Home Novel Komedi/Romantik Komedi GILA TAK RINDU
GILA TAK RINDU
muRni aQiLa
6/4/2015 12:32:50
104,729
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 8

"EH, Ti... dah ambil semua barang yang dah packing tu? Yang kat dalam bilik kerja tu?” Nomi yang sedang menjinjit dua buah beg plastik di kiri dan kanan tangan berpaling memandang Tiara.

“Dah, dah. Ni haa...” Tiara menunjukkan beg plastik besar yang dijinjitnya. Dia kemudian menutup suis lampu di dalam butik itu.

Malam ini agak lambat mereka menutup kedai. Banyak kerja yang perlu diselesaikan.

Nomi menunggu di luar pintu sementara Tiara mengunci pintu kedai dan mengunci gril. Barang yang dibawanya sangat berat. Berkerut-kerut mukanya.

“Okey, jom!” Tiara sudah siap mengunci pintu.

Mereka menuruni anak tangga dan menghampiri kereta Nomi yang diparkir berdepan dengan bangunan itu.

“Banyak barang kau nak kena pos esok pagi ni, Nomi.” Tiara membantu Nomi meletakkan bungkusan plastik yang dibawa tadi ke dalam but kereta Nomi.

“Janganlah mengeluh. Patutnya cakap alhamdulillah. Makin hari makin ramai yang beli online dengan kita.” Nomi bersuara penuh semangat.

“Larat ke kau nak bawa ni semua sorang-sorang pergi post office?

“Alah, bukan berat sangat pun.” Nomi menutup pintu but keretanya. Ada lagi barang yang belum dimasukkan. But kereta Swiftnya sudah penuh.

Dibuka pintu tempat duduk belakang dan memasukkan barang selebihnya itu. Selesai!

“Kau nak pos barang, lepas tu nak hantar kat customer area sini lagi. Penat tu!”

“Tak apa. Aku boleh buat.” Nomi jenis tak suka berkira kalau buat kerja.

“Aku rasa lepas ni, kau pos jelah. Tak kiralah customer tu duduk manapun. No more door to door service.” Tiara mencadangkan.

“Tak apalah. Jimat sikit kos postage.” Nomi tak pernah rasa lelah buat semua kerja ni. Dah memang dia minat.

“Aku rasa sama je, Nomi. Kau hantar ke hulu ke hilir guna duit minyak. Baik kau pos je. Tak adalah penat sangat. Lepas pos, kau dah boleh balik butik. Lagipun, bukan kita tak caj untuk postage.”

Nomi terfikir-fikir.

“Dah! Tak payah nak fikir-fikir. Setuju je dengan cadangan aku ni.” Tiara bertegas.

“Hmm... yalah.” Nomi menggeliat sedikit untuk melegakan rasa lenguh badan. Otaknya tak boleh nak berfikir sangat kalau sudah penat.

“Okey, hati-hati.” Tiara sempat berpesan. Baru beberapa langkah dia mahu menuju ke keretanya, dia berpaling semula menghadap Nomi. “Eh, Nomi!”

Nomi yang terkejut menoleh. Dia baru saja nak buka pintu kereta.

“Lusa kau tak masuk butik, eh?” Tiara bertanya. Dia menghampiri Nomi semula.

Nomi terpinga-pinga. Lusa? Tak masuk butik?

Tiara ketawa. Ditepuk bahu Nomi kuat. “Lupa pulak dia ni. Ke buat-buat lupa?”

Nomi masih tak dapat menangkap apa maksud Tiara.

Tiara ketawa semula.

“Apa kebenda kau ni?”

Tiara menepuk-nepuk bahu Nomi lagi. “Lusa kan kau nak dating. Mestilah kau nak luangkan masa untuk si dia.” Keningnya terangkat-angkat.

Terus Nomi buat muka ‘tak kuasa’. “Eeii... tak ada maknanya! Tak ada makna nak dating sampai sehari suntuk tak kerja.”

“Kau tak jumpa dia lagi. Entah-entah dah jumpa nanti tak ingat nak balik rumah.” Tiara tergelak-gelak.

Nomi mencebik. “Kau ingat aku ni mereng? Mabuk kepayang?” Dia ketawa. “Masalahnya sekarang, aku pun tak confirm lagi jumpa ke tak dengan Mr. Krab tu.”

“Laa... apasal?” Melopong Tiara.

Nomi angkat bahu. “Dia tak mesej aku apa-apa pun pasal ni. Aku dah mesej dia, remind dia. Tapi, dia tak reply pun. Dia tak jadi nak jumpa aku kot.”

Tiara masih melopong.

So... aku rasa dia tak nak jumpa aku.” Nomi senyum. “No problemlah! Tak serabut otak aku nak fikir pasal dia. Boleh aku fokus fikir pasal butik. Macam mana nak majukan bisnes kita yang masih terhuyung-hayang ni. Tu lagi penting!”

Berkerut-kerut muka Tiara. Muka tak percaya.

“Dah! Tak payah buat muka macam kena sembelit. Aku nak balik ni. Bye!” Nomi membuka pintu kereta dengan senyuman meleret. Enjin kereta dihidupkan.

“Eh, eh... dia boleh pulak buat muka happy. Padahal setahun tunggu nak jumpa. Last-last jadi macam ni. Takkan tak rasa kecewa sikit pun tak dapat jumpa?” Tiara memandang kereta Swift merah Nomi berlalu macam nak gaduh. Tangannya bercekak di pinggang.



RISHAM dan Kisya jalan beriringan berpimpin tangan. Mereka menyusuri ruang kompleks membeli-belah mega itu sambil berbual-bual. Sesekali mereka ketawa dan nampak mesra.

Kisya pula sambil ketawa adakala menepuk manja lengan Risham. Ada ketika, dia melentokkan kepala di bahu lelaki itu.

Reaksi Kisya itu membuatkan Risham senyum lebar. Ada saja jenaka dituturkan supaya Kisya semakin manja padanya. Dia dah betul-betul cintakan Kisya. Makin hari makin bertambah sayang.

“Eh, you... pukul berapa show time cerita yang kita nak tengok kejap lagi ni?” Kisya melihat jam tangan yang dipakai. Hampir pukul 10.00 malam.

Risham terkejut. Dipandang jam tangannya. “Uihh... lagi sepuluh minitlah!” Dia memandang Kisya. “Jom...”

“I nak masuk toilet kejap. Boleh? Sekejap je...” Kisya buat-buat manja.

“Okey, baby...” Risham melebarkan senyuman sambil mencuit pipi Kisya. “Toilet kat depan tu,” tunjuknya.

“You ikut I sekali?” Kisya lantas menarik lengan Risham agar mengekorinya.

“Eh, you... mana boleh I masuk toilet perempuan.” Risham sudah cuak, namun dia tetap mengekori Kisya.

Kisya tak peduli. Dia menarik lengan Risham sehinggalah mereka tiba di hadapan tandas awam dalam bangunan itu.

“You...” Risham sudah keresahan. Kisya betul-betul membawanya ke ruang tandas!

Kisya ketawa. “I nak you tunggu I kat sini. I tak boleh tinggalkan you jauh-jauh. Bahaya!Nanti ramai yang tackle you.”

Nak tergelak Risham mendengar kata-kata Kisya.

“You tunggu kat sini okey? Kalau ada yang cuba nak goda you, you jangan layan. Jangan pandang langsung. Kalau you layan, I belasah orang yang kacau you tu.” Kisya buat aksi mencakar dengan kuku.

Risham tergelak. Lucu dia melihat reaksi comel Kisya itu. Dia tergeleng-geleng.Dia tahu cemburu Kisya kerana sayangkannya. “You ni... ada-ada je. Dah, cepat!”

Kisya melangkah masuk ke dalam tandas wanita.

Sementara menunggu Kisya, Risham bersandar pada dinding. Dikeluarkan telefon bimbit dari poket seluar dan membeleknya. Tatkala terlihat mesej yang sudah dibaca, namun tak dibalas, dia termenung sejenak. Terfikir-fikir, cuba untuk rasional. Apa yang patut aku buat?

Sejak semalam lagi, dia mengerah otak mencari jalan penyelesaian. Dia buntu! Sehinggalah dia terdengar bunyi tapak kasut dari dalam tandas. Segera dia menyimpan semula telefon bimbit ke dalam poket seluar jean yang dipakai.Dia tak nak Kisya cemburu atau mencurigainya. Senyumannya mekar tatkala melihat Kisya datang menghampirinya.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.