Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Khas Buat Suraya Anne!
kamika
15/9/2023 22:41:07
117,361
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 3

Tanggapan pertama


Sudah seminggu dia di pejabat itu. Suasana hiruk-pikuk sebelum waktu pejabat bermula sudah lali di telinganya. Pintu kaca dengan access system terbuka, dia melangkah santai ke meja kerjanya. Sesekali, bibirnya mengukir senyuman, membalas sapaan rakan sekerja.

“Hai, Hadi. Selamat pagi!” serunya ceria.

Beberapa penghuni stesen bersebelahan tersenyum mendengar sapaan itu. Suraya sengih sebelum melabuhkan punggung ke kerusi. Ekor matanya menjeling Hadi, yang tekun menilik telefon pintar. Hanya beberapa anggukan disahut, lalu kembali tenggelam dalam gajet. Hmm… Hanis pun macam ni akhir-akhir ini, bisik Suraya dalam hati.

“Anne, dalam setengah jam lagi kita gerak.”

Ucapan Zamri mencantas lamunannya. Suraya menoleh ke arah lelaki berkulit sawo matang itu.

Belum sempat membalas, Zamri sudah bangun dan bergerak ke pintu bersama beberapa staf lain. Matanya terkebil-kebil, jam di pergelangan tangan dikerling. Lima belas minit sebelum jam 9 pagi.

“Diorang tu pergi breakfast. Kau dah makan?” tanya Hadi, memusingkan kerusi ke arahnya.

“Belum. Tapi aku ada tapau nasi lemak. Makan dekat sini ajelah. Kau, macam mana? Kenapa tak ikut diorang?”

“Hari ni aku puasa.”

Suraya menelan air liur. Puasa sunat hari Isnin ke ni?

“Aku puasa ganti… Sebelum ni pernah accident dan warded, betul-betul kena waktu bulan puasa. Nak tak nak, kenalah buat. Benda wajib.”

Seperti mengetahui apa yang bermain di fikirannya, Hadi menjelaskan.

Suraya tersenyum kelat, lalu meminta izin untuk makan di hadapannya. Tiada perbualan lain yang berlaku.

Sambil menjamah sarapan, dia memerhati isi pejabat yang mula hingar dengan staf. Ada yang bersarapan, ada yang leka dengan telefon, dan ada yang sudah memulakan tugas masing-masing. Bunyi ketukan papan kekunci, deringan telefon, dan langkah kaki menyusun ritma pagi yang sibuk. Aroma kopi yang menyebar menambah hangat suasana.

“Okay, Anne. Dah ready?” soal Zamri ketika Suraya kembali dari pantri, setelah membuang sampah dan mencuci tangan.

Yup,” jawabnya, pandangan berlabuh sebentar ke arah ketuanya. Meski berusia penghujung empat puluhan, Zamri tetap kelihatan fit, tubuh tegap dan wajah macho.

Good. Tools?”

Suraya menepuk beg komputer ribanya, lalu menggalasnya ke bahu.

Very, very good. Jom!” ujar Zamri sambil turut menggalas beg sejenis ke bahu.

“Mr. Lee baru gerak dengan beberapa bos lain. Diorang mesti pergi minum dulu,” maklum Zamri ketika mereka tiba di lapangan parkir tingkat bawah tanah.

Penggera pacuan empat roda ditekan. Zamri memasukkan begnya di tempat duduk belakang, kemudian memberi ruang pada Suraya untuk meletakkan begnya sendiri. Selesai menutup pintu, Zamri tercegat di belakangnya dengan segugus kunci dihulurkan.

“Boleh drive, kan?” soal lelaki itu.

Cuak. Suraya tak menyangka situasi ini. Namun, dia mengangguk perlahan.

“Saya yang drive?” tanyanya lagi, matanya terpaku pada kunci yang disorong.

Zamri mengangkat kening, selamba. Dengan satu desisan ringan, Suraya menguasai tempat duduk pemandu.

“Betul ni saya drive?” soal Suraya buat kesekian kali sebelum enjin dihidupkan.

“Sama aje macam kereta biasa. Cuma yang ni besar dan tinggi. Relaks je,” ujar Zamri, bersandar sambil mengeluarkan telefon dan tenggelam dalam urusan sendiri.

Gemuruh mula menjalari Suraya. Tangannya sedikit terketar di atas stereng. Perlahan-lahan, tombol gear ditukar, pedal minyak ditekan, dan pacuan empat roda itu bergerak. Meski takut, hati kecilnya berbisik, aku boleh buat ni.

Sepanjang perjalanan menuju Taman Greenwood, dadanya tidak henti-henti berdebar. Setiap kali menukar gear atau memandu melepasi lorong sempit, dia bimbang seandainya berlaku kesilapan yang membawa tragedi.

Ya Tuhanku, mohon dijauhkan.

Syukur, perjalanan hampir tiba ke destinasi. Toyota perlahan menyusuri lorong di antara deretan blok bangunan kedai yang sepi. Zamri menoleh sekejap, memberi arahan supaya mereka memarkir kenderaan di hadapan sebuah lot yang belum beroperasi. Dua lelaki berdiri menanti di situ, jelas sedang memerhatikan kedatangan mereka.

Selesai mematikan enjin, Zamri memikul beg di bahu dan menghulurkan topi keledar keselamatan berwarna putih. Suraya mengambilnya dengan tangan sedikit gementar lalu memakai topi itu sambil menelan debaran. Tanpa kata, mereka melangkah ke arah kedua lelaki itu, bersedia untuk memulakan tugas.

“Faisal, Naim... ni staf baru. Jangan kacau dia lebih-lebih, ye,” ucap Zamri sambil mendekati kedua lelaki itu.

“Anne, yang ni rigger, yang tu CME. Dua-dua dari AceAir. Rigger standby kalau antena perlukan adjustment—azimuth, tilting, atau height,” jelasnya.

Suraya mengangguk faham. “Hai, saya Anne,” sapa Suraya dengan senyuman kecil.

“Saya O, dan yang ni P,” jawab salah seorang, sebelum mereka berdua tergelak besar.

Sedikit tersinggung, Suraya menahan gelak tetapi akhirnya ikut tergelak dengan jenaka ringan mereka.

“Hadap ajelah diorang ni,” celah Zamri seperti sudah lali dengan sikap mereka.

Naim menyerahkan segugus anak kunci kepada Zamri, sementara Suraya memerhatikan dengan sedikit kagum pada peralatan dan profesionalisme mereka.

Zamri mengetuai kumpulan itu memasuki premis melalui pintu dengan kunci yang baru diterima tadi. Mereka mendaki anak tangga ke tingkat tiga. Untuk sampai ke penthouse di bumbung, mereka perlu memanjat tangga besi yang agak usang.

Suraya sengaja melangkah lambat. Setiap anak tangga diambil dengan berhati-hati; kemalangan boleh berlaku bila-bila masa.

Familiar?” tanya Zamri apabila tiba di bumbung yang landai dan luas.

Suraya memerhati sekeliling. Cuaca yang sesekali redup memberi sedikit lega, tetapi matahari yang kembali terik membuat renik peluh muncul di dahinya. Dia tersenyum dan mengangguk-angguk.

Semasa latihan industri dahulu, dia tidak sempat menjejak tapak projek kerana belum mendapat lesen. Namun, suasana ini sudah dikenali melalui gambar-gambar dan laporan yang pernah ditelitinya.

“Sebenarnya kita tak ada tugas pun nak dibuat. Mr. Lee cuma suruh abang bawa Anne naik sini. Tapi kalau nak cuba buat static test, boleh je,” ujar Zamri sambil menunjuk ke arah sebatang tiang dengan panel antena 4G terpasang. Dua lagi antena menghala ke sektor lain, melengkapkan liputan 360 darjah.

Suraya tercengang. “Jadi... apa tujuan kita panjat sampai atas ni?”

Warm up,” jawab Zamri selamba.

“Hah?”

Wajah Suraya berubah. Disangkanya lelaki itu bergurau, tapi tiada riak senda di wajahnya.

“Jom. Turun.”

“Hahhh?!” suara Suraya kali ini cukup kuat sehingga Faisal dan Naim sama-sama menoleh.

Tercengang, terpaksa juga dia mengikut langkah Zamri menuruni tangga besi usang itu. Nafasnya tercungap-cungap, betis terasa berdenyut. Sampai sahaja di bawah, Zamri menekan alat penggera, masuk ke kenderaan, dan menghidupkan enjin seperti tiada apa-apa berlaku.

Suraya menghela nafas panjang. Ini ke yang orang panggil warm up? Naik turun bangunan tiga tingkat macam marathon...

“Abang nak ke AceAir, ada brief. Dalam sejam lagi abang balik sini. Kalau Anne nampak Mr. Lee, terus follow je. Kalau nak try buat test pun boleh. Tak faham, tanya dua orang tu.” Zamri menukar gear, meninggalkan pesan sepintas lalu sebelum memandu pergi.

Suraya terpinga. Eh, macam tu je? Bukankah dia sepatutnya membimbing seperti arahan Mr. Lee? Dari tadi sikap Zamri memang pelik.

Dia menghela nafas. Tak guna pening kepala fikir lelaki tu. Lebih baik dia cari tempat sesuai untuk duduk, buat ujikaji ringkas, dan catat apa yang boleh.

Matanya mengitari kawasan sekitar. Lot kedai ini masih baru, banyak yang kosong. Hanya tiga yang beroperasi iaitu dobi layan diri, sebuah kedai makan, dan kedai serbaneka. Di hujung, ada sebuah pejabat tertutup rapat.

“Hmm... kedai makan bising, serbaneka memang tak sesuai. Dobi kosong... okay, itu pilihan paling selamat.”

Sebaik topi keselamatan dibuka, kepalanya terasa lebih lega disapa angin. Suraya melangkah perlahan ke arah dobi. Hatinya masih berdebar, antara resah ditinggalkan sendirian dan rasa ingin tahu pada apa yang menantinya di tapak projek ini.

Bangku panjang di hadapan kedai dobi itu jadi tempat pilihannya. Baru sahaja dia mahu melaksanakan tugasan kecil, matanya makin berat. Hampir saja terlelap jika terus dibiarkan. Inilah padahnya bila tidur lewat semalam.

“Ehem.”

Suraya tersentak. Kepala yang tertunduk diangkat perlahan. Dari ekor mata, seorang lelaki berdiri tercegat di laluan kaki lima. Tubuhnya tegak, tidak berganjak. Amaran berjaga-jaga terus menyelinap. Namun apabila lelaki itu tidak bergerak, Suraya mengagak dia sekadar pelanggan kedai makan berhampiran. Dia kembali menunduk.

“Suraya...”

Jantungnya berdegup kencang.

Eh? Dia panggil aku?

Suraya menoleh sekali lagi. Lelaki itu masih berdiri, wajahnya terlindung sepasang kaca mata hitam.

Siapa pulak ni? Aku tak kenal... tapi memang nama aku yang dia sebut tadi.

“Err, encik... encik salah orang ke?” Suaranya sopan tapi sarat dengan waspada. Pelukan pada beg semakin diketatkan, seakan itu satu-satunya perisai.

No, Suraya Anne.”

Degup jantungnya hampir terhenti. Nama penuhnya disebut. Lelaki itu semakin menghampiri, lalu berhenti tepat di hadapannya. Suraya menunduk, mendakap beg komputer ribanya erat. Nafasnya jadi tidak keruan. Sunyi.

Perlahan-lahan dia mendongak. Dan sebaik sahaja matanya menangkap wajah di sebalik kaca mata hitam itu, penyesalan segera menyerbu. Wajahnya panas, merona. Cepat-cepat dia menunduk lagi.

It’s me,” ujar lelaki itu sambil menanggalkan kaca mata. Tubuhnya sedikit dibongkokkan agar wajah mereka selari. Pandangannya menyorot penuh makna. Ada garis kecewa di situ, walau bibirnya tetap melakar senyum tipis.

“Suraya...” panggilnya lagi, lembut.

“Ha? Oh... Dr. Adrian.” Suaranya perlahan, nyaris tersekat. Dia kenal lelaki itu. Mana mungkin terlupa selepas peristiwa di bilik mesyuarat nombor dua dua minggu lalu. —Tak sangka dia ingat nama aku.— Peristiwa yang mencatatkan malu paling tebal dalam hidupnya.

Ya Allah... kenapa dia muncul sekarang? Kalau setahun lagi ke... mungkin malu ni dah kering. Ni baru dua minggu, masih segar membara!

“Apa dah jadi? Kenapa awak dekat sini sorang-sorang?” soal Dr. Adrian, nada bimbang. Matanya jatuh pada wajah Suraya yang menunduk. Sesaat, pandangannya terhenti di bawah mata gadis itu — tiga titik kecil yang berderet halus, seperti rahsia yang mahu disimpan.

“Awak okay ke?” tanyanya lagi, kali ini lebih lembut. Dalam diam, dia menahan sabar dengan sikap apati gadis itu. Bukan niatnya hendak menyibuk, tetapi sebagai rakan sepasukan dalam syarikat yang sama, dia berhak tahu kenapa gadis itu dibiarkan berseorangan.

“Doktor, terima kasih. Saya okay. Zamri ada di AceAir. Saya pulak tengah tunggu Mr. Lee datang.” jelas Suraya, akhirnya mengangkat wajah seketika. Pandangannya cepat-cepat dialihkan kembali, masih segan untuk menatap lama.

It’s Adrian,” potong lelaki itu.

“Huh?” Suraya sempat menjelingnya, keliru.

Please call me Adrian. I prefer nama dari pangkat yang tak seberapa tu.” Nada suaranya tegas, tapi reaksi wajahnya neutral. Seolah-olah ada keinginan lain di sebalik desakan itu.

Suraya terkebil. Panggil nama? Adrian? Eh… tak pelik ke nanti?

Suraya menelan air liur. Dia benar-benar tidak gemarkan cara lelaki itu, seolah-olah sedang mengambil kesempatan. Orang tengah penat pun boleh datang jual minyak!

Tanpa peduli jarak sejengkal yang memisahkan mereka, dia bangun. Dr. Adrian terpaksa mengundur dua langkah kerana tindakannya yang tiba-tiba. Suraya membetulkan beg di bahu, nada suaranya jelas berbaur jengkel.

“Maaf, Dr. Adrian. Saya rasa saya okay je sorang-sorang dekat sini. Sekejap lagi bila Mr. Lee sampai, saya ikut dia.”

Luahan itu terhambur bersama segala rasa yang dipendam sejak tadi — penat memandu, lelah turun naik tangga, ditambah pula Zamri yang dengan senang hati meninggalkannya tanpa tunjuk ajar. Memang cukup untuk buat emosinya bergoncang.

Dan kini muncul pula lelaki narsistik ini. Narsistik? Ya. Lagak angkuh di bilik mesyuarat dulu masih segar di ingatan. Riak wajah, nada suara, semua lengkap.

“Maaf kalau buat you tak selesa, Suraya Anne,” tutur Dr. Adrian dengan nada budiman. “Tapi I tak boleh biarkan you sorang. Bos you dah tunggu lama. Jom, saya teman ke sana.”

Sejenak, fikiran Suraya melayang teringatkan kata-kata Irene dan pesanan Zamri di pejabat tadi. Mulutnya ternganga sedikit, lalu cepat-cepat ditutup. Pandangannya jatuh tepat ke mata lelaki itu — jernih, tenang, menusuk.

“Bos…” ucapnya perlahan. Baru dia sedar, Dr. Adrian bukan calang-calang orang untuknya bersikap sesuka hati. Ada batas yang patut dijaga. Lelaki itu superior, dia hanya junior. Selamba benar tadi dia mencemuh, walau tak ketara di mata kasar.

I’m sorry. I’m so sorry, boss.”

Kepalanya tertunduk, memandang kosong kasut hitamnya, juga kasut sukan hitam milik lelaki itu. Sepi.

“Urm, kalau macam tu… marilah, bos!” suaranya ceria dibuat-buat. Segala rasa malu dan kecewa segera dibungkus dalam lipatan fikiran. Dia capai topi keselamatan lalu melangkah dahulu.

Namun baru dua tiga langkah, bahunya terasa ringan — beg galasnya sudah tiada! Dia menoleh, terkejut.

Dr. Adrian memegangnya dengan tenang, seolah tahu lebih daripada yang diperkatakan. “Been there before,” ucapnya perlahan.

Suraya terkebil, tidak pasti maksud sebenar kata-kata itu. Tapi sesuatu dalam nadanya… terasa seakan pengakuan.

Previous: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.