11 November 2011
BUKAN main teruja lagi Nomi setelah turun dari bas. Tiara dan Warda pun
teruja sama.Mereka yang
memakai trench coat dan sarung tangan mendaki bukit yang agak condong
untuk ke Namsan Tower, tempat
wajib pergi jika berada di Korea. Masing-masing dengan kamera di tangan. Itupun
bagaikan tak cukup. Kamera di telefon bimbit pun digunakan.
Musim luruh yang sejuk berangin ketika ini begitu nyaman.
Daun pokok-pokok di sepanjang jalan berwarna merah kekuningan.Sangat cantik. Sambil mendaki,
mereka sempat bergambar dan berselfie walau hidung masing-masing kembang-kuncup
menahan mengah.
“Okay, ready?” Nomi menghalakan kameranya, mahu
merakam gambar Tiara dan Warda.
Dua sahabat itu spontan melebarkan senyuman dan bergaya.
Selepas itu Nomi mengambil gambar selfie mereka bertiga pula. Bermacam cara
mereka ‘pose’. Bermacam riak muka dipamerkan. Semua bajet acah-acah comel.
Mereka ketawa apabila melihat riak muka masing-masing
dalam gambar. Tak dipedulikan langsung pada pandangan pelancong lain yang mengerling
mereka. Biarlah! Ingat senang ke nak datang ke Korea ni?
Sebelum habis pengajian diploma, mereka sudahmenempah tiket. Konon-konon supaya dapat tiket yang
paling murah. Masih bergelar pelajar, manalah ada duit sangat. Tak naklah
harapkan duit ibu bapa. Selagi boleh berdikari sendiri, berdikarilah.
Setahun mereka merancang mahubercuti ke situ. Setiap hari menabung. Duit belanja
disimpan sedikit demi sedikit. Dengan harapan, habis ijazah duit simpanan
merekacukup untuk dibuat bekalan bercuti.
Tiba masa,terpaksalah buat muka simpati dengan ibu bapamasing-masing minta wang
saku tambahan.Yalah... mata wang won bukannya murah! Kos sara hidup di Korea tinggi.
Akhirnya, mereka tiba di taman bukit Namson Tower. Di
situ begitu popular digelar ‘love padlocks’. Begitu banyak anak mangga yang
ditulis dengan ayat-ayat cinta untuk kekasih hati dan di rantai kuncinya. Ada
yang jadi pokok, ada yang digantung di sepanjang pagar.
Mereka percaya apabila menggantung mangga dengan tulisan
cinta untuk insan tersayang dan kemudian kuncinya dibuang akan membuatkan cinta
mereka selamanya takkan mudah digugat walau dilanda taufan dan tsunami. Cewah!
Yang beragama Islam tak boleh percaya benda khurafat ni
semua. Jatuh syirik nanti. Rosak iman!
“Hah!” Tiba-tiba
Warda menunjuk jari telunjuknya dengan mulut terlopong dan mata membulat lagak
teringatkan sesuatu.
Nomi dan Tiara memandang Warda dengan pandangan
tercengang.
“Eh, kau orang buka WeChat. Cepat! Cepat!” arah Warda
bagaikan arahan sarjan kepada anak buahnya.
“Apasal?” Berkerut-kerut dahi Nomi. Pelik.
“Buka ajelah! Cepat!” desak Warda. “Cepatlah...” Dia
turut membuka aplikasi WeChat di telefon bimbitnya.
Melihat Warda seperti kelam-kabut semacam, masing-masing
ikutkan saja arahan sahabat mereka itu.
“Lepas tu?” Tiara bertanya sambil menggaru kepala yang
ditutupi tudung. Dia kebingungan.
Warda lantas mencapai telefon bimbit Tiara dan membuat
sesuatu. Begitu juga dengan telefon bimbit Nomi. Warda buat semua telefon macam
haknya sendiri. Seketika, barulah dia mengembalikannya semula.
Nomi melihat apa yang Warda sudah buat pada telefon
bimbitnya. “Hah?!” Bukan kepalang lagi dia terkejut. Matanya terbeliak. “Weh!
Apa kau buat ni?”
Bukan Nomi saja, Tiara pun ternganga setelah melihat
telefonnya. Warda membuka ‘people nearby’ pada aplikasi WeChat mereka!
Berderet-deret gambar dan nama tertera di skrin. Weh, bukan ke itu untuk...?
Warda tersengih-sengih. “Kat sini kan tempat ‘memohon
cinta’. Manalah tahu kita bertemu jodoh dengan orang Korea.” Kemudian, dia
ketawa besar.
“Otak...” Tiara mengetap gigi, menahan diri supaya tak
menghabiskan ayat itu.
“Banyaklah kau punya tempat ‘memohon cinta’!” Nomi lantas
menutup aplikasi WeChat itu. Sempat dia memukul bahu Warda agak kuat.
“Entah kau ni! Jodoh orang Korea konon!” Tiara mula rasa
nak marah. Dia mahu menyekeh kepala Warda, tapi sempat Warda mengelak.
“Alah... saja-saja je.”
Nomi tergeleng-geleng. Dia rasa macam nak tumbuk perut
Warda. “Kot ya pun kau mabuk gila bayang dengan artis K-pop, tak payahlah
sampai nak cari suami orang Korea.Lepas tu, babitkan kita orang pulak.”
Warda ketawa.Hanya dia yang fanatik dengan apa saja yang datang
dari Korea. Artis Korea mana yang dia tak kenal? Semua artis dia hafal nama walaupun
kelihatan seperti susah nak sebut nama mereka.
“Kahwinlah kau dengan orang Korea. Kopet!” ejek Tiara,
membuatkan Nomi tergelak. Dia faham apa yang Tiara maksudkan.
“Eh, ada yang mandi pagi macam kita jugaklah,” bantah
Warda.
“Kopet,” ejek Tiara lagi.
Mereka kemudian ketawa terkekeh-kekeh, tahu yang Tiara
sekadar bergurau.
Warda walaupun diketawakan, haram dia tak peduli. “Cer
buka balik WeChat kau orang. Mesti ada yang add. Aku yakin mesti ada
pakwe Korea yang add kau orang. Aku ni lagilah. Mesti berduyun-duyun nak
kenal dengan aku.”
Amboi! Bukan main yakin lagi Warda.
“Okey!” sahut Tiara penuh bersemangat. “Kita tengok siapa
yang paling ‘hot’. Haa... nak tengok sangat, kan? Kau jangan terkejut tengok
aku punya WeChat, Da.” Dia pantang dicabar. Telefon bimbitnya dibelek.
Warda pun tergesa-gesa membuka WeChatnya. Teruja.
Nomi acuh tak acuh. Dia letak gambar ilustrasi mukanya
yang dilukis sendiri sebagai foto profil. Muka kartun. Siapalah yang nak kenal
dengannya?
“Yeah!” Tiara terjerit sambil ketawa. “Ada tiga orang add
aku oii. Tiga orang!”Dia seronok betul.Tadi, dia yang membebel-bebel marahkan Warda. Cakap
‘kopet’lah bagai. Sekarang dia pulak yang melebih.
“Tengok, siapa yang add kau?” Tiara menjengah ke
skrin telefon Warda.
Warda mencebik sedih. “Hampeh!”
“Berduyun-duyun konon. Podah cit!” Tiara mencebik.
“Tengok siapa yang add kau, Ti. Kalau pakwe Korea,
kau pass kat aku eh? Pass tau!”Warda mahu melihat WeChat Tiara.
Bukan Warda saja, Nomi juga teruja nak tengok. Manalah
tahu tiba-tiba ada artis Korea yang nak berkawan dengan Tiara. Cit! Perasan!
Sekali... setelah melihat gambar ketiga-tiga lelaki yang
mahu berkenalan dengan Laila, berdekah-dekah mereka ketawa. Semuanya langsung
tak menepati cita rasa. Warda yang tergila-gilakan lelaki Korea pun menggeleng
tak mahu dengan lelaki-lelaki itu.
“Kau, Nomi... kau
langsung tak buka WeChat kau. Apa ni? Mana aci macam ni.” Warda tunjuk muka tak
puas hati.
“Ha’ah kau ni, Nomi. Cepat, cepat... kita orang nak
tengok.” Tiara menggamit dengan jari telunjuk, isyarat agar Nomi mengeluarkan
telefon bimbitnya.
“Alah... tak payahlah.” Nomi mengelak. “Mesti tak ada
siapa yang nak add aku.”
“Ah, tak kira. Cepat!” Warda memaksa.
“Cepatlah!” Tiara juga mendesak.
Nak tak nak, Nomi mengeluarkan telefon bimbitnya. Alangkah terkejutnya dia melihat adaseseorang mahu berkawan dengannya. Warda dan
Tiara terjenguk-jenguk tunduk mahu melihat siapa gerangannya.
“Pehhh... dia punya nama Mr. Krab tu!” Warda ketawa.
“Orang Malaysia! KL!” Tiara seronok tak pasal-pasal.
“Wahhh...” Mereka berdua buat muka kekaguman.
Nomi ketawa. “Kau orang ni dah kenapa? Orang Malaysia je
kot! Balik Malaysia nanti jumpa orang Malaysia jugak. Aku lempang jugak
sorang-sorang ni.”
Warda dan Tiara ketawa. Saja mereka buat gempak.
Nomi meliarkan pandangan ke arah sekeliling. Dia mahu
melihat kalau-kalau ada lelaki Malaysia yang berada di situ. Tapi tak nampak
sesiapa pun yang disyaki.
“Acceptlah, Nomi. Accept!” Warda
menggoyang-goyang bahu Nomi, membuatkan Nomi kembali menatap telefon bimbitnya.
“Malas aku!”
“Alah kau ni, Nomi. Accept jelah.” Warda tetap
mahu memaksa. “Kawan je kot, bukannya apa pun.”
“Entah!” Tiara menyokong.
“Ah, malaslah!” Nomi tetap menyombong. “Entah siapa-siapa
Mr. Krab ni. Tengok, tengok! Nama pun Mr. Krab. Bukan nak guna nama sendiri. Picture
profile pun letak gambar ketam.” Dia mencebik.
Warda dan Tiara berasa hampa.
Namun, tiba-tiba Warda merampas telefon bimbit dari
tangan Nomi dan segera menekan ‘accept’ tanpa sempat Nomi menghalang.
Tergamam Nomi dibuatnya.
Warda tersengih-sengih sambil memulangkan semula telefon
bimbit Nomi. Tiara sudah tergelak. Kelakar melihat riak wajah Nomi yang masih
tercengang.
“Woi...” Barulah Nomi mampu bersuara. “Ya ALLAH... yang
kau accept dah kenapa? Astaghfirullah! Masya-ALLAH! Ya ALLAH!
Astaghfirullah! Allahuakbar!” Dia menggelabah.
Warda menggigit bibir. Mukanya cuak rasa bersalah.
Seketika terdengar bunyi ‘beep’ dari telefon bimbit Nomi.
Nomi menatap skrin telefonnya. Terbeliak dia melihat Mr.
Krab menghantar mesej padanya. “Kau tengok, Da! Kau tengok! Kau tengok! Dia dah
bagi mesej! Astaghfirullah! Subhanallah! Masya-ALLAH! Astaghfirullah! Ya
ALLAH!” Makin menggelabah dia dibuatnya.
“Eeii, kau ni! Kalutlah!” Tiara merampas telefon daripada
tangan Nomi. “Dia dah bagi mesej, baca jelah.”
“Apa yang dia mesej? Nak baca, nak baca...” Warda
menyibuk ingin tahu.
Tiara membaca mesej itu. “Hai! Mesti you kat Namsan
Tower, kan?”
Warda ketawa seronok. Begitu juga dengan Tiara. Teruja
tak pasal-pasal.
Nomi menepuk dahi. “Adehhh...” Dia tak gemar betullah
tiba-tiba ada lelaki nak kenal macam ni.
“Tak apa, Mi. Aku balas.” Tiara lantas menaip.
Awak pun kat Namsan Tower ke?
Yup!
Warda dan Tiara ketawa teruja sambil menutup mulut.
“Dia pun ada kat sini?” Warda melilaukan mata. “Mana?
Mana?”
Berderau darah Nomi. “Wehhh...” Terus seram sejuk seluruh
tubuh. “Apa ni, weh? Astaghfirullah! Ya ALLAH! Ya ALLAH! Masya-ALLAH!
Astaghfirullah!” Dia betul-betul kalut.
“Alah... relakslah, Mi.” Tiara selamba. Dia dan Warda
masih lagi melilaukan pandangan mencari kelibat lelaki Melayu di situ.
Nomi menutup muka dan seperti nak menangis. Ini semua
kerja gila!
Bunyi ‘beep’ membuatkan mereka membaca mesej yang
diterima.
Tapi I baru je naik bas nak balik hotel.
Nomi spontan melepaskan nafas lega. “Alhamdulillah,
alhamdulillah, alhamdulillah. Syukur!”
“Kalau tak, boleh jumpa. Boleh kenal-kenal. Dapat jumpa
orang Malaysia kat sini rasa macam best pulak.” Warda menyengih.
“Betul, betul, betul...” sokong Tiara.
“Gatallah kau orang ni,” kutuk Nomi selamba.
“Bukan gatal! Ramah je!” perbetul Warda.
Terhambur ketawa Tiara.
“Huh!” Nomi menolak hidungnya dengan pangkal jari
telunjuk sambil mencemik.
Telefon bimbit Nomi berbunyi lagi.
Mr. Krab: I dengan member-member I balik KL esok. Tak
dapat kita nak jumpa.
“Alahh... dia dah nak balik esok pulak.” Tiara hampa.
“Yes!” Nomi ketawa. Terasa lapang dadanya.
“Bak sini!” Diambil balik telefonnya dari tangan Tiara. Lantas, dia menaip.
Kalau nak jumpa saya, tunggu tarikh hari ni tahun depan.
Nomi senyum. Dia nak Mr. Krab mengalah.
“Amboi...” Warda tak menyangka itu permintaan Nomi. “Baik
kau cakap jumpa kat pintu syurga je,” perlinya.
Mengekeh Nomi dan Tiara ketawa.
Tanpa disangka, Mr. Krab membalas mesej Nomi itu!
Berlumba-lumba Tiara dan Warda nak baca sama.
No problem. Setahun tu bukanlah lama sangat.
Kita jumpa tahun depan.
“Wuyoo... setia menanti gitu!” Tiara ketawa.
Terangkat tinggi kening Nomi. Jenis ego Mr. Krab ni. Dia
mencebik. Okey, kita tengok nanti. Dia amat amat amat yakin yang Mr. Krab ni
cuma hangat-hangat tahi ayam. Tengoklah nanti kalau tak percaya. Dia senyum
sinis.
“Dapat jugak aku nak tengok Nomi bercinta,” ujar Warda
teruja.
“Heh!” Nomi mendengus. “Tak nak aku bercinta. Otak orang
yang bercinta ni tak stabil. Kadang-kadang macam terencat.”
Tiara dan Warda tercemik. Memang itulah yang Nomi cakap
kalau mereka mengusik Nomi pasal cinta.