Eh, Mia ke tu? Siapa lelaki dan perempuan yang
bersamanya tu? Tetapi kenapa Mia bertudung dan berbaju kurung? Mesra betul
nampaknya mereka tu sehingga Mia tak nampak aku ada kat sini.
Bertubi-tubi
soalan itu memenuhi ruang fikiran Adrian yang tiba-tiba terpandangkan Mia
Karmila yang sedang berpegangan tangan dengan Rodhiah sambil Shahriman di
sebelah kirinya beriringan memasuki Restoran Kelantan Delight yang agak penuh
dengan pelanggan-pelanggan yang sedang sibuk menjamu selera tengah hari itu.
Adrian
yang sengaja mengajak tiga orang kawan-kawannya yang baru balik dari luar
negara makan tengah hari di restoran itu tergamam apabila terpandang Mia
Karmila yang jelas kelihatan begitu gembira, melintasi meja mereka Adrian tanpa
menyedari kehadirannya di situ.
Namun
apa yang benar-benar mengejutkan Adrian adalah cara penampilan Mia Karmila
ketika itu. Dia tidak pernah melihat Mia Karmila berpakaian sebegitu sebelum
ini. Ingin benar dia menemui Mia Karmila di mejanya kerana memang dia teramat
rindu pada gadis itu. Telah beberapa kali Adrian menelefon Mia Karmila untuk
mengajaknya keluar bersama tetapi Mia Karmila sentiasa menolak dengan berbagai
alasan.
Tetapi
apabila melihatkan perubahan penampilan Mia Karmila itu, Adrian segera terfikir
bahawa tidak mustahil juga Mia Karmila boleh berpura-pura tidak mengenalinya
ketika itu sekiranya dia benar-benar tidak mahu lagi bertemunya, maka Adrian
terpaksa mematikan sahaja niatnya untuk menemui Mia Karmila kerana takut akan
dimalukan Mia Karmila di hadapan kawan-kawannya.
Daripada
ekor mata, Adrian dapat melihat Mia Karmila amat seronok dan gembira ketika itu
apabila sentiasa tersenyum dan sekali-sekala tertawa riang seolah-olah ada
sesuatu yang amat melucukan sedang mereka perbualkan.
Tiba-tiba
terdetik rasa cemburu di hati Adrian melihat reaksi Mia Karmila yang amat
berbeza ketika berbual dengannya walaupun di telefon, kerana jelas Adrian dapat
merasakan kebosanan Mia Karmila berbanding dengan keadaan Mia Karmila yang
begitu riang ketika itu, lebih-lebih lagi apabila terlihat lelaki yang ada
bersama Mia Karmila itu sentiasa memberikan sepenuh perhatian terhadap gadis
itu.
“Hai
Andy, termenung jauh nampaknya. What’s up, bro?” tegur Jafril sambil menepuk
lembut bahu Adrian yang kelihatan hanya menguis-nguis makanan yang ada di
pinggannya.
“Oh,
err... tak adalah. Aku rasa macam dah kenyang sangat sampai dah tak boleh nak
masuk lagi makanan ni,” ujar Adrian terkejut, cuba menyorokkan apa yang
mengganggu fikirannya.
“Iya
ke? Aku tengok nasi kau sikit aje tadi, takkan itu pun dah kenyang? Atau kau
takut kalau kami pun turut makan banyak-banyak nanti teruk pulak kau nak bayar
makanan kami ni?” usik Jafril.
“Hei, come-on
lah. Jangan nak bikin gua malulah, bro. Setakat nak bayar makanan lu
orang ni, gua tak hairanlah. Kalau lu orang nak suruh gua beli kedai ni sekali
pun gua boleh beli tau,” balas Adrian segera menangkis anggapan Jafril dengan
nada nakal menggunakan bahasa rojak yang selalu mereka gunakan apabila bergurau
senda, seolah-olah sengaja mahu menunjukkan bahawa dia benar-benar seronok
dapat bersama kawan-kawannya ketika itu.
Adrian
cuba menceriakan suaranya dengan tertawa kecil agar kawan-kawannya tidak dapat mengesan
hatinya yang bergelora kerana terpandangkan Mia Karmila tadi.
“Gua
cayalah sama lu, bro.Siapa tak kenal lu, anak kesayangan Tan Sri
Affendy yang muda-muda dah jadi one of the richest bachelor in town,”
ujar Adam Hadi sambil turut tertawa terkekeh-kekeh di sebelah Adrian dan
menepuk-nepuk lembut bahu sahabatnya itu sebagai tanda menyetujui kehebatan
Adrian itu.
“Hei,
lu jangan perli gua hah. Siapa dia yang the richest bachelor in town?Kalau
gua dah jadi the richest bachelor in town, dah lama gua pergi pinang
Neelofa, pelakon yang cantik manis yang tengah topsekarang ni tau,”
balas Adrian terus dengan nada bergurau.
“Hei
Andy, betul apa yang Adam kata. Walaupun kita orang ni balik belajar dari luar
negera tetapi belum tentu lagi boleh senang dapat kerja. Tapi tengok lu, baru
setahun aje awal balik dari kita orang, tapi dah jadi Pengarah Urusan syarikat
yang terkemuka kat KL ni. Siapa tak caya kalau lu adalah the richest
bachelor in townsekarang?” sampuk Rashid yang diam sahaja sejak tadi
sambil turut tersenyum lebar.
“Hah,
sudah, sudah! Janganlah lu orang nak bodek-bodek gua. Lu pun Rashid, apa
kurangnya? Semua estate kelapa sawit kat Johor tu siapa punya, kalau bukan papa
lu punya. Jadi tak lama lagi lu pun akan jadi the richest bachelor in townbila
lu dah mula uruskan kilang minyak papa lu nanti. Lagipun lu semua bukan
koman-koman punya kelulusan, ada Master lagi. So, janganlah bodek-bodek
gua. Gua akan bayarlah semua makanan lu orang ni.”
Adrian
yang faham perangai kawan-kawannya yang suka bergurau itu terus tersenyum lebar
seolah-olah seronok sangat dapat usik-mengusik begitu.
“Thank
you, bro.Itulah untungnya dapat kawan anak orang kaya macam lu ni, bro.
Kenyang kita orang dapat lu belanja selalu,” ujar Jafril pula sambil menepuk
lembut bahu Adrian.
Adam
Hadi dan Rashid turut mengangguk-angguk sambil menunjukkan ibu jari.
“Alah,
sikit punya hal la itu,” balas Adrian sebelum menyedut straw minumannya
seolah-olah mahu membasahkan tekak yang agak kering.
Kelihatan
kawan-kawannya yang bertiga itu pun turut menyuap makanan dengan penuh selera.
“Hah,
malam nanti kau orang freetak? Kalau kau orang tak ada apa-apa program,
nak tak ikut gua pergi enjoy kat karaoke lounge?” Tiba-tiba kedengaran
Adrian bertanya apabila melihat kawan-kawannya senyap sahaja sambil
menghabiskan makanan yang masih bersisa di dalam pinggan masing-masing.
“Wow!
That sounds good. Macam mana Adam dan Rashid? Lu orang nak jointak
malam nanti? Gua no problem,” ujar Jafril sambil memandang ke arah
Rashid dan Adam Hadi yang sedang menghabiskan suapan mereka.
Adrian
yang turut cuba menghabiskan makanannya sempat menjeling ke arah meja di mana
Mia Karmila dan dua rakannya sedang rancak menikmati hidangan mereka. Hati
Adrian terus berdetik dengan seribu persoalan apabila melihat reaksi Mia
Karmila yang sentiasa riang bersama rakan-rakannya itu.
Bagaikan
ada malaikat yang memanggil, Mia Karmila tiba-tiba berpaling ke sebelah kanan
dan memandang ke arah meja di mana Adrian dan kawan-kawannya duduk. Mata Mia Karmila
bagaikan terpaku pada wajah Adrian yang kebetulan juga sedang berpaling
memandang ke arahnya. Mata mereka bertaut seketika. Jantung Mia Karmila
bagaikan berhenti berdenyut apabila anak mata Adrian bagaikan sedang memanah
tepat ke anak matanya.
Dia
segera berpaling kembali menghadap Shahriman dan Rodhiah yang duduk di
hadapannya dengan harapan Adrian tidak akan dapat mengenalinya dengan
keadaannya yang bertudung litup begitu. Mia Karmila terus menunduk sambil cuba
menghabiskan makanan yang masih bersisa di dalam mulut walaupun tiba-tiba
dirasanya bagaikan sudah tidak boleh menelan apa-apa lagi ketika itu.
Janganlah
dia datang ke meja aku ni, bisik hati Mia Karmila penuh mengharap kerana dia
tidak tahu macam mana mahu mengenalkan Shahriman dan Rodhiah kepada Adrian.
“Andy.”
Kedengaran Jafril menegur Adrian yang kelihatan bagaikan sedang tergamam.
“Oh
ya, ada apa bro?” soal Andy seolah-olah baru tersedar daripada lamunan
sambil berpaling kembali menghadap kawannya itu.
“Apa
yang lu tenung sampai tak berkelip tu?”
“Eh,
tak ada apa-apalah! Gua tengok Mamat tu terrorbetul boleh bawa dua awek
sekali. Awek pakai tudung pulak tu,” ujar Adrian kagum sambil memuncungkan
bibir ke arah meja di mana Mia Karmila sedang makan bersama Shahriman dan
Rodhiah.
Ketiga-tiga
lelaki itu segera memandang ke arah yang dimaksudkan Adrian. Ketika itu
kelihatan Shahriman sedang tersenyum lebar kerana geli hati mendengar cerita
Rodhiah yang agak mencuit hati.
Tanpa
disedari Shahriman dan Rodhiah, walaupun turut tersenyum lebar Mia Karmila yang
sedang cuba melarikan wajahnya daripada Adrian tadi kelihatan terus memalingkan
kepalanya ke arah Rodhiah dengan harapan Adrian dan kawan-kawannya tidak akan
dapat melihat wajahnya.
Oh
tidak, janganlah ada di antara mereka yang mengenali aku. Ya ALLAH, suruhlah
mereka semua cepat-cepat keluar dari restoran ni supaya Adrian takkan dapat
mengenali aku, doa Mia Karmila dalam hati.
Manakala Rashid yang sedang turut memandang ke arah meja Mia
Karmila sebagaimana yang ditunjukkan Adrian tadi, jadi agak tergamam apabila
tanpa diduga telah terpandang Rodhiah yang sedang tertawa riang di sebelah Mia
Karmila. Hati Rashid tiba-tiba bergetar tidak keruan dan terus tertanya-tanya
mengapakah Rodhiah berada di KL ini?