7
AK SENAH mengeluh perlahan.
Waktu maghrib sudah sepuluh minit berlalu. Dengan lambat, dia bangun. Dia
membetulkan pinggangnya. Tiba-tiba telefon di ruang tamu berdering. Dia
percepatkan langkah. Gagang diangkat dengan ucapan salam.
“Mak, anak jantan mak tu
ada balik ke?” Suara Shamira bergema keras di hujung talian.
Mak Senah tergamam. Sungguh
kasar budi bahasa menantunya itu. Tanpa salam sebagai basa-basi, tanpa bertanya
khabar, terus saja ke matlamatnya.
“Ada. Dia ke masjid.”
“Mak tengok sikit anak mak
tu!”
“Kenapa pula dengan dia
tu?” tanya Mak Senah, sedikit terkejut. Kata-kata Shamira amat meragukan
hatinya. Dia nampak Zulfikar biasa saja. Tidak ada yang berubah dari
minggu-minggu yang lepas.
“Saya rasa anak mak tu dah
tak betul,” kata Shamira.
“Hah? Tak betul macam mana?
Mak tengok dia biasa saja,” tingkah Mak Senah dengan cepat.
“Mak tak tahu. Sejak
akhir-akhir ni, dia macam orang kena rasuk. Dia dah bukan macam dia. Dah macam
orang lain. Cakapnya pun dah lain. Cakap saya langsung tak diendahkan lagi. Dia
suka-suka nak tengking dan nak marah saya!”
Mak Senah diam, menelan
butir kata Shamira dengan mata terkebil-kebil. Dia masih kurang jelas apa yang
ingin disampaikan oleh Shamira.
“Kalau boleh, mak jangan
benarkan dia ke pantai. Saya bimbang...”
Mak Senah masih diam.
“Mak? Mak dengar apa yang
saya cakap ni?!” Tiba-tiba Shamira melenting.
“Dengar...” Mak Senah
kurang senang. Anak-anaknya sendiri tidak pernah berkasar begitu.
“Mak jangan benarkan dia ke
pantai esok.”
“Kenapa pula?”
“Saya rasa dia tu dirasuk
hantu laut,” kata Shamira.
Mak Senah senyum. Dia
sebenarnya hampir tergelak. Orang berpelajaran tinggi dan berpangkat besar
seperti Shamira pun masih percayakan hantu?
Tidak lama kemudian Shamira
mematikan talian. Seperti biasa, datangnya tidak diundang perginya juga tidak
dihalau. Dia muncul tanpa salam, pergi juga tanpa pesan. Itulah Shamira. Bukan
sehari dua jadi menantunya, sudah lebih 20
tahun. Semua titik bengik perangai Shamira ada dalam fikirannya.
Dia menoleh ke arah jam di
dinding. “Hisy, dok fikir pasal dia, terlambat pula aku solat,” rungutnya
sendirian. Dia segera berlalu, menuju ke bilik air.
Malam itu, pukul 10.00 baru Zulfikar balik ke rumah.
“Kau ke mana, Zul? Mak
tunggu kau, nak makan sama,” kata Mak Senah.
“Eh, mak tak makan lagi
ke?”
“Mak tunggu kaulah. Kata
nak makan sama-sama?”
“Tadi turun dari masjid,
kami semua ke rumah Kak Nik Dah. Ada jemputan kenduri doa selamat.”
“Ada apa? Semalam mak jumpa
dia, tak ada dia cerita pun pasal kenduri,”
“Mungkin dia lupalah tu.”
“Kenduri untuk apa?”
“Anak dia, Amal Amalina
dapat surat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara,” jawab Zulfikar
sambil menyangkutkan kopiah pada paku di dinding.
Mak Senah mengangguk
perlahan. Dia tahu anak-anak Nik Dah pandai belaka. Benar kata orang, ke mana
tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Nik Dah dan suaminya sendiri tergolong
dalam barisan orang-orang yang bijak. Anak-anaknya mesti mengikut jejak mereka.
“Zul, tadi bini kau
telefon.” Matanya tidak lepas merenung Zulfikar. Dia mencari-cari kelainan yang
dikatakan oleh Shamira. Tidak nampak dan tidak terjumpa satu apa pun yang lain.
“Dia cakap apa, mak?”
“Dia suruh tengok-tengokkan
kau. Dia kata kau dah berubah. Dia suruh mak jangan benarkan kau ke pantai
lagi. Dia kata kau tersampuk hantu laut.” Mak Senah seperti sedang memberi
laporan.
“Hah?” Zulfikar terkejut.
Mak Senah meneliti lagi
wajah kaget Zulfikar. “Kau bergaduh dengan dia ke?”
Diam. Zulfikar tiba-tiba
tunduk, tersenyum-senyum.
Mak Senah semakin keliru
dengan senyuman Zulfikar itu. “Lain macam saja bunyi cakap dia tu. Dia kata kau
dah berubah. Kau dah tak dengar apa yang dia cakap lagi. Apa dah berlaku ni?”
Dia terus mencari kepastian. Dia tidak mahu berkelok kata. Sejak tadi hatinya
risau dan celaru dengan apa yang didengarnya daripada Shamira.
“Zul?” Mak Senah menyergah
Zulfikar.
“Tak ada apa berlakulah,
mak. Biasalah rumah tangga. Kata Allahyarham P. Ramlee, sedangkan lidah lagi
tergigit,” Zulfikar menjawab sambil meniru gaya nyanyian Allahyarham P. Ramlee.
Mak Senah rasa kelakar. Dia
tersenyum nipis. “Ni mak nak tanya. Kereta siapa yang kau bawa tu? Kau dah beli
kereta baru ke?” Sejak petang memang dia ingin bertanya, tapi melihat Zulfikar
kelam-kabut untuk ke masjid, dia pendamkan semuanya.
“Kereta kawan, mak. Saya
pinjam.”
“Kereta kau mana?”
“Mana saya ada kereta?
Kereta Perodua Kancil dulu tu, kan dah lama saya jual?”
“Maksud mak, kereta yang
kau naik selama ini tu?”
“Itu kereta Mira. Tak bayar
ansuran, mak. Kena tarik dengan tuan dia.” Zulfikar berseloroh.
Mak Senah diam. Seloroh
Zulfikar langsung tidak lucu dan mencuit hatinya. Sebaliknya dia diburu
kekeliruan yang berjela.
“Mak, jangan nak peningkan
kepala mak fikirkan hal saya ni. Anak mak ni bukan orang berpangkat. Saya hanya
pegawai rendah. Saya tak mampu nak pakai kereta besar-besar. Saya dah sedar
diri saya, mak.”
Hati Mak Senah tersentuh
hiba. Dia tahu kedudukan Zulfikar dan Shamira seperti enggang dengan pipit.
Shamira ada rupa dan ada harta. Dia ada pangkat dan kedudukan. Zulfikar?
“Mira tak bagi kau naik
kereta dia lagi?” Mak Senah mencari kata pasti.
“Bukan dia tak bagi, saya
yang tak nak. Saya dah penat, mak,”
keluh Zulfikar.
“Penat kenapa?” Mak Senah
semakin bingung.
“Dah lama sangat saya hidup
dalam umpat keji dia. Dia memberi, kemudian dia mengungkit. Kadang-kadang depan
anak-anak pun dia ungkit semua pemberian dia pada saya. Saya ni bukan budak
kecil. Saya dah tua. Saya dah bosan hidup dalam keadaan ni,” jawab Zulfikar
perlahan.
Mak Senah semakin pilu.
Nulari seorang ibu semakin tersentuh.
“Jadi, kau nak melawan dia?
Kau nak bantah semua perintah dia? Kau dah tak takut lagi?” tanyanya, sedikit
terkejut. Kalau boleh dikatakan teruja, memang dia benar-benar teruja.
Benar-benar dia tidak sangka akan mendengar semua perkataan itu daripada mulut
Zulfikar.
Zulfikar tidak segera
menjawab. Sebaliknya dia merenung wajah ibunya. Lama.
“Kenapa pula kau tengok mak
macam tu?”
“Jadi, selama ini mak pun
ingat saya ni takut bini?”
Mak Senah diam. Dia hilang
kata-kata untuk menjawab. Dia bimbang Zulfikar akan terasa hati. Sebenarnya
selama ini bukan hanya dia yang anggap begitu. Semua keluarga dan kenalan pun
berfikir hal yang sama. Masing-masing menyimpan simpati dan geram.
“Saya tahu, orang semua
ingat saya macam tu, kan?”
“Zul, kami melihat dari
luaran. Selama ini kami nampak kau lemah sangat. Kau jadikan diri kau bola yang
boleh Shamira tendang ke sana dan ke sini. Kau biarkan diri kau diherdik,
ditengking dan diarah macam kuli. Kami melihat semuanya, Zul. Mak ni sedih sangat
tengok anak yang mak kandung dan lahirkan dengan susah payah diperlakukan
begitu. Mak menangis, Zul.” Mak Senah terhenti kata. Dia cuba menahan
tangisnya. Namun, dia tidak berdaya. Air mata seorang ibu menitik juga.
Zulfikar terharu. Dia ikut
sebak melihat Mak Senah menangis. “Mak, sudahlah. Sebenarnya saya tak macam tu.
Saya cuma tak nak bergaduh demi anak-anak. Mak tahulah kalau saya berkasar,
Shamira akan ikut kasar. Pengakhirannya, tentu anak-anak yang jadi mangsa. Tapi
sekarang, Atikah dan Afiq dah dewasa. Mereka dah pandai menilai. Tak lama lagi
mereka akan tamat belajar dan bekerja. Saya tak perlu nak fikirkan hal mereka
lagi. Masa ini saya kena fikirkan hal saya, perasaan saya,” ujarnya dengan
tenang, tapi bersungguh.
“Alhamdulillah... mak bersyukur
kerana Allahberikan kau
kekuatan,” ucap Mak Senah di celah esakannya.
Zulfikar tenang. Memang dia
rasa seperti ada kekuatan baru untuk bangun membina hidup baru.
“Tapi, janganlah sampai kau
bercerai-berai, Zul. Kesian dengan Atikah dan Afiq.”
“Taklah sampai ke situ,
mak. Saya cuma nak sedarkan dia. Saya nak dia tahu saya juga seorang insan yang
ada perasaan. Saya juga lelaki yang masih ada harga diri,” kata Zulfikar.
Mak Senah terangguk-angguk.
Hajat untuk ke klinik malam itu tertunda. Hari sudah jauh malam. Tentu klinik
pun sudah tutup.
“Esok sajalah kita ke
klinik,” kata Mak Senah ketika Zulfikar mengajaknya. Dia bangun dan berjalan ke
dapur. Perutnya mula rasa pedih. Dia menahan lapar sejak tadi kerana ingin
makan bersama Zulfikar.