Penantian
selama empat tahun ini rupa-rupanya telah meranapkan seluruh kekuatan yang
telah dibina oleh Balqis. Sangkanya dia sudah begitu kuat untuk berdepan semula
dengan keluarga Sahak. Sekaligus membayar kembali setiap duri yang pernah
ditabur oleh mereka disepanjang perjalanannya ini.
Ah, dia baru
bertemu dengan Sarah. Tidak lagi dengan Sahak dan Esah yang sepuluh kali ganda
lebih kejam daripada Sarah. Dia tidak boleh selemah ini sedangkan dia sudah
sedia maklum tentang keperitan yang bakal dilaluinya di sepanjang laluannya
kelak.
Balqis menarik
nafasnya perlahan-lahan. Cuba melegakan kesedihan yang merantai kuat di tangkai
hatinya saat ini. Matanya terus menyundut pandang kepada pintu lif yang masih
lagi belum terbuka. Dia mula merasakan pintu lif ini mengambil masa terlalu
lama untuk dibuka sedangkan dia tidak mahu terlepas bas pukul enam petang untuk
pulang ke rumah. Kalau tidak dia terpaksa menunggu selama setengah jam lagi.
” Masamnya
muka. Orang tua-tua kata tak elok anak dara mencuka macam ni nanti tak laku,”
tiba-tiba satu suara berseloroh. Mungkin mahu menceriakan moodnya.
Balqis berpaling. Wajah Luqman Hakim tersengih memandangnya
membuatkan satu keluhan lemah terkeluar dari bibirnya. Sejak peristiwa di
restoran itu, Balqis cuba mengelak untuk bertemu muka dengan lelaki itu. Kalau
boleh dia perlukan masa. Masa untuk dia mengumpul semula kekuatan dalamannya
untuk menghadapi semula ahli keluarga Sahak.
” I’m sorry kalau lawak saya ini mengguris
hati Balqis,” kata lelaki itu apabila mendengarkan keluhan di bibir gadis
jelita itu.
Balqis tersenyum
tawar. Dia mati kata dan kehadiran lelaki itu di kala ini betul-betul menganggu
ketenteramannya saat ini.
” Atau Balqis
masih marah tentang peristiwa tadi?” Tanya Luqman Hakim yang begitu kesal
dengan kelakuan Sarah yang melampaui batas itu.
” Tak perlulah
kita bincang tentang perkara tadi Encik Luqman,” kata Balqis tanpa memandang ke
arah Luqman Hakim.
Tidak
dinafikan sifat dan perwatakan Luqman Hakim jauh berbeza daripada sifat ahli
keluarganya yang lain. Lelaki itu nampak lembut dan cukup bersopan tiap kali
menuturkan bicaranya. Kenapa perbezaan ini hadir sedangkan mereka berasal
daripada darah daging yang sama?
Ah, arwah Tan
Sri Mohd Jamil dan Sahak juga berasal dari darah daging yang sama tetapi sifat
dan perwatakan mereka juga bagaikan langit dan bumi. Tidak perlu diherankan
kerana setiap manusia mempunyai hati yang berbeza.
Balqis juga
sedar dia perlu berhati-hati dan tidak boleh mudah cepat percaya dengan
kebaikan dan kesantunan yang ditunjukkan oleh Luqman Hakim di kala ini. Mungkin
juga lelaki itu sedang berpura-pura dan hanya mahu menunjukkan keperkasaannya
di hadapan perempuan.
Akhirnya
Luqman Hakim membisu. Mungkin lelaki itu sudah tidak tahu lagi bagaimana mahu
melegakan rajuk hati Balqis. Mereka membisu sehingga pintu lif dibuka.
Balqis membiarkan
Luqman Hakim masuk terlebih dahulu ke dalam kotak lif tetapi lelaki itu hanya
terus membatu disitu. Mungkin juga lelaki itu ingin menunjukkan sifat
gentlemannya dengan memberikan laluan terlebih dahulu kepada Balqis. Tanpa
berfikir lagi, Balqis terus masuk ke dalam kotak lif tetapi malangnya tubuhnya
dan tubuh Luqman Hakim berlanggar ketika mereka sama-sama ingin masuk ke dalam
kotak lif.
”
Oppps...sorry... saya ingatkan awak tak nak masuk tadi. Awak masuk dululah,” kata Luqman Hakim dengan senyuman yang
memikat.
” Tak pe lah.
Awak masuk dulu,” kata Balqis yang masih lagi masam mencuka.
” Awaklah..”
kata Luqman Hakim tersenyum.
Balqis hanya
menjungkit bahu dengan bicara Luqman Hakim itu. Tanpa membuang masa dia segera
masuk namun sekali lagi tubuhnya dan tubuh Luqman Hakim berlanggar.
” Saya
sangkakan awak tak nak masuk tadi,” kata Luqman Hakim sambil ketawa.
Entah kenapa
riak wajahnya yang penuh kecerian itu tiba-tiba mendamaikan hati Balqis. Tidak
dinafikan dia sudah lama tidak merasai kemanisan tawa itu.
Tiba-tiba
Luqman Hakim terhenti tawanya lalu bertanya,
” Tak kelakar
ke?”
Mimik muka
Luqman Hakim kelihatan begitu naif sekali.
Serentak
dengan itu Balqis ketawa. Ketawa yang sungguh-sungguh dan bukannya di
buat-buat. Melihatkan wajah Luqman Hakim yang tercenggang begitu mengeletek
hatinya. Tidak ubah seperti Mr Bean yang sedang membuat lawak selambanya. Cuma
Mr Bean ini lebih kacak dan perkasa dari Mr Bean yang sebenarnya tetapi mampu
membuatkan dia ketawa hanya dengan mimik mukanya yang naif itu.
Anehnya
perasaaannya kali ini. Hanya dengan sekadar mimik muka sahaja sudah mampu
menceriakan harinya.