JANJI ALLAH ITU PASTI
Memasuki episod hidupku yang satu ini menjadikan aku menjadi seorang pemikir. Meneruskan hidup mara ke hadapan membuatkan aku harus meninggalkan jejakku yang lalu. Bekas telapak kakiku di susur jalur denai itu sudah makin pudar dan yang tinggal hanya bekas tapak baru menghala ke destinasi baruku sekarang. Kini aku mula berfikir tujuan hidupku. Mana satu yang betul sebenarnya? Berjuang untuk hidup atau hidup untuk berjuang? Aku harus pilih yang mana? Setelah aku amati akhirnya aku memilih BERJUANG UNTUK HIDUP. Ya benar. Ternyata inilah perjalanan yang harus tetap aku perjuangkan hingga ke akhir nafasku ini. Kejamkah aku terlalu memaksa diri agar tetap bertahan dalam pilihanku sendiri? Degilkah aku andai aku harus berkeras hati menyakinkan bahawa pada suatu hari nanti aku akan mendapat sinar yang aku cari setelah sekian lama? Aku yakin benar bahawa cahaya itu ada nun di hujung jalan sana. Aku terlalu hanyut dalam khayalan? Tidak. Aku tahu masanya akan tiba dan cahaya itu pasti akan menjadi milikku selamanya. Bagiku, tak ada orang yang cukup baik mengatur orang lain tanpa persetujuan dari yang lain. Susahkan nak faham ayat ini?
Aku sudah muak mendengar ayat yang meluluh mencairkan hati wanitaku. Contohnya andai bulan itu mampu kupetik, akan kuhadiahkan untukmu. Ah! Aku dah biasa. Ibarat bagai mawar segar, apabila kembang mekar ia dipuja, apabila layu dipandang sepi. Mulut terkadang manis indah berbicara bahasa cinta, namun hati berbisik tak siapa mengerti isi hatinya. Asal saja si pemuisi itu tahu bahawa di hadapanku ini perjalananku itu penuh liku dan dia harus tahu bahawa hanya orang yang cekal sahaja mampu tiba di garisan penamat. Ya, itu aku. Aku tinggalkan siapa diri aku yang dulu, aku kini sayangi siapa diri aku yang sekarang kerana aku pasti penantian dan perjalanan aku ini nanti akan membuktikan siapa aku akhirnya. Apa yang perlu sekarang, aku akan teruskan perjalanan ini dan tidak akan pernah kembali seperti sebelumnya. Aku sudah mula memadamkan jejak kesesatanku yang dahulu. Aku sudah mula mengukir corak baru perjalananku. Memang agak sukar namun aku percaya setiap kesukaran itu pasti ada caranya akan dipermudahkan.
Bagiku lebih baik tahu kenyataan terpahit daripada ditipu oleh kebohongan termanis seumur hidup. Asal kita tahu bahawa dunia bekerja dengan caranya, namun dunia kecil kita tercipta dari harapan dan usaha kita sendiri. YOU ARE YOUR OWN WORLD CO CREATOR. Jadi apa yang perlu hanya berdoa, berharap, berusaha dan selalu berfikir ke arah yang baik-baik untuk mengindahkan dunia kecilku ini. Meneruskan perjalananku di denai kecil hidupku yang satu ini, aku mula memahami bahawa energi pengemis cinta membuat seseorang terus memohon untuk dicintai dan lebih sering dilewatkan daripada dipertahankan untuk selamanya. Tapi Energi Magnet Cinta membuat seseorang menarik cinta tanpa susah payah demi dipertahankan selamanya. Tentu semua orang ingin bersatu dengan cinta terbaik, Namun tidak semua orang tahu bahwa kuncinya selalu ada di dalam diri sendiri. Tidak perlu sempurna untuk dicintai, hanya perlu berkembang ke arah versi terbaik diri untuk bertemu orang yang sama berkembang ke arah tujuan itu. Belajarlah bahagia tanpa syarat, tanpa bergantung kepada situasi atau orang tertentu. Saat berada di titik itu, aku tak lagi mahu menunggu, aku hanya ingin hidup sepenuh jiwa, menaklukkan kelemahan, mengembangkan kelebihan, tanpa melepaskan percaya cinta akan berjumpa pada waktunya. Itulah caraku bertemu Cinta Sejatiku. Sesederhana rasa syukur dan bahagia agar diri punya Magnet Cinta. Rasa pasrah dan keluhan akan menjadikan seseorang itu Pengemis Cinta. Di luar sana selalu ada orang yang berkembang sama ke arah tujuan ini. Jadi pastikan hidup ini selalu berkembang ke arah yang baik dan lihat agar orang yang kau tarik juga magnet cinta sepertimu, bukannya ANOTHER pengemis cinta itulah yang seharusnya dilakukan.
Dalam perjalanan percintaanku, aku merasa tidak pernah beruntung. Kegagalan demi kegagalan yang aku alami membuatkan aku akhirnya hampir berhenti berjuang. Namun rencana Allah berbeza. Saat aku menyerah, sungguh-sungguh meletakkan kehidupanku pada Nya, di situlah awal perubahan hidupku. Pengalaman jatuh bangun ini yang membawa aku pada pertemuan cinta sejatiku. Hari ini aku sudah berada di hari penting kami berdua. Hari yang kami harus susun agar menjadi lebih indah lagi dari hari kelmarin. Hari yang kami sama harapkan mampu menutup silau kisah lama kami.
Apa yang aku lakukan untuk berada di sini hari ini? Susah atau senang? Tak perlulah aku ceritakan kembali. Baca ulang saja di episod-episod perjalanan dan perjuanganku yang sebelum ini. Tidak lengkap penceritaan perjalanan juangku itu? Tak mengapa, kerana memang ia bukanlah yang sepenuhnya. Aku hanya berkongsi yang perlu sahaja. Selebihnya biarlah aku simpan untuk membakar semangatku di hari depan dan ada juga separuh daripadanya aku telah hapuskan sama sekali dari kamus pengembaraan juangku ini. Bagaimana aku berjuang untuk hidupku yang sekarang ini? Aku cintai diriku sendri dengan melakukan dan berbicara hal baik. Bumi itu bulat. Apa yang kita lakukan, ucapkan, fikirkan semuanya akan kembali lagi kepada diri sendiri. Mengalahku dalam sesuatu hal kerana aku tidak mahu memperpanjangkan konflik dalam diri. Aku memilih DIAM dan BERTENANG serta BERFIKIR. Sehingga akhirnya…Ya…inilah aku, perjalananku dan cerita tentang aku. Bagaimana dengan MEREKA yang pernah menyakiti yang pernah melukakan dan yang pernah mendustai aku sebelum ini. Aku hanya berserah kepada YANG MAHA ESA. Dia yang lebih tahu dan yang lebih layak menghakimi itu semua. Aku hanya mampu TERSENYUM melihat kisah laluku. Penuh dengan perjalanan juang, ada cerita cinta, ada cerita duka ada segala-galanya. Semuanya di sana tersemat erat di dalam lipatan kamus hidupku.