Home Novel Komedi/Romantik Komedi Siapa Tak Sayang Bini?
Siapa Tak Sayang Bini?
Nur Insyirah
1/4/2014 16:12:17
108,356
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 20

MATA Fahim masih segar. Malam makin dingin. Dengan suhu sekitar 12 darjah Celsius sepatutnya mata sudah boleh terlelap tika ini. Tapi, penangan tandoori yang cukupcumph tadi... perutnya terlalu kenyang! Biasanya jika perut kenyang orang mudah mengantuk, tetapi tidak Fahim. Dia tidak boleh tidur dengan perut yang terlalu kenyang.

Berkali-kali dia bergolek di atas katil bujangnya untuk melelapkan mata, tapi gagal. Perutnya mula meragam. Rasa macam bom atom sedang meletup di dalam perut. Tekaknya masih terasa penangantikka dankurei yang dimakan petang tadi. “Memang powerlah tandoori tu. Sendawa pun rasa kari. Macam mana nak tidur macam ni? Angin penuh dalam badan. Rempah apalah yang aci tu guna buat masak...” omel Fahim.

Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk melayari internet. Tatkalalaptop dihidupkan, Fahim terpandang gambar keluarganya. Bukan hanya keluarga... seraut wajah yang tidak asing turut ada dalam gambar yang menjadi latarlaptopnya.

“Apa khabar kau di sana? Masih ingatkan aku atau sudah bertemu pengganti baru?” bisik Fahim. Kali terakhir dia mengirimkan e-mel kepada Emili ialah ketika dia mula-mula sampai. Selepas itu, tiada lagi e-mel yang dikirimkan. Malah, kepada keluarganya pula dihantarkan poskad sebulan sekali. Sekadar memberitahu dia baik-baik saja di rantau orang.

Kotak e-mel dibuka. Mata Fahim terpaku pada sejumlah e-mel yang belum dibaca. “100++ e-mel daripada Mili aje... Aduhai, masih berharap ke dia pada aku? Aku sendiri tak letak harapan yang tinggi. Dia pulak beria-ia. Kalaulah Uncle Liew tahu aku pernah bercinta dengan anak dia...”

Fahim cepat-cepat membuang imaginasi yang baru nak berputik. Peti e-mel yang belum dibuka ditutup begitu sahaja.

“Fokus Fahim! Kalau betul dia serius, dia akan tunggu. Jangan lebih-lebih bagi harapan yang tidak pasti. Cukuplah dua tahun. Jangan bazirkan masa dia lagi dengan sesuatu yang tak pasti,” bisik Fahim pada diri sendiri. Semuanya sekadar untuk mengaburi rasa bersalah yang tiba-tiba bersarang. Dek misinya di Newcastle, dikuburkan saja rasa simpati pada gadis yang tak pernah jemu menanti dirinya.

Tetapi, tak sampai lima minit tetingkap e-mel ditutup, jari Fahim menolak semulacursorke arah kotak e-mel. Nafasnya ditarik dalam-dalam.

“Dah lama kan tak bukak... bukak ajelah. Mana tahu ada benda penting?”

Mata Fahim mengikut cursor yang digerak-gerakkan dari atas ke bawah peti e-melnya. Mencari-cari e-mel yang ingin dibaca mengikut kronologi tarikh. Jumpa!

Dear Mat,

Ini gambar-gambar kampus awak ke? Seronoknya... teringin pulak saya nak ke sana. Nak tengok tempat orang dan nak lepaskan rindu pada orang yang tiba-tiba tak reti menaip ni. Kenapa hanya gambar? Takde satu pun penerangan awak macam selalu... kenapa? Sibuk sangat ke?

Regards

Mili yang kerinduan

Fahim tersengih. “Mesti dia merungut tak puas hati bila aku hantar gambar aje...” bisik Fahim. E-mel seterusnya dibuka pula.

Dear Dr. Syed Ahmad Fahim,

Wah! Bangga saya sebut nama penuh awak dengan pangkat doktor tu. Fahim... sepinya awak kat sana? Dah kena ngorat dengan awek Scottish ke? Saya kat sini dah terlalu rindukan awak. Jawablah walaupun sepatah. Awak okey ke kat sana?

Regards

Master Emili Liew, Universiti MLM ;)

Fahim urut tengkuknya. Terasa bersalah pula. Pasti gadis itu tidak senang duduk. Faham sangat perangai Emili yang satu itu. Tak suka menunggu! Pembacaannya diteruskan lagi. E-mel Amili dibuka satu per satu. Hinggalah matanya buntang membaca satu e-mel yang membuatkan dia terkejut besar!

“Nur Amili binti Abdullah?! Biar betul?”



Kampung Muara, Kedah.

KOKOKAN ayam kampung memecah keheningan subuh. Dari bilik sebelah, Emili mendengar suara merdu Kak Murni mengaji. Hatinya berasa damai. Usai solat subuh berjemaah dengan Mak Diah dan Kak Murni, Emili duduk di beranda rumah. Entah mengapa pagi itu, dia teringin benar melihat matahari naik. Kedudukan rumah Mak Diah pula memang terbuka. Tiada halangan, malah berdekatan dengan pantai. Tanah di laman rumah itu juga jenis pasir pantai.

Sejak dibuang oleh papanya, rumah Mak Diah merupakan tempat berteduhnya kini. Meskipun tidak asing dengannya, tetapi rasa sedih itu tetap ada. Dicekalkan hati. Tanpa Mak Diah, Kak Murni dan Maira, dia tidak akan sekuat ini. Malah, mereka bertigalah yang setia menemaninya ke Pusat Islam dan menguruskan urusan pertukaran agamanya secara rasmi.

Syukur kepada ALLAH. Sudah masuk lima bulan Emili Liew Wen Min berhijrah ke dunia baru. Sebagai seorang mualaf, dia harus mengikuti kelas-kelas yang dianjurkan untuk golongan mualaf. Emili tersenyum bila teringatkan saat-saat penuh bersejarah dalam hidupnya.

“Nur Amili binti Abdullah. Ini nama yang saya pilih, ustaz,” ujarnya kepada ustaz yang menemu bual sebelum sesi pengislamannya bermula.

“Alhamdulillah. Sedap nama tu. Jadi, Nur Amili dah sedia?”

Amili mengangguk. Sekilas, dia menoleh ke belakang. Wajah Mak Diah, Kak Murni dan Maira dipandang. Kekuatan mereka dipinjam. Ada senyuman manis di wajah mereka. Seketika, Amili pejam mata. Ditarik nafas dalam-dalam.

“Saya sudah bersedia, ustaz.”

“Baiklah... ikut apa yang ustaz sebut ya? Sebut dengan jelas, tenang dan lancar,” terang ustaz itu lagi.

“Amili... jauh termenung?” tegur Mak Diah. Bahu Amili ditepuk perlahan.

Amili urut dada. “Astaghfirullahalazim. Terkejut Mili, mak. Ingatkan siapa tadi.”

“Maafkan, mak... mak ingat Mili perasan mak datang. Fikirkan apa ni?”

“Muhasabah diri, mak... tak sangka cepat masa berlalu. Alhamdulillah... Mili rasa macam baru semalam Mili mengucap dua kalimah syahadah...”

Hati tua Mak Diah tersentuh. “Alhamdulillah, Mili. Mak pun macam tak percaya. Allah berikan mak ‘anak baru’. Digantikan anak mak yang meninggal dulu... rapatnya kamu dengan Maira seperti Maira dengan arwah kembarnya yang dah meninggal dulu... bezanya kamu perempuan dan arwah anak mak, lelaki. Kalaulah arwah ayah masih ada... tentu dia pun gembira. Kalaulah cepat dia mengenali kamu... tentu dia... tak... gila...” Sebak kian mencengkam dada Mak Diah. Bukan dia tidak redha. Bukan dia mempersoalkan takdir. Tapi, hatinya terkenang...

“Mak... arwah ayah tak gila... tapi dia tertekan. Dia rasa bersalah. Pandanglah peristiwa itu dengan penuh kasih sayang, mak. Disebabkan sayangnya pada anak-anak, dia sanggup lakukan apa saja. Tapi apakan daya, dugaan buat mak sekeluarga.”

Air mata Mak Diah bergenang. Kolam matanya makin sarat. Sesaat sahaja pipi yang sudah dimamah usia itu lencun dengan air mata. Membuka semula kisah itu, ibarat menoreh luka pada parut lama.

Previous: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.