Home Novel Keluarga APA DOSANYA?
APA DOSANYA?
Asmah Hashim
2/12/2018 15:04:43
58,083
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 11

Bubur nasi dihidangka nbersama pucuk ubi rebus dicicah dengan sambal belacan terhidang di ruang tamu rumah papan usang itu.  Ali, Ain duduk bersila.  Adira menyenduk bubur nasi masuk ke dalam mangkuk plastik kecil itu.  Itulah sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam mereka tiga beradik. 

            “Mem, hari ini kita makan apa?” tanya Ali berlagak seperti orang kaya, dia mengayakan duduknya silang pangku, sebelah tangannya memegang dagu, sebelah lagi memeluk tubuhnya.

            “Erk…  Bubur nasi bersayur pucuk ubi, bersambalkan sambal belacan, tuan,”  kata Adira, sama-sama bermain.

            “Oh! Sedapnya!  Apalagi kita tunggu, jemputlah makan,” Ali mendepakan kedua belah tangannya.  Pecah gelaknya.

            “Enaknya mem! Pandai mem masak, bubur kosong berasa seperti makan bubur ayam,”  puji Ali dengan senyuman melebar di bibirnya.

            Adira turut ketawa, tetapi dalam hatinya terluka berdarah.  Melihat Ali dan Ain menjamah makanan yang terhidang dengan penuh selera membuatkan tangisan di hati semakin lebat. Itu sahaja yang mampu diberi kepada adik-adiknya.  Mereka harus berjimat-cermat beras  yang ada. Seminggu sekali, boleh makan telur goreng sudah besar rahmat buat mereka.

            “Mem tak makan ke? Dah jemu?” tanya Ali menghabiskan mangkuk kedua.

            “Takkan jemu makan begini, tuan!” kata Adira, senyuman dimaniskan. Semakin lebat hujan di hatinya.

            Ain sudah pandai suap sendiri.  Semangkuk penuh, habis dijamahnya.  Hanya bubur kosong yang tak punya bahan lain,hanya ada rasa garam.  Berselera Ain menjamahnya.  Gugur air mata Adira, dia cepat-cepat menyeka dengan hujung jari. 

            Sebaik sahaja Adira menghabiskan mangkuk pertamanya,terdengar orang memberi salam.  Adira segera bangun mendekati pintu terbuka luas itu.

            “Mak cik, pak cik!” sapa  Adira sebaik sahaja melihat Roslan dan Zarifah yang mendaki anak tangga rumah usang itu.

            “Adira!” sapa Zarifah. Dia mendaki tangga dengan berhati-hati, tangga itu seperti telah hampir reput.

            Roslan sudah pun berada di dalam rumah. Dia memandang ke lantai, beberapa mangkuk kosong, sepiring pucuk ubi rebus yang tinggal sedikit,dan sambal belacan yang berbaki sesudu lagi. Dia memandang Ali yang berdiri di hadapannya menghulurkan tangan bersalaman dengannya.

            Zarifah terus duduk sebaik sahaja berada di dalam rumah itu.  Begitu juga Adira dan Ali.  Mereka memandang antara satu sama lain.  Roslan duduk di sebelah Zarifah.

            Tiga beradik itu tertunduk malu apabila menerima kehadiran Roslan dan Zarifah. Ain menyorok dalam bilik, dia mengesut masuk ke dalam bilik. Ali duduk di sebelah Adira, tidak mengutik.   Biarpun ibunya tidak ada,Adira memastikan rumahnya itu sentiasa bersih luar dan dalam.  Lagipun, dia tidak berbuat apa-apa.  Sekolah tidak pergi, begitu juga Ali.  Puas disuruh Ali pergi ke sekolah, tapi adiknya menolak.  Dia sendiri tidak boleh ke sekolah kerana terpaksa menjaga Ain.

            “Kenapa tak datang jumpa mak cik selepas ibu kau orang melarikan diri?” tanya Zarifah.  Hembusan nafasnya deras, degupan jantungnya laju. Dadanya terasa sesak menahan gelora sedih yang menggila di hati.  Anak-anak yatim itu hanya makan bubur nasi kosong sewaktu mereka sampai tadi.  Masih ada lagi baki bubur di dalam mangkuk plastik di hadapannya itu.

            “Kami tak nak susahkan sesiapa makcik,” ujar Adira.  Pergi ke kedai hantar sayur pucuk ubi pun dia menerima sindiran beberapa orang kampung.  Malah sayur pucuk ubi yang dijual kepada pemilik kedai runcit itu langsung tidak disentuh, layu begitu saja.  Hatinya benar-benar dicucuk duka.   Beras yang ada, diusahakan berjimat-cermat.  Duit di tangan pun sudah tiada.  Sudah beberapa hari,eletrik dipotong oleh pihak TNB. Manalah mampu dia hendak membayarnya.  Sayur pucuk ubi rebus menjadi lauk tambahan buat mereka adik-beradik asalkan kenyang. Sesekali dia merebus ubi kayu, kalau sudah jemu makan bubur bersama garam itu. Itupun, Ali dan Ain makan penuh selera. Ain langsung tidak komplen.  Ali juga begitu.

            “Ali, pergi ambil barang dapur dalam kereta,” suruh Roslan.

            Ali memandang Adira, setelahkakaknya mengangguk tanda setuju, baharulah dia turun ke kereta.

            “Makan ini saja?” tanya Zarifah.

            Adira menunduk.  Ain sesekali menjengahkan kepala. 

            “Ini saja rezeki kami mak cik.  Alhamdulillah, kami tak kebuluran,”ucap Adira.  Dia menahan rasa dan hiba.  Dia menarik nafas berkali-kali.  Tidak mahu lagi menangis.  Tiada guna dia membazirkan air mata menangisinasib diri dan adik-adiknya.

            Roslan mengambil bil eletrik yang berwarna merah jambu  yang terselit di dinding rumah papan itu.  Dia mengeluh.

            “Letrik kena potong?” tanya Roslan.

            Adira menunduk lagi. Kalau dia bersuara, tangisannya akan pecah.

            Zarifah mengesat air matanya yang mengalir perlahan di pipinya. Ketiga-tiga anak yatim yang berpakaian lusuh dan hanya menjamah bubur itu tidak sanggup dipandang lagi. 

            Ali pula berkali-kali turun naik membawa barang-barang dapur yang dibeli oleh Roslan dan Zarifah. Diletakkannyadi hadapan kedua pasangan suami isteri itu. 

            Adira melihat setiap barangan yang ada.  Semakin sempit dadanya, semakin sebak hatinya.  Ada telur, sardin tin,biskut, beehon, coklat, gula dan teh, minyak masak dan dua beg beras 20 kilo.Banyak lagi barang dibeli oleh pasangan tersebut. 

            “Ini barang dapur mak cik dan pakcik belikan untuk Dira dan adik-adik, sudah habis, bagitahu segera.  Nanti mak cik beli lagi.  Esok, mak cik suruh orang hantar peti sejuk,Dira boleh simpan ikan dan ayam,”kata Zarifah. Dia cuba menahan agar tidakmenangis.

            “Jangan susah-susah mak cik, kami boleh jaga diri,”  luah Adira. 

            “Dira, pak cikkan ketua kampung ini.  Dira tu tanggungungjawab kami.Jangan menolak pemberian kami ya,” nasihat Roslan.

            “Ya Dira.  Kalau boleh, Ali pergi sekolah ya?  Dira pun, Ain boleh hantar ke rumah mak cik,biar mak cik yang jaga,”  cadang Zarifah.

            “Tak apalah mak cik.  Biar Ain, Dira yang  jaga. Dira tak nak sekolah.  Ali saja yang bersekolah,” ujar Adira.  Dia sudah buat keputusan.  Dia takkan ke sekolah.  Dia tidak mahu menyusahkan orang lain menjagaAin yang cacat itu. Biarpun Ain tidak lasak, tetapi keadaan fizikalnya akanmenyusahkan orang lain yang tidak biasa menjaga Ain.

            “Dira, kenapa tak nak sekolah?Inikan masa depan Dira juga?” Zarifah mengerutkan dahi.
            “Dira tak sempat pun ambil PT3, sekolah pun dah nak cuti panjang. Tak apalah mak cik.  Dira dah redha,”  ucap Adira dengan hati yang hampa.

            “Baik, nanti kita fikirkan semula bagaimana  Dira nak sambung belajar balik.  Tapi, Ali wajib pergi sekolahya?”  suruh Roslan.

            “Terima kasih ya mak cik, pak cik belikan kami barang-barang ni,”  ucap Adira bersungguh-sungguh.  Suara  hiba, sayu kedengaran di telinga pasangan suami isteri itu.

            “Ada masalah, jangan malu-malu datang jumpa mak cik dan pak cik ya. Ibukan bekerja di rumah mak cik. Mak cik tak tahu ibu kau orang tak ada.  Mak cik ingatkan ibu tak sihat seperti selalu, itu sebab mak cik tak datang bertanya, rupanya…”  Zarifah terhenti kata-kata.

            Hampir setengah jam Zarifah dan Roslan berada di rumah itu.  Setelah mereka pulang, Ali membawa barang-barang itu ke dapur dan menyusunnya kemas-kemas di tepi rak kayu.  Terpancar kegembiraan di wajah polos itu.

            “Banyak barang ni kak! Tengahari ini bolehlah makan bubur dengan telur dadar. Ada bawang, ikan bilis dan cili kering. Nanti, akak masak sambal ikan bilis ya? Lama tak makan,” luah Ali.  Ali mengambil sekeping coklat dan biskut dibawa ke ruang tamu. Diletakkan di atas lantai yang bertikarkan mengkuang.

            Ain mendekati, gembira dia melihat sepapan coklat kegemarannya itu. 

            Adira mengesat air mata yang mengalir di pipinya.  Melihat waja hgembira adik-adiknya menerima kehadiran makanan kegemaran mereka  itu buat dirinya hiba.  Sudah tentulah mereka tidak suka makan bubu ryang hanya berisikan garam itu.  Apa boleh buat, itulah rezeki yang mereka ada. Nasib mereka lebih baik dibandingkan dengan orang yang lebih susah daripada mereka. Sekurang-kurangnya mereka ada tempat berteduh, boleh tidur dengan selesa dan perut berisi juga.

            Ain dan Ali terus menjamah bisku tdan coklat yang ada dengan penuh berselera. Adira tidak mampu berkata apa-apa selain ucapan syukur yang tidak terhingga ke hadrat Ilahi. Air mata mengalir laju ke pipi, diseka dengan hujung jari.  Senyuman  gembira terukir dalam masa yang sama hatinya hiba.  Ibu! Pulanglah, bisik hati kecilAdira.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.