BELUM jam 8.00 pagi lagi Nomi sudah terpacak di tepi bangunan apartmen Adib.
Kerja gila! Tak pernah-pernah aku buat kerja macam ni. Sambil menunggu, dia
duduk bersandar melayani lagu-lagu yang berkumandang dari corong radio. Dari
satu lagu ke satu lagu dia dengar. Namun, kelibat Adib masih tak muncul-muncul.
Dia resah. Sudah 8.10 pagi kot.
“Takkanlah si ketam ni tak bangun lagi. Dia yang beria-ia
suruh aku tunggu dia pukul 8.00 kat sini. Jangan-jangan dia main-mainkan aku.”
Nomi mula berprasangka.
Dia dah bersedia nak menyumpah seranah si ketam itu kalau
memain-mainkannya.
“Kalau pukul 8.15 dia tak ada jugak, aku blah. Dengan aku
jangan nak main-main, eh? Aku ni punctual!”
Detik demi detik berlalu. Jarum jam sudah menunjukkan
pukul 8.15 pagi. Lantas, dia menukar gear D dan menurunkan brek tangan. Baru
saja dia nak bergerak, dia nampak Adib menghampiri keretanya.
“Ada rupanya si ketam ni! Amboi... jalan terkedek-kedek.
Ingat aku ni pak pacak, nak tunggu kau lama-lama? Kau lambat ya? Siap kau!”
Datang ideanya nak mendajalkan Adib.
Adib dengan muka tak bersalah menghampiri kereta Nomi.
Baru dia nak memegang pembuka pintu kereta, kereta Nomi bergerak ke depan
sedikit. Terlepas. Dia melangkah ke depan mahu mendapatkan kereta Nomi semula.
Baru saja dia nak pegang pembuka pintu, sekali lagi
kereta Nomi berganjak ke depan lagi. Dia mendapatkan kereta Nomi semula. Namun,
sekali lagi kereta Nomi bergerak ke depan seperti menjauhinya.
Haihh... buat lawak ke? Kau rasa kelakar? Adib berjalan
ke hadapan kereta Nomi. Dia bercekak pinggang. Direnung Nomi dengan muka
berlagak. Orang kata ‘pandang kerek’.
“Ceh! Ingat aku seram dia buat muka macam tu? Dahlah
lambat! Lembab!” Nomi membebel.
Dia menggerakkan keretanya agar lebih dekat dengan Adib.
Sesudah itu, dia berhenti dan menurunkan cermin tingkap sebelah pemandu.
“Masuklah, Encik Ketam! Apa lagi terhegeh-hegeh tu?”
Adib dengan muka masam memegang pembuka kereta, namun
berkunci. Naik angin satu badan dia dibuatnya. Kau buat lawak apa ni, syaitan?!
“Cepatlah masuk! Terhegeh-hegeh!” Sengaja Nomi buat Adib
marah. Dia ketawa di dalam hati.
“Kalau dah kunci, macam mana saya nak masuk? Otak mana
otak?” Betul-betul naik angin Adib kini.
“Siapa suruh masuk ikut pintu? Saya buka tingkap, masuk
ikut tingkaplah!” Nomi mempermain-mainkan Adib. Hatinya sudah terkekeh-kekeh
mentertawakan lelaki ketam itu. Rasakan! Rasakan kau!
“Jangan sampai saya pecahkan pintu kereta awak ni. Buka
cepat!” arah Adib dengan riak muka serius. Dia tak ada masa nak bergurau ketika
ini. Dia sudah lambat nak pergi kerja.
Mendengar suara Adib yang agak meninggi itu, Nomi
akhirnya membukakan kunci pintu. Seriau juga dia apabila Adib dilihat
betul-betul marah.
Adib masuk ke dalam kereta dan menghempas pintu dengan
kuat. Berdentum bunyinya.
“Ya ALLAH... jahanam pintu aku!” Nomi memandang Adib.
“Hei, hei... ni kereta saya. Bukan kereta awak.” Nomi mengingatkan. Amboi...
tahu marah dia je. Aku punya marah, kau belum kenal lagi.
“Jangan bisinglah! Saya dah lambat pergi kerja ni.”
Nomi tunjuk muka tak puas hati. Dia mula memandu
keretanya. “Ni nak hantar ke mana ni?”
“Arah nak pergi Masjid Negeri.”
Wah, kerja kat situ ke? Ada riak malu pula dalam diri
Nomi. Dia memandu sambil cuba menenangkan perasaan yang sungguh tak selesa.
Janggal betul rasanya berada di dalam kereta dengan orang yang tak dikenali.
Lama mereka membiarkan kesunyian beraja.
“Saya dah tunggu kat situ sebelum pukul 8.00 lagi. Awak
yang lambat. So... salah awaklah! Bukan salah saya.” Nomi merasa perlu
untuk membela diri. “Yang awak lambat kenapa?” soalnya apabila Adib diam saja.
Adib mengerling Nomi sekilas. Sibuk je nak tahu! “Saya
tak lambatlah! Pukul 8.00 saya dah siap.”
“Habis tu, kenapa lambat jugak? Cubalah jadi manusia tu,
jadi manusia yang menepati masa. Saya paling menyampah dengan orang yang tak
ikut masa. Masa tu emas. Tahu? Emas!” Tak pasal-pasal Nomi ‘brainwash’
Adib pagi itu.
“Saya cari kunci motor. Satu rumah saya cari tak jumpa.
Dah lama baru saya ingat.Motor saya sekarang kat workshop.” Adib melepaskan nafas panjang. Entah
macam manalah, dia boleh tak ingat.
Nomi berdecis, mengejek sikap lalai Adib itu. Hal besar
macam tu pun boleh lupa. Mengarut betul!
“LAA... awak ni kerja gomen?”
Nomi ketawa. Dia sudah memberhentikan kereta berdekatan dengan pondok pengawal.
Adib yang baru saja nak membuka pintu, terhenti. Dia
memandang Nomi. “Apasal gelak? Ingat kerja gomen ni ‘lauya’ sangat ke?”
“Alohh... orang tanya je pun. Itu pun nak marah.” Nomi
mencebik.
“Nak tanya, tanya jelah. Tak payah gelak!” Adib terasa
apabila mendengar suara ketawa Nomi. Ingat kerja kerajaan tak ada standard ke?
Huh!
Eeii... sensitifnya lelaki ketam ni! Nomi menyampah pula
kenal dengan lelaki perangai begini. “Saya gelak sebab tadi awak suruh saya
pergi Masjid Negeri. Mati-mati saya ingat awak kerja kat masjid. Lain kali,
cakap jelah yang awak kerja kat SUK ni. Apa daa...”
Adib malu sendiri. Salah sangka pula dia. “Petang ni
pukul 5.30 ambil saya. Tunggu kat sini! Kalau tak datang, siap!” Dia siap
tunjuk jari telunjuk depan Nomi.
“Tengoklah...” balas Nomi acuh tak acuh.
“Oh... nak tengok ya? Okey, kita sama-sama tengok kat
Youtube.” Adib merujuk rakaman video kejadian semalam.
“Errghh... dia ni! Gurau sikit pun tak boleh! Dah,
cepatlah keluar. Tadi sibuk kata lambat, lambat!” Nomi menjeling Adib
menyampah.
Adib tersenyum. Seronok bila dapat buat Nomi rasa
tertekan dan sakit hati. Berguna sungguh rakaman yang dia beli dengan harga
RM100 itu.
Lantas, dia keluar dari situ. Setelah menutup pintu, dia
melangkah. Langsung tak memandang Nomi.
Nomi memerhati Adib melangkah dengan hati yang
membengkak. “Macam manalah aku boleh jumpa ketam gila ni? Malang betullah!
Memang malang! Urghh!”
HARI ini, Nomi sampai di butik lebih awal. Sesudah mengemas, dia membuka
komputer di meja kaunter. Disemak tempahan online. Urusan proses
penghantaran melalui pos dikendalikan. Semuanya sudah disediakan Tiara. Dia
tinggal membungkusnya saja.
Di dalam bilik kerja dia membuat pembungkusan. Sedang dia
khusyuk membuat kerja, kedengaran pintu masuk butik dibuka. Tiara dah sampai!
“Weh! Awalnya kau sampai.” Tiara melangkah masuk dengan
wajah ceria. Dia berdiri di hadapan Nomi. “Macam mana malam tadi? Syok tak?”
Nomi mengerling Tiara sekilas. “Syokkk... sangat!”
perlinya sambil buat muka pura-pura bahagia.
“Hai... lain macam je kau ni.” Wajah Tiara jadi tak
ceria. “Apa dah jadi, Nomi? Dia tak datang?”
Nomi berhenti membuat kerja. “Nasib aku ni malanglah, Ti.
Sedih!”
“Apasal?” Muka Tiara tak puas hati kerana masih tak tahu
kisah sebenar.
“Kau nak tahu siapa Mr. Krab tu?”
Tiara tercokoh menanti dengan mata bulat.
Nomi menghela nafas panjang. “Dia lelaki yang ketuk
belakang kereta aku.”
Muka Tiara berkerut-kerut. “Yang ketuk kereta kau?”
“Alamak, kau ni! Hilang ingatan pulak. Ingat tak aku
pernah cerita kat kau? Ada lelaki naik motor ketuk belakang kereta aku masa kat
traffic light. Ingat tak?”
“Ohhh...” Baru Tiara ingat. “Laa... lelaki tu, Mr. Krab
ke? Euww...” Dia sudah ada persepsi buruk tentang lelaki itu.
“Kau ‘euww’. Aku pulak rasa nak muntah hijau malam tadi.
Aku tak tahulah apa nasib aku.”
“Apasal pulak?”
“Kalau aku cerita, mesti kau terkejut.”
“Kau tak cerita lagi aku dah terkejut, Nomi.”
Nomi ketawa. Muka Tiara serius selamba saja. Padahal, dia
sedang bergurau tu. “Kau ni kan... aku baling dengan gunting ni baru kau tahu.”
“Ceritalah dulu. Lepas tu, kau nak baling gunting ke, nak
kokah gunting ke... suka hati kau!” Tiara dah tak sabar-sabar nak tahu kisah
Nomi. “Cerita cepat!”
Nomi tersenyum. Terhibur hatinya dengan jenaka Tiara itu.
Lalu, dia menceritakan detik demi detik peristiwa yang terjadi malam tadi
antara dia dan Adib. Sampailah peristiwa dia menghantar Adib ke tempat kerja
pagi tadi.
Melopong Tiara mendengarnya.
“Aku sekarang ni dah terjerat sebenarnya, Ti. Dahlah dia
tu penipu! Konon cakap duduk dengan family kat Damansara. Rupa-rupanya
duduk apartmen kat Kota Kemuning. Dia kata, semua yang dia pernah beritahu kat
aku, semuanya tipu! Kurang ajar betul! Matilah aku kenal dengan orang macam
ni.” Nomi melepaskan nafas lemah.
“Entah-entah... dia tu jodoh kau, Mi.”
Terbeliak mata Nomi. “Hei! Choi!” Bukan main takut lagi
dia kalau Adib itu jodohnya.
Tiara ketawa.