Makyung Bedah
membetulkan duduknya. Dia masih ingin mengimbau kisah lalu. Dia masih ingin
merindui anak-anaknya. Hati seorang ibu tidak sama dengan hati seorang
anak.
Azman dan Maryam dengan
alasan yang sangat menyakitkan. Hanya kepada Surya dia menaruh harapan. Surya
belum kahwin. Belum ada keluarga. Anak bongsunya itu belajar hingga ke menara
gading. Namun selepas tamat belajar, dia gila untuk menjadi penyanyi.
“Ke mana tumpahnya kuah
kalau tidak ke nasi, Bedah.” Itu yang selalu dikatakan kepadanya.
“Dia belajar sampai
universiti, akhirnya dia tak nak bekerja. Dia nak jadi penyanyi. Tak kisah juga
kalau dia jadi penyanyi, tapi biarlah penyanyi biasa saja. Tapi dia jadi
penyanyi rock. Kau tengoklah pakaiannya tu, macam peminta sedekah. Koyak di
sana sini. Apakah itu imej rock yang diagung-agungkan itu?”
Mak Semah ketawa
mengekek.
“Dengan muzik yang
bising tu, dia kata itu seni,” sambungnya lagi.
Mak Semah tetap ketawa.
“Aku tak bergurau
Semah. Kalaulah arwah Abang Mail masih ada, aku tak tahu macam mana nasib
Surya,” kata Makyung Bedah.
Dalam hati memang dia tidak
berkenan dengan pilihan kerjaya Surya. Namun, sebagai ibu dia tetap mendoakan
yang terbaik untuk Surya. Dia juga tetap merindui anak itu. Dia tetap ingin
bertemu dan memeluk Surya. Kalau boleh dia tetap ingin tidur bersama dan
mengusap-usap anak itu seperti sewaktu kecilnya.
“Mak, tahun ini jadual
kerja saya penuh. Mungkin hari raya pun saya tak akan beraya di kampung.”
“Semua orang pun ada
kerja. Tapi takkan pula tak ada cuti. Kalau Su cuti, marilah balik ke sini. Mak
akan masakkan masakan yang Su suka.”
“Mak jangan nak
bandingkan kerja saya dengan orang lain. Sebagai artis, saya kena kerja ketika
masih laku. Jadual persembahan saya dah disusun sejak awal tahun hingga ke
akhir tahun. Saya kena ikut, tak boleh tidak.” Surya berkata tegas.
“Su, kalau tak dapat
balik lama baliklah sehari dua. Mak rindu sangat pada anak bongsu mak yang sorang
ni. Mak nak makan sama-sama. Nak tidur sama-sama.”
“Tengoklah nanti mak.
Saya tak nak janji apa-apa.” Surya mematikan talian. Dia tidak dapat merayu
lagi.
Aduhai anak...
Makyung Bedah kembali
kepada keadaan dirinya sekarang. Imbauan ingatan itu berlalu. Suara dan alasan
anak-anak hilang dari pendengarannya.
Dia mendongak ke awan. Gumpalan
awan yang memutih mengusik hatinya. Indahnya alam ciptaan ALLAH. Awan memutih
di langit. Rumput menghijau di bumi. Manusia diciptakan dari tanah yang kering
untuk hidup berkasih sayang.
Di manakah kasih sayang
anak-anak untuknya?
‘Mereka sibuk. Aku tak
boleh nak berkecil hati. Tidak baik seorang ibu berkecil hati kepada
anak-anaknya.’ Itu yang dibisikkan kepada hati. Itu juga yang diajarkan kepada
diri akan sentiasa kuat dan tidak lemah dengan perasaan rindunya.
Namun kali ini dia
kalah. Segera dia mendongak ke awan sekali lagi. Kali ini bukan ingin melihat
awan gemawan yang memutih cantik tetapi ingin menahan air mata agar tidak
menitik!
“Astaghfirullahhalazim…
ya ALLAH… kuatkanlah hati hamba-MU ini.”
Mukanya diusap
berkali-kali. Tidak mudah memujuk hati yang rindu. Namun dia tidak akan
mengalah dan terus dihanyutkan oleh arus rindu itu.
“Cepatnya masa berlalu.
Mereka semua sudah dewasa. Mereka sudah ada kehidupan sendiri. Abang, anak-anak
kita dah semakin jauh dari Bedah…” Makyung Bedah berbisik sambil mendongak ke
langit.
Lama termenung dan
memujuk hati. Lalu dia mulaterkenang kepada sejarah
dirinya.
Suatu masa dulu, siapa yang tidak kenal
dengan Makyung Bedah. Dia adalah primadona makyung yang pernah tersohor di
seluruh ceruk negeri Kelantan. Sebut nama Bedah, orang akan teringat kelentikan
jemarinya menari makyung. Orang akan terkenang kelunakan suaranya menyanyi
makyung. Hingga nama Makyung itu melekat di pangkal namanya dari muda hingga
kini. Tua muda mengenalinya dengan Makyung Bedah!
Tiba-tiba dia rindu pada pentas makyung.
Bibirnya mula menguntum senyuman. Sungguh senang hatinya ketika
membayangkan dia bergerak dengan liuk lintuk yang lemah gemalai mengikut alunan
muzik. Jari jemarinya lentik dan ada seberkas rotan di tangannya. Sekali sekala
rotan itu dipukul ke pahanya.
Pentas itu bukan pentas biasa.
Ia bukan hanya pentas makyung tetapi juga pentas cinta. Ia menjadi
saksi cinta antara dia dengan arwah suaminya. Bunga-bunga cinta berkembangan di
pentas itu. Setiap kali dia menari dan menyanyi, dia ditemani sepasang mata dan
sebuah senyuman paling bermakna dari seorang jejaka!
“Awak sangat cantik. Secantik bulan purnama. Sayalah pungguk yang mabuk
merindu.”
“Benarkah?” Dia mengerdipkan mata. Kemudian tersipu malu. Dia memang
berani di pentas namun dia menjadi takut untuk terus ditatap oleh jejaka itu.Dengan sehelai selendang dia menutup wajahnya.
Ismail. Jejaka itu dari keturunan orang baik-baik.Anak
imam masjid di kampungnya. Keluarganya sangat alim dan sangat dihormati. Selain
itu, dia satu-satunya anak muda kampung itu yang belajar sekolah pondok di
Patani hingga mampu menjadi imam.
Imam muda dan
penari makyung!
Namun, cinta
itu anugerah Tuhan. Ia sebuah rasa yang tidak ada benteng dan sempadan.
“Kenapa orang
alim macam awak nak habiskan masa di bangsal makyung?”
“Sebab saya
sukakan awak. Tak salah kalau saya nak tengok buah hati saya setiap hari.”
“Tapi… kita tak
setaraf. Awak bintang di langit. Saya pula rumput di bumi. Tempat awak bukan di
sini. Pilihan hati awak pula sepatutnya bukan pada saya.”
“Siapakah yang
berani meletakkan gaung pemisah itu? ALLAH tak pisahkan darjat hamba-NYA
melalui harta dan kedudukan. Darjat seorang makhluk ALLAH dinilai dari iman dan
taqwanya.”
“Tapi awak
memang dari golongan orang-orang beriman. Awak dari keturunan imam sedangkan
saya pula dari kalangan…”
“Jangan. Jangan diucapkan kata-kata itu.Iman sesaorang
tidak terletak pada keturunannya. Iman itu memang tak boleh dipusakai. Iman itu
di hati dan hanya DIA yang mampu menilainya. Kopiah sebesar bakul pun belum
tentu dikira orang beriman kalau hatinya berkarat!” tegas jejaka itu dengan
suara meninggi.
“Awak ni, mana ada kopiah sebesar bakul!” Dia cuba mengendurkan
suasana. Kemudian dia ketawa, perlahan dan penuh hati-hati. Dia tidak mahu
membuat Ismail terasa hati. Walaupun perumpamaan yang dikatakan oleh Ismail
dirasakan sangat kelakar.
Ismail sangat sederhana. Dari segala segi dia sederhana. Tidak sombong.
Tidak membangga diri. Sikap itulah yang membuatkan hati Makyung Bedah semakin
dekat dan ingin terus bersamanya.
Hari berganti hari, tali kasih mula bertaut erat dengan rasa
sayang. Rasa cinta mula bersemi dengan
rasa rindu. Akhirnya, tanpa rintangan dan halangan dari kedua-dua pihak mereka
disatukan dalam sebuah majlis perkahwinan yang meriah.
Ketika itu, hanya ALLAH yang tahu perasaannya. Dia sangat bahagia.
Ismail kekasih hati menjadi suami peneman hidup. Darjat dan kedudukan
tidak menjadi halangan untuk mereka bersatu.
“Mak harap Bedah dapat jadi isteri dan ibu yang baik kepada Mail. Mak
serahkan Mail pada Bedah. Dia anak yang baik dan mak harap Bedah dapat
menjaganya dengan baik.” Itu pesan Hajah Fatimah ketika memeluknya selepas
majlis akad nikah.
Dia sangat terharu. Hajah Fatimah tidak memandang rendah kepada
dirinya.
“Terima kasih mak. Bedah janji akan jaga anak mak. Bedah
janji akan jadi isteri yang taat. Bedah janji akan jadi menantu yang berbudi.
Harap mak sudi beri tunjuk ajar pada Bedah.” Hanya itu yang mampu diucapkan.
Dia menangis dan Hajah Fatimah menarik dia ke dalam pelukannya.
Sangat manis kenangan itu. Hajah Fatimahmertua yang sangat baik. Dia pengasih dan
sangat penyayang.
“Bolehkah abang minta sesuatu dari Bedah? ” tanya Ismail
selepas seminggu mereka menjadi suami isteri.
“Mintalah. Bedah dah jadi milik abang.Lafaz akad dah
mengikat kita.”
“Abang nak
Bedah berhenti bermain makyung. Abang nak Bedah tumpukan kepada rumah tangga.
Kita sama-sama menjaga keluarga kita nanti. Dan yang paling abang nak ialah
Bedah belajar agama. Kita belajar sama-sama.”
Dia terpempan
seketika. Permintaan itu sangat tulus dan dia tidak rasa seperti dipaksa.
“Beratkah
permintaan abang?” tanya Ismail inginkan kepastian selepas lama suasana sepi.
“T… tidak.
Bedah akan berhenti. Hidup dan mati Bedah hanya untuk abang.”
“Jangan! Itu salah.”
“Apa yang salah?” Dia menoleh. Wajah suaminya direnung dengan keliru.
“Hidup dan mati seorang insan biarlah kerana ALLAH. Kita tidak boleh
bergantung dan menyanjung selain dari ALLAH.”
“Tapi syurga isteri di telapak kaki suami.”
“Pun dengan keredaan ALLAH. Syurga dan neraka juga milik DIA. Jangan
sekali-kali melakukan sesuatu kerana berharap untuk mengejar pahala. Sebaliknya
biarlah kita buat sesuatu dengan ikhlas kerana ALLAH.”
Lalu dengan
rela hati dan ikhlas jiwa, dia menurut perintah. Itu yang terbaik untuk dirinya
sebagai isteri. Seorang wanita, bila sudah berkahwin akan menjadi milik suami.
Dia perlu setia dan dia wajib taat akan suaminya.
Begitulah,
selepas berkahwin dia meninggalkan pentas makyung. Muzik makyung ditukar kepada
alunan ayat-ayat suci Al-Quran dan zikir.
Hidupnya mula berubah. Dia menjadi lebih tenang dan aman.
Tiba-tiba hati Makyung Bedah semakin bergetar dengan rindu.Daripada rindukan anak-anaknya, kini dia merindui cinta
sejatinya.
“Abang, Bedah sangat rindukan abang…” bisiknya perlahan.Ia hanya didengar oleh dirinya sendiri.
Dia tunduk. Air mata yang disekat dan ditahan tadi, kini dibiarkan
terburai. Bukan lagi titik-titik kecil tetapi deraian bagai hujan. Dia tidak
mahu menahan lagi. Kadang-kadang dia perlu menangis untuk melepaskan sesak di
dada.
“Abang pergi tinggalkan Bedah.Anak-anak juga tinggalkan Bedah. Abang…”
Makyung Bedah teresak-esak.
Sungguh pilu rasa hatinya. Sungguh parah rindu di jiwanya.
Kicau burung semakin nyaring. Burung-burung itu seolah-olah
sedang mentertawakannya.Dia mengesat air mata. Dia malu kepada
dirinya sendiri. Tiba-tiba dia rasa mungkir pada ikrarnya untuk tidak
menangisi nasib dirinya.
“Ya ALLAH, bahagiakan suamiku di sisi-MU. Ya ALLAH, selamatkan
anak-anakku bersama perlindungan-MU.Jangan
hukum mereka ya ALLAH. Sesungguhnya aku akan reda dengan semua dugaan-MU ini.”
Makyung Bedah mengaminkan sebuah doa yang tulus dari hati.