USTAZAH Habsah menanti dengan sabar kedatangan Chan Chee Hong di pondok pelajar
sambil ditemani suaminya, Ustaz Ramli. Setelah mendengar khabar-khabar angin mengenai
Chan Chee Hong dan Sara Raihana, hatinya menjadi gusar. Dia perlu menyelidik
kebenaran cerita yang mulai tersebar di sekolah itu. Chan Chee Hong menghampiri
pondok itu lalu memberi salam. Ustazah Habsah dan suaminya menjawab salam itu.
“Chan, ummi nak Chan berterus terang dan jangan sorokkan apa-apa
daripada ummi,” ujar Ustazah Habsah memulakan bicara.
Sebagai ibu angkat Chan Chee Hong, dia patut membela anak
angkatnya jika dia berada di landasan yang betul dan jika tidak, Chan Chee Hong
perlu ditegur untuk membetulkan keadaan.
“Betul ke desas-desus yang ummi dengar tentang Chan dan Cikgu
Sara?” tanya Ustazah Habsah.
“Desas-desus apa, ummi? Saya tak faham,” jawab Chan Chee Hong,
jujur.
“Apa yang ummi dengar, Chan ada hubungan cinta dengan Cikgu Sara.
Sewaktu rombongan ke Tasik Meromitik, Chan berpelukan dengan Cikgu Sara. Betul
ke?”
Chan Chee Hong hanya tunduk mendiamkan diri. Dia amat terkejut
mendengar perkhabaran itu. Siapa yang telah menyebarkan cerita yang sememangnya
dia lakukan, walaupun secara tidak sengaja?
“Chan, betul ke atau semua tu fitnah?” tanya Ustazah Habsah lagi.
“Ummi, apa yang ummi dengar tu ada benar dan ada yang salah.
Memang betul saya memeluk Cikgu Sara tapi sebenarnya ketika tu Cikgu Sara
tergelincir dan jatuh betul-betul atas badan saya. Saya bukan sengaja dan tak
ada niat untuk ambil kesempatan,” jawab Chan Chee Hong.
“Ummi percaya pada Chan. Tapi bila Chan selalu tunggu Cikgu Sara
kat tempat letak kereta, menambah kuat syak wasangka orang kepada Chan dan
Cikgu Sara.”
“Memang saya selalu tunggu dia kerana niat saya nak menolong jika
diperlukan. Adakah itu salah? Kenapa bila saya tolong Cikgu Sara, orang asyik
mengata. Tapi bila saya tolong cikgu lain orang tak kata pun?” kata Chan Chee
Hong, agak geram.
“Tak salah untuk menolong sesama insan cuma pastikan keadaannya
sesuai dan tak menimbulkan fitnah. Satu lagi desas-desus yang ummi dengar, Chan
pergi ke rumah Cikgu Sara kat Penang sewaktu cuti sekolah yang lepas dan kemudian
makan angin dengannya. Betul ke?”
“Saya ke rumahnya dengan adik saya, Chan Lee Fong kerana adik saya
ingin berkenalan dengannya. Lepas tu kami berjalan-jalan kat Batu Feringgi atas
permintaan adik saya.
Malam tu kami tidur kat rumahnya sebab Pak Cik Majid tak benarkan
saya memandu waktu malam,” jelas Chan Chee Hong sambil menunduk seolah-olah
bersedia menerima apa sahaja hukuman yang akan dikenakan.
“Chan, itulah susahnya bila rapat dengan seseorang yang halal
dinikahi walaupun usia lebih tua daripada Chan. Dalam Islam terdapat
batas-batas dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan,” ujar Ustazah Habsah
menasihati Chan Chee Hong agar dia lebih jelas dengan hukum Islam.
“Apa perasaan Chan terhadap Cikgu Sara?”
“Saya sukakannya,” jawab Chan Chee Hong perlahan.
“Suka yang macam mana, Chan?” tanya Ustaz Ramli yang sedari tadi
hanya mendengar.
Chan Chee Hong tidak menjawab tapi riak wajah Chan Chee Hong dapat
dibaca oleh mereka berdua yang Chan Chee Hong bukan sekadar menyukai Sara
Raihana sebagai seorang guru tetapi lebih daripada itu.
“Chan, sesungguhnya cinta itu bukanlah sesuatu yang keji, bahkan
ia adalah suatu ikatan yang suci yang mana boleh mengukuhkan ikatan antara
pasangan apabila mereka berkahwin kelak. Tapi di dalam kes Chan, suka babah nasihatkan
agar lebih serius dalam pelajaran kerana SPM hampir menjelang,” tambah Ustaz
Ramli.
“Chan, ummi anggap Chan macam anak ummi sendiri. Boleh tak Chan
janji dengan ummi agar menyimpan dulu rasa cinta Chan tu sehingga tiba
waktunya. Bila Chan telah pun bekerja dan Cikgu Sara masih belum bersuami, masa
tu Chan pinanglah dia. Dan jika umur ummi masih panjang, Insya-ALLAH ummi sendiri yang akan meminangnya bagi pihak Chan,”
kata Ustazah Habsah memberi pandangan.
Akhirnya Chan Chee Hong berjanji akan menumpukan perhatian kepada
SPM dan akan menurut nasihat Ustazah Habsah. Dia meminta maaf atas apa yang
terjadi kerana sedikit sebanyak nama baik Ustazah Habsah sebagai ibu angkatnya
turut terjejas. Chan Chee Hong berlalu pergi setelah menyalami Ustaz Ramli dan
di dalam hati terpasang satu azam dan tekad yang kuat.
“CHAN!”panggil Sara Raihana setelah terlihat kelibat Chan Chee Hong.
Chan Chee Hong memandang Sara Raihana tanpa mahu mendekatinya.
Sara Raihana agak hairan kerana selalunya Chan Chee Hong akan segera
menghampirinya apabila dia memanggil. Sara Raihana merapati Chan Chee Hong.
“Chan, tolong ambilkan buku ringkasan saya kat bilik guru. Saya
tertinggal tadi,” pinta Sara Raihana dengan senyuman manis.
Chan Chee Hong menjadi serba salah. Perlukah dia menurut kehendak
Sara Raihana sedangkan dia telah berjanji pada diri sendiri agar menjauhi Sara
Raihana. Dia bimbang tidak berupaya mengawal dirinya jika terus berdekatan dengan
Sara Raihana.
“Maaf, cikgu. Saya tak dapat tolong cikgu lagi. Bukan maksud saya
nak menyombong dengan cikgu tetapi saya terpaksa. Saya harap cikgu faham dan
maafkan segala ketelanjuran saya. Saya benar-benar sukakan cikgu dan berharap
suatu hari nanti kita dapat bersama.”
Selesai berkata begitu, Chan Chee Hong meninggalkan Sara Raihana
yang masih termangu-mangu kerana tidak memahami situasi sebenar.
Kenapa Chan ni? Apa maksud
dia sebenarnya? Hati Sara Raihana penuh tanda tanya. Segera dia melangkah ke bilik guru untuk mengambil sendiri buku ringkasannya.
“Sara, Kak Mai nak cakap sesuatu pada Sara,” ujar Cikgu Maimunah
sambil menggamit Sara Raihana agar merapatinya.
Sara Raihana merapatkan kerusinya sehingga lututnya bertemu lutut
Cikgu Maimunah.
“Ada apa, Kak Mai? Macam penting aje.”
“Ya. Penting dan Kak Mai nak tanya Sara sendiri untuk memastikan
kesahihan cerita ni.”
Makin berkerut dahi Sara Raihana. Dadanya makin berdebar-debar.
“Sara, betul ke Sara ada hubungan
cinta dengan Chan?”
“Apa?” Terkejut Sara Raihana dengan pertanyaan itu.
“Syy... perlahankan sikit suara tu.”
“Baiklah. Tapi Kak Mai, saya tak ada hubungan sebegitu dengan
Chan. Sara akui agak rapat dengan dia tapi hubungan kami sekadar hubungan guru
dan pelajar. Dia hormatkan Sara malah kami sering berbual-bual perkara
berkaitan agama. Kadangkala dia mintak nasihat tentang pelajaran dia. Sara tolong dia kerana dia saudara baru dan perlukan sokongan kita.”
Riak wajah Sara Raihana menjadi sedih dan agak terasa bila dituduh begitu.
“Sara, Kak Mai tahu niat baik Sara tapi mulut orang kita tak boleh
nak tutup. Ada aje orang bercerita sampaikan ada yang kata Chan berpeluk dengan
Sara semasa rombongan kita hari tu. Tapi Kak Mai tak percaya. Mana mungkin Sara
buat begitu sedangkan ada pelajar lain bersama-sama Sara ketika tu. Kak Mai
yakin Sara tak bersalah.”
Sara Raihana makin terkejut. Siapa yang menyebarkan cerita
sebegitu? Otaknya ligat berfikir.
“Kak Mai, Sara mintak maaf sebab tak bercerita tentang kejadian
yang menimpa Chan dan Sara sewaktu rombongan tu. Kak Mai ingatkan yang Chan
cedera kat siku dan Sara luka kat tapak tangan?”
“Ya. Chan kata dia jatuh. Tapi Sara tak beritahu pun punca tapak
tangan Sara luka,” ujar Cikgu Maimunah mula memandang wajah Sara Raihana dengan
pandangan pelik. Hatinya berteka-teki. Takut apa yang menjadi fitnah itu benar-benar
terjadi.
“Sebenarnya Sara tergelincir kat cerun licin. Akar yang Sara
pegang terlepas dan Sara jatuh atas tubuh Chan. Chan jatuh terlentang dan
secara tak sengaja tangan dia terpeluk Sara. Kejadian tu benar-benar di luar
kawalan kami berdua. Itu sebabnya siku Chan dan tapak tangan Sara luka.”
Cikgu Maimunah menghela nafas. Dia agak terkejut dengan cerita
itu. Tetapi hatinya mempercayai kata-kata Sara Raihana.
“Jadi bermakna ada orang yang memutar belitkan cerita ni. Apa
tujuan orang ni?”
“Entahlah, Kak Mai. Tapi Sara hairan macam mana orang tu boleh
tahu Chan terpeluk Sara, walhal kejadian tu berlaku masa kami dalam perjalanan
ke Tasik Meromitik? Masa tu hanya ada lima orang pelajar perempuan aje bersama
kami,” ujar Sara Raihana sambil cuba mengingati wajah-wajah pelajar perempuan itu dan seketika kemudian dia dapat meneka siapa
orangnya.
“Sara agak siapa yang mula sebarkan cerita ni?” tanya Cikgu
Maimunah.
“Sara rasa orang tu adalah Julia sebab dia terserempak dengan kami
sewaktu kami jalan-jalan kat Batu Feringgi.”
“Batu Feringgi? Sara jalan-jalan dengan Chan ke?” tanya Cikgu
Maimunah, tak tersangka bahawa Sara Raihana benar-benar keluar dengan Chan Chee
Hong. Timbul keraguan di hatinya. Terdetik di hati Cikgu Maimunah, adakah Sara menyembunyikan
sesuatu daripada aku?
“Ya, kami jalan-jalan makan angin kat situ. Tapi bukan kami berdua
aje. Chan Chee Hong bawak adiknya sekali.”
“Dating bawa adik sekali?” tanya Cikgu Maimunah dengan wajah
keliru.
“Bukan datinglah Kak Mai. Sebenarnya adik Chan yang ajak kami
jalan-jalan sebab dah lama tak ke situ.”
“Macam mana mereka boleh ke rumah Sara?” tanya Cikgu Maimunah
lagi.
“Chan saja nak bawak adik dia bersiar-siar sebab dia dah ada lesen
memandu. Terlanjur dia nak ke Penang, terus dia ke rumah Sara. Malam tu mereka
tidur kat rumah Sara sebab abah Sara tak benarkan Chan memandu waktu malam.
Papa Chan pun tahu akan hal tu dan dia tak kisah. Ibu dan bapa Sara anggap Chan
dan adik dia sebagai anak angkat. Sara jadi kakak angkat pada mereka berdua,”
jelas Sara Raihana panjang lebar bagi meyakinkan Cikgu Maimunah.
“Betul Sara tak ada sikit pun perasaan cinta pada Chan?” soal
Cikgu Maimunah menduga.
“Hisy Kak Mai, Chan tu saya anggap macam adik aje. Lagipun dia kan
pelajar kesayangan semua dan baru aje memeluk Islam. Dia perlukan bimbingan
kita semua. Niat saya hanya nak bimbing dia. Tak ada niat lain,” jawab Sara Raihana
walaupun dia sendiri tidak pasti dengan perasaannya terhadap Chan Chee Hong.
Cikgu Maimunah hanya tersenyum dan meminta maaf kerana meragui
Sara Raihana. Sara Raihana merasakan seperti melepaskan satu beban yang berat
setelah meluahkan hal itu kepada Cikgu Maimunah. Paling tidak Cikgu Maimunah pasti
membelanya jika ada suara sinis yang mengumpat keji dirinya.