Home Novel Kisah Hidup SISIH
SISIH
Lentera Kalbu Shaz
10/1/2020 10:54:07
28,083
Kategori: Novel
Genre: Kisah Hidup
Bab 3
SEKADAR PERSINGGAHAN

Pelayaran hidup aku teruskan tanpa aku hiraukan badai mendatang. Semuanya aku tempuh dengan penuh berani penuh yakin. Tetapi, ternyata aku salah. Kerana sauh kapal pelayaran kehidupan salah kulabuhkan. Ah! Lagi sekali. Andai saja aku dapat kembalikan putaran waktu itu, aku ingin berundur tetapi kapal layar tetap berlayar mengikut hembusan angin.  Akhirnya aku turutkan saja di mana terhentinya pelayaranku kali ini. Berlabuh di batuan karang yang tajam benar-benar menguji diri. Salahkah aku kerana degil meneruskan pelayaran kasih ini? Atau adakah ini sudah ditakdirkan juga untukku seperti yang sebelum ini? Kenapa perjalananku selalu sahaja sama. Tak jauh bezanya cuma yang lainnya hanya jalan cerita. Aku menggeleng kepala tanda pasrah. Aku harus akur dengan keadaan yang memaksa ini. Aku menyifatkan ia sebagai satu ujian untuk aku terus mempersiapkan diri dan memperbaiki diri ke arah menjadi insan yang lebih baik lagi. Aku jalani dengan tenang pada mulanya tapi bila di pertengahan pelayaran aku semakin hilang kudrat dan mula menyerah kalah. Aku bukan seorang malaikat yang boleh melawan takdir. Aku juga bukan seorang malaikat yang boleh menjaga hatiku sendiri. Aku juga buka seorang doktor yang boleh membalut luka ragaku sendiri. Aku juga bukan seorang pelayar yang boleh menjelajah dunia ini seorang diri tanpa bantuan kelasi dan anak-anak kapal yang cekap dan cekal. Aku perlukan semua itu dalam pelayaranku kali ini. Aku perlukan bantuan kecemasan di saat-saat getir sebegini. Akhirnya aku menyeru pada-Mu Ilahi. Aku sakit terdampar sendiri di pulau batu kasih ini. Kompasku hilang arah, hidupku jauh tersasar dari kiblat-Mu. Betul, kini aku sedang terumbang-ambing di pelayaran yang satu ini. Mungkin kerana pada mulanya aku terlena pada keindahan dari percikan yang hadir dari batuan karang di pulau kasih ini. Dari jauh ku lihat kilauan seakan emas permata, ternyata apabila aku berlabuh rupanya hamparan kaca yang bergemerlapan disinari terik mentari. Sungguh! Hidup ini memang mudah tertipu. Mudah terleka dan terlena dek keindahan yang belum pasti dari kejauhan. Tetapi, angin kasih telah menghanyutkan aku ke sini. Mahu tak mahu aku harus lalui dan singgah di sini dalam mencari erti jati diri. Aku mendidik diri menjadi seorang permaisuri berhati berbudi dan berpekerti. Belajar memimpin diri agar tidak terpesong jauh dari kebiasaan diri. Kesudahannya aku kalah. Aku payah dalam lelah. Aku lemah dan akhirnya aku pasrah. Ternyata pelabuhan yang aku rindui masih jauh dari diri. Di perhentian kasih ini aku sekadar singgah mencari erti yang belum pernah dan yang belum sempat aku lalui di mana-mana persinggahanku sebelum ini. Aku sakit di sini, aku pedih sendiri semuanya aku belajar bertatih dari awal dan juga satu yang aku akan ingat sampai ke hujung nyawa ia lah hampir MATI di sini! Semuanya di persinggahan aku yang satu ini. Hidup ku bagai layang-layang terputus tali. Ibarat kapal tanpa nakhodanya. Setelah apa yang aku hilang dahulu belum dapat aku ambil dan belum dapat aku temui kembali, kini aku terpaksa menghadapi yang satu ini. Satu keadaan yang sangat menyakitkan, menyesakkan, memedihkan dan memilukan. Tetapi satu kesimpulan yang aku ambil dari persinggahan aku di pulau drama ini iaitu AKU HARUS TERUS BERDIRI, AKU HARUS TERUS BERLARI TANPA LELAH DAN AKU HARUS MENERUSKAN PELAYARANKU KE DESTINASI YANG LAIN DARI PULAU KACA INI. Aku perlu meninggalkan semua yang menyakitkan aku yang ada di pulau ini. Aku perlu mencari kembali baju besi berjubah api yang pernah aku sarung dulu. Lama ku simpan dalam peti hati dan sudah berdebu lama tidak berpakai lagi. Sejak bila aku melupakan jubahku yang satu ini? Ya sejak aku terlena dek panahan mentari pagi yang menyinari langit kasih di kaki pulau kaca ini. Lantas aku sarung kembali dan pantasku tarik kembali sauh yang telah lama aku labuhkan di sini sedari mula aku bertemu pulau yang kononnya abadi ini. Aku mula tinggakan gentian kaca yang berserakan tanpa kuhiraukan lambaian meminta belas ihsan agar mereka tidak kutinggalkan. Tetapi aku harus terus berjuang. Berjuang demi mencari sebuah kehidupan yang abadi dan mencari perhentian yang telah lama inginku cari iaitu satu tempat yang benar-benar sesuai untuk aku berhenti dan berlabuh selepas ini. Alhamdulillah, angin dan semesta sentiasa membantuku dengan baik di pelayaranku kali ini. Walau acap kali aku berteman gelombang ganas namun layarku yang koyak terus berfungsi tanpa mematikan hati ini. Laju, laju dan terus memacu laju mengikut deruan angin.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lentera Kalbu Shaz