Home Novel Keluarga APA DOSANYA?
APA DOSANYA?
Asmah Hashim
2/12/2018 15:04:43
47,981
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 8

Ikan bilis keras  segengam direndam seketika,bawang besar dipotong dua, bawang putih dua ulas dibuang kulit dan dimasukkan dalam batu lesung. Ditumbuk sekali. Dapur gas dua tungku sudah dihidupkan apinya.  Kuali bersaiz 12 inci sudah diletakkan atas dapur.  Minyak masak dituang dua sudu ke dalam kuali.  Para kayu yang dibina oleh arwah ayah untuk meletak dapur masih tegap berdiri.

            Tangannya laju mengacau bahan tadi yang sudah pun berenang dalam kuali, dibiarkan masak sehingga garing.  Kemudian, Adira memasukkan nasi sejuk semalam.  Digaul sehingga rata, dimasukkan kicap manis dan serbuk perasa.  Dikacau dan dibiarkan masak serata.  Nafasnya dilepaskan perlahan-lahan.  Satu jag air teh o panas sudah dibancuh awal tadi.  Cukuplah untuk alas perut hari ini.  Hari esok, biarlah Allah tentukan rezekinya apa.    Adira segera menghidang nasi goreng dan teh o panas di atas meja makan kayu juga hasil kerja tangan arwah ayah.

            Cahaya matahari masih sega nmemancarkan cahayanya, kesuraman wajah langit seperti menanti titisan air hujan menerja turun membasahi bumi tercinta ini.  Adira mengeluh, terpaksalah sidai baju adik-adiknya di bawah rumah nanti.   Dia kemudian menuju ke bilik adik-adiknya.  Mereka masih diulit mimpi.Apatah lagi hari tidak bersekolah, Ali akan terlajak tidur sehingga hampir pukul10.30 pagi.  Jenuh mengejutkannya.

            Adira mendekati Ain yang merekut tidur di atas katil besi yang sudah uzur itu. Dia mencium pipi Ain berkali-kali. Kasih sayangnya tidak pernah berbelah bahagi terhadap adiknya itu.  Adira duduk di sebelah Ain.

            “Kakak janji, akan jaga Ain.  Kak Dira akan hantar Ain ke sekolah. Kak Diranak tengok Ain berjaya dalam hidup.  Tentuseronokkan, kalau Ain boleh berjalan,” kata Adira sambil mengusap kaki adiknya yang kecil dan sedikit bengkok itu.  Hiba datang tiba-tiba, suram wajahnya seperti suramnya langit  pagi itu.

            “Kakak,”  sapa Ain yang membuka mata perlahan-lahan.

            Adira segera menolak dengan kasar air mata yang mula hendak menuruni pipinya. Dia melebarkan  bibir, melakar senyuman paling manis buat adik tersayangnya itu.  Digomol badan kecil itu sepuas-puashatinya.  Terdengar suara Ain ketawa.  Bergema suara gelak ketawa kedua beradik itu dalam bilik tersebut.

            “Kak! Apa bising-bising ni?  Ali nak tidurlah!” runggut Ali yang muncul dihadapan pintu bilik dengan wajah sembab dan mulut berbaki air liur basi yang sudah kering.

            “Hish Ali ni! Air liur basi pun ada,pergi mandi!” suruh Adira, geli pula tengok air liur basi di tebing bibir adik keduanya itu.

            Ali mencebik dan berlalu meninggalkan kedua adik-beradiknya itu.

            Adira tersenyum.  Dia mendukung Ain dan membawanya keluar.  Kain tuala yang tersangkut di tepi pintu bilik diambil. 

            “Ain lapar tak?”  tanya Adira, dia mendukung Ain mendekati meja makan. Adiknya diletakkan di atas kerusi kayu.

            “Nasi goreng  hitam tak pedas kegemaran Ain,” kata Ain.

            “Nak makan!” kata Ain sepatah-sepatah.  Dia sudah mula boleh bercakap. 

            Adira berasa lega dengan perkembangan adiknya itu.

            “Kita mandi dulu ya?  Busuklah Ain, gigi pun belum gosok.  Lepas itu baru kita makan,” ujar  Adira dengan wajah ceria.  Sengaja menceriakan hati, sedangkan dalam hatinya ribut melanda. Ombak tsunami menghempas hatinya.  Kalaulah hatinya berada di luar tubuh, sudah pasti kelihatan titisan  air mata yangmengalir laju.  Wajah Ain yang ceria sudah cukup menenangkan hatinya. 

            Ain mengangguk laju.

            “Kak, ibu tak balik lagi?” tanya Alisebaik sahaja keluar dari bilik air.

            Adira memandang wajah Ali. Dia menggeleng.

            Ali mengeluh dan terus berlalu meninggalkan Adira dan Ain.

            Adira mendukung Ain turun ke bilik air.  Dia mandi bersama adiknya itu.  Setelah siap berpakaian, mereka terus menghadap sarapan pagi bertiga.

            Ali menguis-nguis nasi dalam pinggan menggunakan jari telunjuk.  Biarpun nasi goreng itu sedap, tapi seleranya mati. 

            Adira pula seronok menyuap Ain yang berselera menjamah nasi goreng.

            “Kenapa tak makan?”tanya Adira sambil tangannya laju menyuap Ain yang menggangah sahaja mulutnya.

            “Ali nak ibu!” luah Ali. Air matanya mula mengalir laju.

            Adira terkedu seketika. 

            Ain memandang wajah  Ali tidak berkedip. 

            “Janganlah menangis Ali, nanti akak menangis samalah!” Adira mengeluh.

            “Kenapa ibu tinggalkan kita!  Ibu tak sayangkan kita ke kak?”  Ali menyandarkan tubuhnya ke kerusi.  Tangisannya bergema.

            “Ali! Diamlah!” suruh Adira, sudah mula gelisah.

            Ain berhenti mengunyah.  Dia terkebil-kebil memandang abang dan kakaknya.

            “Jom kak, kita cari ibu!” ajak Ali.

            “Nak cari di mana? Manalah akak tahu ibu pergi mana?”  Adira mendengus kasar.

            “Ibu! Baliklah!” laung Ali. 

            Adira meletak pinggan  yang berisi nasi goreng di atas meja.  Diamengeluh berat.   Tubir matanya mula berair. Apa yang harus dilakukan?  Mana ibu?  Kenapa ibu pergi meninggalkan mereka tiga beradik? Takkan ibu sekejam itu? 

            “Ali, nanti kita ke rumah tok ketua ya? Kita minta tolong tok ketua carikan ibu,” janji Adira.  Buntu otaknyaberfikir.  Apalah yang dia tahu?

            “Kita nak hidup macam mana?” soalAli. Biarpun kelmarin mereka sudah berbincang, tetapi Ali tidak yakin mereka boleh meneruskan hidup tanpa orang dewasa.

            “Kan kita dah bincang  kelmarin? Akak akan jaga kau orang berdua!” 

            “Nak jaga macam mana kak? Akak nak jual nasi lemak? Siapa nak beli? Orang kampung tak suka kita!  Ibu pernah buat nasi lemak letak di gerai Pak Kudin. Akak tahu apa jadi?  Isteri Pak Kudin buang semua nasi lemak itu ke dalam sungai dekat gerai dia! Ini, akak pula nak buat? Nak letak mana?  Jual sendiri? Siapa nak beli?”  bebel Ali, air matanyamengalir laju.  Dadanya berombak.

            “Ali! Kita kena yakin dengan Allah dik.  Rezeki itu daripada Allah!  Takkanlah Allah nak biar kita berlapar kot?”  Adira mula menangis.

            “Ali takut kak! Takut sangat!  Kalaulah orang kampung halau kita, mana kita nak pergi?” 

            “Takkan kot!”  Adira menafikan.  Dia tahu orang kampung tidak suka dengan mereka sekeluarga, tapi tak pula mereka menghalau mereka sekeluarga keluar dari kampung, itu sebab  mereka terpaksa duduk jauh daripada penduduk kampung yang lain.  Nasib baik ada tanah dan rumah tinggalan arwah ayah ini.  Kalau tidak sudah pasti mereka merempat di tepi jalan.

            “Kenapa ibu tergamak tinggalkan kita kak?   Apa salah kita pada ibu,”  Ali mengesat air matanya yang basah dipipi.  Nasi goreng dalam pinggan langsung tidak disentuh.

            “Kita berdoa ya dik, semoga ibu segera pulang,”  pujuk Adira.

            Ain hanya memerhati kedua abang dan kakaknya bercakap dan menangis.

            “Kak, kita minta tolong Mak Cik Liah cari ibu, nak?” cadang Ali. Matanya masih tidak lepas dari memandang Adira.

            “Nantilah kakak tanyakan Mak CikLiah ya,”  janji Adira.

            Ali mula mengendur, tangisannya sudah semakin menghilang.

            “Ali, makanlah… nanti lapar pula?”  suruh Adira.

            “Ali tak berasa lapar kak,”  Ali berjalan ke ruang tamu.  Dia membuka pintu rumah dan duduk di tangga.

            Adira mengeluh.  Mahukah sahabat baik ibunya membantu? Sejak dia mencari Mak Cik Liah  untuk cari ibu,wanita itu tidak datang lagi ke rumah ini. Apakah  sahabat itu masih sudi membantu mereka? Adira mengeluh keras.  Berserabut kepalanya.  Kalau boleh dia menjerit,  dia menjerit sekuat hati, biar satu dunia tahu apa yang dia rasakan. Dia hanya  menunjuk kuat di hadapan adik-adiknya,  hakikatnya dia tidak begitu kuat semangat.  Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan untuk membesarkan adik-adiknya.  Ain yang kekenyangan duduk tenang di kerusi kayu itu.  Ali termenung jauh di tangga. Dia?  Melayan perasaan serabutnya itu. 

 

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.