Home Novel Keluarga APA DOSANYA?
APA DOSANYA?
Asmah Hashim
2/12/2018 15:04:43
58,078
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 10

Roslan mendengus kasar. Dia duduk bersandar di sofa. Kehadiran Liah tengahari tadi di pejabat ketua kampung membuatkan hatinya tidak keruan.  Dia sudah sedaya upaya membantu Maria dan anak-anaknya sejak arwah suami wanita itu meninggal dunia dengan bekerja di rumahnya selepas habis menoreh getah.  Sudah dua minggu Maria tidak datang bekerja,tidak pula diketahui sebabnya.  Dia pula tidak bertanya kepada isterinya. Dia ingatkan Maria tidak sihat, kerana wanita itu sering kelihatan pucat dan jatuh sakit.  Biarpun bekerja dengannya, dia jarang bersembang dengan Maria, segala urusan dengan wanita itu diuruskan oleh isterinya.

            Dia baharu sahaja selesai bermesyuarat dengan orang bawahannya. Sebagai ketua kampung dia bertanggungjawab mengambil tahu masalah penduduk kampungnya itu. Aduan yang diterima tentang Maria yang sudah melarikan diri benar-benar memeranjatkannya.  Kenapa isterinya tidak memberitahunya? 

            “Baru balik?  Macam letih saja? Banyak isu sangat kes ewaktu mesyuarat tadi?” tanya Zarifah, isterinya. 

            Roslan memandang wajah isterinya yang sudah berumur lewat 40-an itu. Masih segak bergaya dan cantik manis orangnya biarpun sudah beranak-pinak.

            “Awak tak beritahu saya pun Maria tidak datang bekerja?”  Roslan meminta jawapan daripada Zarifah. Wajah isterinya dipandang lama.

            Zarifah mengeluh. Dia duduk di sebelah suaminya.

            “Saya ingatkan dia demam saja.Mungkin sehari dua saja, dah sihat pastilah dia datang balik.  Rupanya, dah hampir dua minggu tak datang.  Saya dah ambil orang lain bantu saya,” kata Zarifah.  Dia pun sebenarny akurang suka dengan Maria yang tidak ceria, murung dan tidak bermaya itu.  Buat kerja rumah pun tidak kemas dan bersih.  Kadang-kadang dia tegur juga sikap sambil lewa Maria.  Wajah garang Maria kadangkala buat dia berasa takut.  Kemurungan wanita itu semakin ketara. 

            “Dia larikan diri, dan tinggalkan anak-anaknya,”  ujar Roslan.

            “Lari?  Kenapa pula?” Zarifah terkejut.

            “Entahlah, tak siapa tahu.  Agaknya kecewa dengan orang kampung.”  Roslan mengeluh kesal.  Sudah puas dia menasihati orang kampung aga rtidak membenci Maria dan keluarganya. Terutama anak-anak Maria yang sudah pasti adalah anak-anak yatim yang perlu dijaga oleh orang kampung bukan menyisihkan mereka.  Sejak Maria mengandungkan anak  bongsunya itu, orang kampung terus menuduh dia dengan berbagai gelaran.    Masih terngiang-ngiang suara dan tangisan Maria menafikan dia melacurkan diri sehingga mengandungkan Ain.

            “Saya tak buat kerja terkutuk itu  Bang Roslan!  Saya dianiaya! Saya dirogol!” kata Maria beria-ia mempertahankan diri.

            “Dia bohong tu Roslan! Orang dah lama kontang! Apa lagi, sekali ada yang datang merayu, terus menyerah!” tuduh seseorang.

            “Tak! Saya tak buat kerja terkutuk tu!” kata Maria menafikan lagi.

            “Siapa lelaki yang rogol kau tu!Cepat beritahu!” arah salah seorang penduduk yang lain pula.

            Orang kampung mengelilingi Maria yang terduduk di lantai hadapan rumah Roslan. Tangisannya bergema di ruang itu. Orang kampung mengheretnya datang ke rumah ketua kampung sejak perutnya kelihatan membuyut.  Dia tidak mampu menyembunyikan perutnya yang semakin membesar itu daripada pandangan penduduk kampung.  Dia sudah cuba menyembunyikannya dengan  memakai pakaian yang berlapis dan besar. 

            “Maria, aku nak kau dan anak-anakkau keluar dari rumah sewa aku! Aku tak nak bersubahat dengan kau buat kerja maksiat!” marah Mak Temah, pemilik rumah tempat Maria menyewa sejak ada arwah suaminya ada lagi.

            “Kak Temah, janganlah macam ni! Mana kami nak pergi?” rayu Maria. Dia memegang kaki orang tua itu erat.

            “Lepaslah! Jijik aku dengan perempuan hina macam kau! Kalau dah gatal sangat nak berlaki, bagitahu sajalah!Ini tidak, berani kau menyundal ya?” tempelak Mak Temah. Hatinya benar-benar kecewa. 

            “Kak Temah, jangan hina saya!  Bukan salah saya!” rayu Maria. Air matanya mengalir laju.  Dadanya sebak, matanya liar memerhati, ketakutan.

            “Sudah tu! Sudah! Mungkin betul cakap Maria, dia tak buat semua itu. Dia mungkin dianiaya!” sampuk Zarifah,sedih pula dia melihat keadaan Maria yang tidak punya sesiapa di kampung itu.  Suami Maria adalah penduduk asal kampung tersebut.  Selepas anak du amereka pindah kembali ke kampung itu.  Tidakl ama berpindah, suami Maria meninggal dunia kerana serangan jantung.

            “Kau jangan percaya dengan dia Ifah!Dia mungkin tipu kau juga!” kata Mak Temah dengan wajah garangnya.  Dialah yang mula-mula tahu Maria mengandung sewaktu menziarahi wanita itu di rumah sewanya. Sudah berbulan rumah sewanya tidak dibayar. Dia bukan kisah sangat tentang rumah sewanya itu.  Dia ingin membantu wanita itu, tapi apa yang berlaku benar-benar mengecewakannya.

            “Kak Temah, saya tak buat!” jerit Maria kuat. Dia menumbuk-numbuk lantai bertal itu dengan kuat sehingga berdarah. 

            “Maria! Sudah! Jangan buat macam tu!”  Zarifah menarik tangan Maria.

            “Yang lain boleh balik! Biar sayaselesaikan masalah ini,”  kata Roslan,dia sendiri tidak tahu apa yang harus dia lakukan.  Siapalah yang telah memperkosa balu itu?  Dia menggeleng kesal.

            Maria menangis dalam pelukan Zarifah.    Orang kampung beransur-ansur pergi.  Sejak itu Maria terkapai-kapai seorang diri.  Nasib baik dia membantu Maria dengan membenarkan wanita itu bekerja membantu isterinya di rumah ini.  Kebun getah tempat Maria menoreh adalah miliknya juga. 

            “Mana saya nak pergi Kak Ifah?  Bang Roslan!” tangis Maria.

            “Saya tak suka anak ini! Ini bukan anak saya!” Maria menumbuk-numbuk rahimnya yang sudah membesar itu.

            “Maria! Jangan buat macam ni!”  Zarifah menahan tangan Maria daripada terus menumbuk dan menekan rahimnya itu.

            “Kak Ifah, percayalah.  Lelaki sial tu jahanamkan saya sebab saya tak nak berkahwin dengan dia! Dia suami orang kak! Saya tak semurah itu!” tangisMaria.

            “Siapa lelaki itu Maria?”  soal Zarifah ingin tahu.

            “Kalau saya bagitahu takkan ada siapa pun percaya!”  semakin kuat tangisan Maria.

            Roslan mengeluh perlahan.  Selepas kejadian itu, Maria anak beranak berpindah ke hujung kampung, tanah yang dibeli oleh arwah suaminya menjadi tempat tinggal dia dan anak-anaknya. Hidupnya sekeluarga terus jadi bahan umpatan sehinggalah Ain dilahirkan.  Tiada siapa yang membantu Maria, hanya dia dan isterinya sahaja yang membantu Maria dan anak-anak yatim itu.

            “Anak-anak dia macam mana bang?”Zarifah mengeluh kesal.

            “Ada di rumah mereka.  Dia tinggalkan mereka macam itu saja,” cerita Roslan.  Kisah lalu berlalu bersama angin daripada kipas siling yang berpusing laju.

            “Ada orang kampung yang datang membantu budak-budak tu ke? Apalah agaknya yang mereka makan?”  Zarifah simpati.

            “Tak ada.  Harun pun tak nak bantu,”  ujar Roslan.

            “Jomlah kita tengok budak-budak tu, bang.  Kasihan mereka!  Kenapa mereka tak datang ke mari?”  Zarifah kesal dengan apa yang berlaku.

            “Yalah, esok pagi nanti kita pergi.  Bawa sedikit bahan kering. Entah makan, entah tidak budak-budak tu. Kenapalah cetek sangat fikiran Maria? Tak fikir langsung masalah anak-anaknya. Kalaulah mati kebulur budak-budak tu macam mana?” leter Roslan. 

            “Dia terlalu tertekan tu bang.  Ain itukan semakin membesar. Surat beranakpun budak tu tak ada,   anak-anak yang lain turut menjadi mangsa.  Sekola hbudak-budak itu entah macam manalah? Jangan,jangan mereka tak pergi sekolah?” Zarifah mengeluh berat.  Wajah Maria yang pucat lesi terbayang di ruang matanya.  Geram pula hatinya.  Ada masalah tidak mahu bertanya dan meminta tolong.  Sudah tidak boleh selesaikan terus larikan diri.  Kejam sungguh! Yang menjadi mangsa budak-budak yang tidak berdosa itu!  Maria, Maria!

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.