadi, Fahim yang sudah terbiasa menekan butang ‘reject’ terus melakukan perbuatan yang sama tanpa berfikir panjang. Natijahnya... menyesal pun tak berguna!

“Im! Kat mana ni? Kenapa tak jawab Milicall tadi?” Bertubi-tubi soalan Kak Murni tatkala dia menjawab panggilan itu. Tika itu, dia baru selesai makan malam bersama ahli-ahli panel seminar yang dihadirinya.

“Im adameetingtadi. Seminar tentangresearch Im. Kenapa ni, kak?” reaksi Fahim masih rileks. Belum dapat meneka apa yang terjadi. Tapi, sedikit sebanyak suara cemas kakaknya turut mengundang rasa debar di hati.

“Mak! Mak masuk hospital! Akak dahon the waybalik ni. Im balik cepat okey? Mili kata mak dah kritikal...”

Saat itu, Fahim rasa dunia sekelilingnya kelam. Berita itu bagaikan renjatan elektrik yang menghentikan degupan jantungnya buat seketika. Lidah Fahim kelu. Dadanya berombak deras.

“Im! Im! Dengar tak ni?” panggil Kak Murni, nyaring.

Corong telefon bimbit itu Fahim lekapkan rapat-rapat ke telinganya. “De... dengar kak. Akak kat mana? Jauh lagi ke? Macam mana mak sampai boleh masuk hospital ni? Siapa ada dengan mak?” Giliran Fahim pula menyerang Murni dengan soalan bertubi-tubi. Kala itu, dia langsung tidak peduli berpasang-pasang mata yang melihat air matanya tumpah.

“Mili... dia yang ada dengan mak. Dah dua hari dia tunggu mak kat rumah, jaga mak. Kakak outstation dua hari ni. Hari tu, dia cakap demam biasa aje, tapi malam ni mak makin teruk. Bila Mili bawa ke hospital terus kena tahan. Doktor cakap mak kena denggi...” hurai Kak Murni serba ringkas. Matanya masih terfokus pada pemanduan yang sedikit terganggu apabila sebelah tangannya terpaksa memegang telefon bimbit.

Fahim hilang kata-kata. Dengar saja penyakit denggi, badannya seram sejuk. Adakah peristiwa hitam dalam keluarganya akan berulang kembali? Fahim kaget.

“Im! Im! Akak tak boleh lama pegang telefon ni. Kakak tengahdrive. Balik segera okey! Ini akak terus ambil Maira di kolej. Im terus ke hospital aje,” pesan Kak Murni lagi sebelum mematikan talian.

Fahim terus terduduk di lantai. Seketika, dia cuba mengutip semangat yang berbaki. Macam-macam benda buruk terlayar di mindanya. Tiada satu pun yang elok. Bayangan kisah silam melatari sekelilingnya. Dia bagaikan ternampak susuk tubuh ayahnya memeluk tubuh seorang kanak-kanak lelaki yang terkulai lemah sudah tidak bernyawa. Dadanya berdengup kencang. Tangan Fahim menggeletar ingin menggapai susuk tubuh itu. Dahinya berpeluh-peluh.

Fahim kaku terduduk di lantai lobi. Hanyut dalam dunianya hinggalah teman sekerjanya menegur, barulah Fahim kembali ke dunia realiti. Lenyap semua ilusi yang dilihatnya tadi. Wajahnya diraup. Bibirnya beristighfar panjang.

“Awak okey?” tanya Dr. Fendi, teman sekerja merangkap penyelia projek penyelidikan yang disertai oleh Fahim.

“Maaf, doktor... saya kena pulang ke Kedah sekarang. Mak saya tengah tenat di hospital,” ujar Fahim dengan nada lirih. Air liurnya ditelan berkali-kali. Kerongkongnya terasa kesat. Dia cuba fikirkan benda yang baik-baik, tetapi gagal. Perasaan negatif lebih banyak menguasai diri hingga tubuhnya menggigil.

Dr. Fendi terkedu. Melihat reaksi Fahim begitu, dia yakin bukan suatu petanda baik. “Baik awak gerak sekarang, Fahim. Atau awak nak kami semuaescort awak balik? Saya tiada masalah. Seminar ni pun dah dapat kata sepakat. Untuk program esok dah tak penting. Kita boleh tangguh. Mak awak lebih penting sekarang ni.”

Fahim tak mampu untuk membuat keputusan. Otaknya tak boleh berfikir secara normal. Terlalu banyak benda yang difikirkan ketika itu. Sedar-sedar, Fahim sudah berada di dalam kereta Honda Accord milik Dr. Fendi. Sepanjang perjalanan, dia cuba bertenang dan beristighfar.

KETUKAN di muka pintu bilik Fahim mengejutkannya daripada lamunan panjang. Hilang bayangan hospital. Yang ada di hadapannya kini wajah lelaki berkumis nipis, berkaca mata tebal dan perutnya yang agak memboyot. Fahim angkat kening.

“Jauh termenung, Im? Nak tidur kat ofis ke? Dah azan maghrib pun. Bawak-bawaklah balik rumah... kerja tu tak akan habis, Im...” Prof. Hafiz menegur Fahim yang nampak leka merenung skrindesktop. Pada fikirannya, Fahim leka dengan kerja hingga tak sedar waktu solat sedangkan hakikatnya Fahim melamun jauh.

Fahim termalu sendiri. “Eh, dah magrib ke? Tak sedar pulak saya. Memang dah nak balik pun. Sajacheck e-mel sebelum balik. Mana tahu ada e-mel penting.”

Prof. Hafiz mengangguk tanda faham. “Eloklah macam tu. Jangan sebab leka mengejar kerja di dunia, kita terlupa kerja kita dengan TUHAN, ya Im?” pesan Prof. Hafiz. Sekadar mengingati sesama umat. Fahim juga merupakan bekas pelajarnya. Kecemerlangan Fahim dalam akademik menjadi kebanggaannya. Justeru, adakala dia suka menjadi penasihat tidak berbayar kepada anak muda itu. Bimbang bekas anak murid kesayangannya tersasar daripada landasan yang benar dan diredhai kerana kejarkan hal duniawi.

Fahim mengangguk sambil tersenyum. Dia bingkas mengemas meja kerja dan menutup komputer kerjanya. Perihal e-mel Emili terus dia terlupa dengan sendirinya.

EMILI terkebil-kebil melihat skrinlaptop. Peti e-mel masih sama. Tiada pesanan baru yang singgah. Gelisah. Bimbang. Rasa ingin tahu. Semuanya bercampur baur. Saat itu, Emili rindukan teman rapatnya untuk berkongsi cerita. Hingga kini, setelah hampir dua tahun serius bercinta dengan Fahim, rahsia itu masih kukuh tersimpan di lubuk hatinya. Kali ini, dia sudah tidak mampu menahan rahsia ini seorang diri. Sesorang harus berkongsi perasaan dengannya!

“Tengok reaksi Mak Diah... gerun pulak aku nak berterus terang yang aku bercinta dengan anak teruna dia dalam diam. Tapi... kalau tak bagitahu... aku yang makan hati. Aduh, macam mana ni? Aku perlukan kau, Maira,” bisik Emili perlahan.

Wajah Mak Diah sekeluarga yang terpampang di skrinlaptop dipandang lama. Dalam banyak-banyak wajah itu, matanya hanya terfokus pada seraut wajah yang sentiasa menjadi igauan mimpi. Membuai lena-lena indahnya.

“Terima kasih banyak, Mili. Saya tak boleh bayang apa akan jadi kalau awak tak ada dengan mak saya. Terima kasih banyak sebab ambil berat pasal mak saya. Saya... saya...”

Terimbau detik pertama kali Fahim berbual dengannya tanpa rasa segan atau malu-malu. Sebelum ini, Fahim hanya berbalas senyum atau sekadar menegurnya sepatah dua kata. Tapi, sejak peristiwa Mak Diah dimasukkan ke wad akibat denggi... hubungannya dengan Fahim makin mesra.

Sebelum ini, dalam diam dia menyukai lelaki itu. Semuanya dipendam jauh di lubuk hati. Tetapi, sejak peristiwa di hospital dua tahun lalu... sejak Fahim mengetahui dialah yang mendermakan darah pada saat-saat kritikal itu, lelaki yang sedingin ais sudah bertukar menjadi seramah-ramahnya. Sudah boleh diajak berbual dan bergurau. Dan bibit-bibit cinta pun mula bercambah. Perasaan yang disimpan kemas makin kembang mekar. Cuma... sebagai menghormati permintaan Fahim, dia terpaksa bersetuju untuk merahsiakan hubungan cinta mereka dan mengikut syarat-syarat ketat Fahim.

“Tak boleh jadi ni. Lagi lama aku pendam... satu kerja pun tak boleh buat!” rungut Emili. Dia bingkas bangun dan menarikbag-pack yang tergantung di belakang pintu. Beberapa helai pakaian disumbat ke dalam beg itu.

Usai mengemas serba ringkas, Emili terus keluar. Destinasinya cuba satu. Senyuman lebar mula terukir di bibirnya. Menghapus resah yang menyelubungi tangkai hatinya tadi.

Previous: Bab 1
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.